+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, June 7, 2008

Plaza tol 'maut' di Jelapang tutup mulai hari ini

Mstar Online

06-06-2008 10:44:41 PM

IPOH: Plaza Tol Jelapang yang terkenal dengan gelaran "plaza tol maut" ditutup hari ini serentak dengan pembukaan Plaza Tol Ipoh Utara (Arah Selatan) yang terletak 800 meter dari plaza lama itu.

Pembukaan plaza tol baru itu dirasmikan dalam satu acara ringkas pada 4 petang oleh Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed.

Plaza Tol Jelapang bagi laluan arah ke utara bagaimanapun masih berfungsi sehingga plaza tol baru Ipoh Utara (Arah Utara) dibuka tidak lama lagi.

PEMANDANGAN Plaza Tol Ipoh Utara (Arah Selatan) yang terletak 800 meter dari plaza lama.

"Plaza Tol Jelapang sedia ada (laluan ke utara) akan dialihkan ke plaza tol baru secara berperingkat bagi membolehkan projek laluan terus tanpa henti antara Ipoh (Selatan) ke Jelapang siap Oktober ini," kata Mohd Zin pada sidang akhbar selepas majlis itu.

"Kita sedia maklum tol lama tidak strategik kedudukannya...ini peringkat permulaan sebelum keseluruhan projek siap 31 Dis depan," katanya.

Beliau berkata keseluruhan projek laluan terus tanpa henti antara Jelapang dan Ipoh Selatan serta pembinaan laluan alternatif di kiri dan kanan lebuh raya sepanjang tujuh kilometer di Ipoh bagi kemudahan laluan bebas tol penduduk tempatan akan dibuka 1 Jan 2009.

Laluan di Lebuh Raya Utara Selatan antara Juru di Pulau Pinang dan Jalan Duta di Kuala Lumpur tidak lagi mempunyai plaza tol apabila projek laluan terus tanpa henti antara Jelapang dan Ipoh Selatan siap.

Projek pembinaan plaza tol baru berkenaan melibatkan kos sebanyak RM260 juta dan menurut Mohd Zin, projek berkenaan dilaksanakan sebagai usaha mengatasi masalah kemalangan yang bering berlaku di Plaza Tol Jelapang.

"Ini merupakan langkah yang diambil kerajaan untuk mengelak kemalangan yang sering berlaku di tapak lama yang terlalu hampir dengan curam menuruni terowong Menora...diharap dengan usaha ini tidak berlaku lagi kemalangan-kemalangan yang meragut nyawa di kawasan ini," katanya.

Dengan pembukaan plaza tol baru itu, kini pengguna dari arah utara akan membuat bayaran tol di plaza berkenaan sebelum meneruskan perjalanan manakala mereka yang ingin keluar ke Jelapang atau Chemor perlu keluar lencongan baru melalui Bandar Meru Raya.

"Papan tanda tunjuk arah dan amaran disediakan di lokasi-lokasi strategik. Pengguna lebuh raya dinasihati mematuhi papan tanda yang disediakan dan arah petugas lebuh raya," katanya.

Proses pembinaan plaza tol baru itu dimulakan sejak tiga tahun lalu dan tertunda beberapa kali ekoran pelbagai masalah termasuk kesukaran mengambil tanah individu dan perancangan pelan pembinaannya. - BERNAMA

PELAN penyuraian trafik untuk Plaza Tol Ipoh Utara (Arah Selatan).




0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |