+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 17, 2008

Henti sengketa - Raja Nazrin mahukan tumpu pembangunan

RAJA NAZRIN menyampaikan sumbangan kepada wakil Persatuan Bekas Tentera Cawangan Perak, Kpt. (B) Rosli Yahya di Ipoh semalam.


IPOH - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menyeru barisan kepimpinan negara supaya berhenti bersengketa sesama mereka, sebaliknya menumpukan kepada usaha membangunkan sumber negara bagi kesejahteraan rakyat.

Titah baginda, dunia sedang menghadapi iklim ekonomi yang suram dengan kenaikan harga minyak dan makanan yang memerlukan kerajaan memastikan bekalan makanan terjamin, meningkatkan produktiviti, menyakinkan pelabur dan mewujudkan pekerjaan baru untuk meringankan beban rakyat.

"Ia merupakan cabaran besar kepada mana-mana kerajaan sekalipun. Ia tidak akan dicapai melalui retorik politik semata-mata.

"Ia tidak akan dicapai jika di kalangan barisan kepimpinan, baik yang berada di dalam atau di luar kerajaan terus bersengketa," titah baginda pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) ke-162 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini semalam.

Raja Dr. Nazrin bertitah, suasana muram ekonomi dunia memerlukan para pemimpin mentafsirkannya sebagai cabaran terhadap negara dan bangsa yang memerlukan mereka bersama-sama menumpukan fikiran serta usaha untuk melaksanakan kerja yang produktif.

"Jika cabaran berat ini gagal ditangani, dibimbangi kestabilan dan ketenteraman negara akan terjejas, segala kejayaan yang telah dicapai sejak 51 tahun merdeka akan turut hilang dan pupus," titah baginda.

"Begitu besar nikmat jika perpaduan dapat dipupuk, malah rahmat akan dilimpahkan di kalangan warga dan negara yang berada dalam harmoni; sebaliknya persengketaan akan berakhir dengan perpecahan hingga kemakmuran tidak mungkin tercapai," titah baginda. - Bernama

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |