+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, April 4, 2008

Ahmad Shabery bidas Mahathir, ingatkan jangan biar Umno musnah

Klpos

Cetak E-mail
Oleh Bernama
Jumaat, 04 April 2008

KL: Tragedi Umno diharamkan pada 1988 semasa kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak harus dibiar berulang, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau turut menyarankan supaya Dr Mahathir berhati-hati ketika membuat sebarang kenyataan secara terbuka memandangkan parti itu dibatalkan pendaftaran dahulu kerana pelbagai kenyataan dikeluarkan secara terbuka.

"Saya rasa elok juga Tun (Dr Mahathir) lebih berhati-hati dalam kenyataan kerana kita tidak mahu kalau dulu di bawah kepimpinannya Umno mati, Umno musnah, dibatalkan pendaftaran dan mati dalam bentuk yang lain selepas ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Penerangan di Angkasapuri di sini hari ini.

"Saya bimbang Umno semakin lemas dan kelemasan itu bermula pada zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir yang mana Umno diharamkan," kata beliau.

Bercakap sebagai mengulas kritikan Dr Mahathir bahawa anggota Majlis Tertinggi pada masa ini tidak berani bersuara untuk menyampaikan mesej kepada pucuk pimpinan, Ahmad Shabery berkata bahawa pada masa kepimpinan bekas perdana menteri itu, banyak peraturan dibuat termasuk resolusi perhimpunan yang mana tidak ada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden dan beberapa peraturan lain yang menyusahkan.

"Tidak ada pertandingan selepas 1987. Tetapi sekarang beliau kata ia tidak demokratik. Semua perkara ini orang Melayu tak lupa tetapi mungkin Dr M yang lupa. Saya sedih terpaksa bercakap hal ini tetapi ingatlah keterbukaan pada zaman Pak Lah jangan pula diambil kesempatan," katanya.

Beliau berkata pada suatu ketika anggota Majlis Tertinggi tidak boleh dicabar di peringkat bahagian masing-masing dan anggota Majlis Tertinggi juga tidak boleh bertanding.

Ketua Bahagian di Kelantan pula tidak boleh ditentang yang pada ketika itu Dr Mahathir menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, katanya.

Ahmad Shabery berkata bekas presiden Umno itu juga pernah mengingatkan perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno 1997 bahawa kritikan perlu dibuat mengikut saluran parti iaitu melalui cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi tetapi bukan di luar parti.

"Itu kerana katanya kalau semua orang bercakap di luar mengkritik dan menghentam sesama sendiri, Umno boleh hancur dan saya bimbang kalau ini berlaku mungkin beliaulah orang yang boleh dianggap boleh menghancurkan Umno," katanya.

Mengenai cadangan untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa Umno yang mana agendanya untuk membincangkan prestasi Umno pada pilihan raya umum lepas, beliau berkata Tun Dr Mahathir tidak boleh membuat kesimpulan bahawa peringkat akar umbi Umno sudah marah.

"Cawangan mana yang nak buat kita tengoklah. Sebenarnya dalam pilihan raya baru-baru ini akar umbi tidak ada masalah. Orang kampung yang terbabit dalam pertanian cukup gembira kerana harga jualan seperti getah dan kelapa sawit naik cuma orang yang tinggal di bandar mengundi melawan kita," katanya.

Beliau berkata pada pilihan raya umum 1999 kemarahan sebenar (the real anger) peringkat akar umbi disuarakan kepada pucuk pimpinan iaitu Dr Mahathir tetapi beliau tidak pun mengambil langkah meletak jawatan.

Ahmad Shabery berkata dalam kebebasan bersuara, beliau juga terkilan dengan apa yang dinyatakan oleh Dr Mahathir itu sedangkan pada masa kepimpinannya (Dr Mahathir) ramai pemimpin Umno sendiri ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dilihat mengancam keselamatan negara tetapi mengancam kepimpinan beliau.

"Saya rasa perlu diingatkan dalam sejarah semasa pimpinan Tun (Dr Mahathir) lah ramai pemimpin Umno ditangkap di bawah ISA. Saya perlu sebutkan, seperti Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa menjadi Ketua Pemuda Umno, ramai ketua bahagian, Datuk Kamaruddin Mohd Noor, Datuk Kamaruddin Jaafar, Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak, " katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |