+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, April 4, 2008

Cuepacs Diminta Jangan Kaitkan Tuntutan Dengan Hari Pekerja

Bernama

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama)-- Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam meminta Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya tidak mengaitkan tuntutan mereka terhadap kerajaan dengan sambutan Hari Pekerja dan membatalkan rancangan untuk memboikot sambutan itu.

Beliau berkata tindakan Cuepacs yang mengaitkan tuntutan mereka dengan sambutan Hari Pekerja adalah tidak wajar kerana kedua-duanya merupakan perkara yang berasingan.

"Adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa kerajaan tidak bersikap responsif terhadap tuntuan Cuepacs kerana kerajaan telah memberi kenaikan gaji kepada kakitangan awam pada tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan serantau mengenai kesihatan pekerjaan 2008 di Petaling Jaya dekat sini hari ini.

Rabu lepas Presiden Cuepacs Omar Osman berkata anggota kesatuan sekerja itu akan memboikot dua sambutan Hari Pekerja Mei depan, jika lima tuntutan mereka terhadap kerajaan tidak dipenuhi.

Beliau berkata kedua-dua sambutan Hari Pekerja itu ialah yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia melibatkan kakitangan sektor awam dan swasta pada 3 Mei dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Mei depan membabitkan anggotanya di seluruh negara.

Omar berkata tindakan ini bukan satu ugutan kerana mereka telah mengemukakan tuntutan itu sejak berapa lama dan perbincangan juga telah diadakan sebelum ini tetapi sehingga kini belum ada kata putus daripada kerajaan.

Lima tuntutan itu ialah bayaran honorarium tahun 2007 sebanyak RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan, kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pelanjutan umur persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun dan pemansuhan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), elaun kritikal dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP).

Subramaniam berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Cuepacs pada 14 April ini bagi mengenali mereka serta membina hubungan yang sihat antara kerajaan dengan kesatuan sekerja itu.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Cuepacs mahu memboikot perhimpunan Hari Pekeja tidak patut dilakukan memandangkan kerajaan sentiasa berusaha menambahbaik taraf kehidupan kakitangan awam termasuk memberi kenaikan gaji tahun lalu.

"Perkara ini tidak harus ditimbulkan kerana kerajaan tidak perlu diugut apatah lagi dengan keadaan sekarang ini Cuepacs harus menunjukkan komitmennya pada kerajaan,"katanya.

"Pada hemat saya rundingan boleh dilakukan lagi dan jangan keruhkan lagi keadaan seolah-olah kerajaan tidak prihatin terhadap tuntutan mereka.

"Ini kerajaan dah buktikan walaupun tiada bonus tetapi kenaikan gaji tahun lalu tidak dapat dinikmati oleh kakitangan swasta cuma dapat dinikmati oleh kakitangan awam," katanya selepas menghadiri majlis penyerahan keuntungan Ar-Rahnu di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata tindakan kerajaan menaikan gaji tahun lalu haruslah diterjemahkan dengan rasa bersyukur dan berterima kasih.

"Jadilah anak (Cuepacs) yang baik supaya mak bapa melihat bahawa anak yang baik ini dikasihani dan tuntutan mereka diterima. Jangan jadi anak yang nakal yang menghentak-hentak kaki ke lantai kalau tak dapat (sesuatu).

"Ibu bapa yang baik seperti kerajaan persekutuan seperti sekarang ini akan mempertimbangkan jika cara menuntut itu dapat dibuat dengan baik tanpa menggunakan ugutan," katanya.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |