+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, July 9, 2008

Mahathir: Pembodek kerajaan masih nyanyi lagu lama!

Mstar Online

09-07-2008 03:22:14 PM

PETALING JAYA: Tun Mahathir Mohamed hari ini membidas golongan yang disifatkannya sebagai pembodek-pembodek kerajaan yang masih menyanyikan lagu lama. Beliau juga musykil kenapa ramai yang masih menggelarnya diktator sehingga sekarang.

Mantan Perdana Menteri itu meluahkan ini di dalam blognya www.chedet.com hari ini

Katanya lgi, pada sidang akhbar untuk menerangkan berkenaan laporan polis terhadap Hakim Ian Chin, seorang pemberita asing masih menyalahkan beliau kerana pentadbiran kuku besi yang berlaku sekarang.

"Kononnya sikapnya ini diperturunkan daripada saya. Malahan pemberita itu juga mengatakan yang saya lebih buruk daripada pemerintah sekarang. Media Barat dan pengkritik-pengkritik saya di kalangan pembangkang dan sesetengah pihak di kalangan media tempatan telah melabelkan saya sebagai diktator semasa saya menjadi Perdana Menteri," kata Mahathir.

Label adalah satu cara untuk burukkan imej pemimpin bagi mengurangkan popularitinya.

Malah Lee Kuan Yew juga pernah melabelkan Mahathir sebagai "Malay Ultra" dan rakyat Malaysia berketurunan Cina terkejut atas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Hussein Onn, kata Mahathir.

"Mereka jangka yang saya akan merampas kekayaan dan hak mereka untuk diberikan kepada orang Melayu. Tetapi selepas saya mengambil alih, mereka bertukar fikiran dan sokong saya. Sebelum saya letak jawatan, pengundi-pengundi Cina telah pastikan saya dapat majoriti 2/3 pada 1999, pilihanraya umum terakhir yang saya terajui.

"Tetapi pemberita barat masih kekal dengan khayalan mereka yang saya ini diktator, anti kaum Cina dan perasuah disamping memberi keistimewaan kepada kroni-kroni saya. Pemberita mereka akan membaca laporan-laporan lama dan akan menganggap ianya sebagai benar.

"Mereka tidak pernah membuat sebarang penyelidikan. Sebab itu setiap kali saya mengkritik rejim sekarang, mereka dan pembodek-pembodek akan tuduh yang saya ini lebih buruk semasa menjadi Perdana Menteri.

"Terutama sekali tuduhan berkenaan pentadbiran kuku besi yang kononnya saya amalkan dalam Kerajaan dan parti. Hakikat yang mereka tidak mahu lihat ialah semasa saya pegang kerusi Presiden UMNO, pemimpin-pemimpin lain tidak takut melawan saya," kata Mahathir.

Katanya lagi, semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri beliau tidak perlu dapatkan kebenaran Perdana Menteri untuk bertemu sesiapa. Begitu juga dengan empat Timbalannya, mereka tidak perlu dapatkan kebenarannya.

"Mereka bebas berjumpa sesiapa yang mereka suka. Walaupun kerap berlaku tentangan dan kritikan terhadap saya semasa mejadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, walaupun ahli UMNO dan pemimpin parti jelas menentang saya dan hampir menjatuhkan saya, walaupun pemimpin UMNO bertanding melawan saya, pembodek-pembodek dan media Barat masih lagi berkeras mengatakan bahawa saya diktator yang lebih buruk," jelasnya.

Mahathir berkata, beliau telah meletak jawatan tanpa paksaan, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana diktator, ini tidak sedikitpun mengurangkan dakwaan diktator terhadap saya.

"Tuduhan yang saya lebih buruk daripada pemerintah sekarang akan dibangkitkan setiap kali saya mengkritik atau menunjukkan penguasaan kuku besi rejim Abdullah. Jika orang terlalu buta dan tidak dapat melihat siapa diktator dan siapa bukan, itu adalah hak mereka.

"Tetapi apabila kita sengaja menolak kebenaran kita akan hilang kredibiliti. Itulah sebabnya kenapa hari ini tidak ramai yang membaca akhbar arus perdana yang dikawal Kerajaan atau menonton laporan berita di stesen televisyen yang dikawal Kerajaan. Blog telah mengambil alih peranan media konvensyenal sebagai sumber maklumat," katanya lagi.

Dan sebab itulah juga, menurut Mahathir, beliau mulakan blog cheddet.com.

"Pengunjung yang saya terima (tiga juta dalam masa dua bulan) dan maklumbalas yang mereka buat mencerita keadaan sebenar tentang apa yang mereka rasa. Kepada majoriti yang besar di kalangan mereka saya bukan diktator. Bagi saya ini penting.

"Pembodek akan terus ulang lagu lama tetapi ini tidak akan membawa mereka kemana-mana. Jelas sekali rakyat sudah tidak percaya," kata Mahathir.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |