+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, June 7, 2008

Demontrasi bantah minyak naik

Utusan Online

KUALA LUMPUR 6 Jun - Kira-kira 200 orang berhimpun di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru di sini hari ini bagi membantah kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan kelmarin.

Perhimpunan anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Ikatan Kebajikan Rakyat itu bermula selepas solat Jumaat dan berakhir 15 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman bagaimanapun berkata, tiada sebarang kekecohan timbul dan perhimpunan berlangsung dalam keadaan aman.

"Polis tidak menerima permohonan daripada mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan sebelum ini.

"Oleh itu, perhimpunan ini adalah perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel masing-masing sebanyak 78 sen dan RM1 seliter bermula semalam, yang merupakan kenaikan harga bahan api tempatan tertinggi pernah dicatatkan.

Harga baru di stesen minyak kini ialah RM2.70 seliter bagi petrol dan RM2.58 seliter bagi diesel.

Kali terakhir harga bahan api dinaikkan ialah pada 28 Februari 2006, apabila ia dinaikkan 30 sen, dengan petrol pada RM1.92 seliter dan diesel pada RM1.58 seliter.

Zulkarnain menambah, tiada tangkapan dilakukan kerana perhimpunan tersebut berlaku dalam keadaan aman kerana dikawal oleh pegawai dan anggota polis.

Menjawab soalan pemberita mengenai dakwaan pengerusi NGO berkenaan untuk mengadakan perhimpunan yang lebih besar di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), 12 Jun ini, beliau berkata, polis akan memantau hal tersebut.

Beliau juga memberi jaminan akan memantau dakwaan NGO tersebut untuk mengadakan perhimpunan sama di Masjid Kampung Baru, Masjid KLCC dan Masjid Negara pada setiap minggu selepas solat Jumaat.

Tambahnya, polis tidak akan membenarkan sebarang perhimpunan yang mampu menjejaskan ketenteraman dan keselamatan awam berlaku di mana-mana tempat.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |