TERBARU: Wanita yang mendakwa dicabul oleh seorang bekas menteri telah menarik balik laporan polis yang dibuatnya pada 17 April 2008 yang lalu sekitar jam 7.00 petang Rabu. ----------------------------------
Difahamkan, wanita yang bertugas sebagai pelayan di kelab sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur Sentral itu berbuat demikian setelah mengakui wujudnya salah faham berhubung dengan 'gurauan' bekas menteri berkenaan.
Sumber yang layak dipercayai memberitahu Agendadaily Rabu malam wanita berkenaan juga mengakui pada ketika 'gurauan' itu berlaku dia dalam keadaan 'bad mood'.
Sumber itu juga memberitahu, pejabat Peguam Negara akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan kes tersebut dalam waktu yang terdekat.
Menurut sumber berkenaan wanita itu membuat laporan polis pada 17 April dan bukan 14 April seperti yang dilaporkan media sebelum ini.- 23/4/2008
Berita sebelum ini... Dakwaan menteri cabul… lain pula ceritanya: Ini kisah daripada mereka yang rapat dengan bekas Menteri yang didakwa mencabul. Walaupun cerita-cerita yang disebarkan memperincikan kejadian tersebut tetapi kalangan mereka yang berada di tempat kejadian tidak dapat memberikan gambaran jelas tentang apa yang berlaku.
Menurut mereka termasuk bekas pegawai menteri berkenaan, mereka tidak mendengar suara perempuan yang menjerit atau kekecohan seperti yang digambarkan.
Malah menurut seorang yang rapat dengan bekas menteri tersebut, ketika kejadian bukan sahaja teman rapat bekas menteri itu hadir tetapi salah seorang ahli keluarga Perdana Menteri ada bersama dengan bekas menteri itu.
Ahli keluarga Perdana Menteri mempunyai janji temu dengan bekas menteri berkenaan di hotel tersebut.
Sehubungan itu, apabila keluar berita yang mendakwa bekas menteri itu mencabul, ia sesuatu yang amat mengejutkan mereka.
“Bukan sahaja kita tidak melihat sebarang kejadian tetapi difahamkan laporan polis itu dibuat oleh seorang lelaki yang mendakwa teman kepada wanita pelayan berkenaan,” ujar sumber itu lagi.
Mengulas lanjut sumber itu memberitahu, bekas menteri berkenaan bersama-sama bekas pegawai dan tetamunya berada di Kelab Havana hotel berkenaan dan tempat tersebut adalah tempat terbuka.
Berdasarkan keadaan tempat berkenaan, ia adalah tempat awam serta terbuka dan dengan itu, adalah mustahil jika bekas menteri itu melakukan pencabulan dan ia tidak disedari atau dilihat oleh mereka yang berada di situ.
Ditanya apakah tindakan lanjut yang akan diambil oleh bekas menteri berkenaan, sumber itu memberitahu, difahamkan bekas menteri itu tidak menolak kemungkinan akan membuat laporan polis terhadap pihak yang berkaitan yang membuat tuduhan tersebut.
Sementara itu, bekas menteri itu yang dilaporkan berada di luar negara sebelum ini telah kembali ke tanah air tengahari Rabu. – 23/4/2008
0 comments:
Post a Comment