+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 15, 2008

Kos Sebenar Pembinaan Putrajaya RM11,831 Juta

Bernama


KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kos sebenar bagi pembinaan Putrajaya, pusat pentadbiran baru kerajaan pusat sehingga ini adalah RM11,831 juta.


Beliau berkata ia meliputi pembangunan pejabat-pejabat kerajaan, kuarters kerajaan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan rumah kediaman rasmi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Hakim.

"Selain itu, ia juga turut meliputi pembangunan infrastruktur seperti terowong, jalan, jambatan, menara selain kemudahan awam seperti taman, dataran dan tasik," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari Rabu.

Abdullah berkata pembinaan bangunan pejabat-pejabat kerajaan di Putrajaya dibuat secara penswastaan melalui kaedah bina, pajak dan pindah.

Beliau berkata melalui kaedah ini, Putrajaya Holdings menggunakan pembiayaan sendiri untuk membina pejabat-pejabat kerajaan itu secara berperingkat di atas tanah kerajaan. "Kerajaan menyewa bangunan tersebut dalam tempoh konsesi selama 25 tahun dengan kadar bayaran bulanan yang telah ditetapkan iaitu bermula dengan RM2.50 sekaki persegi.

"Pada akhir tempoh konsesi, bangunan-bangunan ini akan dipindahkan kepada kerajaan tanpa lain-lain bayaran," katanya.

Abdullah berkata bangunan kerajaan mula diduduki secara berperingkat oleh kementerian dan jabatan kerajaan apabila bangunan-bangunan yang diperuntukan kepada mereka siap.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata jumlah sewa tahunan yang dibayar kerajaan kepada Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. pada tahun 2007 ialah RM929.7 juta manakala pada tahun 2006 ialah RM878.1 juta.

"Pada tahun 2005, kerajaan membayar RM732.0 juta kepada mereka dan pada tahun 2004 sebanyak RM434.0 juta," katanya.

-- BERNAMA


0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |