Berita Harian
BERSYUKUR: Seri Paduka bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membaca Surah Yassin sempena Hari Keputeraan Seri Paduka di Masjid Negara, malam tadi. |
Seri Paduka mahu sumber petroleum diurus dengan lebih cekap
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menyeru semua rakyat supaya bersabar dan bertindak bijak dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang berikutan kenaikan harga minyak.
Seri Paduka bertitah: “Jika perlu mungkin elok untuk kita mengubah suai gaya hidup bagi memastikan tekanan daripada masalah ini dapat dikurangkan. "Beta akur bahawa masalah kenaikan harga ini sememangnya amat menekan kehidupan rakyat. Namun beta berharap agar rakyat semua bersabar dan bertindak bijak dalam menghadapi situasi seumpama ini,” titah Seri Paduka sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong esok yang disiarkan menerusi RTM, malam tadi.
Seri Paduka mahu kerajaan terus memantau situasi itu dan mengambil segala tindakan bagi memastikan masalah dapat diatasi.
"Insya-Allah berkat kesabaran dan kebijaksanaan kita, masalah ini akan sama-sama kita atasi dan kita akan bertambah matang dan kuat untuk menjalani kehidupan seterusnya,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka juga menitahkan supaya pengurusan sumber petroleum negara diurus dengan cekap supaya kekayaan itu dapat terus diwarisi dan dinikmati oleh generasi akan datang.
Titah Seri Paduka, jika bukan dalam bentuk asalnya, hasil yang diperoleh hari ini wajar dilaburkan dalam aspek lain seperti pembangunan prasarana supaya ia turut dinikmati generasi akan datang.
"Beta khuatir dan prihatin apabila dimaklumkan bahawa menjelang 2011, import petroleum negara akan lebih tinggi daripada eksport.
"Beta berpandangan bahawa adalah tidak adil jika kurniaan Tuhan ini kita perah dan manfaatkan hasilnya dengan sepenuhnya tanpa ditinggalkan sedikitpun untuk generasi akan datang,” titah Seri Paduka.
Merujuk kepada sistem kehakiman negara, Seri Paduka mahu melihat sistem kehakiman wujud sebagai institusi yang bebas, adil dan diyakini rakyat.
Seri Paduka menyambut baik sebarang usaha yang diambil untuk memperkasakan sistem kehakiman negara, termasuk penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.
Seri Paduka turut mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Parlimen Mengenai Pencegahan Rasuah dan pengambilan lebih ramai pegawai pencegah rasuah.
Baginda juga yakin rancangan kerajaan untuk mengkaji semula Akta Percetakan dan Penerbitan Negara dapat memastikan media memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan sewajarnya.
0 comments:
Post a Comment