+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 16, 2008

Dilema kepimpinan Umno

Malaysia today



Posted by Raja Petra
Wednesday, 16 April 2008

Image

NAJIB DIBALUN MUHYIDDIN DIRAGUI



KAMAL AMIR MENULIS

BERTANDANG kerumah Umno saat Abdullah Ahmad Badawi memanggil seluruh ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang mewakili Barisan Nasional dalam usaha meraih yakin untuk terus menerajui tampuk penguasaan politik kesan gelombang kebangkitan Suara Rakyat Kuasa Keramat musim pilihanraya umum 8 Mac 2008 lalu masih belum mampu memberi kesedaran dikalangan penjilat dan pengampu pimpinan Umno.

Meskipun wajah-wajah suram mantan Menteri Besar Trengganu, Perlis, Kedah dan Perak begitu nyata hilang keceriaannya, namun juak-juak yang masih memintal seribu mimpi gigih mencari kalau-kalau ada saki baki harta samunan sebagai habuan apabila cerita pemilihan dalam parti Umno hujung tahun ini dijadikan modal basa basi agar terjelma kembali lagenda “Tongkang pecah yu kenyang”..

Semua orang tahu pertemuan antara wakil rakyat dan Abdullah Ahmad Badwi petang 14 April 2008 kelmarin bukan untuk bercerita tentang pertandingan merebut jawatan dalam parti sebaliknya ia merupakan kesempatan maha penting agar imam besar Islam Hadhari berpeluang mengomel dan berwasiat sebelum hadirnya gelombang Tsunami politik kedua hujung bulan ini.

Namun tindak tanduk pecacai serta parasit politik yang bertandang dan berlegar di rumah Umno masih belum serik-serik lagi menjaja mimpi disiang hari kononnya musim pemilihan pelbagai jawatan bagai menjanjikan “durian runtuh” untuk mereka.

Pada sebelah paginya telah diadakan pertemuan hati ke hati antara jawatankuasa pengurusan parti terdiri dari Dato Seri Mohd Najib, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Muhammad Hj. Muhammad Taib dan badan perhubungan Umno negeri Perak khabarnya berlaku insiden tolak menolak, tarik menarik kesan saranan sebahagian besar pimpinan dari negeri tersebut mahukan agar Abdullah Ahmad Badawi segera berundur dari anjung kuasa di Seri Perdana.

Ironisnya, selain diganyang sebegitu hebat dari pelbagai sudut, kalangan pemimpin Umno di peringkat akar umbi hanya sekadar meminta Abdullah Ahmad Badawi berundur secara sendirian kerana dirasakan sudah menjadi “libeliti” kepada parti dan kerajaan Barisan Nasional. Sedangkan semua tahu mereka inilah merupakan para penjilat, pengampu serta pembodek tersohor saat imam besar mazhab Islam Hadhari mula berkuasa empat tahun lalu.

Hari ini usahkan mahu mempertahankan batang tubuh Perdana Menteri, malahan untuk menyebut namanya juga sudah geli geleman. Cukup aib Abdullah Ahmad Badawi di mata mereka. Dalam waktu yang sama nama Dato Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai gandingan yang di yakini mampu memulihkan kembali bahtera Umno dilautan penuh bergelora mula didengungkan sebagai warisan pengganti.

Persoalannya mampukah Najib mahupun Muhyiddin menjadi juragan bahtera tersebut sedangkan di saat layar dikembangkan sudah pula terjelma pelbagai cerita. Kalangan juak-juak Muhyudin menjaja pelbagai kisah keburukkan Najib dan begitu juga sebaliknya apabila pemimpin dari Johor itu kian diasak serta dibelasah oleh penyokong Najib.

Seharusnya mereka perlu insaf dan sedar, saat usul dilafazkan agar Abdullah Ahmad Badawi segera berundur maka dengan sendirinya bererti seluruh memanda wazir yang berada dalam kabinet Perdana Menteri Imam Islam Hadhari turut terlibat melakukan perkara yang sama atas nama tanggung jawab bersama, “collective responsible”.

Usul Umno Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Perak mendesak supaya Abdullah Ahmad Badawi berundur merupakan hasrat pimpinan peringkat akar umbi. kesan hilang kepercayaan terhadap seluruh barisan kepimpinan yang diterajui oleh Imam besar Mazhab Islam Hadhari. Dalam erti kata lain, Najib serta Muhyudin sewajarnya turut diminta berundur.

Kenapa harus ada “double standard” dalam penentuan jawatan Presiden serta Majlis Tertinggi. Di mana letaknya moral pemimpin untuk dilihat berprinsip, bertanggung jawab sama berintegeriti? Disinilah bukti nyata jumud serta tidak perihatinnya kalangan parasit politik yang masih berusaha mahu meraih laba menahan lukah di kuala sungai.

Kembali menyentuh ucapan Abdullah Ahmad Badawi di majlis pertemuan bersama seluruh wakil rakyat Barisan Nasional, corak serta arus pemikirannya tetap sama di mana Presiden Umno itu tetap mengamalkan budaya “one way ticket”. Hanya dia sahaja yang betul sementara orang lain salah serta menyumbang kepada hancurnya penguasaan Umno di lima buah negeri serta terkanjalnya Barisan Nasional memperolehi dua pertiga kerusi Parlimen.

Tidak banyak perkara yang disentuh olehnya saat menyampaikan ucaptamnya selain daripada wasiat agar setiap wakil rakyat menjaga nama baik peribadi, keluarga dan parti serta sentiasa berkomunikasi dengan rakyat agar keyakinan dapat dijana kembali di hati rakyat.

Sesekali mendengar ucapan Abdullah Ahmad Badawi, membayangkan ia hanyalah sekadar wasit saat-saat akhir “sakaratul maut politik” datang menjelma. Abdullah bagaikan sudah tercium bau bakal menjelmanya gelodak kebangkitan Tsunami politik kedua menjadikan Umno tidak lagi dilihat relevan.

Mampukah Najib mempersiapkan diri menahan serangan demi serangan dari mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung pelbagai dakwaan serta tuduhan terhadapnya andai dia diberikan kesempatan menggantikan Abdullah Ahmad Badawi? Ramai kalangan pemerhati politik merasa yakin kredebeliti Najib pasti akan disiat-siat serta dilapah semahu mungkin oleh “De facto pimpinan parti Keadilan”.

Selain dari sensasi perbicaraan Razak Baginda dalam kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Sharibu membawalah dakwaan kononnya berlaku pelbagai salah guna kuasa yang dilontarkan oleh Anwar Ibrahim terhadap batang tubuh warisan Tuan Razak bernama Najib, terdapat juga beberapa persoalan anak isteri bakal menjadi modal ampuh untuk “mengepak “ serta pembalunan peribadi oleh juak-juak budak tingkat empat di Seri Perdana.

Pimpinan pembangkang khabarnya masih mempunyai beberapa bekalan peluru untuk dihadapkan terhadap batang tubuh Timbalan Perdana Menteri yang pastinya bakal lebih menggegarkan. Mampukah Najib menahan badai taufan sedemikian dahsyat terhadapnya?

Begitu juga cerita tempangnya pimpinan Muhyudin Yassin saat menerajui negeri Johor bakal didedahkan oleh kalangan juak-juak penyokong Najib sebagai usaha menghalang kemaraannya. Saat inipun sudah ada cakap-cakap kononnya Muhyuiddin hanya termampu bertahan paling lama sekadar dua tahun berlegar dilaman rumah Umno. Dapatkah diyakini kedua mereka berkemampuan mengemudi bahtera Umno kepelabuhan tenang?

Malam tadi dihadapan lebih 20,000 penyokong Keadilan dii Kelab Sultan Sulaiman, Kampong Baru, Kuala Lumpur, Anwar Ibrahim telah membuat kenyataan di hadapan para penyokongnya bahawa semakin dekatnya gelombang kebangkitan Tsunami Politik ke dua kian hampir pula gelodak “Grand Design” bakal dijelmakan

Dalam erti kata lain, Anwar Ibrahim sudahpun berkira-kira untuk mendiami Seri Perdana. Kerana itulah dia berani menyatakan tempoh hayat politik kerajaan Barisan Nasional paling lama pun bakal bertahan sekadar tiga atau empat bulan. Kenapa mantan Timbalan Perdana Menteri itu begitu berani sejak akhir-akhir ini. Fikir-fikirkanlah.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |