+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, June 7, 2008

Yang Di-pertuan Agong Berkenan Saksikan Istiadat Mengarak Panji-panji

Bernama


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin memberi tabik hormat kepada anggota-anggota tentera di Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto:Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pagi ini berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dataran Merdeka di sini.

Istiadat sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong itu diadakan sebagai sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada baginda selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir menyaksikan istiadat itu.

Keberangkatan tiba pasangan diraja di Dataran Merdeka tepat pukul 8 pagi disambut dengan lagu Negaraku serentak dengan tembakan meriam 21 das.

Seri Paduka kemudian menaiki pentas khas untuk menerima tabik hormat pasukan kawalan kehormatan yang dianggotai pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Pada masa yang sama, lima pesawat helikopter milik ATM yang masing-masing membawa bendera Malaysia, ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang di ruang udara Dataran Merdeka untuk upacara lintas hormat.

Tuanku Mizan Zainal Abidin, dengan diiringi Panglima ATM Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, kemudian berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada pegawai dan anggota ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Istiadat mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong menyusul kemudian dengan penuh istiadat ketenteraan, dalam tempo kawad perlahan dan tempo kawad cepat.

Laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan bergema di Dataran Merdeka pada penghujung istiadat mengarak panji-panji itu.

Tuanku Mizan Zainal Abidin kemudian sekali lagi menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormatan dan lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM itu.

Iringan muzik lagu-lagu patriotik yang dimainkan Pancaragam Pusat ATM oleh anggota daripada TDM, TLDM dan TUDM, sepanjang istiadat itu berlangsung, menyerikan lagi majlis penuh warna-warni itu.

Panji-Panji adalah simbol semangat dan tradisi serta lambang kemuliaan setiap warga pasukan dan mesti dipertahankan daripada jatuh ke tangan musuh.

Sebagai tanda penghormatan kepada sesebuah pasukan, nama peperangan yang mana pasukan itu terlibat akan disulam di atas panji-panji berkenaan dan dikenali sebagai Penghormatan Perang.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |