+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, April 4, 2008

Guan Eng arah penelitian dibuat berhubung pembinaan jambatan kedua P.Pinang

Mstar online

04-04-2008 03:59:40 PM


PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengarahkan beberapa pihak termasuk Unit Perancangan Ekonomi Negeri supaya meneliti langkah yang perlu diambil bagi mempercepatkan proses pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Beliau berkata arahan itu dikeluarkan berikutan janji yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada beliau dalam pertemuan mereka semalam, bahawa kerajaan pusat akan meneruskan semua projek mega yang telah dirancang di negeri ini.

"Perdana Menteri juga yakin sekiranya segala masalah berbangkit dapat diatasi segera, maka jambatan kedua itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan dan digunakan pada 1 Jan 2011.

"Berkenaan projek lain yang telah dirancang oleh kerajaan pusat untuk pembangunan di negeri ini, beliau juga telah memberikan janji yang sama," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat 20 delegasi dari Persatuan Belia Klan Lim Sedunia di pejabatnya di sini hari ini.

Pembinaan jambatan kedua tersebut yang bernilai kos RM2.7 bilion diumumkan Abdullah semasa membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan pada Mac 2006. Ia dijangka dibuka kepada orang ramai pada 2011.

Lim juga berharap projek pelebaran jambatan sedia ada dapat disiapkan mengikut jadual bagi mengurangkan masalah kesesakan di atas jambatan tersebut.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri Pelancongan Datuk Azalina Othman Said yang mahu membatalkan semua memorandum persefahaman pelancongan yang sudah terjalin di lima buah negeri yang dikuasai pembangkang, Lim berkata tindakan itu tidak selaras dengan pendirian kerajaan pusat.

"Tindakan itu bukan merupakan gambaran yang saya dapat daripada perdana menteri, di mana beliau memberi jaminan kerajaan pusat akan meneruskan segala projek pembangunan," katanya.

Dalam pengumumannya mengenai pembatalan serta merta itu berikutan pertukaran exco berkaitan pelancongan di negeri yang kini dikuasai kerajaan campuran iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan, Azalina berkata satu jawatankuasa untuk menguruskan soal pelancongan di lima negeri berkenaan akan diwujudkan di bawah Majlis Tindakan Pelancongan Negeri yang anggotanya akan dilantik kementerian tersebut tidak lama lagi.

Lim berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan sebarang program demi pembangunan sektor pelancongan di Pulau Pinang. BERNAMA




0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |