+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 17, 2008

Balak: K'jaan Pahang diperintah bayar RM60 juta

Malaysiakini

Sep 17, 08 7:40pm

Kerajaan Pahang hari ini diperintahkan membayar RM60 juta kepada sebuah syarikat pembalakan selepas gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamed sebulat suara menolak permohonan kebenaran untuk merayu oleh kerajaan negeri dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang.

Hakim Malanjum berkata persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh kerajaan Pahang, yang diwakili Penasihat Undang-undang Datuk Mat Zara'ai Alias, "bukanlah satu persoalan yang wajar dan ia dibangkitkan di Mahkamah Rayuan."

Kerajaan negeri Pahang dan pengarah perhutanan negeri telah memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 3 Ogos lalu yang menolak rayuan mereka untuk melanjutkan masa bagi memfailkan notis rayuan, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Notis rayuan itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan mereka membayar RM37,127,471.60 kepada Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd dengan faedah pada kadar 8 peratus setahun mulai 31 Disember 2000 sehingga selesai pembayaran.

Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membayar jumlah itu kepada Seruan Gemilang setelah berpuas hati bahawa pengarah perhutanan negeri telah bertindak secara cuai apabila enggan mengguna pakai pelan terkini yang dikemukakan oleh Seruan Gemilang yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) pada 5 April 2000, sebaliknya mengarahkan pelan asal yang diluluskan oleh exco pada 7 Januari 1998, diguna pakai.
Atas tanah Umno

Pada 9 Disember 2002, Seruan Gemilang memfailkan saman terhadap Kerajaan negeri Pahang dan pengarah perhutanan negeri bagi memohon ganti rugi RM31 juta kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas 4,000 hektar.

Seruan Gemilang menamakan kerajaan negeri Pahang sebagai defendan pertama dan pengarah perhutanan negeri, defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, Seruan Gemilang mendakwa pada 31 Julai 2000, defendan kedua telah memberi kelulusan kepadanya bagi mengeluarkan kayu balak dari mukim itu bagi kawasan seluas 3,200 hektar.

Pada 13 Mei 2002, defendan kedua telah memberi kelulusan kepada Seruan Gemilang bagi mengeluarkan kayu balak dari baki kawasan seluas 800 hektar di tanah yang sama. Ini bermakna Seruan Gemilang telah diberi kelulusan untuk mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 4,000 hektar.

Bagaimanapun defendan kedua hanya membenarkan Seruan Gemilang mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala baki selebihnya telah diberikan kepada beberapa pihak ketiga untuk mengeluarkan kayu balak dari tanah tersebut.

Kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyatakan bahawa Seruan Gemilang hanya diberi lesen untuk menjalankan kerja pembalakan secara pemindahan bagi kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala bagi baki 1,200 kektar itu pula, defendan mendapati Seruan Gemilang tidak berminat untuk menjalankan kerja pembalakan di situ.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |