+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 10, 2008

Petronas ditubuh Tun Razak untuk kekalkan harga minyak murah

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob

Tue | Jun 10, 08 | 12:28:19 pm MYT

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa mendedahkan bahawa Petronas ditubuhkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussien pada tahun 1974 bagi memastikan harga minyak di negara ini sentiasa berada pada tahap rendah sekalipun harga minyak dunia meningkat.

Dalam kes ini Petronas ditubuh untuk pastikan keuntungan daripada harga minyak yang Malaysia keluarkan itu untuk melindungi pengguna tempatan dengan harga yang murah, ujarnya dalam satu temubual dengan Harakah di sebuah hotel dekat sini semalam.

"Ini bermakna, harga minyak dunia boleh naik tetapi harga minyak negara perlu lebih rendah daripada harga minyak dunia, ini konsep yang menyebabkan Petronas ditubuhkan.

"Fungsi utama Petronas bukan semata untuk keuntungan, Petronas boleh bergerak mencari keuntungan tetapi keuntungan itu adalah mesti digunakan untuk rendahkan harga minyak Malaysia, bukan hanya untuk rekodkan keuntungan dan berbangga dengan keuntungan besar itu tetapi tak mahu gunakan wang itu untuk rakyat," ujar Husam.

Menurut Husam, Petronas hanyalah pengawal kepada sumber minyak yang sebenarnya ialah milik rakyat, dan Petronas tidak boleh kata sumber minyak dan keuntungan itu milik mereka.

Ini kerana keuntungan itu sebenarnya perlu digunakan gunakan untuk melindungi harga kerana pemilik asalnya adalah negara iaitu rakyat Malaysia, ujarnya.

Menurut Husam, keuntungan Petronas kini mencapai berlipat kali ganda lebih-lebih lagi kini Petronas berkembang di luar negara dan rizab Petronas diluar negara ialah 3.2 kali lebih tinggi jumlah 'replacement ratio dalam negara (1.8),

"Maknanya jika sekarang kita guna 1 liter, kita ada Replacement Ratio 3.2 kali ganda lagi pada kadar rizab kini," ujarnya.

Kemudian jika dilihat kepada rekod Petronas berdasarkan laporan tahunannya, hasilnya sentiasa meningkat dari setahun ke setahun, katanya.

Pada tahun 2006, keuntungan selepas cukai ialah RM43 bilion, sedangkan harga minyak dunia ketika itu ialah USD65 (satu tong), katanya.

"Sekarang harga minyak naik lebih USD130 satu tong, tentunya Petronas akan mendapat keuntungan yang lebih lagi.

"Pada tahun 2007 pula keuntungan bersih Petronas ialah 46.4 bilion.Dalam laporan tahunanya pendapatan besarnya disumbangkan oleh minyak yang telah dijual kepada orang ramai melalui stesen-stesen minyak (domestics) iaitu RM62.7 bilion pada tahun 2007.Ini bermakna minyak yang dijual Petronas kepada orang ramai menjadi sumber pendapatan terbesar Petronas," katanya.

Selain itu harga minyak Malaysia 30 peratus lebih tinggi berbanding minyak yang Petronas import kerana minyak yang dihasilkan di Malaysia ada kualiti yang lebih baik dan harga yang lebih tinggi, katanya.

"Bermakna di atas kualiti minyak ini, kita akan dapat lebihan pendapatan berbanding harga minyak yang kita beli pada pasaran dunia untuk kegunaan domestik tadi, katanya.

Ini semua membuktikan Malaysia mampu memberi subsidi kepada rakyat untuk mengekalkan harga pada kadar yang rendah dan dengan itu mengurangkan beban rakyat jelata dan membolehkan rakyat ada cukup wang untuk dipusingkan dalam ekonomi, katanya.

Ikuti kupasan lanjut wawancara Harakah dengan Naib Presiden PAS itu dalam Harakah versi cetak keluaran akan datang. - mks._

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |