+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 17, 2008

Kes bunuh Altantuya: Peguam mohon Sirul dibebas

Berita Harian

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my

Pembela dakwa wujud banyak keraguan untuk mensabitkan tertuduh

SHAH ALAM: Peguam bela tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar memohon Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan anak guamnya tanpa perlu dipanggil membela diri atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu di Puncak Alam di sini, 19 Oktober 2006.

Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar, ketika mengemukakan hujahan balasnya di akhir kes pendakwaan, semalam memohon supaya anak guamnya dibebaskan kerana wujud banyak keraguan dan persoalan dalam kes pendakwaan untuk mensabitkan tertuduh.

Beliau berkata, pendakwaan juga tersilap dalam penghujahan mereka dengan menyatakan perlakuan Sirul Azhar menunjukkan tempat kejadian adalah mengikut Seksyen 8 Akta Keterangan 1950, sedangkan mengikut peruntukan undang-undang keadaan Sirul Azhar ketika itu lebih menjurus kepada Seksyen 27 akta sama.

Kamarul turut memohon mahkamah menolak permohonan pendakwaan itu berdasarkan beberapa contoh peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam perbicaraan lalu, pendakwaan berhujah Sirul Azhar yang membawa polis untuk mencari lokasi pembunuhan Altantuya dan perlakuannya yang menunjukkan tempat kejadian bukan satu kenyataan mengikut peruntukan Seksyen 27 Akta Keterangan kerana polis sudah menemui tempat kejadian.

(Beberapa saksi dalam keterangan sebelum ini memberitahu lokasi tempat kejadian ditemui polis berdasarkan pendedahan tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri)

Kamarul berkata, jika pendedahan maklumat Sirul Azhar berhubung lokasi bunuh Altantuya tidak diklasifikasikan sebagai Seksyen 27, pendakwaan masih boleh berpegang kepada keterangan barang kemas milik mangsa ditemui di rumah tertuduh untuk mensabitkannya terhadap tuduhan.

"Kami memohon mahkamah mengambil kira bukti berdasarkan keadaan dalam kes ini bagi menentukan sama ada keterangan berhubung penemuan barang kemas mangsa di rumah tertuduh boleh diambil kira, sedangkan terlalu banyak keraguan timbul berkaitan bagaimana ia boleh berada di rumah tertuduh.

"Dari mana sebenarnya polis mendapat 'tiga anak kunci misteri' untuk membuka pintu rumah tertuduh jika keterangan dua saksi pendakwa sebelum ini menyatakan ia bukanlah kunci rumah Sirul Azhar kerana kunci yang diterima mereka lebih daripada tiga, sudah lama dan tidak berkilat.

"Jadi dari mana tiga anak kunci itu datang? Dari mana polis memperolehnya dan siapa lagi yang mempunyai akses untuk memasuki rumah tertuduh," katanya.

Perbicaraan disambung 18 September ini.

Kamarul berkata, selain itu catatan salah '5-2-4' yang dibuat polis berhubung nombor rumah Sirul Azhar yang sebenarnya bernombor '5-3-7' dalam laporan berhubung penemuan barangan kemas mangsa turut menimbulkan keraguan.

Beliau berkata, penjelasan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Asisten Superintendan Zulkarnain Samsudin tidak konsisten dan hanya menyatakan dia tersalah menulis nombor rumah Sirul Azhar kerana merujuk alamat pada bil-bil yang diambilnya daripada peti surat tertuduh.

"Sirul Azhar menafikan memberikan sebarang pendedahan maklumat kepada polis dan semua berlaku adalah dirancang polis. Tertuduh diarahkan: "Kamu ikut saya pergi dan hanya tunjuk saja." Gambar pula diambil hanya selepas barang kemas ditemui dan gambarnya memegang jaket dan menunjuk jari ke arah barang kemas itu pula hanyalah lakonan semula.

"Jadi persoalannya, adakah setiap keterangan dikemukakan pendakwaan melalui saksi polis memang berlaku atau hanya rekaan semata-mata? Kami berhujah polis sememangnya mempunyai pengetahuan awal berhubung lokasi rumah tertuduh dan barang kemas mangsa yang disimpan di rumahnya. Polis turut mereka keterangan yang boleh menjuruskan tertuduh terhadap pertuduhan dengan memintanya mengakui semua keterangan itu," katanya.

Menyentuh hujahan pendakwaan yang menyatakan pihaknya langsung tidak mencabar keterangan berhubung barang kemas mangsa, Kamarul berkata, beliau hanya menyentuh isu yang relevan saja dan adalah pelik baginya untuk mempersoalkan apakah barang kemas dipakai Altantuya pada malam kejadian, 19 Oktober 2006.

Kamarul berkata, pihaknya hanya boleh menganggap barang kemas itu milik Altantuya kerana tiada keterangan boleh digunakan untuk mencabarnya.

Bagaimanapun katanya, cara rakan Altantuya, Uuriintuya Gal-Ochir mengecam barang kemas itu menimbulkan keraguan kerana ia dibuat polis terhadap seorang wanita yang berada dalam keadaan emosinya terganggu, yang mana UUriintuya terus menangis selepas menyatakan beliau cam ia dipakai mangsa pada malam kejadian.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung 18 September ini.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |