Mstar Online
22-07-2008 11:36:55 PM
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu sedia mengemukakan bukti terperinci kos perkhidmatan dan kerosakan kereta Proton Perdana V6 Executive, yang telah digunakan sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri sebelum ini.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar, kerajaan negeri tidak mampu membiayai lagi kos selenggaraan kenderaan berkenaan kerana sejak mula digunakan empat tahun lepas, ia telah melibatkan perbelanjaan yang tinggi bagi tujuan tersebut.
"Misalnya, kos penyelenggaraan dua kereta tersebut mencecah RM175,229.97 yang tertinggi dan RM132,357.76 dari 2004 sehingga hari ini," menurut kenyataan itu yang dihantar kepada Bernama melalui faks di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri Terengganu terpaksa membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu kerana kereta nasional itu mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa langkah kerajaan negeri membeli 14 kereta Mercedes itu juga adalah setelah mengambil pertimbangan tentang kenaikan harga bahan api dan nilai terpakai yang tinggi untuk kereta berkenaan.
"Daripada segi ciri-ciri keselamatan, kerajaan negeri berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan Mercedes E200 Kompressor. Ini adalah penting kerana pegawai-pegawai yang menggunakan kereta ini merupakan eksekutif tertinggi dalam kerajaan dan keselamatan mereka adalah keutamaan," kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, kerajaan negeri menjelaskan bahawa pembelian 14 buah kereta Mercedes bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri itu adalah telus dan wajar.
Pembelian kereta untuk kegunaan pegawai tinggi kerajaan adalah telus dan tidak sekali-kali menggunakan wang royalti minyak.
Pembelian ini juga selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) yang mensyaratkan semua kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD) sahaja.
"Kereta Mercedes E200 Kompressor ini mematuhi syarat tersebut kerana ia dipasang di Pekan, Pahang sebagai produk CKD. Kewajaran pembelian kereta ini juga berdasarkan kelasakan kereta model ini dan kos penyelenggaraannya yang rendah," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga menjelaskan bahawa Menteri Besar masih menggunakan kereta kerajaan negeri yang lama bernombor pendaftaran TAR 567 yang berusia 18 tahun dan bukan yang baru seperti dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan. BERNAMA
4 comments:
Kalau setakat tunjuk bukti pun tak guna jika dalam resit atau setiap claim terperinci yang ditunjukkan itu dah dimasukkan sekali 'extra cost' yang dah dikaburi dengan harga spare part atau kos upah untuk masuk ke kocek..Bukan nak tuduh, cuma terfikir ketidaklogikkan kos maintenance yang terlalu tinggi...
p/s: Baru cadang nak beli Perdana V6 tapi bila dah tengok kos maintenance tinggi, tak jadi beli la.. Rela pakai Kancil je...
Setakat tunjuk resit dan claim siapa-siapa pun boleh cari jalan nak kelentong.
Che bukan apa, bukan nak buat spekulasi tapi terkejut sangat dengan jumlah kos yang diberikan.Macam banyak sangat. Terbeliak mata che.
"cuba kalian semua tengok dalam paper star, bandingkan harga merz dan proton perdana..
rm358,888-rm101,500=257,388
kapasiti tanki merz=80 liter; bagi perdana v6=64 liter.
penggunaan minyak biasa bagi merz=8.9liter bagi 100km manakala bagi proton perdana v6 adalah 7.51liter bagi 100km.
servis cas bagi merz=rm700 bagi setiap 12 ribu km. Bagi perdana v6 pula rm200 setiap 5,000km. kalu 12,00 dah jadi lebih kurang rm480.
waranti untuk spareparts bagi merz adalah lebih kurang 2 tahun, manakala bagi proton perdana adalah 4 tahun. Jadi persoalan aku, kenapa tinggi sangat kos penyelenggaraan yang dinyatakan?
Ini yang namanya mencekik duit rakyat ni. Buat malu kerajaan saja orang ini.
Lagipun, resit-resit ataupun urusan pembelian slip boleh direka oleh sesetengah pihak bagi tujuan untuk mendapatkan lebihan wang.
dah memang digalakkkan untuk semua kementerian kerajaan pusat dan kerajaan negeri dikehendaki menggunakan kereta nasional tapi MB Terengganu pula yang mahu kerete mereka ditukarkan kepada 14 buah kerete Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi baru dengan alasan "kos penyelenggaraan tinggi".alasan tersebut sukar diterima dan tindakan beliau amat tidak bersesuaian dengan saranan berjimat cermat ketika ini.
Post a Comment