+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, April 4, 2008

Samy Vellu ingin pertahan jawatan

Mstar online

04-04-2008 08:45:23 PM

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengumumkan hari ini beliau akan mempertahankan jawatan itu bagi kali terakhir pada pemilihan parti Mac tahun depan.

Bekas Menteri Kerja Raya itu bagaimanapun berkata beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya pasti akan bertanding pada pemilihan presiden. Saya dah kata sebelum ini saya akan bersara selepas 2012.

"Tapi, saya tak akan bertanding lagi pada pilihan raya umum. Cukuplah tu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan buku ulang kaji UPSR kepada pelajar sekolah Tamil di sini.

Samy Vellu yang kalah pada pilihan raya umum lepas bagi kerusi Parlimen kawasan Sungai Siput, berkata beliau mengalu-alukan sesiapa saja yang ingin mencabar beliau bagi merebut jawatan yang telah beliau sandang selama 27 tahun itu.

"Sesiapapun boleh bertanding, saya tak mahu kata siapakah yang akan bertanding dan sebagainya. Saya akan rasa amat gembira kerana boleh melihat kekuatan mereka," katanya.

Pada pemilihan Presiden MIC 2006, Samy Vellu menang tanpa ditandingi bagi kali kesepuluh berturut-turut dan menjadikan beliau orang paling lama menyandang jawatan presiden parti itu.

Samy Vellu berkata sekiranya pilihan raya umum ke13 diadakan sebelum atau pada 2012, beliaulah yang akan memilih calon bagi mewakili parti itu.

Bagaimanapun, pemimpin MIC itu berkata kini, beliau akan menumpukan usaha ke arah membaik pulih parti itu di semua peringkat dan memulakan siri pertemuan dengan pemimpin peringkat akar umbi bulan depan.

Kata Samy Vellu, mesyuarat agung tahunan MIC dijangka diadakan pada Julai dan selepas itu, beliau akan mengambil langkah bagi menyusun semula jawatankuasa di peringkat negeri.

Beliau berkata MIC menetapkan sasaran untuk mempunyai sekurang-kurangnya 200,000 anggota muda dalam tempoh dua tahun akan datang bagi membolehkan parti itu meneruskan perjuangannya dan kekal relevan, setelah mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum bulan lepas.

"Kami mahu membaik pulih parti ini dan melihat perubahan dalam barisan kepimpinannnya," kata beliau.

Samy Vellu, 72, berkata kini beliau lebih gembira kerana dapat melakukan lebih banyak kerja dan memberi sumbangan kepada MIC.

Mengenai sekolah Tamil, Samy Vellu berkata beliau akan menulis surat kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bagi meminta kerajaan negeri memperuntukkan tanah seluas tiga ekar untuk pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK (T) Seaport di Kampung Lindungan.

Projek pembinaan sekolah berharga RM1.2 juta itu pada mulanya dijadualkan bermula Februari lepas, tetapi tidak dapat dilaksanakan apabila penyokong parti pembangkang membantahnya atas alasan tanah yang diperuntukkan seluas 0.6 hektar adalah terlalu kecil.

"Wang sudah ada, tapi kerja tak dapat dimulakan kerana penyokong mereka berkata keluasan tanah itu tidak mencukupi.

"Oleh itu, saya akan menulis surat kepada beliau (Khalid) dalam masa dua tiga hari lagi bagi meminta beliau memperuntukkan tanah yang secukupnya bagi membina sekolah berkenaan," kata samy Vellu. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |