+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, May 21, 2008

Tindakan Dr M keluar parti tak beri manfaat

Berita Harian



Hishammuddin Hussein

Keputusan bekas PM boleh keruhkan keadaan: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti tidak akan memberi sebarang manfaat termasuk kepada bekas Perdana Menteri itu sendiri seperti dilakukan datuknya, Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan bapanya Allahyarham Tun Hussein Onn yang mengambil tindakan serupa.

Beliau berkata, tindakan Dr Mahathir itu tidak wajar dan mengeruhkan lagi keadaan serta mengelirukan ahli yang mahu membina semula kekuatan parti dan bersemangat untuk bergerak ke depan.


"Secara peribadi saya sudah lalui keadaan yang sama apabila datuk saya, Datuk Onn keluar parti dan bapa saya keluar parti. Saya tengok ia tidak memanfaatkan sesiapa pun termasuk tuan punya badan.

"Lebih baik (berada) dalam parti dan buat apa yang termampu. Bila kita di luar, kekuatan sebagai satu pasukan akan terhakis," katanya yang juga Menteri Pelajaran pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pelajaran Victoria, Australia, Bronwyn Pike dan anggota delegasinya di bangunan Parlimen, semalam.

Kelmarin, Dr Mahathir yang juga ahli Umno seumur hidup mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta sehingga Abdullah meletakkan jawatan Presiden parti.Dr Mahathir menegaskan, tindakan itu diambil kerana beliau hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Umno sekarang, terutama Abdullah yang didakwanya gagal memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

Sambil melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan tindakan Dr Mahathir itu, Hishammuddin berkata, ahli Umno selama ini dididik untuk meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan individu dan dalam hal ini orang melihat isu sebenar adalah antara Dr Mahathir dengan Abdullah.

Katanya, yang penting adalah menghormati proses dalam parti supaya amalan itu diwarisi generasi akan datang kerana Umno tidak mahu cara lain dijadikan ikutan untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, semua ahli termasuk Dr Mahathir boleh memberi pandangan, tetapi tidak boleh menyekat golongan atau pemimpin muda untuk melihat ke depan bagi membina parti mengikuti cita rasa generasi muda.

"Proses peralihan kuasa tidak akan berlaku dengan tekanan dan desakan seperti ini. Sekiranya ia dibuat melalui tuntutan dan desakan seperti itu, saya percaya ia tidak akan membantu kita dalam proses peralihan kuasa secara tertib dan hormat tanpa menimbulkan ketidakstabilan bukan saja kepada parti, malah kepada negara," katanya.

Hishammuddin berkata, beliau tidak akan berputus asa memulihkan semangat ahli dan menarik generasi muda menyertai parti walaupun ada kalanya kecewa kerana menghadapi kekangan yang membantutkan usaha itu.

Katanya, pada mesyuarat exco Pemuda Umno, Jumaat ini beliau akan menggariskan apa yang perlu dilakukan supaya perjuangan pergerakan itu memenuhi cita rasa generasi muda.

Ditanya mengenai kedudukan exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir dalam pergerakan itu berikutan tindakan bapanya keluar parti, Hishammuddin berkata, tiada perbezaan kedudukan Mukhriz sekarang dengan sebelum Dr Mahathir membuat pengumuman itu.

Katanya, beliau ada menemui Mukhriz malam kelmarin di kediamannya (Hishammuddin) bagi membincangkan isu prinsip.

"Saya berjumpa Mukhriz, saya jumpa Khairy Jamaluddin (Naib Ketua Pemuda Umno)... hubungan saya dengan mereka erat," katanya.

Beliau juga percaya kedua-dua pemimpin Pemuda Umno dididik untuk mengutamakan parti, manakala Pemuda parti komponen juga menyatakan akan tetap bersama Umno.

Ditanya sama ada ramai ahli Umno akan keluar parti mengikut tindakan Dr Mahathir, Hishammuddin berkata, beliau tidak mengetahui perkara berkenaan.

Katanya, beliau juga tidak menerima laporan dakwaan kononnya 200 cawangan Umno di Johor dibubarkan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |