Berita Harian
Oleh Anwar Hussin, Saufi Hamzah dan Tuan Nazuri Tuan Ismail
Penyusunan semula beri manfaat kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang: Shahrir
SHAH ALAM: Kerajaan tidak memperoleh keuntungan apabila memutuskan penstrukturan semula subsidi terhadap petrol dan diesel kerana lebih mengutamakan faedah yang dinikmati rakyat dalam tempoh jangka panjang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata penstrukturan semula subsidi bahan api itu dapat mengurangkan bebanan subsidi yang ditanggung kerajaan selama ini. Beliau berkata, rakyat pula memperoleh penjimatan menerusi bayaran tunai yang ditetapkan kerajaan.
"Kemarahan orang kepada saya, saya faham. Tetapi saya sendiri pun tak dapat faedah dan kerajaan tidak dapat untung.
"Malah, paling penting sekarang ialah memastikan bayaran tunai kepada pemilik kenderaan dibuat segera. Maka rakyat patut fikir begitu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Retreat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini, semalam.
Shahrir diminta mengulas mengenai demonstrasi yang dianjurkan beberapa pihak sebagai membantah kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Rabu lalu, Abdullah mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen seliter, iaitu daripada RM1.92 kepada RM2.70, manakala harga diesel dinaikkan RM1 daripada RM1.58 kepada RM2.58.
Shahrir berkata, masih ramai pengguna tidak memahami sepenuhnya pelaksanaan penstrukturan semula subsidi bahan api itu sehingga terdorong melakukan demonstrasi.
"Jangan buat demonstrasi, lepas itu minta bayaran tunai. Ini kali pertama, kita struktur semula subsidi petrol dan diesel dan kerajaan memutuskan untuk buat ini dan beri subsidi kepada pemilik kenderaan yang tak pernah berlaku sebelum ini.
"Contohnya, guna di antara 50 dan 60 liter, pengguna mendapat bayaran tunai atau bayaran lain, anda masih beli petrol pada kadar RM1.92. Bermakna penggunaan melebihi 60 liter, anda perlu membayar harga baru.
"Lebih baik bagi balik subsidi kepada pengguna kenderaan daripada beri subsidi di pam. Sebelum ini orang yang guna banyak petrol masih dapat subsidi, orang asing pun boleh dapat subsidi," katanya.
Selain itu, Shahrir yang juga Ahli MT Umno berkata, semakan bulanan terhadap harga petrol dan diesel hanya boleh dibuat apabila mendapat purata harga pada akhir setiap bulan.
"Harga bulan depan, boleh berlaku harga naik, boleh jadi sebaliknya. Saya percaya harga tak akan naik.
"Kita belum sampai sebulan, Insya-Allah, kita boleh buat sesuatu. Penting sekarang bagi kita memantau harga dunia setiap hari lepas itu dapat purata dan kena tengok apa berlaku selepas itu," katanya.
Mengenai jangkaan kenaikan harga gula, Shahrir berkata, kenaikan harga barang itu tiada kaitan dengan kenaikan harga bahan api, sebaliknya hanya dari segi harga pasaran dan keadaan bekalan.
Katanya, kerajaan sentiasa memastikan bekalan gula mencukupi supaya harga kembali pada paras stabil.
"Dalam apapun dari segi harga barang, bila ada masanya kurang bekalan, pembelian yang terlalu banyak menyebabkan kekurangan bekalan, ada kesan dari segi harga di sesetengah tempat, tapi apabila dapat menyampaikan bekalan mencukupi, keadaan itu dapat tenang balik," katanya.
0 comments:
Post a Comment