A Kadir Jasin
TANGGAL 24 September Anwar Ibrahim hadir sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk perbicaraan tuduhan liwat ke atasnya.
Dia hadir sebagai Ketua Pembangkang walaupun beberapa “deadline” yang diuar-uarkan sebagai saat beliau merampas kuasa daripada Abdullah Ahmad Badawi datang dan berlalu.
Anwar masih menanti. Abdullah terus menjadi Perdana Menteri. Rakyat jelata tambah muak dan benci.
Anwar menyalahkan kehambaran 16 September ke atas keengganan Perdana Menteri bertemu dia untuk “membincangkan peralihan kuasa.”
Abdullah berkata tidak perlu berjumpa kerana Anwar berdusta mengenai Ahli Parlimen Barisan Nasional yang akan menderhaka.
Tetapi Abdullah seolah-olah percaya pula apabila tergesa-gesa menghantar 49 MP BN ke Taiwan kononnya untuk belajar mengenai pertanian.
Kemudian dikhabarkan pula yang Anwar akan guna saluran Istana untuk memaksa sidang Parlimen diadakan supaya undi tidak percaya terhadap Abdullah boleh dikemukakan.
Semua tarikh yang diuar-uarkan itu berlalu, usaha Anwar menemui jalan buntu, Abdullah tetap orang nombor satu walaupun dikatakan kurang menentu, ekonomi negara tambah celaru dan rakyat jelata makin keliru.
Namun semua ini tidak menghalang Abdullah untuk terus mendakwa jadual peralihan kuasa berjalan seperti biasa, segala-galanya terselia dan rata-rata pembesar Umno dan BN menyokongnya.
Anwar pun begitu juga. Dia terus mendakwa sudah ada cukup MP BN di dalam poketnya dan sekadar menunggu masa sahaja.
Lantas, sebaik sahaja keluar dari mahkamah Anwar mempertahankan kegagalannya menjatuhkan Abdullah dan berkata dia ada cukup sokongan untuk merampas kuasa.
Untuk itu, Anwar menyeru agar kita semua bersabar kerana menyingkirkan BN yang sudah setengah abad berkuasa adalah tugas yang sukar dan memerlukan masa.
Sejuk rasa hati mendengar Anwar meminta rakyat jelata bersabar. Bukan apa, yang sebelum ini tergesa-gesa hendak rampas kuasa bukan rakyat jelata tetapi dia.
Sekarang Anwar memberitahu kita dia harus teliti kerana undang-undang negara wajib dihormati.
Katanya: "Saya merayu kepada warganegara Malaysia, khasnya yang mahu perubahan, agar memahami keadaan dan bersabar sedikit lagi kerana kita tidak mahu melanggar Perlembagaan, peraturan dan aturan.”
Abdullah berkata Anwar berdusta. Anwar membalas kalau tidak percaya silalah cuba. Panggil sidang Parlimen dan dia akan tunjukkan buktinya melalui undi tidak percaya.
(Saya terbaca sebuah jenaka dalam bahasa Inggeris yang berbunyi “the only time politicians tell the truth is when they call each other liars”. Dalam bahasa Melayu, satu-satunya waktu orang politik bercakap benar adalah ketika mereka memanggil satu sama lain pendusta.)
Abdullah, Anwar dan semua warganegara tidaklah perlu tunggu terlalu lama. Pada 13 Oktober ini Parlimen akan bersidang semula.
Anwar boleh menguji hasratnya merampas kuasa. Itu pun kalau Abdullah tidak sekali lagi menghantar MPnya untuk melawat ke luar negara.
Sementara itu, tidak ada siapa pun boleh menghalang kita membuat teori, telahan dan tekaan siapa bercakap benar, siapa berdusta dan siapa yang sebenarnya tenggelam punca.
Kita boleh mulakan dengan membuat tekaan mengapa Timbalan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak membatalkan kunjungan Amerika Syarikat selain alasan kesibukan di Kementerian Kewangan.
Khabar yang dibawa oleh angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, terjadi lagi rundingan dan tawar menawar antara Mohd Najib dan Abdullah mengenai isu peralihan kuasa.
Dengan ini semua, pasti tambah meriahlah Hari Raya kita.
Thursday, September 25, 2008
Kini Anwar Guna Alasan Perlembagaan
Posted by
Sang Pemantau
at
8:07 PM
Labels: bloggers united, DSAI, perlembagaan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment