AHLI Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh memberi amaran kepada wakil rakyat yang lain supaya tidak mempersoalkan keikhlasan Ahli Parlimen dari Sabah terhadap Barisan Nasional (BN) dan berhenti bertindak bagi pihak kerajaan dalam menjawab sebarang isu mengenai Sabah.
Sambil membidas Datuk Mohamed Abdul Aziz (BN-Sri Gading) mengenai kenyataan beliau mengenai Ahli Parlimen Sabah ketika membahaskan usul terima kasih terhadap titah diraja semalam, Abdul Ghapur berkata, sepatutnya dalam BN, Ahli Parlimen tidak patut mencabar satu sama lain.
"Sri Gading masih berpemikiran penjajah, tidak terbuka. Apa yang saya titik beratkan ialah kita mahu BN diperbaiki, saya bercakap mengenai Sabah, pembangunannya, mengenai masalah pendatang tanpa izin...kenapa orang lain mahu mencabar kami," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, semalam.
Kelmarin, Mohamed menasihatkan wakil BN Sabah supaya tidak mempertikaikan pelantikan menteri oleh pucuk pimpinan dan jangan bongkak dengan kemenangan mereka pada pilihan raya umum lalu.
Abdul Ghapur berkata, setiap pandangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Sabah di Parlimen ialah untuk menyuarakan kebimbangan rakyat, terutama isu pembangunan dan pendatang tanpa izin.
"Jangan salahkan kami (membangkitkan itu) sebab kalau salahkan kami, penduduk Sabah mendesak kami berhenti daripada parti," katanya. Abdul Ghapur berkata, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut diberi masa menangani masalah di Sabah.
"Tak apa... Pak Lah mungkin sedang memikirkannya, tetapi jangan tanya Sri Gading (Mohamed) untuk menjawabnya pada kami," katanya.
Sementara itu, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Apdal menolak tanggapan Ahli Parlimen dari Sabah yang membidas kerajaan Pusat pada sidang Dewan Rakyat sebagai antiperpaduan dan anti-Semenanjung.
Katanya, mereka (Ahli Parlimen Sabah) hanya inginkan pendapat atau pandangan mereka diberi perhatian serta mendapat tindakan sewajarnya dari Kerajaan Pusat.
"Ia bukan jalan memecah belahkan perpaduan. Apa yang mereka minta ialah lebih banyak pembangunan di Sabah," katanya.
Mengenai keluhan pembahagian portfolio menteri yang kurang penting kepada Sabah, Shafie berkata: "Kita sudah biasa dalam keadaan ini. Apa yang diberi, kita terima." � Bernama
0 comments:
Post a Comment