+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 24, 2008

Ng Yen Yen: Negeri pembangkang tidak disisihkan

Mstar Online

24-04-2008 05:31:57 PM
oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Semua program akan dijalankan seperti biasa termasuk di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Dr Ng Yen Yen.

“Tidak ada sebarang perubahan, jika masyarakat memerlukan bantuan... kita akan berikan bantuan,” katanya di sini, Khamis.

Dr Ng berkata kementeriannya akan terus memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa perlu mengambil kira faktor fahaman politik.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pegawai-pegawai Kanan Kementerian dan Agensi Peringkat Ibu Pejabat, Negeri, Daerah dan Institusi.

Konvensyen yang diadakan itu merupakan peluang pertama beliau bertemu dengan semua pengarah dan pegawai seluruh negara yang berada dibawah kementeriannya selepas memegang portfolio berkenaan selepas pilihan raya lalu.

Beliau juga mengumumkan kementeriannya akan melaksanakan ‘Program Cari’ yang bertujuan untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, orang miskin untuk diberikan bantuan sama ada dari segi kewangan, kemahiran mahupun khidmat nasihat.

“Melalui Program Cari, kita akan turun padang bagi mengumpul maklumat yang lebih terpeinci mengenai kumpulan sasaran (kementerian),” katanya.

Menurut Dr Ng, data-data yang dikumpul akan disalurkan kepada kementerian atau agensi-agensi lain yang berkaitan untuk diambil tindakan selanjutnya.

Sambil mengambil contoh bahawa tanggungjawab untuk menyediakan perumahan kepada mereka yang tidak mampu bukan berada dibawah kementeriannya, jadi maklumat berkaitan itu akan disalurkan kepada kementerian atau agensi yang terbabit.

Selain itu kerjasama erat dengan badan bukan kerajaan (NGO), akan terus diberi perhatian yang sewajarnya kerana beliau menganggap NGO adalah rakan kongsi yang baik dalam menjayakan dasar dan program kementerian.

“Kita akan susun semula semua NGO yang berada dibawah kementerian untuk memastikan perkhidmatan yang terbaik dapat dihulurkan,” ujarnya lagi.

Sepanjang tahun 2007, sebanyak RM22 juta telah diperuntukkan kepada 222 NGO diseluruh negara untuk menjalankan aktiviti.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau turut menegaskan mengenai pentingnya pelaksanaan program ‘K4K’ (komuniti untuk komuniti) sebagai langkah meningkatkan peranan komuniti dan kejiranan bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang selamat.

Katanya, peranan untuk menjaga keselamatan bukan sahaja terletak kepada anggota keselamatan semata-mata, sebaliknya komuniti juga harus memikul tanggungjawab yang sama.

Beliau juga berharap agar peranan lelaki, wanita dan institusi kekeluargaan dapat diselaraskan agar matlamat untuk mewujudkan masyarakat penyayang dapat dilaksana.

“Kita harus ingat kementerian ini bukan hanya untuk wanita, sebaliknya untuk pembangunan masyarakat serta institusi kekeluargaan,” katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |