+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, July 22, 2008

Mercedes: Terengganu sedia kemuka bukti kos selenggara Perdana V6 Executive

Mstar Online

22-07-2008 11:36:55 PM

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu sedia mengemukakan bukti terperinci kos perkhidmatan dan kerosakan kereta Proton Perdana V6 Executive, yang telah digunakan sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri sebelum ini.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar, kerajaan negeri tidak mampu membiayai lagi kos selenggaraan kenderaan berkenaan kerana sejak mula digunakan empat tahun lepas, ia telah melibatkan perbelanjaan yang tinggi bagi tujuan tersebut.

"Misalnya, kos penyelenggaraan dua kereta tersebut mencecah RM175,229.97 yang tertinggi dan RM132,357.76 dari 2004 sehingga hari ini," menurut kenyataan itu yang dihantar kepada Bernama melalui faks di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri Terengganu terpaksa membeli 14 buah Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu kerana kereta nasional itu mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa langkah kerajaan negeri membeli 14 kereta Mercedes itu juga adalah setelah mengambil pertimbangan tentang kenaikan harga bahan api dan nilai terpakai yang tinggi untuk kereta berkenaan.

"Daripada segi ciri-ciri keselamatan, kerajaan negeri berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan Mercedes E200 Kompressor. Ini adalah penting kerana pegawai-pegawai yang menggunakan kereta ini merupakan eksekutif tertinggi dalam kerajaan dan keselamatan mereka adalah keutamaan," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menjelaskan bahawa pembelian 14 buah kereta Mercedes bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri itu adalah telus dan wajar.

Pembelian kereta untuk kegunaan pegawai tinggi kerajaan adalah telus dan tidak sekali-kali menggunakan wang royalti minyak.

Pembelian ini juga selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II) yang mensyaratkan semua kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD) sahaja.

"Kereta Mercedes E200 Kompressor ini mematuhi syarat tersebut kerana ia dipasang di Pekan, Pahang sebagai produk CKD. Kewajaran pembelian kereta ini juga berdasarkan kelasakan kereta model ini dan kos penyelenggaraannya yang rendah," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga menjelaskan bahawa Menteri Besar masih menggunakan kereta kerajaan negeri yang lama bernombor pendaftaran TAR 567 yang berusia 18 tahun dan bukan yang baru seperti dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan. BERNAMA

Read More...

Suami isteri saman Raja Petra

Malaysiakini

Jul 22, 08 5:21pm

raja petra kamaruddin

Sepasang suami isteri anggota tentera yang dinamakan dalam akuan berkanun blogger Raja Petra Kamaruddin, telah memfailkan saman fitnah terhadap pengendali lamanweb Malaysia Today itu hari ini.

Left-Kol Abdul Aziz Buyong dan isterinya Left-Kol Norhayati Hassan memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dalam saman tersebut, mereka masing-masing menuntut gantirugi RM1 juta dan - RM1 juta untuk Abdul Aziz dan RM1 juta lagi untuk Norhayati.

Di samping itu, mereka juga menuntut gantirugi teladan dan perintah mahkamah menghalang Raja Petra daripada mengulangi dakwaan terhadap mereka.

Dalam akuan berkanunnya pada 18 Jun lalu, Raja Petra telah mengaitkan pasangan suami isteri itu, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Menurut akuan berkanun tersebut, Aziz didakwa telah memasang C4 di pelbagai bahagian badan Altantuya, dengan disaksikan oleh Rosmah dan Norhayati.

Pasangan suami isteri itu mendakwa, tindakan mengaitkan mereka dengan pembunuhan tersebut berniat jahat dan merupakan fitnah terhadap mereka.

Menurut mereka lagi, akuan berkanun itu juga mendedahkan mereka kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan di mata masyarakat yang berfikiran waras.

Minggu lalu, Raja Petra ditahan dan didakwa atas tuduhan jenayah fitnah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Beliau dibebaskan dengan ikatjamin RM2,000. Kesnya akan mula didengar pada 15 Ogos depan.

Read More...

Spesimen Baru Diperlukan?


Anwaribrahimblog

DNA tidak pernah dimakan usia oleh itu tidak ada sebab spesimen baru perlu diambil dari Datuk Seri Anwar Ibrahim kata Dr Syahril Abdullah, pakar genetik lulusan Oxford dan kini bersama Unit Klinik Genetik, Makmal Genetik Molekular, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan. Ada kemungkinan pasukan forensik yang lepas telah menggunakan semua sampel yang ada jadi mereka perlukan yang baru- kerana hanya 100 mikroliter DNA sahaja yang dapat diperolehi dari setitik darah, saliva, simen, air kencing atau apa-apa dari cecair badan.

Kemungkinan lain yang disebut oleh Dr Syahril ialah sampel terdahulu mungkin telah rosak akibat tidak dijaga ataupun tidak diuruskan dengan baik oleh penjaga makmal. Beliau juga menjelaskan spesimen baru mungkin diperlukan oleh pasukan forensik ini untuk digunakan sebagai “kawalan” bagi ujian mereka.

Read More...

Anwar tak yakin perbicaraan adil

Berita Harian

Oleh Rosli Abdul Jalil dan Mohd Roji Abdullah
bhnews@bharian.com.my

BATU PAHAT: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mendakwa kerajaan sudah menetapkan hakim yang akan mengendalikan perbicaraan membabitkan kes tuduhan liwat ke atasnya.

Anwar dalam ceramah pada siri jelajahnya di sini berkata, beliau tidak percaya dengan jaminan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar kes itu akan ditangani seadilnya di mahkamah.

"Beliau (Syed Hamid) kata nak serah nasib saya pada hakim, tetapi saya dengar jika kes saya dibawa ke mahkamah, beliau sudah pilih hakim," katanya di depan kira-kira 6,000 penyokong Pakatan Rakyat di Kampung Parit Haji Salleh Ros, Parit Raja, di sini, malam kelmarin.

Anwar berkata, beliau tidak yakin dengan sistem perundangan dan kehakiman negara kerana sudah terbukti ada hakim yang tidak boleh dipercayai.

"Menteri Dalam Negeri tak bacakah laporan Suruhanjaya (kes video VK Lingam), hakim kena beli, hakim penipu, hakim makan duit rakyat, hakim dapat banglo...ini tak bacakah? Saya tak tahu macam mana jadi Menteri ni.

"Sebab itu, kita kena buat perubahan cepat kerana jika ini berterusan, siapapun tidak akan percaya dengan sistem perundangan dan kehakiman negara kita," katanya.

Beliau turut mempertahankan keengganannya memberi sampel darah untuk ujian DNA kerana mendakwa polis negara ini tidak profesional.

"Saya memang tidak akan bagi darah kerana darah itu akan disimpan polis dan budak itu (Saiful) juga kini dalam simpanan polis.

"Apa akan jadi jika darah itu atau DNA saya dicampur dengan darah budak itu, kemudian periksa darah saya dan mereka akan padankan, jahanam lagi saya," katanya.

Anwar mendakwa, keengganannya memberi sampel darah itu juga dipengaruhi penasihat beliau daripada kalangan peguam, doktor malah ulama, termasuk pemimpin negara dari seluruh dunia melarangnya berbuat demikian.

"Pakar bedah jantung dari Washington baru hubungi saya, katanya Anwar... jangan bagi sama sekali. Kemudian pakar DNA Indonesia pun bagi nasihat sama, kawan saya dari Arab malah Perdana Menteri Afrika Selatan, pun hubungi saya dan menasihatkan saya supaya jangan bagi," katanya.

Sementara itu di KUANTAN, Anwar mendakwa tindakan pihak berkuasa ingin mengambil DNA sebagai usaha untuk mengaibkannya seperti 10 tahun lalu.

Beliau menyifatkannya sebagai 'ulang tayang' peristiwa kes liwatnya dibicarakan pada 1998.

"Dia ambil darah saya, percik ke tilam, kemudian dia kata, tengok Anwar main atas tilam.

"Cuba bayangkan...terkejut saya dan Azizah (isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail), anak-anak, anak perempuan, keluarga dan satu Malaysia," katanya berucap di di Kampung Razali, Jalan Gambang dekat sini, kelmarin.

Read More...

Saiful dibayar untuk dedah, perangkap Anwar?

Mstar Online

22-07-2008 02:25:46 PM
Oleh NURUL AIN HUSSAIN

Peguam Zambri Idrus (kiri) dan bapa saudara kepada Mohd Saiful Bukhari Azlan yang hanya mahu dikenali sebagai Path berbincang sesama mereka sebelum meneruskan sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini. - fotoBERNAMA

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Mohd. Saiful Bukhari Azlan (gambar) tidak dibayar untuk membuat laporan polis terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa telah meliwatnya, kata peguamnya Zamri Idrus.

Menafikan dakwaan terhadap teori konspirasi sesetengah pihak bahawa beliau dibayar oleh pihak tertentu untuk membuat laporan polis, peguam Mohd Saiful berkata: "Itu tidak benar."

Zamri, yang mewakili bapa Mohd. Saiful, Azlan Mohd Lazim pada satu sidang akhbar hari ini, beria-ia menafikan dakwaan bahawa anak guamnya adalah seorang homoseksual.

Zamri berkata, beliau percaya dan yakin dengan kes Mohd Saiful.
Bapa saudara Mohd Saiful, yang hanya mahu dikenali sebagai "Uncle Pet", berkata gambar Mohd Saiful dengan beberapa menteri diperoleh semasa beliau menjadi pemimpin pelajar dan Mohd Saiful tidak mengenali mereka secara peribadi.

"Saya rasa kalau manamana ketua pelajar pun pasti akan mengambil gambar dengan menteri sebagai kenangan. Memang dia tidak kenal manamana (menteri)," katanya.

Bersetuju dengan pendapat Uncle Pet, Zamri berkata: "Anda boleh mengambil gambar dengan sesiapa sahaja anda suka. Gambar tidak menceritakan apa-apa. Ia hanya gambar. Dan dalam masa itu (Mohd) Saiful merupakan bekas pemimpin, ketua pelajar semasa di universiti."

Zamri, yang mengakui menemui Mohd. Saiful beberapa hari lepas, berkata anak guamnya pada masa ini "selamat" di bawah perlindungan polis dan sihat.
Beliau, bagaimanapun, enggan mendedahkan di mana Mohd Saiful berada.

"Kami tetap teruskan kehidupan. Ini kerana kita orang Islam, kita berserah kepada Allah.

"Selagi kita berserah kepada Allah, bantuan tetap akan datang. Itu sahaja," kata Uncle Pet ketika ditanya mengenai keadaan keluarganya dan bagaimana mereka menghadapi saatsaat sukar ini. BERNAMA

Read More...

Air percuma untuk miskin tegar - Pulau Pinang


GUAN ENG (kanan) bersalaman dengan Azhar selepas majlis perasmian Sidang DUN di George Town semalam.



GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memberi air percuma sehingga 30,000 liter sebulan kepada keluarga miskin tegar di negeri berkenaan.

Selain itu, keluarga yang berpendapatan di antara RM460 hingga RM1,000 sebulan, PBAPP turut menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM1,500 dalam membantu pemasangan paip.

Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas ketika menyampaikan ucapan perasmian Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-12 di sini semalam.

Menurutnya, ia adalah usaha yang diambil kerajaan negeri sejajar dengan matlamat Miskin Tegar Sifar 2008 dengan memberi penumpuan terhadap pembasmian kemiskinan bandar dan luar bandar serta penempatan semula setinggan.

Read More...

Hapuskan Tol bukan ganti sistem bayaran tol!

Tindakan Menteri Kerja Raya Mohd Zin Mohamed mengumumkan ujian sistem pembayaran tol baru pada November ini yang dinamakan Laluan Pantas PelbagaiGuna sebenarnya tidak memenuhi aspirasi rakyat. Pada masa ini isu tol masih lagi menjadi beban kepada rakyat dan cadangan memansuhkan tol melalui pengambilalihan oleh Kerajaan wajar dikaji.

Apa yang dilakukan oleh menteri ini umpama meletakan garam pada luka rakyat bagi memenuhkan kantung syarikat konsensi Tol dengan berlipat kali ganda. Sistem ini mampu mengendalikan lebih 2,000 kenderaan sejam berbanding sistem SmartTag yang hanya boleh mengendalikan 800 ke 1,000 kenderaan sejam dan peningkatan keupayaan ini juga bermakna peningkatan kepada hasil tol yang hanya dinikmati oleh konsensi tol tanpa adanya cadangan pengurangan atau pemansuhannya.

Harus diingat sekali lagi bahawa rakyat menuntut penghapusan tol bukannya pengantian kepada sistem bayaran yang lebih canggih!

——————–

BERNAMA:Sistem baru, pengguna lebuh raya mungkin tak perlu berhenti di tol?

KUALA LUMPUR: Pengguna jalan raya pada masa hadapan mungkin tidak perlu berhenti di pondok tol untuk membuat bayaran sebaliknya masih boleh berbuat demikian walaupun ketika sedang memandu pada kelajuan melebihi 100 kilometer sejam.

Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohd Zin Mohamed berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan membuat ujian sistem pembayaran tol baru pada November ini yang dinamakan Laluan Pantas PelbagaiGuna.

"Ujian ini akan dibuat di Plaza Tol Sungai Penchala (LDP)," katanya selepas menghadiri forum ‘Menglobalisasikan Profesional Muda Malaysia Perspektif Masa Depan’ di sini hari ini.

Beliau berkata sistem baru yang dibangunkan oleh sebuah syarikat dari Jepun dan mampu merekod bayaran pada kelajuan tinggi itu didapati amat berkesan apabila mampu mengendalikan lebih 2,000 kenderaan sejam berbanding sistem SmartTag yang hanya boleh mengendalikan 800 ke 1,000 kenderaan sejam.

Mohd Zin berkata sistem bayaran tol secara tunai pula hanya boleh mengendalikan 300 kenderaan sejam menyebabkan sering berlaku kesesakan di plaza tol terutama pada musim perayaan.

Beliau berkata jika sistem baru itu berkesan dan digunakan, pemandu tidak lagi perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan untuk membayar tol seperti amalan sekarang dan sekali gus mengatasi masalah kesesakan.

Sistem baru itu menggunakan teknologi gelombang mikro boleh mencatat bayaran dua kali lebih pantas walapun kenderaan bergerak laju lebih 100 km sejam, berbanding teknologi infrared yang digunakan pada sistem SmartTag sekarang, katanya.

Beliau berkata LLM berminat menggunakan sistem pantas itu yang turut digunakan di negara-negara maju seperti Australia dan Jepun bagi mengatasi masalah kesesakan di plaza tol.

Mohd Zin berkata bagaimanapun pihaknya akan mengkaji faktor kos tambahan untuk memasang sistem pengesan kesalahan trafik, selain kos tambahan penyelenggaraan yang lain termasuk keberkesanan sistem itu pada ujian November ini.

Difahamkan ujian sistem itu akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat Jepun berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zin berkata penubuhan Institut Kajian Kerja Raya telah diluluskan oleh kabinet tiga minggu lepas. BERNAMA

Read More...

Mazlan: Tiada rundingan kongsi kuasa

Malaysiakini

Jul 22, 08 11:36am

Walaupun PAS tidak menolak kepentingan muzakarah dengan Umno demi kebaikan Islam dan survival orang Melayu, tetapi tidak benar sama sekali, ada rundingan ke arah 'perkongsian kuasa' dengan Umno/Barisan Nasional, kata ahli jawatankuasa PAS pusat, Mazlan Aliman.

Sehubungan itu, beliau yang juga ketua penerangan PAS Johor dukacaita dengan pemberitaan media mengenai isu muzakaran PAS-Umno yang 'seolah-olah ada agenda memecahbelahkan perpaduan di kalangan pimpinan tertinggi PAS'.

Menurutnya, isu tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS pusat pada 8 Jun lalu dan mesyuarat khas pada 25 Jun, kedua-duanya di pejabat agung PAS di ibunegara.

Dalam mesyuarat tersebut, katanya, keputusan yang dicapai ialah:

round button type 180708 PAS kekal dan mendepani Pakatan Rakyat.

round button type 180708 PAS proaktif dalam Pakatan Rakyat bagi memperjuangkan Islam.

round button type 180708PAS mesti proaktif di peringkat negeri yang menjadi kerajaan.

round button type 180708 Kelab Penyokong PAS perlu dipertingkatkan.

PAS, katanya, tidak menolak kepentingan muzakarah dengan Umno, demi kebaikan Islam dan survival orang Melayu.

Bagaimanapun, tegasnya, adalah tidak benar sama sekali, ada rundingan yang mempunyai kecenderungan 'perkongsian kuasa' dengan Umno/Barisan Nasional.

"Bahkan dokongan PAS menerusi mandat rakyat dalam pilihanraya umum lalu, untuk memperkukuhkan persefahaman dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat, tidak pernah berubah," tegasnya dalam satu kenyataan.

"Selaku ketua penerangan badan perhubungan PAS Johor, saya ingin memaklumkan keputusan mesyuarat PAS negeri Johor pada 20 Julai lalu, mempertegaskan komitmen yang sama.

"Bahkan konvensyen PAS Johor pada 3 Ogos ini yang akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang pasti menjadi medan perwakilan untuk membahaskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat, sekaligus menolak sebarang rundingan politik dengan Umno.

"Saya menyokong kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa pimpinan PAS mesti bersatu untuk mengelak perpecahan daripada permainan golongan oportunis.

"Umno mesti selamatkan rumahtangga mereka dulu sebelum sibuk mencampuri urusan PAS!" tambahnya.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |