Heboh satu negara diatas insiden yang berlaku semasa perhimpunan Protes Sejuta RAKYAT Turun. Ramai yang menelefon, mengemail dan sms saya tentang insiden tersebut. Ada yang bersimpati, ada yang marah dan ada yang memberikan pandangan mereka.
Kepada semua, saya mengucapkan terima kasih. Dalam posting kali ini, saya akan menjelaskan tentang insiden yang berlaku pada Protes Sejuta RAKYAT Turun dari pandangan dan kacamata saya selaku salah seorang penganjur.
Sebelum membicarakan tentang insiden tersebut, saya ingin menceritakan juga tentang apa yang berlaku sebelum perhimpunan tersebut berlangsung.
Umum telah mengetahui, jawatankuasa PROTES pada awalnya berniat untuk menganjurkan protes harga minyak pada 12 Julai 2008 di KLCC. Tetapi diatas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, tarikh dan tempat terpaksa ditukar dan akhirnya perhimpunan tersebut diadakan di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada 6 Julai 2008.
Pertukaran tempat dan masa telah menyebabkan banyak kesukaran berlaku. Tidak dinafikan juga ramai yang marah kepada kami selaku penganjur program. Akan tetapi, diatas sebab “kepentingan negara” dan ingin memuaskan hati semua pihak, kami tetap tegas untuk berpindah ke Stadium Kelana Jaya.
Perlu diingatkan bahawa Gabungan Protes terdiri daripada parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Saya bersama-sama dengan Gabungan Protes diatas kapasiti saya sebagai wakil NGO dan penulis bebas.
Oleh kerana tujuan Gabungan Protes ialah menentang kenaikkan harga minyak, saya dan beberapa orang teman-teman bersama dengan Gabungan Protes.
Berbalik kepada insiden yang berlaku semasa perhimpunan Protes Sejuta Rakyat turun berjalan.
Dalam isu ini saya mengambil sikap neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Pada pandangan saya masalah timbul oleh kerana “pertembungan diantara dua budaya”.
Ketika kejadian berlaku, saya berada diluar stadium. Saya meninggalkan stadium sebelum kumpulan Carburetor Dung memulakan lagu terakhir mereka yang bertajuk “Mari nyanyi menjilat”.
Saya keluar meninggalkan stadium kerana terlalu haus dan ingin ke gerai jualan untuk membeli minuman. Sedang saya berjalan-jalan melihat gerai jualan diluar, saya terdengar bunyi kecoh dan riuh. Tanpa berlengah, saya terus berlari masuk kedalam stadium dan menyaksikan keadaan sudah kecoh dan riuh.
Saya terlihat Alak, penyanyi Carburetor Dung dan seorang lagi anak muda dikerumuni oleh sebahagian hadirin yang berbaju merah dan biru dipukul dan diludah dan dibawa keluar stadium.
Saya yang tidak faham apa yang berlaku terus berlari kearah Alak dan temannya yang dikerumuni oleh berpuluh orang pemuda yang berbaju merah dan biru.
Alak dan temannya dibawa masuk kedalam stadium. Joe Kidd, Bullet dan pemain bass Carburetor Dung telah pun dikawal oleh Skuad AMK. Alak dan seorang lagi teman diletakkan bersama dengan teman-teman Carburetor Dung yang dikawal oleh Skuad AMK.
Selepas diberi jaminan oleh Shamsul Iskandar bahawa Skuad AMK akan memastikan keselamatan kumpulan Carburetor Dung, saya berlari kearah pentas ketika Hishamuddin Rais memberikan pidato untuk mengambil tanggungjawab diatas kejadian yang berlaku dan memohon maaf kepada hadirin diatas apa yang berlaku.
Saya membawa Hishamuddin Rais keluar dengan kereta saya. Dalam perjalanan membawa Hisham keluar dengan dengan kereta, seorang provokator menghentam cermin belakang kereta saya sehingga retak. Begitulah serba sedikit kejadian tersebut yang saya saksikan.
Lihat video dari Malaysiakini:
Selepas menonton video dari Malaysiakini, saya lebih jelas mengenai apa yang berlaku. Pertembungan budaya yang saya maksudkan diatas ialah pertembungan diantara anak muda muzik underground dan penyokong Pakatan yang majoritinya daripada PAS.
Daripada video diatas jelaslah bahawa Alak, penyanyi kumpulan Carburetor Dung tidak memahami “crowd” atau hadirin di Stadium Kelana Jaya.
Selain daripada itu, Carburetor Dung juga gagal menarik penyokong-penyokongnya untuk bersama-sama menyertai Protes Sejuta Rakyat Turun. Ini telah menyebabkan majoriti hadirin yang dari latarbelakang yang berbeza tidak faham dan tidak mengerti gaya bentuk persembahan mereka.
Pada saya, jika Alak bijak dan memahami latarbelakang hadirin, insiden kekecohan tersebut tidak akan timbul. Isu pakaian dan rambut panjang tidak timbul dalam perkara ini. Masalah sebenar ialah sikap Alak sendiri yang tidak pandai menilai penonton.
Cuba kita lihat satu contoh. Rahmat Haron seorang penyajak turut serta membacakan puisinya dan menyanyikan lagu. Walaupun Rahmat berambut panjang ala “Bob Marley” dan “bertatu”, dia diterima oleh penonton ketika membuat persembahan. Malahan penonton turut bersama-sama menyanyikan lagu Rahmat ketika beliau membuat persembahan.
Anggota Carburetor Dung yang lain seperti Fendi, Joe Kidd, Bullet pemain bass kumpulan tersebut tidak dilihat menimbulkan masalah. Mereka dilihat lebih matang dan memahami “crowd”.
Tidak hairanlah jika ada pihak menganggap Alak ialah “agen provokator” yang diupah oleh Umno dan Barisan Nasional.
Disatu sisi yang lain, saya menentang dan tidak bersetuju dengan cara penyokong Protes yang tidak berpuas hati menangani insiden ini. Tindakan memukul, maki hamun dan meludah Alak dan temannya bukanlah satu tindakan yang waras.
Tindakan ini tidak ada bezanya dengan tindakan jahat polis dan SB yang mengendalikan perhimpunan aman. Jika kita menentang keganasan polis, kita juga harus menentang tindakan segelintir hadirin yang memukul dan meludah Alak dan kumpulan Carburetor Dung. Jika begini tindakan yang diambil apabila berhadapan dengan perbezaan, Malaysia belum layak untuk berubah.
Hegemoni Umno/BN dan polis masih lagi kuat dikalangan masyarakat kita.
Saya sendiri melihat salah seorang yang paling bersemangat memukul Alak dan kumpulan Carburetor Dung ialah seorang pemuda berkepala botak, berbaju putih dan memakai seluar pendek. Sepanjang pengalaman saya melibatkan diri dengan gerakan Reformasi semenjak 1998, belum pernah lagi saya melihat penyokong Reformasi dan Pakatan memakai seluar pendek semasa menghadiri perhimpunan.
Saya percaya lelaki tersebut ialah agen “provokator” yang diupah oleh Umno dan Barisan Nasional bertujuan untuk menggagalkan perhimpunan Protes. Yang menyedihkan lagi apabila sebahagian penyokong-penyokong Protes terpengaruh dengan provokasi dari lelaki tersebut.
Dalam isu ini, kedua-dua pihak bersalah! Alak yang tidak memahami “crowd” dan segelintir penyokong Protes yang tidak waras!
0 comments:
Post a Comment