+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, November 10, 2008

Polis hina lagu ‘Negaraku’ - MP Ketereh

Suara Keadilan

oleh Masdar R Arifudin

PETALING JAYA, 10 November (SK) - Lagu kebangsaan yang dinyanyikan pada jam 10 malam oleh rakyat Malaysia yang berhimpun di Dewan Sivik Petaling Jaya di sini, gagal dihormati oleh polis.

Dalam kejadian tangkapan 24 orang dalam perhimpunan itu, kira-kira 400 orang sedang menyanyikan lagu negaraku, diserang oleh sekumpulan pihak polis tanpa menunggu Lagu Kebangsaan tamat.

Perhimpunan itu diadakan sempena ulangtahun pertama Perhimpunan 100,000 rakyat Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) setahun lalu.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh, Ab Aziz Ab Kadir, lagu Negaraku merupakan lambang penghormatan kepada negara dan polis seharusnya menghormati peserta yang tekun menyanyikan lagu Kebangsaan negara.

Aziz turut memprotes cara polis menyuraikan perhimpunan itu yang disifatkan sebagai keterlaluan dan ganas.

Menurutnya, Polis sengaja memprovokasi peserta semata-mata untuk menghalalkan tindakan mereka.

Aziz juga kesal dengan tindakan polis menghalang tugas wartawan apabila menahan mereka dan hanya membebaskannya dua jam kemudian termasuk wartawan Suara Keadilan Rusnizam Mahat.

Beliau berkata, rakyat seharusnya diberikan ruang kebebasan untuk menyuarakan pendapat seperti yang dijamin dalam perlembagaan. - msh

Read More...

Polis surai perhimpunan, kira-kira 24 ditahan

Malaysiakini

Nov 9, 08 10:21pm

bersih 1st year anniversary pj vigil arrest 111108 lotusAnggota polis anti-rasuah bertindak menyuraikan kira-kira 300 orang yang berhimpun di Pusat Sivik Petaling Jaya malam ini.

Pihak polis mula bertindak ketika mereka sedang menyanyikan lagu Negaraku dan bersedia untuk beredar. Sebelum itu, mereka mendengar ucapan ringkas dari beberapa ahli politik.

0rang ramai berjalan menuju ke pusat tersebut sejurus selepas jam 9.30 malam, selepas pihak polis mengarahkan mereka bersurai dari Padang Timur, kira-kira satu kilometer dari situ,. Mereka hadir di padang itu untuk menyertai majlis memasang lilin.

Ketika orang ramai berkumpul di Pusat Sivik itu, sepasukan anggota polis anti-rusuhan dan trak meriam air tiba di situ.

Sejurus kemudian, anggota polis mula menyuraikan orang ramai dengan menggunakan perisai mereka.

bersih 1st year anniversary pj vigil arrest 111108 tony puaDalam keadaan tersebut, polis menahan ahli Parlimen PJ Utara dari DAP, Tony Pua, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San serta kira-kira 22 orang lain. Turut ditahan ialah juruvideo Malaysiakini Shukri Mohamad.

"Saya sedang merakam gambar trak meriam air apabila seorang anggota polis mengarahkan saya berhenti berbuat demikian, Dia mengarahkan saya menyerahkan kamera dan pita rakaman. Saya berpusing dan beredar dari situ apabila saya ditahan," kata Shukri ketika dihubungi.

Menurut saksi, Pua dikasari dan ditolak masuk ke dalam Black Maria. Anggota polis juga dilihat mengejar orang ramai hingga ke dalam sebuah restoran yang terletak di hadapan Pusat Sivik tersebut.

Majlis pasang lilin

Mereka yang ditahan, dibawa ke balai polis PJ. Sekumpulan kecil berhimpun di luar balai sebagai tanda sokongan terhadap mereka yang ditahan, sambil diawasi oleh sepasukan anggota polis anti-rusuhan.

bersih 1st year anniversary pj vigil arrest 111108 singing negarakuSebelum ini, majlis memasang lilin anjuran Bersih malam ini dihalang oleh pihak polis yang berkeras meminta mereka yang menyertai perhimpunan itu bersurai.

Majlis tersebut dijadual bermula jam 9.30 malam di Padang Timur yang terletak berdepan dengan Amcorp Mall, Petaling Jaya.

Bagaimanapun, pihak polis telah mengadakan sekatan di jalan-jalan menuju ke tempat berkenaan seawal jam 7 malam.

Dan apabila hampir jam 9.30 malam, pihak polis meminta orang ramai yang berhimpun di kawasan itu supaya bersurai.

Orang ramai kemudiannya bergerak menuju ke arah Amcorp mall, di mana mereka dan pihak polis masing-masing "tunggu dan lihat".

bersih 1st year anniversary pj vigil arrest 111108 rpk ronnie tony balaAntara yang hadir ialah Raja Petra Kamaruddin yang baru dibebaskan oleh mahkamah dari tahanan ISA, Exco kerajaan Selangor Ronnie Liu dan peguam Harris Ibrahim.

Dan kemudiannya pada jam 9.30 malam, pihak penganjur memberitahu orang ramai di situ supaya bersurai bagi mengelak sebarang masalah dengan pihak polis.

Mereka beredar selepas menyanyikan lagu Negaraku.

Sebahagian daripada orang ramai di situ kemudiannya memutuskan untuk mengadakan perarakan mini dari padang tersebut menuju ke Dewan Sivik PJ, yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ.

Baca berita penuh

Read More...

Anwar ulangi pendirian mahu mansuhkan ISA

Mstar Online

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian Pakatan Rakyat untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) jika berpeluang mengambil alih kerajaaan persekutuan.

"Saya dengan penuh yakin dan tiada masalah sama sekali untuk menolak undang-undang yang rakus bukan hanya ISA dan AUKU, malah semua akta-akta yang menghalang perdebatan berfikir dalam masyarakat.

"Mudah-mudahan kita akan dapat lakukannya dengan kadar yang segera," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran empat buku hasil tulisan Prof. Syed Husin Ali, Timbalan Presiden Parti Rakyat Keadilan (PKR) di sini semalam.

Anwar merupakan penasihat PKR.Tegasnya, ISA perlu dihapuskan kerana akta tersebut merupakan satu undang-undang yang kejam dan zalim kerana menangkap seseorang tanpa melalui perbicaraan.

"ISA perlu dihapuskan kerana ia hanya penting kepada mereka yang berkuasa. Kuasa undang-undang juga tidak membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara," katanya.

Anwar yang pernah ditahan di bawah ISA berkata, walaupun ada perkembangan yang baik pada institusi kehakiman negara namun perubahan yang berlaku tidak begitu meyakinkan jika keseluruhan sistem dan institusi kehakiman tidak diubah dengan segera.

Beliau juga berkata ada pihak-pihak yang punya kepentingan politik cuba menggunakan kuasa yang mereka ada kerana mahukan kes liwatnya dipindahkan ke mahkamah.

"Saya lihat ada tangan-tangan tersembunyi yang memainkan peranan mahu kes saya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana mereka ada kepentingan tertentu," katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri ini turut menyentuh mengenai perkara yang termaktub dalam Perlembagaan dan beliau berpendapat perkara yang termaktubnya dalamnya tidak wajar dikhianati.

"Apa yang berlaku pada hari ini Perlembagaan sudah dipinda beratus-ratus kali sehingga maksud asalnya kian kabur dan kita sudah jauh daripada apa yang diperjuangkan pada zaman kita ingin mencapai kemerdekaan dahulu," katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ini berkatam di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat mereka membenarkan perbincangan secara bebas dan terbuka dalam pelbagai masalah dalam masyarakat termasuklah isu etnik, isu hubungan Melayu dan kaum-kaum lain.

"Kita mahu mebincangkan hal-hal ini secara terbuka dengan fakta dan ilmu-ilmu yang kita ada untuk menyelesaikan permasalahan dan mencapai matlamat yang sebenar," katanya.

Tambahnya, perkara ini berbeza dengan Umno dan Barisan Nasional yang menganggap perbincangan terbuka ini hanya akan menimbulkan pertelingkahan.

Read More...

Gaduh, mabuk lawan Shuffle

MyMetro

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Syarifah Dayana Syed Bakri

am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tarian Shuffle sepatutnya menjadi aktiviti sihat di kalangan remaja kerana selain mempamerkan kemahiran tarian kaki, ia juga baik untuk membina stamina dan kesihatan jantung.

Bagaimanapun, di kawasan siar kaki di Bukit Bintang di sini, lain pula jadinya apabila segelintir kumpulan remaja penggemar tarian berasal Ireland itu menjadikannya sebagai lesen untuk pergaulan bebas, minum arak dan bergaduh sesama sendiri.

Difahamkan, tarian itu yang popular di Australia selepas dilakukan beberapa pengubahsuaian mengikut peredaran zaman, kini begitu cepat merebak dan menambat hati remaja Melayu termasuk murid sekolah rendah sehinggakan mereka tidak segan silu menari sama ada di kawasan awam atau sekolah.

Ia juga menenggelamkan kegilaan golongan itu terhadap budaya skinhead dan punk menyebabkannya menjadi buah mulut di kalangan remaja kota sehinggakan sekitar Bukit Bintang tidak ubah seperti tapak pesta apabila golongan berusia 13 hingga 19 tahun berkumpul menyaksikan beberapa kumpulan mempersembahkan kemahiran tarian Shuffle.

Seorang remaja dikenali sebagai Daniel yang berkunjung saban minggu ke situ, mendakwa bagaimanapun terdapat beberapa kumpulan Shuffler yang tidak sebulu dan gemar bergaduh sesama mereka.

“Biasanya kumpulan ini datang setiap minggu untuk bertarung menari bagi menunjukkan siapa lebih hebat. Kadangkala pertarungan itu membawa kepada pergaduhan,” katanya.

Seorang penggemar tarian itu, Boy, 18, berkata dia mula terikut-ikut menari Shuffle selepas melihat beberapa rakannya menari dalam kelas.

Menurutnya, langkah tarian itu agak unik berikutan ia banyak bergantung pada gerak kaki yang seolah-olah seperti berlari setempat, namun dengan pelbagai langkah berbeza.

Berdasarkan maklumat di Internet, tarian Shuffle mempunyai beberapa teknik unik seperti Puppet Dance, Jump Style hinggalah teknik paling sukar yang dipanggil Hard Shuffle.

“Saya terpikat dengan tarian ini dan hampir setiap hari berlatih untuk memastikan saya mahir. Malah, saya turut mempelajari asas tarian ini melalui laman web dan video.

“Biasanya, kami gemar menari di khalayak ramai kerana ada geng lain akan cuba melawan. Apabila berlaku cabar mencabar, barulah keadaan jadi ‘panas’ dan seronok,” katanya.

Menurutnya, penari Shuffle yang tidak cukup stamina biasanya cepat letih mudah dikalahkan.

“Bagaimanapun, ada di kalangan mereka tidak puas hati kerana kalah dan nak cari gaduh. Lebih bengang apabila mak we kena usik. Akibatnya kami bergasak setiap kali terserempak dengan ahli kumpulan itu,” katanya,

Seorang lagi remaja, Mazan, 16, mendakwa tarian Shuffle hanya untuk suka-suka dan riadah.

“Ketika menari Shuffle, jantung kita akan menjadi pantas dan langkah tarian itu menyebabkan otot kaki jadi kuat.

“Namun, kalau salah cara, ada yang terseliuh kaki terutama di kalangan mereka di peringkat asas.

“Apa yang saya tahu, tarian Shuffle di sini berbeza dengan di barat kerana gaya Malaysia diubah suai,” katanya.

Mazan juga tidak menafikan ada di kalangan remaja Melayu yang minum arak sebelum menari, kononnya untuk memberi ketenangan.

“Mungkin mereka nak tunjuk hebat atau rasa dah besar,” katanya.

Pengamatan wartawan Harian Metro yang berkunjung ke tapak Shuffle itu, mendapati walaupun terdapat dua hingga tiga kumpulan mempamerkan kebolehan menari, namun lebih ramai remaja hanya sekadar berpeleseran di kawasan itu.

Mereka tidak segan silu merokok serta berpelukan antara lelaki dengan perempuan, malah ada yang tidur di kaki lima akibat keletihan kerana melepak.

Read More...

Penahanan ISA berasas fakta: PM

Berita Harian

KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan sentiasa berhati-hati dalam tindakan menahan seseorang mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Perdana Menteri berkata, sikap berhati-hati ketika membuat keputusan menahan mereka diamalkan sejak dulu lagi.

“Keputusan menahan mereka di bawah ISA mesti ada sebabnya dan bukan diambil tanpa sebarang fakta yang membolehkan tindakan itu dilaksanakan.

“Ini bukan kuasa yang boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya, ia mesti ada sebab dan fakta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas di sini, semalam.

Abdullah diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan pengendali dan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan ISA, Jumaat lalu.

Perdana Menteri juga menjelaskan kerajaan menghormati keputusan mahkamah tetapi akan membuat rayuan.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri akan membuat rayuan dalam masa terdekat ini berhubung keputusan mahkamah itu.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pihak berkuasa negara ini sentiasa berwaspada bagi memastikan keselamatan negara terkawal berikutan pelaksanaan hukuman mati ke atas tiga pengebom Bali.

Read More...

Umno Seremban gaduh: MB sifatkan kenyataan Tengku Adnan tidak adil

Mstar Online

SEREMBAN: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung, Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa Badan Perhubungan Umno negeri dan Umno Bahagian Seremban saling tidak mempercayai antara satu sama lain, sebagai tidak adil.

"Saya tidak pernah ada masalah dengan bahagian Seremban. Saya menjalankan tugas selaku Pengerusi Badan Perhubungan negeri dan saya tahu tugas yang perlu dijalankan.

"Jadi, saya anggap ia satu kenyataan peribadi dan beliau (Tengku Adnan) tidak sepatutnya membuat kenyataan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Surat Hak Milik Projek Rumah Awam Kos Rendah (PAKR) Panchor 1, Panchor 2 dan Sikamat 2A di Balai Raya Rumah Rakyat Panchor, dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tengku Adnan bahawa Ibu Pejabat Umno akan menghantar satu pasukan bagi mengendalikan mesyuarat Umno Bahagian Seremban yang ditangguhkan akibat insiden pergaduhan semalam selepas mendapati Badan Perhubungan Umno Negeri dan Umno bahagian itu saling tidak mempercayai satu sama lain.

Mesyuarat bahagian itu yang berlangsung di Kelab Golf Tuanku Ja'afar, dekat sini terpaksa ditangguhkan selepas berlaku pergaduhan dan kekecohan yang menyaksikan dua perwakilan cedera dipercayai terkena kerusi yang dibaling.

Kekecohan bermula kirakira pukul 10.30 pagi sebaik Ketua Umno bahagian itu, Datuk Ishak Ismail selesai berucap apabila Ketua Umno Cawangan Sikamat, Datuk Md Yusof Harmain Shah bangun memohon penjelasan sama ada mesyuarat itu wajar diteruskan berikutan kekeliruan berhubung status beberapa cawangan. BERNAMA

Read More...

Perwakilan Seremban bergaduh

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Nov 9, 08 12:21pm

Para perwakilan yang menghadiri mesyuarat bahagian Seremban bergaduh pagi ini sehingga ia terpaksa dibatalkan.

Mereka bertindak membaling kerusi ke arah satu sama lain. Difahamkan turut menjadi sasaran ialah barisan jawatankuasa bahagian.

Kejadian tersebut turut disaksikan pengerusi jawatankuasa pemantau Umno bahagian, Seremban, Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Kejadian itu berlaku di tempat mesyuarat itu diadakan di Kelab Golf Taman Tuanku Jaafar di Seremban.

Ekoran itu, ketua bahagian berkenaan, Datuk Ishak Ismail mengambil keputusan untuk membatalkan mesyuarat tersebut.

Difahamkan ada perwakilan yang mengalami kecederaan.

Ketika dihubungi, Ishak berkata, kejadian itu berlaku apabila bekas setiausaha bahagian, Datuk Yusof Hermain Shah mempersoalkan enam cawangan belum mengadakan mesyuarat.

"Saya kemudiannya menunjukkan surat kepada Rahim bahawa enam cawangan tersebut telah mengadakan mesyuarat," katanya.

Berikutan, katanya, Rahim bersetuju mesyuarat bahagian diteruskan hari ini.

Katanya, seorang lagi - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Mustafa Salim - tidak dibenarkan oleh Majlis Tertinggi (MT) bertanding jawatan ketua bahagian itu kerana terbabit dalam politik wang.

Berikutan itu, katanya, kumpulan yang tidak puas hati dan beberapa perwakilan telah bertindak membaling kerusi ke arah perwakilan Wanita.

Keadaan itu, katanya, menjadi kelam kabut kerana perwakilan Wanita takut, menyebabkan beliau terpaksa menghubungi pihak polis.

Ishak berkata, tidak lama seperti itu 10 anggota polis dihantar ke tempat kejadian untuk menenangkan keadaan.

"Setelah melihat keadaan sedemikian, saya mengambil keputusan untuk membatalkan mesyuarat hari ini, dan menyerahkan kepada MT untuk menentukan tarikh baru," katanya.

Ishak berkata, pihak polis telah menasihatkan beliau supaya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Sementara itu, pengerusi badan perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kejadian itu tidak sepatutnya berlaku.

Sambil melahirkan rasa sedih dengan kejadian itu, Mohamad, yang juga menteri besar Negeri Sembilan, berkata beliau akan meneliti laporan penuh insiden itu daripada jawatankuasa pemantau.

"Setakat ini, saya sedang menunggu laporan jawatankuasa pemantau," katanya kepada pemberita ketika mengulas kejadian itu.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |