+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, May 27, 2008

Kerajaan digesa hapus subsidi minyak RM56b

Utusan Online

KUALA LUMPUR 26 Mei - Kerajaan digesa menghapuskan subsidi minyak yang diberikan kepada penduduk negara ini dengan jumlah subsidi keseluruhan kini mencecah RM56 bilion setahun.

Ketua Jabatan Ekonomi, London School of Economics and Political Science (LSE), Prof. Danny Quah (gambar) berkata, langkah tersebut perlu diambil bagi mengekang peningkatan kadar inflasi secara berterusan.

"Namun kerajaan harus melakukan langkah tersebut dalam beberapa peringkat atau fasa bagi membiasakan rakyat dengan kehilangan subsidi tersebut.

"Selepas subsidi ditarik balik, harga minyak sudah semestinya akan meningkat berganda-ganda dan kadar inflasi juga akan naik sama, tetapi ia merupakan kenaikan sekali sahaja berbanding dengan kenaikan secara berterusan sekiranya kerajaan terus memberikan subsidi,'' katanya ketika menyampaikan syarahan awam mengenai kenaikan dan kejatuhan subsidi di Malaysia di sini hari ini.

Penghapusan subsidi minyak yang dilakukan secara berperingkat-peringkat boleh dimulakan dengan pengurangan sebanyak 15 hingga 20 peratus bagi tempoh enam bulan pertama, tambahnya.

"Apabila subsidi dikurangkan atau dihapuskan, harga barangan akan mula melambung, oleh itu kerajaan harus mencari mekanisme lain bagi membantu golongan miskin atau memberikan pampasan dengan cara pembayaran terus kepada mereka.

"Ini bagi memastikan rakyat miskin tidak terbeban dengan kenaikan barangan keperluan. Bagi melaksanakan pembayaran pampasan, kerajaan perlu mencari maklumat tepat terhadap kedudukan pendapatan rakyat sebelum membuat sebarang pembayaran,'' jelasnya.

Kesan ketara selepas penghapusan subsidi adalah peningkatan kadar inflasi jangka pendek sebanyak lima hingga enam peratus, tetapi peningkatan mendadak itu tidak akan meningkat secara berterusan, katanya.

"Peningkatan inflasi secara mendadak akan menjadikan harga barangan di pasaran mempunyai jurang yang luas antara harga murah dan harga mahal.

"Secara tidak langsung ia akan memberitahu sistem ekonomi supaya berubah dengan meningkatkan pembelian terhadap barangan murah dan mengurangkan penggunaan barangan mahal yang pada akhirnya dapat mengimbangkan harga pasaran,'' ujarnya.

Ketika ditanya kewajaran kerajaan menghapuskan semua subsidi yang dinikmati rakyat kini, Quah berkata, kerajaan harus mengekalkan subsidi lain seperti subsidi makanan.

"Memandangkan keadaan dunia sekarang yang sedang menghadapi krisis makanan, kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat menderita dengan menghapuskan subsidi makanan atau beras,'' katanya.

Selain itu, katanya, penghapusan subsidi minyak dapat membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan dan mengurangkan masalah tidak efisien dalam pemberian subsidi.

Read More...

Ahli Politik UMNO Terengganu Cukup Lemah.

Buletin Online

PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh SM Noor
Tuesday, 27 May 2008

The image “http://buletinonline.net/images/pas/thumb/umnolemah.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

Sejarah politik Malaysia telah menyaksikan bahawa ahli-ahli politik UMNO dari Terengganu adalah diantara yang paling lemah di negara ini.

Sejak dari negara merdeka sehingga kini, rakyat Terengganu hanya mendapat satu kerusi sahaja untuk jawatan menteri penuh kerajaan pusat, samada UMNO menguasai negeri Terengganu atau pun UMNO kalah.

Berbanding dengan jiran yang paling hampir, Kelantan tetap memperolehi dua menteri penuh kerajaan pusat, walaupun telah kalah kepada PAS sejak tahun 1990.

Demikian dinyatakan oleh Tuan Haji Mohamad Draman, Timbalan Pengarah Institut Kajian Polisi (IKP) negeri Terengganu ketika dihubungi Buletin Online malam ini.

”Ahli-ahli politik UMNO sepatutnya mempunyai ‘political will’ yang tinggi dan boleh mendesak kerajaan pusat menambah kuota satu lagi jawatan menteri penuh,
”namun kelemahan mereka dalam tawar menawar kuasa politik menyebabkan rakyat Terengganu rugi.” kata Mohamad.

Selain itu, menurut beliau ‘maruah politik’ UMNO Terengganu juga begitu rendah dan tercalar, malah lebih rendah dari ahli-ahli politik UMNO dinegeri Malaysia Timur, Sabah.

Beliau berkata demikian kerana ahli-ahli parlimen dari Sabah berani bersuara di Parlimen menuntut royalti minyak ditambah dari kadar 5% yang sudah dinikmati oleh kerajaan Sabah sekarang.

”Terengganu ada tujuh ahli parlimen UMNO, termasuk seorang Menteri dan seorang Timbalan Menteri,

“tetapi malangnya tidak seorang pun yang berani bersuara menuntut semula royalti petroleum yang menjadi hak rakyat dan kerajaan negeri.” kata Mohamad sebagai mengulas isu tuntutan kembali royalti minyak kepangkuan negeri Terengganu.

”Bahkan sebenarnya UMNO Terengganu yang menyebabkan royalti tersebut ditarik dari negeri Terengganu pada tahun 2000 kerana Terengganu diperintah oleh PAS,
”sedangkan Sabah, walaupun pernah diperintah oleh parti pembangkang, ahli-ahli politik mereka lebih bijak tidak mendesak supaya kerajaan pusat menarik balik royalti,” tegas Mohamad

Mengulas tentang sikap ahli-ahli politik UMNO yang hanya membiarkan Menteri Besar bertindak sendirian didalam usaha menuntut royalti, Mohamad Draman yang juga bekas calon PAS bagi kawasan Pengkalan Berangan berkata, beliau amat kesal dengan sikap mereka.

Malaysiakini telah melaporkan bahawa beberapa bahagian UMNO Terengganu hanya menyerahkan usaha untuk mendapatkan kembali royalti petroleum negeri itu kepada Menteri Besar Datuk Mad Said.

Dalam laporan Malaysiakini menyatakan bahawa ketua-ketua penerangan UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun tidak mengetahu tentang kehilangan jumlah besar wang royalti tersebut.

Mohamad Draman berkata anggapan ahli-ahli politik UMNO bahawa wang tersebut tidak hilang tetapi mungkin disalurkan kepada projek-projek (persekutuan), menunjukkan mereka tidak peduli tentang hak rakyat dan tidak tahu prosedur perbelanjaan wang negeri dan wang persekutuan.

”Ahli-ahli politik UMNO sebenarnya tidak peduli samada wang royalti itu dikembalikan atau tidak, sebab itu mereka tidak mengambil tindakan apa-apa untuk ‘berdiri bersama-sama Menteri Besar Terengganu’, dan tidak menyokong usaha menuntut kembali royalti minyak yang digerakkan oleh NGO.” tambah Mohamad Draman

Read More...

Pemimpin Umno perlu sertai Pakatan - Presiden PAS

Siasah daily

Sunday, May 25, 2008

KUALA LUMPUR, 26 Mei: PAS mengajak para pemimpin Umno supaya membuat perubahan dengan cara baru iaitu menyertai usaha pembentukan kerajaan baru di bawah Pakatan Rakyat.


Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penyertaan para pemimpim Umno ini penting bagi memastikan tertegaknya kerajaan baru yang berasaskan kepimpinan Melayu Islam serta perpaduan dan keadilan untuk semua kaum di negara ini.

Untuk melaksanakan hasrat itu, katanya, beliau sentiasa terbuka untuk menemui mana-mana pihak bagi menyatakan hasrat PAS itu.

Abdul Hadi berkata demikian dalam kemelut peralihan kuasa yang sedang melanda negara ini sekarang ekoran pengisytiharan keluarnya bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir dari parti itu.

Bagi Abdul Hadi, parti Umno sudah sampai umur bersara dan para pemimpinnya perlu mencari pendekatan dan platfom baru.

Platform baru ini, kata beliau, akan memastikan tidak ada diskriminasi untuk negeri-negeri di pantai timur (Kelantan dan Terengganu) atau negeri-negeri di Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak.

"Kalau selama ini Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sentiasa ketinggalan di bawah kerajaan lama dan berada dalam kategori negeri-negeri miskin, walaupun mempunyai sumber yang kaya, melalui pakatan baru ini kita berharap akan dapat memperbetulkan keadaan ini," kata beliau dalam pertemuan khas dengan Siasah.

Berhubung dengan keluarnya bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir dari parti itu, Abdul Hadi berkata, tindakan itu membayangkan kerajaan BN pimpinan Umno sememangnya sangat lemah sekarang.

"Kita bersedia untuk memberikan pentas PAS kepada Tun Dr Mahathir jika beliau mahu dan sedia juga mempertimbangkan jika beliau memohon untuk menyertai PAS," kata beliau mengulas tawaran Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar Mahathir menyertai PAS.

Menurutnya, PAS sekarang sedang menangani perkembangan baru yang berlaku dalam Pakatan Rakyat dan berusaha untuk meneguhkan lagi pakatan ini.

"Kita selalu bertemu dengan pimpinan lain dalam Pakatan. Yang terbaru kita bertemu dengan Datuk Seri Anwar dan berbincang cara-cara untuk mencapai hasrat bagi membentuk kerajaan baru di peringkat Pusat.

"Nampaknya beliau sangat yakin untuk membentuk kerajaan baru, tinggal lagi kita sedang mengkaji kesan-kesannya atas dasar dan perjuagan PAS," kata beliau.

Untuk itu, kata beliau, para pemimpin Umno perlu juga menyertai pakatan ini kerana kerajaan yang Umno bina itu sudah sampai masa untuk bersara.

Read More...

Kerajaan Selangor haram program berkaitan Islam Hadhari

Berita Harian

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengharamkan sebarang bentuk program yang mempunyai kaitan dengan Islam Hadhari mulai hari ini kerana tidak mahu konsep yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikembangkan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali ( gambar ) , berkata selaras dengan arahan itu, semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan program, termasuk khutbah yang menyentuh atau ada hubung kait dengan Islam Hadhari.

Beliau memberi alasan konsep Islam Hadhari tidak diperlukan kerana ajaran Islam yang diamalkan umat Islam di negara ini sudah lengkap dan menyeluruh membabitkan semua aspek kehidupan manusia sejagat.

"Kita tidak mahu konsep Islam Hadhari dikembangkan di negeri ini. Ini kerana, ajaran Islam yang kita amalkan sudah lengkap dan ajaran inilah yang kita mahu sandarkan untuk memerintah Selangor," katanya pada sesi penggulungan hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Pesuruhjaya Pas Selangor itu juga menafikan pemimpin Pas di negeri itu pernah berjanji untuk menutup semua pusat hiburan dan kilang arak sekiranya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri.

Beliau mencabar mana-mana pihak supaya tampil memberikan bukti yang menunjukkan ada pemimpin Pas, termasuk dirinya yang membuat janji itu kepada rakyat pada pilihan raya."Jika ada yang mendakwa saya dan ahli Pas lain yang membuat janji ini, sila tunjukkan bukti, " katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu berkata, Pas yang bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat mahu mentabbir Selangor dengan menegakkan prinsip sama rata dan keadilan.

"Kita tidak mahu mengamalkan pentadbiran 30 peratus komisen, 50 peratus komisen atau memberi tender kepada kroni.

"Malah kita ubah tender yang diberi secara runding terus kepada tender terbuka kerana tidak mahu membuat dosa," katanya.

Hassan mendakwa, pembinaan Jalan Sekinchan-Sabak Bernam adalah contoh pemberian tender secara runding terus yang diakui oleh Jabatan Audit Negara sebagai projek yang dibina tanpa mematuhi peraturan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ketika itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) bangkit mencelah dan memberitahu kes itu sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Projek ini ditentukan oleh JKR. Apa-apa tindakan pun mestilah kepada JKR. Bagi saya mudah saja, apa-apa cadangan yang dibuat ikut peraturan saya akan luluskan.

"Bagi kes Balkis, misalnya, jika ada salah guna kuasa atau wang sila buat laporan," katanya.

Read More...

'Ketiak' PM kecohkan Dewan Rakyat

Harakahdaily

Abu Halim Mohd Rashid

Mon | May 26, 08 | 11:24:37 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Sesi soal jawab di Dewan Rakyat kecoh seketika apabila beberapa penyokong kerajaan membantah gambaran yang diberikan Dr Mohamed Hayati Othman (PAS-Pendang) mengenai syarikat yang dilantik bagi landasan keretapi berkembar elektrik Seremban-Gemas sebagai syarikat di bawah 'ketiak' Perdana Menteri.

Ulasan spontan Dr Mohamed Hayati itu tercetus apabila dalam jawapan kepada soalan beliau, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lajim Ukin berkata projek itu diberikan kepada syarikat yang berpotensi dan bukannya berdasarkan kepada pengaruh syarikat itu.

Lajim berkata syarikat Indian Railway Construction Corporation (IRCON) yang dipilih melaksanakan projek itu adalah berdasarkan kepada kejayaan syarikat tempatan mendapatkan kontrak membina jalan raya di India.

"Siapa yang boleh berusaha sama ada dia anak Perdana Menteri ke, anak pembangkang, kalau dia ada usaha mendapatkan kontrak di luar negara apa salahnya.

"Itu tidak salah," katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mohamed Hayati mengemukakan soalan mengenai peningkatan kos projek daripada RM8 bilion kepada 16 bilion disebabkan projek timbal balas yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang berkait rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudiannya meminta anggota Parlimen tidak lagi menggunakan perkataan yang kurang sesuai semasa persidangan berlangsung.

Terdahulu, menjawab pertanyaan daripada Dr Mohamed Hayati juga, Lajim berkata kos keseluruhan projek berkenaan ialah RM16.935 bilion iaitu RM12.485 bilion bagi laluan Ipoh-Padang Besar dan RM3.45 bilion untuk laluan Seremban-Gemas sementara jumlah penempatan semula setinggan kedua-dua projek sehingga Oktober 2007 ialah 1,607 keluarga.

Read More...

Tarik balik subsidi minyak golongan berkemampuan

Utusan Online

KUALA LUMPUR 25 Mei – Kerajaan dicadangkan menarik balik subsidi minyak daripada golongan berkemampuan agar peruntukan itu dapat digunakan sepenuhnya untuk memberi subsidi kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, ia adalah antara mekanisme yang boleh dilaksanakan bagi menangani kesan kenaikan harga minyak dunia yang semakin meruncing sekarang.

Dengan cara itu, katanya, golongan berpendapatan sederhana dan rendah tidak akan terjejas akibat situasi tersebut.

“Kerajaan tidak boleh berterusan memberi subsidi kepada semua golongan kerana ini akan menyebabkan negara menerima kesan ekonomi yang teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai skim subsidi baru yang akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat ini sebagai usaha menangani kesan kenaikan melambung harga minyak di pasaran dunia sekarang.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, skim baru itu akan tetap mengambil kira kepentingan rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Ia ekoran harga minyak mentah dunia yang terus meningkat mencecah paras ketinggian baru melebihi AS$135 (RM432) setong semalam, berikutan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan dan peningkatan permintaan global.

Ramon berkata, cara tersebut juga akan dapat mengatasi ‘kebocoran’ dalam pemberian subsidi harga minyak negara yang juga perlu ditangani segera oleh kerajaan.

“Subsidi yang tinggi di Malaysia menyebabkan penyeludupan minyak berleluasa dan akhirnya negara yang menerima kesan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu skim yang benar-benar kukuh dalam pemberian subsidi kepada pengguna.

Katanya, antara yang boleh dilaksanakan ialah dengan menggunakan maklumat pendapatan pengguna bagi menentukan mereka layak atau tidak untuk membeli minyak pada harga subsidi.

“Kelayakan subsidi kepada pengguna boleh ditentukan dengan mengenal pasti pendapatannya. Jika dia mampu, maka tidak perlu subsidi tetapi bagi yang kurang berkemampuan, mereka layak mendapat harga subsidi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga harus mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi ‘kebocoran’ dalam hal pemberian subsidi minyak memandangkan harga bahan itu di negara ini lebih murah berbanding negara jiran yang lain.

Katanya, subsidi secara berterusan akan meningkatkan ruang untuk kegiatan penyeludupan kerana wujudnya peluang menjual minyak subsidi pada harga yang tinggi di negara-negara jiran.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |