+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, July 9, 2008

Bermubahalah atau bersumpah dengan Al Quran: Apa kata tokoh agama?

Mstar Online

09-07-2008 02:47:25 PM

INSIDEN cabar mencabar agar bersumpah atau bermubahalah membabitkan isu dakwaan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, kian hangat diperdebatkan.

Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi isu dakwaan meliwat. Kali pertama ialah pada tahun 1998.

Adakah Islam membolehkan umat Islam bersumpah? Dalam keadaan manakah, kaedah bersumpah ini dibolehkan? Bagaimana pula kaedah bersumpah dengan menjunjung al Quran, adakah ini dianjurkan? Atau adakah ini sebahagian dari tradisi orang Melayu yang masih kuat dipegang hingga ke hari ini.

Tidak pernah lagi terjumpa satu ayat pun yang mengatakan kita dibolehkan bersumpah dengan menjunjung Al-Quran untuk membuktikan kebenaran.

Beberapa ulamak dan tokoh agama bercanggah pendapat apabila diajukan tentang al-Quran dijadikan sebagai alat untuk membuktikan seseorang itu berada di pihak benar atau tidak.

Bolehkah penyelesaian pintas menyelesaikan sesuatu masalah fitnah dengan memaksa individu yang didakwa terbabit dengan melafazkan sumpah mubahalah atau sumpah laknat?

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Abdul Shukor Husin:

Lafaz sumpah wajar dijadikan jalan terakhir selepas mereka yang saling tuduh-menuduh tidak dapat membuktikan kebenaran dakwaan itu melalui proses lain dalam mencari keadilan.

Dalam kes isu tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim misalnya, mana-mana pihak mesti berhati-hati dalam membuat keputusan untuk menggunakan al-Quran dan lafaz sumpah laknat ketika mahu menyelesaikan masalah berkenaan.

"Cuba usahakan cara lain dulu yang boleh mengait atau mengelakkan seseorang itu daripada tuduhan berkenaan. Biarlah proses perundangan menentukan kebenaran tuduhan ini melalui proses pencarian bukti, saksi dan sebagainya.

"Jika tuduhan itu berlanjutan, melarat dan tiada jalan keluar, barulah lafaz sumpah itu digunakan," katanya diminta mengulas kewajaran cadangan untuk bersumpah menjunjung al-Quran bagi membuktikan kebenaran masing-masing.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid:

Islam tidak pernah mensyariatkan supaya orang yang terbabit dalam fitnah bersumpah dengan menjunjung al-Quran tetapi cukup hanya bersumpah dengan nama Allah SWT.

"Tidak wajar dan haram hukumnya untuk seseorang Islam menjadikan al-Quran sebagai alat untuk bersumpah kerana yang diharuskan agama ialah bersumpah dengan melafazkan nama Allah sebanyak tiga kali," katanya.

"Hanya Allah SWT yang berhak menggunakan nama makhluknya seperti al-Quran dan alat lain dalam mempertahankan kebenaran sesuatu perkara. Manusia pula disyariatkan bukan bersumpah dengan alat atau al-Quran sekalipun ketika mempertahankan diri mereka daripada fitnah atau penipuan tetapi cukup dengan menyebut tiga nama Allah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

"Kalimah sumpah itu adalah yang termasyhur dan biasa disebut semua orang sama seperti lafaz sumpah yang digunakan ketika pemimpin politik mengangkat sumpah di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri," katanya.

Mufti Johor, Datuk Noh Gadut:

Isu fitnah seperti dakwaan kes liwat yang sedang hangat diperkatakan ini wajar ditangani di mahkamah.

"Ia akan membabitkan lebih ramai pihak berwibawa dalam menentukan keputusan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak," katanya.


Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin

Bersumpah dengan menjunjung Al Quran bukanlah kaedah Islam.

"Bukan itu yang dianjurkan oleh Islam. Nabi pun tidak pernah buat begitu. Bersumpah dengan menjunjung Quran adalah tradisi orang Melayu. Yang dianjurkan ialah bermubahalah atau bersumpah dengan berkata, "Jika benar saya yang melakukannya, laknatilah saya." Dan pihak yang satu lagipun perlu berkata sedemikian.

"Dan hendaklah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi - Saya tidak melakukannya," kata Dr Asri.

Menurut beliau, "Kedua-dua mereka, baik yang menuduh atau yang dituduh meliwat hendaklah bermubahalah. Inilah cara yang pernah Nabi buat dulu," jelasnya Dr Asri lagi.

Beliau turut menegur kesilapan fakta berhubung mubahalah yang dikaitkan sebagai kaedah "menjunjung al-Quran" sedangkan menurutnya dalam mubahalah, setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika berada di pihak yang salah.

Mufti Perlis itu percaya mubahalah yang tidak memerlukan wang atau modal akan menghapuskan prasangka dan hukumannya adalah adil.

Dalam mubahalah, seseorang yang dikaitkan perlu menyebut "Ya Allah! Jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku" manakala satu pihak lagi perlu menyebut " Ya Allah! Jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku."

"Serahkan pada Allah kerana ini urusan Allah," kata Asri.

Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat

Beliau menyokong cadangan bermubahalah cuma cara bersumpah yang dianjurkan ialah bermubahalah sambil menjunjung Al Quran.

"Bermubahalah atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam.

"Tapi kalau ada prosedur lain, lakukan dahulu yang lain itu, pihak mahkamah tentu tahu apa yang sepatutnya," katanya.

Mursyidul Am PAS itu berkata melalui cara demikian, Allah SWT boleh melaknatkan mana-mana pihak yang bersalah.

"Bersumpah atau bermubahalah merupakan langkah paling akhir yang perlu dibuat selepas proses perundangan dijalankan.

"Tapi biarlah pihak mahkamah siasat dulu. Bersumpah adalah langkah yang terakhir," kata Tok Guru itu.

Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah kerana ia tidak menepati undang-undang Islam.

"Namun Anwar perlu mengemukakan bukti di mahkamah sekiranya beliau tidak bersalah seperti yang didakwa oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan," katanya.

Dr Harussani berkata yang menuduh kena mengemukakan empat orang saksi di mahkamah. Kalau tidak boleh dikenakan sebatan 80 kali.

Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman

Perbuatan bermubahalah (sumpah laknat) adalah bercanggah dengan ajaran Islam terutama jika ia membabitkan unsur-unsur politik.

Beliau berkata, sumpah adalah suatu perkara yang tidak boleh dipermain-mainkan dan hanya perlu dilakukan ketika dalam mahkamah membabitkan peruntukan undang-undang atau kanun tertentu.

''Sumpah bukan boleh dibuat sewenang-wenangnya, jika yang bersumpah itu mahu menunjukkan bahawa kalau dia benar-benar bersalah maka akan turun azab daripada Tuhan.

''Tetapi bagaimana pula keadaannya jika orang yang bersumpah itu tidak dikenakan azab (di dunia), adakah itu menunjukkan dia benar-benar tidak bersalah.

''Sedangkan ajaran Islam hanya mempercayai bahawa azab Allah kepada umat-Nya akan dikenakan di akhirat dan bukannya di dunia," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |