+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 15, 2008

Terengganu tak terima baki RM3b: MB

Berita Harian

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu hanya menerima RM4.3 bilion peruntukan daripada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKPP) yang dimasukkan ke dalam bajet negeri selama empat tahun, bermula pada 2004.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata baki RM3 bilion daripada RM7.3 bilion yang dilaporkan dibayar Petronas, tidak diterima dan tidak pernah dimasukkan dalam bajet negeri yang dibentangkan selepas Barisan Nasional (BN) memerintah semula Terengganu.

Katanya, beliau sudah bertanya mengenai wang royalti itu kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan diberitahu bahawa kerajaan negeri hanya menerima RM4.3 bilion.


"Kita tidak tahu ke mana RM3 bilion lagi dibelanjakan dan mungkin wang itu digunakan bagi membiayai kos pembinaan projek Persekutuan yang dilaksanakan di negeri ini.


"Malah, kerajaan negeri juga terpaksa membelanjakan wang royalti bagi membiayai 50 peratus kos pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan kita tidak tahu kos akhir apabila projek itu siap," katanya ketika dihubungi selepas mengadakan mesyuarat Exco di Cyberjaya, semalam.

Selepas mengadakan mesyuarat itu, beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu dan malam tadi menghadiri Program Bersama Menteri di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Akhbar sebelum ini melaporkan pembinaan LPT fasa dua dari Jabor, Kemaman ke Gemuruh, Kuala Terengganu membabitkan kos RM2.1 bilion.

Ahmad berkata, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut ke mana perginya baki duit royalti atau dana khas itu yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan rakyat negeri ini.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Amirsham A Aziz bahawa Petronas membayar RM26.7 bilion royalti minyak kepada Kerajaan Persekutuan dan tiga kerajaan negeri dari 2004 hingga 2007.

Amirsham berkata, sebanyak RM13.4 bilion dibayar kepada Kerajaan Persekutuan, Terengganu (RM7.3 bilion), Sabah (RM1.2 bilion) dan Sarawak RM4.9 bilion).

April lalu akhbar turut melaporkan Ahmad meminta Kerajaan Persekutuan menyerahkan semula hak pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan negeri yang dikenali sebagai DKKP bagi membolehkan ia digunakan untuk membiayai pelbagai projek pembangunan untuk rakyat.

Ahmad berkata, penyerahan semula hak pengurusan wang royalti minyak sebanyak lima peratus, yang ditarik balik pada 2000 ketika pentadbiran Pas, akan membolehkan kerajaan negeri merancang sendiri projek sesuai dengan keperluan tempatan.

Nilai wang royalti minyak itu dianggarkan RM1 bilion setahun. Kementerian Kewangan pada 5 September 2000 menggantikan bayaran royalti minyak lima peratus kepada Kerajaan Terengganu dengan program wang ihsan yang disalurkan melalui projek pembangunan dan bukan dibayar kepada kerajaan negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata, kaedah pemberian wang ihsan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Terengganu, banyak membantu kerajaan negeri itu berjaya selama ini, malah menegaskan sudah ada kaedah diwujudkan iaitu menerusi pemberian wang ihsan yang banyak membantu membangunkan kerajaan negeri berkenaan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |