+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, April 14, 2008

Pertemuan terbesar bincang masa depan BN, isu politik semasa - PM jumpa wakil rakyat

Utusan Online


PUTRAJAYA 13 April – Setelah pertemuan dengan pemimpin UMNO akar umbi seminggu lalu, esok Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengadakan perjumpaan atas platform serupa dengan seluruh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dipercayai, ia pertemuan tertutup terbesar dalam tempoh lima tahun beliau sebagai Perdana Menteri yang akan disertai semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) BN.

Pada pilihan raya umum lalu, BN menang di 140 kawasan Parlimen dan 307 DUN.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang mengesahkan pertemuan pada pukul 2.30 petang itu berkata, selaku Pengerusi BN, Abdullah dijangka mendapatkan maklum balas daripada semua pemimpin akar umbi BN mengenai isu-isu semasa yang berlaku.

“Sebagai Perdana Menteri, tentunya beliau mahu bercakap secara terus dengan mereka mengenai perkembangan isu politik yang berlaku pada masa ini.

“Beliau juga dijangka menyentuh mengenai tugas dan tanggungjawab wakil rakyat BN dalam menempuh cabaran semasa dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen MIC Cameron Highlands, S. K. Devamany ketika dihubungi berkata, perjumpaan dengan Perdana Menteri esok merupakan perhimpunan penting untuk meredakan kesan kejutan yang dialami wakil-wakil rakyat BN ekoran pencapaian teruk parti di beberapa negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

“Perjumpaan esok mustahak dalam usaha mengukuhkan kesejahteraan dan semangat kekeluargaan dalam BN.

“Kalau ada masalah, kita akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya. Tekad kita ialah mahu kembalikan keyakinan rakyat kepada BN,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, selepas sebulan pilihan raya umum, rata-rata pemimpin BN memahami kelemahan yang wujud dan apa yang penting ialah bersama-sama mencari penyelesaiannya.

Ahli Parlimen Tebrau, Teng Boon Soon pula berkata, wakil rakyat Parlimen tidak dimaklumkan bentuk perjumpaan dengan Perdana Menteri esok.

“Saya telah diminta untuk menghadiri perjumpaan itu tetapi tidak tahu sama ada ia berupa satu taklimat, mesyuarat atau dialog,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

BN menerima tamparan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu apabila buat pertama kali sejak gabungan yang ditubuhkan pada 1974 dari Perikatan gagal memperoleh dua pertiga.

Parti pemerintah itu kurang lapan kerusi daripada 148 kerusi Parlimen yang diperlukan untuk membentuk kerajaan yang selesa.

Selain gagal meraih dua pertiga, BN turut kehilangan kuasa di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah, di samping gagal merampas kembali Kelantan dari Pas serta hanya memperoleh satu kerusi daripada 11 kerusi Parlimen yang ditandingi di Wilayah Persekutuan.

Daripada 505 kerusi DUN yang ditandingi, BN sekadar meraih 307 kerusi.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |