+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 10, 2008

Rebat dibayar Sabtu - Bayaran RM625 boleh ditunaikan16 hari lebih awal

PUTRAJAYA 9 Jun – Bayaran rebat tunai RM625 kepada pemilik kenderaan persendirian di bawah 2000cc yang memperbaharui cukai jalan boleh dituntut di pejabat pos mulai Sabtu ini – 16 hari lebih awal daripada tarikh asal pembayaran, yang sebelum ini ditetapkan pada 1 Julai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, langkah mempercepatkan bayaran itu bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga petrol dan diesel.

“Pemilik kenderaan yang telah memperbaharui cukai jalan pada bulan April dan Mei lalu boleh mendapatkan bayaran tersebut pada Sabtu ini, di mana-mana pejabat pos.

“Maklumat terperinci mengenai prosedur berkaitan perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Membanteras Inflasi di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Dalam langkah penstrukturan semula subsidi bahan api yang diumumkan 4 Jun lalu, kerajaan memperkenalkan b ayaran rebat RM625 yang diberikan kepada pemilik kenderaan yang layak bagi mengimbangi kenaikan harga petrol dan diesel yang dinaikkan kepada RM2.70 seliter dan RM2.58 seliter.

Bayaran RM625 setahun itu hanya terhad kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc.

Pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc pula akan menerima bayaran tunai sebanyak RM150 setahun.

Bayaran tunai itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan apabila pemilik kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui cukai jalan.

Bayaran tersebut meliputi kenderaan yang cukai jalannya diperbaharui antara 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, selaras dengan keputusan kerajaan mengawal perbelanjaan awam, pemotongan sebanyak 10 peratus akan dikenakan ke atas Objek Am 20000 (Perkhidmatan dan Bekalan) dan Objek Am 30000 (Aset) di bawah Perbelanjaan Mengurus 2008.

Pada sidang akhbar hari ini, Abdullah menghuraikan secara terperinci langkah-langkah untuk menangani kenaikan harga petrol dan diesel termasuk memperketatkan perbelanjaan kerajaan.

Katanya, sebahagian besar perbelanjaan melibatkan aktiviti promosi dan kempen juga akan dipotong dengan jumlah sebenar ditentukan oleh Perbendaharaan.

Beliau berkata, pengwujudan jawatan baru perkhidmatan awam dibekukan kecuali jawatan kritikal yang membabitkan secara langsung bidang pendidikan, kesihatan dan penguatkuasaan.

Langkah tersebut, kata Perdana Menteri, juga membabitkan jawatan kritikal yang memberikan perkhidmatan kepada orang ramai khususnya bagi projek-projek yang telah siap seperti sekolah, hospital, klinik, balai polis serta jawatan yang secara langsung dapat menambah kutipan hasil negara.

Langkah penjimatan juga membabitkan larangan penyusunan semula organisasi kementerian, jabatan dan badan berkanun, kata Abdullah.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu dikecualikan jika penyusunan semula tersebut bertujuan memperkemaskan struktur organisasi tanpa melibatkan jawatan baru atau pengurangan bilangan pekerja.

Mengenai kursus, latihan dan bengkel yang dianjurkan oleh kementerian dan agensi-agensi kerajaan untuk anggotanya, Perdana Menteri berkata, ia perlu dihadkan dan diadakan dengan menggunakan kemudahan sedia ada seperti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Penggunaan kemudahan hotel hanya dibenarkan bagi mesyuarat, persidangan, seminar dan bengkel berskala antarabangsa,” kata Abdullah.

Beliau menambah, penyewaan ruang pejabat baru atau tambahan, perpindahan ke bangunan lain serta pengubahsuaian pejabat sedia tidak dibenarkan.

Perdana Menteri menegaskan, pengawalan perbelanjaan juga membabitkan penangguhan ke atas pembelian aset termasuk kereta, perabot, komputer dan kelengkapan pejabat lain yang belum komited.

“Bagi aset sedia ada, kerja-kerja penyelenggaraan hendaklah dilaksanakan secara optimum supaya menjimatkan tenaga dan mengurangkan perbelanjaan dalam tempoh jangka masa panjang.

“Perbelanjaan bagi bahan-bahan kecil keperluan pejabat termasuk bahan percetakan dan alat tulis hendaklah dikurangkan,” ujar beliau.

Abdullah juga mengingatkan sektor awam supaya mengehadkan majlis dan upacara keraian seperti pembukaan pejabat, persidangan atau mesyuarat, penyampaian hadiah serta perasmian bengkel.

Sekiranya perlu diadakan, beliau berkata, pegawai dan ketua jabatan harus memastikan majlis tersebut diadakan pada tahap yang sederhana dan tidak melibatkan perbelanjaan besar serta membazir.

“Perhiasan dan jamuan hendaklah pada tahap sederhana dan majlis seboleh-bolehnya dibuat menggunakan kemudahan sedia ada kerajaan.

“Bekalan pakaian seragam bagi majlis atau upacara pelancaran tidak dibenarkan dan pemberian cenderahati tidak digalakkan, tetapi sekiranya benar-benar perlu hendaklah dihadkan kepada buku, kraf tangan tempatan dan produk makanan tempatan,” katanya.

Beliau menambah: “Tak payahlah buat kemeja khas semata-mata untuk dipakai pada hari perasmian, satu hari sahaja. Lepas itu, baju itu dah tak boleh dipakai lagi sebab ada tulis macam-macam dan disimpan untuk kenangan sahaja.”

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |