+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, July 9, 2008

'Bala hubungi saya beritahu diri selamat'


Berita Harian

Oleh Jalal Ali Rahim, Irwan Shafrizan Ismail dan Ifwan Tun Tuah
bhnews@bharian.com.my


R Kumaresan

KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai keadaan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, berikutan kehilangannya sejak Jumaat lalu, akhirnya terjawab apabila beliau menghubungi anak saudaranya, malam kelmarin.

Balasubramaniam menghubungi anak saudaranya, R Kumaresan, pada jam 11.30 malam dan mengesahkan beliau serta isterinya selamat.

Kumaresan yang ditemui pada satu perhimpunan di Brickfields di sini, malam tadi, berkata bapa saudaranya itu bagaimanapun enggan memberitahu lokasi beliau dan keluarganya berada.

"Balasubramaniam memberitahu dia tak boleh bercakap secara bebas. Sebelum talian terputus, saya juga sempat bercakap secara ringkas dengan isterinya tetapi dia juga tidak mahu memberitahu di mana mereka berada," katanya.

Kumaresan berkata, beliau tidak dapat mengesan nombor telefon yang digunakan bapa saudaranya itu kerana Balasubramaniam menghubunginya menerusi talian peribadi.

Sabtu lalu, Kumaresan membuat laporan di Balai Polis Brickfields selepas gagal mengesan Balasubramaniam dan keluarganya.

Sehari sebelum itu, Balasubramaniam membuat akuan sumpah kedua bagi menafikan tuduhannya sebelum itu yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar juga percaya Balasubramaniam berada dalam keadaan selamat.

"Kita pasti akan mengetahui jika sesuatu yang buruk berlaku ke atasnya," katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Peralatan Polis Asia 2009 di sini. Turut Hadir ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Wahid Md Don.

Wahid bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai kemungkinan Balasubramaniam sudah meninggalkan negara ini.

Di KUANTAN, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin, tidak menolak kemungkinan Balasubramaniam berada di luar negara dan polis antarabangsa (Interpol) serta polis Asean (Aseanpol) sudah diminta membantu mengesannya.

"Malah, kita sedaya upaya mendapatkan keterangan mereka yang terakhir bercakap dengannya, selain mengarahkan kawalan lebih ketat di pintu masuk negara," katanya selepas menyaksikan Majlis Persaraan dan Serah Tugas Ketua Polis Pahang, Datuk Ayob Mohamed kepada Timbalannya, Datuk Robiah Abdul Ghani.

Mengenai dakwaan seorang lagi anak saudara Balasubramaniam, R Sega yang tidak menolak kemungkinan bapa saudaranya disembunyikan seseorang, Mohd Bakri menegaskan polis tidak menyiasat berdasarkan andaian.

"Kami adalah pegawai polis yang profesional dan perlu melakukan penyiasatan dan tidak ada motif lain. Kami menjalankan penyiasatan bertujuan mencari kebenaran kerana itu tanggungjawab polis," katanya.

Bakri berkata, tindakan polis mencari penyiasat persendirian itu juga bukan bertujuan meletakkannya dalam keadaan tertekan.

"Dia sudah membuat akuan bersumpah dan kami perlu mencarinya secepat mungkin bagi diambil keterangan segera. Kalau dia takut, boleh datang dengan peguamnya. Jika dia mohon kita jamin keselamatannya, kita akan beri kerjasama penuh untuk itu," katanya.

Mengenai perkembangan siasatan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bakri berkata, lebih ramai lagi saksi akan dipanggil untuk direkodkan keterangan mereka.

"Polis juga akan terus memberi perlindungan kepada pengadu sehingga dirasakan tiada lagi kemungkinan ancaman kepadanya," katanya. Setakat ini, polis sudah merekodkan keterangan 18 saksi termasuk doktor yang membuat pemeriksaan ke atas Mohd Saiful.

3 comments:

Unknown said...

Hopefully Mr. Bala will come out and testify to settle this matter once and for all.
To come clean with explanations and proves about his SD will not only shed new light to this case but it will also save his own credibility.
Its better than sitting in the 'dark' and hoping that the matter will slowly resolve on its own.

Unknown said...

Assalamualaikum,

Baguslah sekiranya dia dan keluarganya di dalam keadaan selamat. Ugutan dan ancaman daripada pihak yang tidak diketahui telah mebuat dia bersembunyi bersama keluarganya.

Saya mengharapkan agar pihak polis dapat memberikan perlindungan kahas kepada mereka.

Sang Pemantau said...

Adakah Mr Bala menyorok atau disorok???? Siapa yang mengancam Bala??? Apa yang Mr Bala hadapi selepas berjam2 berada di balai polis dan akhirnya menukar pengakuan bersumpah tersebut???

Bukan ke ini berkaitan dengan polis??? lu fikir le sendiri.....
Kalau dah tau...takpe...:)

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |