Berita Harian
Oleh Azman Zakaria, Abdul Halim Yusoff, Zainab Mohd Yatim dan Norliza Wasilan
Datuk Abdul Rahman Dahlan |
Pakatan Rakyat janji ganjaran lumayan, jawatan jika YB BN lompat parti
KUALA LUMPUR: Pembangkang yang terdesak untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN), sanggup menawarkan ganjaran besar sehingga boleh memberi kesenangan hidup kepada dua tiga generasi keluarga Ahli Parlimen yang berpaling tadah.
Malah, jumlah wang yang ditawarkan dijangka berlipat ganda dalam masa terdekat bagi merealisasikan impian Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membentuk kerajaan sebelum 16 September.
Abdul Rahman berkata, beliau menerima beberapa panggilan dan dikunjungi 'duta kecil' pembangkang minggu lalu serta minggu sebelumnya, yang cuba memujuknya menyertai Pakatan Rakyat dan dijanjikan sejumlah wang serta kedudukan dalam kerajaan.
Ditanya sama ada tawaran itu berjumlah jutaan ringgit, beliau berkata: "Tekaan anda adalah seperti tekaan saya. Kalau saya ambil saya akan senang dua tiga generasi."
Datuk Anifah Aman |
Bagaimanapun, beliau menolak tawaran itu kerana parti pembangkang tidak boleh dipercayai.
"Mereka selalu mendabik dada menjadi kerajaan kelas pertama yang tidak mempunyai unsur rasuah, tapi pada masa sama memberi rasuah wang dan jawatan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.
Sebelum ini, pembangkang yang menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu, mendakwa 30 Ahli Parlimen BN, kebanyakannya dari Sabah akan menyertai mereka bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Desas-desus itu semakin kuat apabila Ahli Parlimen Batang Sadong, Sarawak, Nancy Shukri pada 23 Mac lalu mengakui dihubungi orang dikenali dari Sabah yang mengajaknya menyertai pakatan pembangkang atas alasan kedua-dua negeri itu tidak diberi tempat sewajarnya dalam Kabinet baru.
Datuk Bung Mokhtar Radin |
Lima hari sebelum itu, Anifah dan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, menolak jawatan timbalan menteri selepas disenaraikan dalam Kabinet baru Persekutuan.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh pula meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar atas alasan peribadi. Bagaimanapun, semua mereka menafikan akan menyertai pembangkang.
Isu berkenaan reda selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Badawi melawat Sarawak dan Sabah pada Mac dan bulan lalu, tetapi spekulasi itu kembali hangat sejak beberapa hari lalu selepas Anifah dan Abdul Ghapur pada sidang Dewan Rakyat menegur Kerajaan Pusat yang didakwa tidak memberi perhatian sewajarnya kepada Sabah.
Mengulas lanjut tindakan pembangkang itu, Abdul Rahman berkata ia adalah hipokrasi terbesar di dunia dan Anwar tidak boleh dipercayai.
"Mereka tanya mahukah saya mengorak sejarah dalam negara untuk tumbangkan rasuah, tapi saya kata cara ini (menawarkan wang dan jawatan) pun korup," katanya.
Mengenai kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee kelmarin yang mahu BN segera menangani isu berkaitan Sabah bagi mengelak wakil rakyat melompat parti, Abdul Rahman berkata:
"Saya setuju dengan Yong yang mempunyai niat baik meminta Kerajaan Persekutuan melihat keluhan rakyat Sabah. Saya pasti tuntutan yang diminta itu akan difikirkan oleh Perdana Menteri."
Bagaimanapun, katanya, Abdullah perlu diberi masa kerana pilihan raya baru dua bulan setengah berlalu.
"Untuk beri keadilan, berilah masa. Tiada yang boleh dibuat dalam sekelip mata," katanya yang percaya Perdana Menteri akan menjelaskan mengenai perkara itu ketika sekali lagi melawat Sabah akhir bulan ini.
Anifah yang ditemui di lobi Parlimen turut mengakui menerima banyak tawaran, tetapi tidak mengendahkannya.
"Yang penting masalah rakyat Sabah mesti diambil berat, yang saya kisah pada masa ini adalah untuk mengutarakan hal bagi kepentingan rakyat," katanya.
Anifah berkata, tindakannya membangkitkan masalah rakyat Sabah di Parlimen disalah anggap kononnya beliau mahu melompat ke parti pembangkang.
"Ini disalah anggap. Adalah lebih baik untuk saya suarakan masalah rakyat Sabah kerana jika tidak, rakyat akan tanya apa yang kita lakukan untuk mereka.
"Apa yang kita mahu ialah kerajaan memberi perhatian, tetapi malangnya ia diketepikan. Isu kita tidak diberi tumpuan tapi timbul isu lompat melompat pula.
"Jangan bimbang mengenai kita akan lompat parti, tapi bimbang rakyat yang akan melompat (sokong parti pembangkang). Kalau masalah rakyat diambil berat, soal lompat tidak akan timbul," katanya.
Bung Mokhtar juga mengakui didatangi pembangkang yang bertanya sama ada berminat untuk melompat parti, tidak lama selepas pilihan raya umum lalu di Sabah.
Bagaimanapun, katanya, tiada tawaran wang atau jawatan dibuat dan tiada perjumpaan susulan kerana beliau menyatakan tidak berminat bertukar parti.
Abdul Ghapur pula berkata, sesiapa saja boleh melompat parti jika mahu berbuat demikian jika tidak berpuas hati, tetapi beliau tidak akan berbuat demikian.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menafikan parti itu menawarkan wang, sebaliknya hanya menjanjikan pakej kemudahan pendidikan dan projek pembangunan untuk Sabah dan Sarawak.
Beliau mendakwa ini adalah masa terbaik untuk bersama pembangkang bagi memajukan Sabah dan Sarawak.
0 comments:
Post a Comment