Kedahlanie
Wednesday, April 16, 2008
IPOH 15 April - Pakatan pembangkang antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhasrat menguasai beberapa negeri lain pada pilihan raya umum akan datang dan meninggalkan Johor kepada UMNO sebagai 'muzium'.
Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak berkata, matlamat berkenaan boleh dicapai selepas pakatan pembangkang itu berjaya menawan Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor pada pilihan raya umum lalu.
Katanya, antara negeri yang akan mereka rampas daripada Barisan Nasional (BN) dan UMNO selepas ini ialah Perlis, Terengganu dan Pahang.
''Kita akan menguasai semua negeri seperti Perlis, Terengganu dan Pahang pada pilihan raya umum akan datang dan kita mahu tinggalkan Johor kepada UMNO sebagai muzium.
''Kalau orang mahu tengok UMNO, pergilah ke Johor,'' katanya di hadapan kira-kira 50,000 hadirin pada Majlis Perhimpunan Rakyat di Stadium Perak anjuran pakatan pembangkang di sini malam tadi.
Azizan mendakwa, kejayaan Pas, DAP dan PKR mengambil alih kerajaan negeri di Kedah membolehkan rakyatnya bebas daripada pemerintahan UMNO dan membolehkan mereka hidup di bawah kerajaan baru yang lebih mesra rakyat.
Menurutnya, ia jelas terbukti apabila kerajaan campuran Pas, DAP dan PKR negeri Kedah tetap mempertahankan industri padi di negeri itu kerana ia membekalkan 53 peratus beras negara.
''Sebab itu kita buat keputusan agar projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) tidak akan dibuat di kawasan sawah padi kerana kerajaan bimbang ia akan menjejaskan bekalan beras.
''Ini membuktikan kerajaan terdahulu membawa industri itu tanpa menghiraukan kesengsaraan rakyat kerana mengambil tanah sawah yang subur seluas 1,200 hektar untuk memajukan projek itu,'' katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan negeri percaya dapat menarik pelaburan berjumlah hampir RM16 bilion apabila pelabur asing yakin dengan kestabilan politik di negeri ini.
Katanya, pelabur asing juga didapati tidak menghadapi masalah untuk melabur di negeri ini selepas pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan negeri ini.
''Selepas dua minggu dilantik sebagai Menteri Besar, saya telah menerima kunjungan pelabur dari Asia Barat, Amerika Syarikat dan Eropah yang berminat untuk melabur di sini.
''Kita juga menerima lawatan rombongan 20 ahli perdagangan antarabangsa iaitu dari Eropah, Jerman, Perancis dan beberapa negara lain yang berminat untuk melabur di negeri ini,'' katanya.
0 comments:
Post a Comment