+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 16, 2008

Beras naik mendadak - Harga melonjak antara 10 hingga 20 peratus sejak Ahad

Utusan Online


NAIK... Pemantauan oleh FOMCA mendapati kenaikan harga beras berlaku di kawasan-kawasan bandar seluruh negara termasuk di Lembah Klang.Sebagai contoh, harga baru beras Jasmine Super Special Tempatan untuk 5kg naik kepada RM15.90 daripada RM12.90. manakala untuk kampit 10kg naik kepada RM28.80 daripada RM24.80.Untuk beras Saga Basmathi pula, kampit 5kg naik kepada RM26.90 daripada RM24.50, manakala Saga Super Special untuk 5kg naik kepada RM12.90 daripada RM10.90. - PENIAGA Hasnim Amir Rashid menyusun kampit beras di kedainya di Bandar Baru UDA, Johor Bahru, semalam.


KUALA LUMPUR 15 April – Harga beras di seluruh negara mencatatkan kenaikan mendadak antara 10 peratus hingga 20 peratus sejak Ahad lalu, dipercayai berpunca daripada peningkatan harga beras global.

Tinjauan mendapati beras Super Special 5% Tempatan jenama Jasmine naik antara RM3 hingga RM4 sekampit dengan harga terbaru RM15.90 bagi kampit 5 kilogram berbanding RM12.90 sebelum ini dan RM28.80 bagi kampit 10 kilogram berbanding RM24.80.

Pemantauan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendapati ia berlaku di kawasan bandar di seluruh negara termasuk di Lembah Klang.

Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd. Yusof Abd. Rahman berkata, peningkatan harga itu perlu dibendung segera supaya tidak membebankan rakyat.

“Kita menerima laporan mengenai wujud kenaikan ini yang didakwa peniaga berpunca daripada peningkatan harga di peringkat global,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Harga beras dunia yang kini berada pada paras AS$780 (RM2,464) setan metrik berbanding AS$360 (RM1,137) setan metrik pada akhir tahun lalu.

Harga tersebut dijangka meningkat antara AS$1,000 (RM3,160) hingga AS$1,200 (RM3,792) setan metrik dalam tempoh dua bulan akan datang kerana kesukaran memenuhi permintaan dan masalah untuk meningkatkan pengeluaran dalam masa singkat.

Kelmarin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan menambah stok beras negara yang kini sebanyak 600,000 tan metrik kerana ia hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan sahaja.

Mohd. Yusof berkata, orang ramai yang tidak mampu membeli beras mahal perlu beralih menggunakan beras gred super tempatan kerana ia dikawal oleh kerajaan.

“Tiada kenaikan terhadap beras jenis ini yang ditetapkan antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram bagi harga runcit mengikut zon,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan perlu mengambil langkah meningkatkan kuantiti beras kawalan berkenaan berikutan terdapat aduan beberapa kawasan di seluruh negara berlaku kehabisan bekalan.

“Perkara ini tidak sepatutnya terjadi kerana ia menjadi alternatif kepada orang ramai yang tidak mampu membeli beras jenis lain yang semakin meningkat harga,” katanya.

Di ALOR STAR, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusuff Ismail berkata, harga beras di negeri itu naik kira-kira RM1 hingga RM2 sejak minggu lalu.

Menurut beliau, pejabatnya menerima lebih 100 panggilan telefon daripada pengguna yang mengadu kenaikan harga beras secara mendadak.

“Ada pengguna yang mengadu bahawa dia perlu membayar RM17.50 berbanding RM15.50 untuk sekampit berat 10 kilogram.

“Tinjauan saya juga mendapati banyak pekedai mendakwa mereka terpaksa menaikkan harga berikutan terpaksa membeli beras dengan harga yang mahal daripada pemborong,” ujarnya.

Menurutnya, Kedah merupakan jelapang padi negara dan masalah kekurangan beras tidak sepatutnya berlaku di negeri itu.

Di KOTA BHARU, harga beras gred super tempatan di sekitar bandar itu meningkat sebanyak 20 sen sejak minggu lalu, menjadikan ia kini berharga RM2.50 sekilogram.

Harga beras Siam pula meningkat secara mendadak iaitu antara 30 dan 40 peratus dengan beras gred A naik daripada RM2.50 sekilogram kepada RM4 sekilogram berikutan permintaan yang semakin bertambah dan kekurangan bekalan.

Harga beras tempatan dijangka terus meningkat berikutan kebanyakan penduduk yang menggunakan beras Siam mula bertukar kepada beras tempatan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hanya sebilangan peniaga menaikkan harga beras gred super tempatan kerana bimbang dikenakan tindakan pihak berkuasa disebabkan bahan ruji itu adalah barangan kawalan.

Di KUANTAN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mendapati beras import seperti Basmathi mengalami kenaikan harga antara lima hingga 20 peratus sejak krisis pengeluaran barangan makanan itu berlaku.

Kecuali beras import, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan gred super tempatan di Pahang.

Pengarahnya, Abu Samah Shabudin berkata, orang ramai perlu faham, kerajaan hanya mengawal harga beras gred super tempatan yang mengandungi 15 peratus kandungan beras hancur dan ke bawah.

“Kita tidak mengawal harga beras import seperti jenis Basmathi,” katanya.

Di SHAH ALAM, tinjauan mendapati beras-beras import seperti Basmathi Super Special naik antara RM1 hingga RM4 sekampit.

Seorang peruncit di Seksyen 8, Nartini Mustar, berkata, beliau agak terkejut apabila melihat harga pada kampit-kampit beras yang baru sampai di kedainya tiga hari lalu naik mendadak.

Menurutnya, bagi beras Super Special 5 % Tempatan jenama Jasmin naik antara RM3 hingga RM4 sekampit dengan harga terbaru RM15.90 bagi kampit lima kilogram berbanding RM12.90 sebelum ini dan RM28.80 bagi kampit 10 kilogram berbanding RM24.80.

“Pelanggan-pelanggan juga merungut dengan kenaikan yang mendadak bagi beras jenama tersebut yang menjadi pilihan ramai,” katanya.

Bagaimanapun di Johor Bahru dan Kuching, tinjauan mendapat harga beras masih kekal pada paras biasa.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |