+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, April 4, 2008

Tak pertahan jawatan


Berita Harian

Oleh Wan Hazmir Bakar dan Abdul Razak Raaff


MENTERI Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengadakan sidang media dan pengumuman Kad Laporan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PPIP), bersama beliau, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr.Wee Ka Siong.

Hishammuddin beri ruang muka baru terajui Pemuda Umno

PUTRAJAYA: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti, Disember depan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Pelajaran tidak menyatakan jawatan yang akan ditandingi pada pemilihan Umno nanti.


Pada sidang media di Kementerian Pelajaran di sini, Hishammuddin menjelaskan beliau membuat pengumuman itu lebih awal bagi memberi laluan kepada ahli yang ingin bertanding jawatan berkenaan, menyatakan hasrat masing-masing dan merangka perancangan untuk memimpin pergerakan itu serta memperkasakan parti.


Setakat ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir, sudah menyatakan hasrat masing-masing untuk bertanding jawatan itu dengan syarat Hishammuddin tidak mempertahankannya.

Hishammuddin berkata, Pemuda Umno kini dalam keadaan padu dan baik berbanding keadaan yang berpecah ketika beliau mula menerajuinya 10 tahun lalu. "Saya percaya selepas 10 tahun memimpin, masanya telah pun sampai untuk saya memberi laluan kepada muka baru Pemuda.

"Perkara ini sudah lama saya bincang dan fikirkan, tetapi pada masa itu saya rasa tidak sesuai untuk saya umumkan. Kini masanya sudah tiba untuk saya menyatakan pendirian saya.

"Jika Pemuda Umno masih dalam keadaan di mana mereka tidak tahu apakah perancangan saya menjelang Disember, ia akan menjadi penghalang kepada mereka untuk terus mara," katanya.

Hishammuddin, 47, menyandang jawatan Ketua Pemuda Umno selama dua penggal sejak 2000, selepas menang tanpa bertanding pada kedua-dua pemilihan parti sebelum ini. Sebelum itu, beliau memangku jawatan berkenaan pada 1999 bagi menggantikan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Ditanya apakah beliau mempunyai calon pilihan bagi menggantikannya, Hishammuddin berkata: "Saya mempunyai pilihan peribadi, tetapi biarlah saya rahsiakan."

Ditanya apakah secara tradisinya Naib Ketua akan menggantikan Ketua Pemuda Umno, beliau berkata: "Tak semestinya dalam tradisi amalan kita sekarang ini dan suara dari bawah jelas bahawa mereka yang akan menentukan."

Apabila ditanya sama ada beliau mahu Naib Ketuanya, Khairy

Jamaludin, bertanding jawatan yang dikosongkan beliau, Hishammuddin berkata:

"Saya tidak ada hak untuk memutuskan perkara itu. Saya hanya boleh buat keputusan untuk diri sendiri."

Ditanya sama ada beliau akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden atau Timbalan Presiden pada pemilihan Disember depan, Hishammuddin secara berseloroh berkata: "Itulah sebabnya saya tidak mahu umum lebih awal."

Katanya, persoalan seperti itulah yang ingin beliau elak supaya dapat menumpukan kepada usaha melakukan transformasi terhadap Umno bagi memastikan parti terus diterima rakyat.

"Proses pemilihan parti ditentukan perwakilan, bukan saya. Selepas ini saya tidak mahu lagi layan apa juga soal berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata beliau tetap Ketua Pemuda Umno sehingga hari pemilihan dan akan terus memastikan pergerakan itu melaksanakan agenda parti.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |