+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 24, 2008

Usah tiru kaedah BN untuk bentuk Pakatan Rakyat

Harakahdaily

Maulana Purnama

Wed | Apr 23, 08 | 4:45:25 pm MYT

Apabila Pakatan Rakyat (Pakatan) menerajui lima negeri, kecenderungannya adalah meniru cara BN. Maka kalau Umno mewakili Melayu, begitulah MCA dan Gerakan mewakili Cina dan MIC mewakili India.

Jadi diikutilah cara bahawa PAS dan KeADILan mewakili Melayu, KeADILan dan DAP mewakili Cina dan India.

Fikiran seperti ini bercanggah dengan konsep ketuanan rakyat yang dijunjung Pakatan Rakyat.

Dalam konsep ketuanan rakyat, semua parti anggotanya, PAS, KeADILan DAP mewakili semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Maka PAS walaupun parti Islam tidak mewakili orang Islam semata-mata. Begitu juga DAP walaupun parti yang didominasi orang Cina tidak sama sekali mewakili orang Cina.

Semua wakil rakyat mewakili rakyat di kawasannya, dan parti-parti itu hanya platform untuk memudahkan mereka berkhidmat untuk rakyat.

Justeru fikiran cara BN mesti diubah. Dalam Pakatan Rakyat tidak timbul ketuanan Melayu, perpaduan Melayu dan kepentingan Melayu. Yang ada adalah ketuanan rakyat, perpaduan rakyat dan kepentingan rakyat. Sukar untuk memahami konsep demokratik ini kerana sudah sekian lama rakyat negara ini dikotak-kotakkan menurut kaum.

Hakikatnya Dato� Onn Jaafar, pengasas Umno tidak memperjuangkan ketuanan Melayu. Sebaliknya beliau menjunjung ketuanan rakyat walaupun istilah itu tidak digunakan. Kalau tidak masakan beliau sanggup mencadangkan supaya Umno dibuka untuk semua kaum.Dan apabila cadangannya tidak diterima, beliau menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang pelbagai kaum.

Apa yang Onn perjuangkan dalam menentang Malayan Union adalah menegaskan bahawa gagasan itu bercanggah dengan undang-undang. Ini kerana negeri-negeri Melayu bersifat naungan dan bukannya dijajah Inggeris, sebaliknya ia negeri berdaulat atas kedudukan Raja-raja Melayu.

Kedaulatan Raja-raja Melayu merupakan asas kepada negeri-negeri Melayu, terserlah dalam Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Persekutuan Malaysia.

Tetapi negara merdeka yang ditubuhkan ini adalah berasaskan kepada rakyat. Semua warganegara adalah setaraf dan tidak timbul warga negara kelas kedua atau ketiga. Semua kedudukan rakyat adalah setaraf dan saksama.

Perkataan rakyat adalah keramat dalam perjuangan kemerdekaan. Walaupun Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), parti pertama orang Melayu tidak mempunyai perkataan rakyat pada namanya, isi perjuangannya adalah rakyat.

Mulanya PKMM menyokong gagasan Malayan Union kerana menyangka ia menyatukan semua rakyat Tanah Melayu tanpa mengira negeri masing-masing. Perpaduan rakyat menjadi inti perjuangannya kerana masa itu rakyat di negara ini terbahagi menurut negeri.

Tetapi apabila ternyata Malayan Union bertujuan menjadikan Tanah Melayu sebagai tanah jajahan, parti ini menyertai Umno dalam usaha menentang Malayan Union. Bagaimanapun apabila ternyata Umno tidak berhasrat untuk memperjuangkan kemerdekaan, maka ia keluar daripada gabungan persatuan Melayu itu.

Sebaliknya PKMM bersama dengan parti Islam pertama, Hizbul Muslimin, Angkatan Pemuda Insaf (Api), Majlis Tertinggi Islam (MATA) dan Barisan Tani Semalaya (Batas) menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (Putera). Buat pertama kali istilah rakyat digunakan bagi nama gabungan badan-badan politik.

Bersama Majlis Bertindak Bersama Seluruh Malaya (AMCJA) yang dianggotai parti bukan Melayu, Putera-AMCJA menolak gagasan Persekutuan Tanah Melayu sebaliknya mencadangkan Perlembagaan Rakyat yang meletakkan konsep rakyat sebagai asas kepada Tanah Melayu merdeka. Tentunya cadangan Putera-AMCJA gagal.

Setelah PKMM dibubarkan, sebagai gantinya ditubuhkan Parti Rakyat. Ketua Api, Ahmad Boestamam menjadi ketuanya. Tetapi ketua Putera, Burhanuddin Al-Hilmi memilih untuk menjadi ketua PAS.

Parti ini asalnya adalah daripada biro agama Umno yang menyokong Onn dengan gagasan Umno dibuka pada orang bukan Melayu. Begitulah progresifnya asal-susul PAS.

Parti-parti lain yang namanya ada perkataan rakyat di Malaysia sebelum pembentukannya adalah Parti Progresif Rakyat (PPP), Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP). PPP dan SUPP kedua-duanya parti kiri, seperti Parti Rakyat.

Tetapi PPP sebelumnya dikenali sebagai Parti Progresif Perak dan amat popular di Lembah Kinta. Ia kemudian menyertai BN dan hilang sifat kirinya. Di bawah M Kayveas, ia ditukar nama kepada Parti Progresif Penduduk. Maka hilang nama rakyatnya.

Antara pengasas PAP selain daripada Lee Kuan Yew adalah Samad Ismail. Gagasan Malaysian Malaysia pada asasnya ialah memperjuangkan kesaksamaan semua rakyat negara ini. Di Malaysia ia kemudian menjadi DAP.

Parti Rakyat turut ditubuhkan di Singapura dan Brunei. Kedua-dua PRS dan PRB memegang idealisme sama dengan PRM. Parti Rakyat kemudian ditukar nama kepada Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) oleh Kassim Ahmad.

Pemimpin pertamanya, Ahmad Boestamam kemudiannya meninggalkan parti itu dan bekerja di Sarawak dengan SUPP, sebuah parti kiri yang ada perkataan rakyat sebagai namanya. SUPP kini adalah anggota BN.

Menjelang pilihan raya 1969, sebuah parti baru menggunakan nama rakyat ditubuhkan. Antara pengasasnya Syed Hussein Alattas. Namanya adalah Gerakan Rakyat Malaysia. Parti ini bermula dengan berorientasi rakyat tetapi ia kemudian menyertai BN dan tidak ketara orientasi rakyatnya lagi.

Pada pilihan raya 1986, PAS berpakat dengan PRM dalam Harakah Keadilan Rakyat (HAK), maka muncullah perkataan rakyat sebagai nama gabungan. Pada 1990, PRM bergabung dengan Semangat 46 dan DAP untuk menubuhkan apa dinamakan sebagai Gagasan Rakyat. Sekali lagi perkataan rakyat digunakan untuk menampilkan orientasinya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |