Mstar Online
10-06-2008 02:46:05 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
ABDULLAH Ahmad Badawi berbual dengan (dari kiri) Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zety Akhtar Aziz; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohd Yakcop dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shahrir Samad selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Membanteras Inflasi Negara di Putrajaya semalam. fotoBernama
(Dikemas kini) PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Membanteras Inflasi Negara petang tadi mengumumkan strategi-strategi tambahan bagi mengatasi kesan inflasi dan mengurangkan beban kos kenaikan minyak - yang mampu menjimatkan RM2 bilion.
Sebahagian besar daripada langkah dalam strategi yang diumumkan hari ini melibatkan penjimatan perbelanjaan kerajaan.
Strategi dan langkah yang diumumkan Abdullah ialah:
- Bayaran tunai kepada pemilik kenderaan persendirian yang layak dipercepatkan mulai Sabtu ini (14 Jun) berbanding tarikh asal 1 Julai 2008
- Kuota fleetcard lebih tinggi untuk penguasa pengangkutan awam - masih boleh membeli diesel pada harga lama RM1.43 seliter
- Kuota disel yang boleh dibeli dengan kemudahan fleetcard akan ditambah untuk memastikan tambang bagi pengangkutan awam dikekalkan.
- Senarai kenderaan yang layak untuk menerima diesel subsidi akan diperluaskan, meliputi bas pekerja dan teksi yang menggunakan petrol.
- Elaun keraian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri dikurangkan 10 peratus.
- Pakej percutian anggota Kabinet setahun sekali dihadkan dalam negeri dan rantau ASEAN manakala tempoh dibenarkan pula hanya seminggu.
- Pengurangan hotel untuk sebarang majlis kerajaan.
- Agensi-agensi awam diarah menangguhkan perbelanjaan yang masih dalam perancangan.
- Pewujudan jawatan baru kecuali jawatan tertentu dan kritikal dibekukan.
- Sewa ruang pejabat baru atau tambahan, perpindahan pejabat ke bangunan lain atau membuat pengubahsuaian pejabat sedia ada tidak dibenarkan.
- Pembelian aset termasuk kereta, perabot, komputer dan lain-lain kelengkapan pejabat yang belum komited ditangguhkan.
- Majlis dan upacara keraian seperti pembukaan pejabat, persidangan atau mesyuarat, penyampaian hadiah, perasmian bengkel atau kursus dihadkan.
- Menambah baik jaringan sosial - kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menaikkan beberapa elaun dan maklumat terperinci diumumkan dalam masa seminggu.
Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu akan menjimatkan wang negara sebanyak RM2 bilion, yang akan disalurkan untuk pembangunan rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.
"Kerajaan telah memantau keresahan rakyat yang menghadapi kesukaran susulan daripada kenaikan harga minyak.
"Walaupun kerajaan tidak mahu membebankan rakyat, keputusan yang amat sukar ini terpaksa dibuat kerana kerajaan memegang amanah untuk memastikan penggunaan sumber semula jadi negara secara berhemah, bukan sahaja untuk masa kini tetapi juga untuk generasi masa depan," kata beliau yang juga Menteri Kewangan pada sidang media di sini.
Mesyuarat berlangsung di Putrajaya bermula pukul 2.30 petang tadi dan membincangkan kesan kenaikan harga minyak di pasaran dunia serta petrol dan diesel yang diumumkan kerajaan Rabu lalu.
Majlis Membanters Inflasi Negara yang baru ditubuhkan dianggotai wakil kerajaan dan sektor swasta.
Pagi tadi Abdullah telah menyampaikan ucaptama pada Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-13 di sini.
Mengenai bayaran rebat kepada pemilik kenderaan persendirian yang layak yang sebelum ini dijadualkan mulai 1 Julai, jelas Perdana Menteri, ia dipercepatkan kepada Sabtu ini bagi mengurangkan bebanan rakyat akibat kenaikan harga minyak.
Kata beliau, pemilik-pemilik kenderaan yang telah memperbaharui cukai jalan pada April dan Mei tahun ini juga boleh mendapatkan bayaran berkenaan di pejabat pos pada tarikh berkenaan.
Maklumat terperinci mengenai prosedur berhubung perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Kerajaan turut merasai keperitan rakyat dan merasakan pucuk pimpinan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dalam menghadapi cabaran ini," kata beliau dengan merujuk kepada langkah-langkah berkenaan.
Ketika ini, elaun keraian sebulan Perdana Menteri adalah RM18,865, Timbalan Perdana Menteri (RM15,015), Menteri Persekutuan (RM12,320) dan Timbalan Menteri (RM6,000).
Abdullah berkata, langkah penjimatan perbelanjaan awam itu dibuat ekoran masalah kenaikan harga bahan api serta bahan makanan sekarang.
Merujuk kepada arahan untuk mengehadkan perjalanan ke luar negara, Abdullah berkata, ia hanya dibenarkan bagi tugas rasmi melibatkan persidangan dan mesyuarat antarabangsa yang penting sahaja atau mesyuarat di antara kerajaan.
Pegawai-pegawai yang hadir juga hendaklah kalangan mereka yang terlibat secara langsung dengan tugas yang dipertanggungjawabkan dan bilangan pegawai kementerian dan jabatan itu pula tidak melebihi tiga orang.
Menerusi arahan itu juga seorang menteri layak membawa hanya tiga pegawai kementerian semasa tugas rasmi ke luar negara manakala timbalan menteri layak membawa dua pegawai sahaja.
Pada Jumaat lalu, Abdullah berkata, kerajaan akan mengumumkan empat langkah penting awal minggu depan, kemungkinan esok, bertujuan untuk mengurangkan beban pengguna berikutan peningkatan ketara harga minyak dan tarif elektrik.
Empat langkah penting itu melibatkan langkah-langkah penjimatan oleh jabatan dan agensi kerajaan, meningkatkan jaringan keselamatan sosial bagi rakyat dalam kumpulan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik seperti ibu tunggal dan orang kurang upaya.
Selain itu, kerajaan akan menambah senarai barangan kawalan untuk mengekalkan kos yang rendah dan meningkatkan bilangan pengangkutan awam seperti bas di jalan.
Di bawah penstrukturan semula subsidi petrol, diesel dan gas, harga petrol naik sebanyak 78 sen seliter menjadi RM2.70 seliter dan diesel pula naik RM1 seliter kepada RM2.58 seliter.
Bagi mengurangkan beban kenaikan petrol dan diesel khususnya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, Kabinet bersetuju memberi bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian termasuk pemilik motosikal.
Kelmarin, harga minyak mentah dunia mengalami kenaikan tertinggi dalam sehari sebanyak AS$10.75 (RM34.93) untuk mencatat rekod baru AS$138.54 setong (RM450.25) walaupun ia menurun sedikit pada Rabu lalu.
- Pakar: Langkah bijak tambah kuota diesel
- Mekanisme tangani kenaikan harga minyak perlu libatkan rakyat miskin - Chong Eng
- Shabery: Penerangan isu minyak ke seluruh negara
- Tiga jawatankuasa ditubuhkan tangani masalah inflasi
- Terengganu potong elaun keraian exco 10 peratus
- OIC: Malaysia bangkit isu harga minyak
- PM cadang pelan tindakan baru tangani krisis tenaga
- Kos minyak: PAS syor sidang khas Dewan Rakyat
- Permintaan minyak dunia tidak banyak ubah tahun ini
- Bahap api: Kenapa rakyat Malaysia perlu bayar lebih
0 comments:
Post a Comment