+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 24, 2008

Tubuh suruhanjaya 'perbetul' Umno: Rais

Mstar Online

23-04-2008 07:20:53 PM

PUTRAJAYA: Kini wujud keperluan bagi Umno, yang kalah besar dalam pilihan raya umum Mac lepas, menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat sebab-sebab merosotnya sokongan terhadap parti itu, yang menjadi teras Barisan Nasional (BN).

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim, ketika membuat gesaan itu berkata, UMNO juga perlu "berubah" dalam cara ia beroperasi.

"Jika anda boleh menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk hakim, dan kini mahu membentuk suruhanjaya anti rasuah, mengapa tidak boleh dibentuk suruhanjaya untuk Umno?" kata beliau dan menambah UMNO perlu terus bergerak ke depan.

"Saya selalu kata sistem kuota mesti dihapuskan. Kewujudan terlalu banyak rangkaian pemimpin dalam Umno di peringkat negeri harus juga disemak, agar kita tidak terpaksa melayani kehendak terlalu ramai bos bila pilihan raya diadakan," kata veteran politik itu dalam temuramah dengan Bernama.

Rais, 66, merujuk kepada sistem kuota yang mensyaratkan setiap pemimpin yang ingin bertanding jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden atau anggota MT, mesti mendapat bilangan pencalonan tertentu dari bahagianbahagian Umno.

"Ini saya fikir sukar diterima oleh sesetengah pihak, kita mesti lahirkan apa yang kita percaya. Tapi, saya tidak menyalahkan sesiapa, sistemnya mesti adil," kata beliau.

Diminta mengulas desakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan menerima tanggungjawab atas prestasi merosot BN dalam pilihan raya umum itu, Rais berkata ini bukan masa untuk berbalah tetapi untuk bekerja.

"Ini masa untuk memaaf dan melupakan (yang lalu). Setiap orang punya suara hati untuk dilaksana dan diperkatakan dengan lantang.

"Saya fikir kini masanya bagi semua peringkat kepimpinan menerima dan mencintai Malaysia dan membolehkan proses kerja terlaksana," kata beliau.

Rais berkata beliau tidak menuding jari kepada sesiapa atas kekalahan itu, tetapi rakyat Malaysia "memang suka menyalahkan orang lain". BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |