Sejak pertengahan bulan April lalu, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ditugaskan mengawal kediaman rasmi keluarga diraja Britain. Tugas tersebut akan berakhir pada pertengahan Jun ini.
PARA hadirin memberi tepukan gemuruh sejurus barisan pengawal keselamatan Malaysia dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berarak menuju ke Istana Buckingham, London untuk pertukaran tugas mengawal istana berusia lebih 250 tahun itu.
Dengan mengenakan pakaian istiadat dan diiringi pasukan pancaragam RAMD, mereka melangkah penuh gaya dengan hayunan tangan yang sekata. Ini sekali gus membuatkan ribuan pengunjung yang membanjiri perkarangan istana itu terpegun.
Ini adalah tugas pertama anggota keselamatan Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 1938. Seramai 122 anggota rejimen Pasukan Istiadat dipilih menjalankan tugas itu dari 18 April lalu hingga 12 Jun ini.
Kebanjiran ribuan pengunjung untuk melihat majlis pertukaran tugas itu begitu menyentuh perasaan penulis. Ini kerana negara Malaysia yang pernah dijajah oleh British diberi penghormatan yang sebegitu rupa.
Komitmen anggota RAMD yang mempamerkan gaya keperwiraan Melayu menarik perhatian para pengunjung. Masing-masing tidak melepaskan peluang merakamkan detik bersejarah yang berlangsung di hadapan Istana Buckingham yang dibina pada abad ke-17 itu.
Dari segi sejarah, kawalan di istana tersebut melibatkan anggota pasukan keselamatan negara-negara Komanwel bermula September 1916. Setakat ini negara yang diberi kepercayaan untuk memikul tugas itu ialah Kanada, Australia, Afrika Selatan, New Zealand, Sri Lanka, Pakistan, Jamaica dan ketika ini, Malaysia.
Selain menjalankan tugas mengawal kediaman rasmi diraja Britain yang mempunyai 775 bilik itu, anggota RAMD yang menjalankan Tugas Awam London turut ditugaskan mengawal Istana Windsor, Istana St. James dan Menara London. Mereka terlibat dengan tugas rejimen bersama batalion lain daripada Pasukan Pengawal Peribadi di Istana Buckingham.
Mereka menjalani latihan di padang kawat markas tentera yang terletak tidak jauh dari Istana Buckingham pada setiap pagi. Apa yang mengagumkan, ada di antara penduduk di kota London ini begitu teruja dan mengambil kesempatan melihat mereka berlatih di tepi pagar.
Dalam menjalankan tugas-tugas rasmi itu, anggota RAMD terlibat menjaga laman istana, melakukan rondaan malam, mengawal pos kawalan istana dan menjadi sebahagian daripada pasukan tindakan cepat.
|
|
Di depan Istana Buckingham, terdampar jalan merah yang kelihatan begitu teguh dan keras, dibina hasil sumbangan negara-negara yang pernah terletak di bawah jajahan British.
Berhampiran istana ini , tersergam satu tugu besar untuk memperingati Ratu Victoria yang mula-mula tinggal di situ selepas menaiki takhta pada 1837.
Jika anda ke kota London, rasanya tidak begitu sempurna jika tidak melihat keindahan bangunan Parlimen yang terletak di Westminster. Di situ juga terdapat menara Big Ben atau lebih dikenali sebagai Menara St. Stephen.
Nama Big Ben diberikan kepada loceng utama untuk Jam Besar Westminster dan loceng utama yang seberat 14.5 tan yang dibuat pada tahun 1856. Dipercayai nama Big Ben diambil sempena nama ahli tinju Benyamin Caunt, seorang peninju tersohor di Britain. Ia juga mungkin berasal daripada nama Sir Benjamin Hall.
Tidak jauh dari bangunan Parlimen ini, anda berpeluang melihat keindahan London Eye, sebuah roda observasi yang terbesar di dunia setinggi 135 meter atau 443 kaki di sebelah Sungai Thames. Ia juga dikenali sebagai Millennium Wheel yang mula beroperasi pada akhir tahun 1999.
London Eye berpusing dengan kepantasan 0.26 meter bagi setiap detik dan mengambil kira-kira 30 minit bagi setiap pusingan. Ia diapungkan di Sungai Thames.
Jika berkesempatan ke London, jangan lepaskan peluang menaiki gondola London Eye untuk melihat kota London dari udara. Harga tiketnya ialah 14.40 pound sterling (RM92.80), kanak-kanak berumur antara 5 hingga 15 tahun (RM46.40), kanak-kanak kurang 5 tahun (percuma), warga emas berumur lebih 60 tahun dan orang kurang upaya (RM70.40).
Selain itu, Jambatan Menara atau Tower Bridge yang terletak di atas Sungai Thames menjadi ikon di kota ini.
|
|
Bagi mereka yang cintakan kedamaian dan riadah, kota ketiga tersibuk di dunia selepas New York dan Tokyo ini menyediakan banyak taman untuk seisi keluarga bersantai pada hujung minggu. Antaranya ialah Green Park, Greenwich Park, Hyde Park, Kensington Park, Regent Park, Richmond Park dan St. James Park, selain Dataran Trafalgar.
Dataran Trafalgar dibina untuk memperingati Pertempuran Trafalgar pada tahun 1805. Ia memberikan kemenangan kepada Tentera Laut Diraja Britain yang menentang Napoleon. Nama terdahulunya ialah Dataran Raja William Keempat, tetapi George Ledwell Taylor mencadangkan nama Dataran Trafalgar.
St. James Park adalah taman yang tertua daripada kesemua taman diraja London di Westminster yang terletak di timur Istana Buckingham dan barat Whitehall dan Jalan Downing.
Taman-taman itu dijaga bersih. Malah, ia menjadi lokasi penduduk kota London berjemur pada musim panas.
|
|
Bagi yang 'kaki jalan', anda tidak perlu risau kerana sistem pengangkutan di negara ini dianggap bertaraf kelas pertama. Mengapa? Perkhidmatan sistem kereta api bawah tanah atau lebih dikenali sebagai tube memudahkan pergerakan anda.
Sistem ini adalah yang tertua di dunia dengan perkhidmatan pertamanya bermula pada 10 Januari 1863. Anda boleh membeli kad ala Touch N-Go ini untuk menaiki tube ke merata tempat, selain perkhidmatan teksi dan bas dua tingkat bagi kawasan dalam bandar.
Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat bersejarah boleh diterokai di negara ini. Namun, ia tidak dapat dilawati dalam tempoh waktu yang sesingkat ini.
0 comments:
Post a Comment