+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 17, 2008

ORANG ISLAM PERLU JUGA PERHATIAN

Kedahlanie

Oleh Iskandar Abdul Samad


DBKL mengambil tindakan pantas menukar tanda-tanda jalan dari yang mempunyai tulisan jawi kepada yang mempunyai tulisan Cina apabila dibantah oleh YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputih.

Walaupun ianya melibatkan kawasan YB itu, kawasan majoriti Cina, tetapi jarang sekali DBKL begitu pantas memenuhi permintaan parti-parti pembankang. Menukar papan-papan tanda jalan bukan satu perkara yang kecil. Jadi adakah ianya bertujuan untuk mendapatkan undi-undi untuk BN atau terdapat agenda politik lain? Sudah tentu penukaran itu akan menjadikan YB Teresa “heroine” kepada pengundi-pengundi Seputih dan tidak akan menguntungkan BN. Jadi kenapa dilakukan?

Saya berpendapat impak yang diharapkan bukanlah di Seputih tetapi di seluruh negara. Bukan kepada orang Cina atau masyarakat bukan Islam yang lain tetapi impak yang diharapkan adalah di kalangan orang Melayu, orang Islam.

Saya yakin tindakan itu adalah untuk menimbulkan rasa “insecure” atau tidak selamat orang Melayu. Orang Melayu hendak ditakut-takutkan. Tulisan jawi boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya. Jika tulisan Melayu boleh ditukar, perkara-perkara lain pun boleh ditukar!

Tetapi adakah orang-orang Melayu boleh ditakut-takutkan? Mungkin mereka yang berkempen di Permatang Pauh tidak merasakan begitu tetapi di peringkat akar umbi lain ceritanya.

Di Permatang Pauh, undi PKR meningkat tetapi itu sememangnya kubu kuat PKR. Bagaimana pula di kawasan yang orang Melayu yang menolak PKR atau PAS pada pilihanraya umum 8 Mac? Adakah sokongan kepada Pakatan telah meningkat di Sabak, Sg. Burung, Sg. Air Tawar, Taman Templer atau Dusun Tua?

Masih banyak masjid-masjid dan surau-surau di Selangor yang di kuasai oleh UMNO dan ini menunjukkan bahawa ianya terus mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat akar umbi.

Pada pendapat saya, kurang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat untuk menarik orang Melayu dari UMNO, sama ada di Selangor, Perak ataupun Pulau Pinang. Yang ada seperti hadiah kemasukan ke IPTA/IPTS, skim takaful warga emas dan hadiah RM100 untuk setiap bayi yang lahir adalah universal untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

Ramai yang berpendapat orang-orang Cina mendapat lebih banyak “habuan-habuan” dari kerajaan Pakatan. Lanjutan pajakan 99 tahun bagi kampung-kampung baru Cina, cukai pintu nominal bagi tokong-tokong, layanan khas bagi kilang-kilang haram dan yang terbaru pula, penganugerahan tanah oleh kerajaan Negeri Perak kepada sekolah-sekolah Cina boleh memastikan sokongan masyarakat Cina kepada Pakatan.

Masyarakat India juga mendapat perhatian khusus dari kerajaan Pakatan. Masalah kemiskinan orang India dan masalah sekolah-sekolah Tamil sedang diberi perhatian. Tidak ada lagi kuil yang akan diroboh seperti di Kg. Rimba Jaya.

Tanpa menafikan hak-hak orang Cina, orang-orang Melayu perlu juga mendapat “keistimewaan-keistimewaan” dari kerajaan Pakatan. Saya bimbang kerana ramai yang telah bertanya, “Apa yang orang Melayu dapat dari kerajaan Pakatan?”.

Sebenarnya orang-orang Melayu lebih senang merasa terancam, lebih merasa “insecure” dari orang Cina atau orang India. Mereka lebih mudah ditakut-takutkan. Mereka senang terperangkap dengan isu-isu perkauman. Kalau ada yang berkata orang Melayu sudah berubah, saya yakin ini satu dongengan sahaja. Betul mereka boleh mengundi DAP atau calon-calon bukan Melayu tetapi ini boleh bertukar dengan sekelip mata.

Ini tidak mengejutkan kerana orang Melayu adalah bangsa yang telah dijajah, telah dijadikan hamba selama lebih 500 tahun. Dari Portugis kepada Belanda, kemudian Inggeris dan Jepun, Bintang Tiga dan Inggeris kembali maka tidak hairan jika api perkauman boleh disemarakkan dengan mudah di kalangan orang Melayu. Inilah realitinya. UMNO masih dapat memenangi 18 kerusi di Selangor. UMNO mempunyai kerusi yang terbanyak di DUN Perak, lebih banyak dari DAP, PKR atau PAS bersendirian.

Saya melihat untuk mengekal kerajaan Pakatan di Selangor atau Perak, kuncinya adalah pada pengundi-pengundi Melayu yang telah menolak Pakatan pada pilihanraya umum yang lalu. Apakah agenda khusus untuk menarik mereka dari UMNO?

YB Ronnie Liew pernah berkata MCA tidak akan menang di Perak apabila Kerajaan Negeri Perak memberi tanah kepada sekolah-sekolah Cina tetapi beliau lupa tanpa undi orang Melayu, PKR dan PAS mungkin akan kalah dan kerajaan Pakatan tidak akan dapat ditubuhkan hanya dengan DAP.

Sekiranya pemberian tanah kepada sekolah-sekolah Cina tidak disusuli dengan pemberian tanah kepada sekolah-sekolah agama rakyat maka sudah tentu akan berlaku tindakbalas (backlash) dari kalangan orang-orang Melayu. UMNO begitu cekap mengeksploit isu-isu seperti ini.

Begitu juga di Selangor, walaupun bagi kebanyakan 16 kerusi wakil rakyat Melayu-Islam dimenangi dengan undi Cina tetapi jika undi-undi Melayu berubah kepada BN, 16 kerusi itu akan jatuh ke tangan BN. Ini belum dikira kerusi-kerusi PKR di mana peratusan pengundi Melayu adalah tinggi dan kemenangan PKR adalah hasil dari undi-undi Melayu.

Ada orang PAS yang berkata, kita “tarbiyyah” sahaja, melalui masjid dan surau. Tetapi “tarbiyyah” tidak dapat atau memerlukan masa untuk menyelesaikan rasa tidak puas hati orang-orang Melayu yang tidak mempunyai tanah walhal pemodal-pemodal Taiwan boleh mendapat tanah industri dengan mudah, yang menetap di rumah-rumah kos rendah yang sempit walhal warga Singapura dapat membeli banglo-banglo yang mewah, yang menghadapi masalah untuk mendapat pinjaman dari bank tetapi akan dikatakan malas apabila perniagaannya gagal atau yang menghadapi diskriminasi ketika mencari pekerjaan tetapi setiap kali mereka bersuara mereka akan dilabel sebagai ekstrim.

Sesuatu yang drastik perlu dilakukan oleh kerajaan Pakatan yang ada. Bukan sahaja orang Melayu yang masih bersama BN akan kekal bersama BN malah orang-orang Melayu yang bersama Pakatan akan turut hanyut. Orang Melayu, orang Islam juga perlu diberi perhatian.

6 Ramadhan 1429 / 6 September 2008
Iskandar Abdul Samad
Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan & ADUN Chempaka, Selangor D.E.

Read More...

Raja Petra kemuka habeas corpus

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Selepas Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok, hari ini pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin pula memfailkan permohonan habeas corpus untuk dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Notis usul bagi permohonan tersebut difailkan oleh beliau melalui firma guaman Tetuan Mathews Hun Kandiah di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Semalam Teresa, 44, memfailkan permohonan yang sama selepas beliau ditahan di bawah ISA pada 12 September lalu ekoran penglibatannya dalam mengeluarkan arahan melarang azan dilaungkan menggunakan pembesar suara di masjid dan surau.

Dalam permohonannya, Raja Petra, 58, menamakan Ketua Polis Negara sebagai responden.

Afidavit yang diikrarkan oleh isteri Raja Petra, Mable @ Marina Lee Abdullah, 54, turut dilampirkan bagi menyokong permohonan tersebut.

Mengikut afidavit tersebut, penahanan Ra- ja Petra didakwa tidak menurut undang-undang atau tanpa asas undang-undang dan fakta serta berniat jahat.

Memetik laporan akhbar, Raja Petra ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA kira-kira pukul 1.10 petang, 12 September lalu oleh sepasukan 10 anggota polis di rumahnya di Bukit Rahman Putra Sungai Buloh, Selangor.

Penahanan itu dibuat selepas polis berpuas hati bahawa beliau menghina Islam dan Nabi Muhammad melalui laman web Malaysia Today.

Sepasukan polis yang diketuai oleh Asisten Supritendan Mohd. Yusof Chem turut merampas 15 keping cakera padat dipercayai mengandungi ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan 16 naskhah buku.

Raja Petra pernah ditahan ISA pada 11 April 2001 kerana terbabit dalam gerakan reformasi menyokong Anwar melalui laman web kendaliannya, FreeAnwar.com.

Beliau juga kini sedang menghadapi tuduhan berkaitan Akta Hasutan di Mahkamah Majistret di sini dan Petaling Jaya.

Read More...

Kes bunuh Altantuya: Peguam mohon Sirul dibebas

Berita Harian

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my

Pembela dakwa wujud banyak keraguan untuk mensabitkan tertuduh

SHAH ALAM: Peguam bela tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar memohon Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan anak guamnya tanpa perlu dipanggil membela diri atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu di Puncak Alam di sini, 19 Oktober 2006.

Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar, ketika mengemukakan hujahan balasnya di akhir kes pendakwaan, semalam memohon supaya anak guamnya dibebaskan kerana wujud banyak keraguan dan persoalan dalam kes pendakwaan untuk mensabitkan tertuduh.

Beliau berkata, pendakwaan juga tersilap dalam penghujahan mereka dengan menyatakan perlakuan Sirul Azhar menunjukkan tempat kejadian adalah mengikut Seksyen 8 Akta Keterangan 1950, sedangkan mengikut peruntukan undang-undang keadaan Sirul Azhar ketika itu lebih menjurus kepada Seksyen 27 akta sama.

Kamarul turut memohon mahkamah menolak permohonan pendakwaan itu berdasarkan beberapa contoh peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam perbicaraan lalu, pendakwaan berhujah Sirul Azhar yang membawa polis untuk mencari lokasi pembunuhan Altantuya dan perlakuannya yang menunjukkan tempat kejadian bukan satu kenyataan mengikut peruntukan Seksyen 27 Akta Keterangan kerana polis sudah menemui tempat kejadian.

(Beberapa saksi dalam keterangan sebelum ini memberitahu lokasi tempat kejadian ditemui polis berdasarkan pendedahan tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri)

Kamarul berkata, jika pendedahan maklumat Sirul Azhar berhubung lokasi bunuh Altantuya tidak diklasifikasikan sebagai Seksyen 27, pendakwaan masih boleh berpegang kepada keterangan barang kemas milik mangsa ditemui di rumah tertuduh untuk mensabitkannya terhadap tuduhan.

"Kami memohon mahkamah mengambil kira bukti berdasarkan keadaan dalam kes ini bagi menentukan sama ada keterangan berhubung penemuan barang kemas mangsa di rumah tertuduh boleh diambil kira, sedangkan terlalu banyak keraguan timbul berkaitan bagaimana ia boleh berada di rumah tertuduh.

"Dari mana sebenarnya polis mendapat 'tiga anak kunci misteri' untuk membuka pintu rumah tertuduh jika keterangan dua saksi pendakwa sebelum ini menyatakan ia bukanlah kunci rumah Sirul Azhar kerana kunci yang diterima mereka lebih daripada tiga, sudah lama dan tidak berkilat.

"Jadi dari mana tiga anak kunci itu datang? Dari mana polis memperolehnya dan siapa lagi yang mempunyai akses untuk memasuki rumah tertuduh," katanya.

Perbicaraan disambung 18 September ini.

Kamarul berkata, selain itu catatan salah '5-2-4' yang dibuat polis berhubung nombor rumah Sirul Azhar yang sebenarnya bernombor '5-3-7' dalam laporan berhubung penemuan barangan kemas mangsa turut menimbulkan keraguan.

Beliau berkata, penjelasan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Asisten Superintendan Zulkarnain Samsudin tidak konsisten dan hanya menyatakan dia tersalah menulis nombor rumah Sirul Azhar kerana merujuk alamat pada bil-bil yang diambilnya daripada peti surat tertuduh.

"Sirul Azhar menafikan memberikan sebarang pendedahan maklumat kepada polis dan semua berlaku adalah dirancang polis. Tertuduh diarahkan: "Kamu ikut saya pergi dan hanya tunjuk saja." Gambar pula diambil hanya selepas barang kemas ditemui dan gambarnya memegang jaket dan menunjuk jari ke arah barang kemas itu pula hanyalah lakonan semula.

"Jadi persoalannya, adakah setiap keterangan dikemukakan pendakwaan melalui saksi polis memang berlaku atau hanya rekaan semata-mata? Kami berhujah polis sememangnya mempunyai pengetahuan awal berhubung lokasi rumah tertuduh dan barang kemas mangsa yang disimpan di rumahnya. Polis turut mereka keterangan yang boleh menjuruskan tertuduh terhadap pertuduhan dengan memintanya mengakui semua keterangan itu," katanya.

Menyentuh hujahan pendakwaan yang menyatakan pihaknya langsung tidak mencabar keterangan berhubung barang kemas mangsa, Kamarul berkata, beliau hanya menyentuh isu yang relevan saja dan adalah pelik baginya untuk mempersoalkan apakah barang kemas dipakai Altantuya pada malam kejadian, 19 Oktober 2006.

Kamarul berkata, pihaknya hanya boleh menganggap barang kemas itu milik Altantuya kerana tiada keterangan boleh digunakan untuk mencabarnya.

Bagaimanapun katanya, cara rakan Altantuya, Uuriintuya Gal-Ochir mengecam barang kemas itu menimbulkan keraguan kerana ia dibuat polis terhadap seorang wanita yang berada dalam keadaan emosinya terganggu, yang mana UUriintuya terus menangis selepas menyatakan beliau cam ia dipakai mangsa pada malam kejadian.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung 18 September ini.

Read More...

Membaca Hikmah Di Sebalik Tindakan Abdullah

msomelayu

SEKALIGUS pertukaran portfolio antara Abdullah Ahmad Badawi dengan Najib Razak untuk jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan memperlihatkan keikhlasan Abdullah untuk mengangkat Najib sebagai Perdana Menteri. Pertukaran itu juga sebagai persiapan kepada Najib untuk berlatih mengira dan menghitung wang.

Petukaran itu juga membayangkan Abdullah bersedia memenuhi impian dan angan-angan Najib untuk mengambil alih tempatnya sebagai Perdana Menteri.
Najib tentu gembira dengan apa yang berlaku secara tiba-tiba dan seolah yang bulat datang menggolek dan yang leper datang melayang itu! Yalah Menteri Kewangan merupakan meteri paling berprestej dan glomour. Ditangan menteri itulah terletaknya karung dan guni kewangan negara.

Najib juga diberikan jawatan Pengerusi Khazanah Negara. Kedudukan itu meletakkan Najib sebagai pemegang segala khazanah dan seluruh kekayaan negara baik yang beku atau cair.

Peralihan itu juga semacam menampakkan Abdullah mengakui akan kelemahan beliau dalam menjana ekonomi negara. Peralihan itu mengesahkan apa yang dilemparkan kepadanya yang jahil mengenai ekonomi dan buta untuk mencari wang kepada negara. Beliau seakan mengakui akan kelemahan itu dan bersedia memberikan kepada mereka yang lebih layak dan bernafsu untuk merangkulnya.

Dalam hal ini saya ada pandangan lain mengenai diri dan politik Perdana Menteri ini. Pada saya apa yang beliau lakukan itu bukan proses memberi pengalaman atau kenaikan pangkat kepada Najib tetapi ia satu perangkap kepada timbalannya itu. Pertukaran hari ini bukan suka sama sukar seperti dipamerkan tetapi Najib terpaksa menerimanya. Harapnya Najib tidak silap dalam mentafsirkan ini.

Apa yang mungkin terselimut di hati Abdullah ialah beliau mahu rakyat mengetahui sejauh manakah kemampuan Najib menjana ekonomi negara. Kantung kewangan negara kini kering kontang. Perkembangan ekonomi lembab. Apakah dengan suasana ini Najib dapat mengubah dan menambah kantung kewangan negara?

Pada Abdullah mungkin Najib tidak akan dapat melakukan sesuatu untuk merancakkan ekonomi negara. Dengan ilmu yang sedikit sudah pasti Najib tidak dapat melakukan apa-apa yang lebih baik daripadanya. Najib pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan satu masa dulu. Jadi apa yang Abdullah hendak tengok ialah kegagalan Najib kelak. Kegagalan itu pula akan menjadi senjata kepada Abdullah untuk melihat Najib mati secara beragam dengan angan-angan besarnya.
Saya nampak dalam hal ini Abdullah mahu memberi peluang kepada Najib melakukan sesuatu. Apakah beliau berbakat dalam hal kewangan dan ekonomi atau tidak? Abdullah ada alasan sendiri untuk menjadi PM bukan saja memerlukan kepada kesegakkan tubuh badan tetapi kecerdikan otak serta sifat-sifat lain lagi.

Sepatah kata Abdullah dalam memancing dan mencabar Najib, sekiranya prestasi Najib bagus mungkin beliau akan berundur awal. Mungkin pancing itu dimakan dan ditelan Najib dengan penuh keazaman dan lahap. Tetapi dalam suasana hari ini - dengan kemelsetan ekonomi global apa yang Najib mampu lalukan?

Di sebalik pertukaran yang berlaku hari ini saya juga nampak Abdullah mahu apa yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim dulu berulang kepada Najib. Anwar semasa menjadi TPM juga menjadi Menteri Kewangan. Kementerian berkenaan menjadikan Anwar lupa daratan dan membina kekuatan politiknya. Amalan kronisme dan nepotisme wujud ketika itu. Akhir apa yang berlaku ke atas Anwar dengan keduduaknnya itu; beliau menjadi seperti bawang yang ditimpa oleh jambaknya.

Jadi pertukaran yang dianggap ikhlas oleh Najib mengenai portfolio itu bukan sesuatu yang boleh dibanggakan Najib. Rosmah tidak perlu memikirkan yang bukan-bukan dengan kedudukan dan kuasa terbaru suaminya itu. Sebab kalau tidak kena gaya kuasa baru yang dijabati hari ini akan membawa Najib ke lembah yang curam dan dalam!
Sementara itu pengambilalihan jawatan Menteri Pertahanan itu mungkin disebabkan Abdullah sudah sedar apa dilakukan Najib dengan kementerian itu. Penggunaan Milltary Intelligent Organization (MIO) oleh Najib untuk kepentingan poltiknya mungkin membimbangkan Abdullah. Jadi sebelum pagar memakan padi elok kalau beliau mengawal sendiri kementerian berkenaan dan biarlah MIO melaporkan semua perkembangan mengenai keselamatan dan politik negara kepadanya seorang saja. [wm.kl 6:00 pm 17/09/08]

Read More...

Balak: K'jaan Pahang diperintah bayar RM60 juta

Malaysiakini

Sep 17, 08 7:40pm

Kerajaan Pahang hari ini diperintahkan membayar RM60 juta kepada sebuah syarikat pembalakan selepas gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamed sebulat suara menolak permohonan kebenaran untuk merayu oleh kerajaan negeri dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang.

Hakim Malanjum berkata persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh kerajaan Pahang, yang diwakili Penasihat Undang-undang Datuk Mat Zara'ai Alias, "bukanlah satu persoalan yang wajar dan ia dibangkitkan di Mahkamah Rayuan."

Kerajaan negeri Pahang dan pengarah perhutanan negeri telah memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 3 Ogos lalu yang menolak rayuan mereka untuk melanjutkan masa bagi memfailkan notis rayuan, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Notis rayuan itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan mereka membayar RM37,127,471.60 kepada Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd dengan faedah pada kadar 8 peratus setahun mulai 31 Disember 2000 sehingga selesai pembayaran.

Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membayar jumlah itu kepada Seruan Gemilang setelah berpuas hati bahawa pengarah perhutanan negeri telah bertindak secara cuai apabila enggan mengguna pakai pelan terkini yang dikemukakan oleh Seruan Gemilang yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) pada 5 April 2000, sebaliknya mengarahkan pelan asal yang diluluskan oleh exco pada 7 Januari 1998, diguna pakai.
Atas tanah Umno

Pada 9 Disember 2002, Seruan Gemilang memfailkan saman terhadap Kerajaan negeri Pahang dan pengarah perhutanan negeri bagi memohon ganti rugi RM31 juta kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas 4,000 hektar.

Seruan Gemilang menamakan kerajaan negeri Pahang sebagai defendan pertama dan pengarah perhutanan negeri, defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, Seruan Gemilang mendakwa pada 31 Julai 2000, defendan kedua telah memberi kelulusan kepadanya bagi mengeluarkan kayu balak dari mukim itu bagi kawasan seluas 3,200 hektar.

Pada 13 Mei 2002, defendan kedua telah memberi kelulusan kepada Seruan Gemilang bagi mengeluarkan kayu balak dari baki kawasan seluas 800 hektar di tanah yang sama. Ini bermakna Seruan Gemilang telah diberi kelulusan untuk mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 4,000 hektar.

Bagaimanapun defendan kedua hanya membenarkan Seruan Gemilang mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala baki selebihnya telah diberikan kepada beberapa pihak ketiga untuk mengeluarkan kayu balak dari tanah tersebut.

Kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyatakan bahawa Seruan Gemilang hanya diberi lesen untuk menjalankan kerja pembalakan secara pemindahan bagi kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala bagi baki 1,200 kektar itu pula, defendan mendapati Seruan Gemilang tidak berminat untuk menjalankan kerja pembalakan di situ.

Read More...

Harga ayam, telur tidak naik

Utusan Online

MELAKA 16 Sept.- Bekalan daging ayam dan telur bagi musim perayaan Aidilfitri ini dijamin mencukupi dengan tiada kenaikan harga yang ketara, kata Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Lee Ah Fatt.

Katanya, persatuan itu telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan pihak berkuasa tempatan bagi menjamin keperluan bekalan dua bahan utama ini bagi musim perayaan itu mencukupi.

"Persatuan juga telah meminta kepada kerajaan supaya paras harga ayam pada kadar RM7.50 sen sekilo manakala harga telur Gred A pada harga 34 sen sebiji," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan menetapkan harga siling kedua-dua bahan itu bagi musim perayaan Aidilfitri ini tidak lama lagi.

Katanya, harga ayam pada masa kini antara R7.00 dan RM7.50 sekilogram manakala harga telur Gred A antara 30 sen dan 35 sen sebiji.

Menurutnya, purata keperluan bekalan ayam setiap hari adalah sebanyak 1.3 juta ekor manakala permintaan untuk telur antara 15 juta dan 25 juta bergantung kepada keadaan semasa bagi Semenanjung Malaysia.

"Kita menjangka kenaikan permintaan sebanyak tiga hingga empat peratus daripada kadar permintaan pada hari biasa semasa menghadapi musim perayaan Aidilfitri ini," katanya.

Beliau berkata, lazimnya permintaan untuk bekalan telur akan meningkat pada minggu ketiga umat Islam berpuasa kerana suri rumah akan mula melakukan persiapan untuk membuat kuih raya.

Read More...

Penulis blog Kickdefella ditahan bawah Akta Hasutan

Mstar Online

KOTA BAHARU: Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Aziz, ditahan polis di rumahnya di Demit di sini mengikut Akta Hasutan.

Isteri Syed Azidi, Bariah Ishak berkata, polis yang datang ke rumah mereka dengan menaiki sebuah Pajero berwarna putih dan bercermin gelap, menahan suaminya 5.05 petang.

"Tiga lelaki, yang berpakaian preman, datang ke rumah kami dan memaklumkan bahawa mereka datang untuk menahan suami saya di bawah Akta Hasutan.

"Mereka datang dengan baik walaupun tidak mempunyai waran untuk menahan suami saya," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, salah seorang daripada pegawai polis itu memaklumkan suaminya akan dibawa ke Kuala Lumpur hari ini untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC II Amir Hamzah Ibrahim ketika dihubungi tidak dapat mengesahkan mengenai tangkapan itu kerana tiada maklumat yang diterima oleh polis Kelantan mengenainya.

"Kita akan periksa dahulu mengenai perkara itu," katanya.

Syed Azidi, 38, adalah Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Menerusi blog Kickdefella, beliau pernah pernah mencadangkan agar bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Beliau juga pernah mengarahkan filem pendek bertajuk 'Lautan Biru di Waktu Subuh'.

Read More...

Henti sengketa - Raja Nazrin mahukan tumpu pembangunan

RAJA NAZRIN menyampaikan sumbangan kepada wakil Persatuan Bekas Tentera Cawangan Perak, Kpt. (B) Rosli Yahya di Ipoh semalam.


IPOH - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menyeru barisan kepimpinan negara supaya berhenti bersengketa sesama mereka, sebaliknya menumpukan kepada usaha membangunkan sumber negara bagi kesejahteraan rakyat.

Titah baginda, dunia sedang menghadapi iklim ekonomi yang suram dengan kenaikan harga minyak dan makanan yang memerlukan kerajaan memastikan bekalan makanan terjamin, meningkatkan produktiviti, menyakinkan pelabur dan mewujudkan pekerjaan baru untuk meringankan beban rakyat.

"Ia merupakan cabaran besar kepada mana-mana kerajaan sekalipun. Ia tidak akan dicapai melalui retorik politik semata-mata.

"Ia tidak akan dicapai jika di kalangan barisan kepimpinan, baik yang berada di dalam atau di luar kerajaan terus bersengketa," titah baginda pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) ke-162 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini semalam.

Raja Dr. Nazrin bertitah, suasana muram ekonomi dunia memerlukan para pemimpin mentafsirkannya sebagai cabaran terhadap negara dan bangsa yang memerlukan mereka bersama-sama menumpukan fikiran serta usaha untuk melaksanakan kerja yang produktif.

"Jika cabaran berat ini gagal ditangani, dibimbangi kestabilan dan ketenteraman negara akan terjejas, segala kejayaan yang telah dicapai sejak 51 tahun merdeka akan turut hilang dan pupus," titah baginda.

"Begitu besar nikmat jika perpaduan dapat dipupuk, malah rahmat akan dilimpahkan di kalangan warga dan negara yang berada dalam harmoni; sebaliknya persengketaan akan berakhir dengan perpecahan hingga kemakmuran tidak mungkin tercapai," titah baginda. - Bernama

Read More...

PM: Anwar a threat to economy and maybe safety

The Sun

PUTRAJAYA (Sept 17, 2008): Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi today described Parti Keadilan Rakyat (PKR) de-facto leader Datuk Seri Anwar Ibrahim as a "threat to the nation's economy and maybe safety".

He accused Anwar of deceiving the public by saying one thing and doing another, and of berating the country to the extent of discouraging investors.

Speaking to reporters after the cabinet meeting yesterday, Abdullah said: "We are facing inflation and in the midst of this, what Anwar is doing has resulted in fund managers discouraging investors from investing in Malaysia due to the uncertain political scenario.

"By talking about changing governments, Anwar has muddled the economy as some investors have been advised to stay away from the country for the next 10 years, and to wait and see where the country is headed. What he is doing has affected the government, the economy and workers."

Asked what he planned to do about this situation, Abdullah would only say that whatever he would do would be in the best interest of the country.

He said this would sending out trade missions to meet with investors.

"It’s not that we don’t have foreign direct investments (FDI) as many investors are coming in even now, and (Malaysia) is a preferred choice amongst many investors," he said. "The one saying that we are losing FDI is Anwar alone. He doesn’t read, he is ignorant about this."

He said it was Anwar’s character to tell people certain things and expect them to accept it.

He said Anwar's accusation that Malaysia has no competitive edge is untrue as Malaysia's competitiveness has improved from 23 to 19 (in the World Competitiveness Index).

"He is just exploiting people’s trust in him at the moment, and is doing nothing to help them -- even when he is out of the country, he puts down the nation," he said.

About Anwar’s pledge to turn the ailing economy around, and to reduce fuel prices, Deputy Prime Minister Datuk Seri Najib Razak said: "Anwar has failed to deliver a lot of his promises. Even though he knew he did not have the numbers, he continued to lie to the public that he would form the government on Sept 16, and has continued to lie to the public about the content of his letter (to Abdullah). So please don’t hold on to his promise too much."

Najib said as chairman of the investment committee, he knew the number of investments in the country this year was maybe more than last year. However, he is concerned that Anwar’s political game will affect the numbers coming in.

Read More...

Najib lancar laman web peribadi - www.1malaysia.com.my


KLpos

KL: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan laman web peribadinya www.1Malaysia.com.my.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Timbalan Perdana Menteri hari ini berkata laman web itu diharapkan dapat menyediakan satu forum bagi semua rakyat Malaysia untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu penting yang dihadapi mereka di samping menggalakkan pencapaian matlamat bersama dan mengetengahkan kepelbagaian unik negara.

Najib dalam kenyataan itu berkata beliau merasa bimbang melihat ada pihak-pihak tertentu yang berusaha merenggangkan hubungan antara komuniti dalam negara bagi tujuan politik serta kepentingan peribadi, dan www.1Malaysia.com.my diharapkan dapat menjadi portal di mana anggota masyarakat boleh terbabit secara terus dalam dialog yang terbuka dan ikhlas, secara terus dengan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Saya tidak percaya kepada politik menipu, memecahbelahkan dan perintah. Usaha untuk kembali kepada kepercayaan yang lama dipegang dalam perpaduan serta saling menghormati dilihat bertambah penting ketika ini," katanya.

Beliau berkata laman web itu adalah buat semua rakyat Malaysia, dan beliau menggalakkan mereka yang bergantung kepada internet untuk mendapatkan maklumat, serta berkomunikasi, dan juga seluruh komuniti, untuk turut serta dalam perbincangan nanti.

"Semasa saya berusaha membaiki kemahiran, saya akan memerlukan input dan respons anda bagi membolehkan saya tahu pendapat anda mengenai perkembangan laman web ini.

Pandangan komuniti online semakin menggambarkan apa yang penting buat rakyat Malaysia dan saya amat berminat untuk mendapatkan perspektif itu."

"Saya berharap laman web ini akan mencetuskan satu dialog yang terbuka dan penting, menerokai identiti Malaysia, matlamat sert hala tuju. Sebagai seorang bapa kepada dua remaja, saya juga sudah biasa dengan perdebatan hangat dan juga perselisihan pendapat."

"Marilah teruskan hubungan seumpama sebuah keluarga yang besar ini. Mari amalkan rasa saling menghormati dan jadikan persefahaman sebagai matlamat utama dalam interaksi," katanya.

Najib seterusnya menggalakkan orang ramai untuk menyertai beliau dalam menentukan matlamat Malaysia dan peranan yang perlu dimainkan oleh rakyat Malaysia di masa hadapan.

"Setiap dari kita, walaupun berbeza, berkongsi satu impian untuk hari esok yang lebih baik.

Setiap kita mahukan peluang, rasa hormat, setiakawan dan sefahaman. Setiap kita dengan cara yang unik, adalah rakyat Malaysia. Bersama kita adalah Satu Malaysia. Saya harap kita akan dapat teruskan perbincangan ini," kata Najib.

Najib turut menggalakkan semua rakyat Malaysia menyertai dialog ini, dan mendapatkan perspektif sesama rakyat, dan menyediakan maklum balas terus mengenai cara bagaimana kerajaan dapat lebih menghormati sepenuhnya lagi masyarakat Malaysia. / Bernama


Datuk Seri Najib Tun Razak

Read More...

Anwar sekali lagi berdepan dengan ISA?

Malaysiakini

Sep 17, 08 4:28pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat para pemerhati tertanya-tanya sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sekali lagi ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini untuk mengumumkan rombakan kecil kabinet, perdana menteri membuat kenyataan yang membayangkan kemungkinannya.

pakatan rakyat 916 gathering kelana jaya 150908 anwar.jpgAntara lain, Abdullah menyifatkan ketua pembangkang itu sebagai "satu ancaman kepada ekonomi serta keselamatan (negara)".

Ini sudah cukup untuk memberi alasan kepada pihak pihak kuasa untuk menggunakan ISA terhadap Anwar dan membolehkan beliau ditahan tanpa bicara.

Dan apabila ditanya apakah tindakan yang akan diambil terhadap Anwar, perdana menteri enggan menyatakannya, sambil berkata: "Saya tidak akan nyatakan apa rancangan yang saya ada."

Sekiranya Anwar ditahan di bawah ISA, ia bakal memberi kesan yang besar tetapi bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana Anwar sendiri percaya beliau mungkin ditahan.

Usaha ambil alih kuasa


Sejak pilihanraya kecil 8 Mac lalu, Anwar telah menjadi duri terhadap Barisan Nasional dengan rancangannya untuk mengambilalih kuasa.

Anwar yang sudah dua kali ditahan di bawah ISA, mendakwa beliau mempunyai jumlah ahli parlimen dari BN yang cukup menyertai Pakatan untuk membolehkan beliau menubuhkan kerajaan baru dengan majoriti mudah.

Anwar gagal merealisasikan rancangan mengambilalih kuasa semalam (16 September) - tetapi sekali lagi menegaskan bahawa beliau mempunyai jumlah ahli parlimen yang cukup untuk menubuhkan kerajaan.

Beliau juga telah meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Abdullah bagi membincangkan pelan peralihan kuasa dan menggesa perdana menteri tidak mengambil tindakan drastik, seperti mengisytiharkan darurat, untuk menghalang usahanya itu.

Abdullah, bagaimanapun, menolak mengadakan pertemuan dengan Anwar dan menyifatkan dakwaannya untuk mengambil alih kuasa itu sebagai satu pembohongan.

Anwar, yang kini berdepan dengan tuduhan liwat, pertamakali ditahan di bawah ISA pada 1974 berhubung protes pelajar dan ditahan selama 20 bulan.

Lebih dua dekad kemudiannya, beliau sekali ditahan di bawah ISA seepas melancarkan siri protes terhadap pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998. Berita asal

Read More...

GEMPAR!!! SAPP umum keluar BN .

Utusan Online

SAPP umum keluar BN tetapi tidak sertai Pakatan Rakyat.

17/09/2008 4:59pm

KOTA KINABALU 17 Sept. - Parti Maju Sabah (SAPP) membuat keputusan keluar daripada Barisan Nasional (BN) melalui mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu di sini hari ini.

Parti tersebut bagaimanapun tidak akan menyertai pakatan pembangkang dan bertindak sebagai sebuah parti bebas.

Timbalan Presiden SAPP, Datuk Raymond Tan berkata, meskipun beliau tidak bersetuju dengan keputusan itu, MT parti telah mencapai suara majoriti.

``Saya sendiri tidak tahu kedudukan saya dalam kerajaan negeri berikutan keputusan itu,'' katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Beliau bertindak keluar awal daripada mesyuarat tersebut kerana kecewa dengan keputusan parti.

SAPP mempunyai dua ahli Parlimen dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kerajaan.

Selain Tan, seorang ADUN dilantik sebagai pembantu menteri, seorang lagi MT SAPP turut dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN. - Utusan.

Read More...

PM alih bebanan ekonomi negara kepada Najib

Harakahdaily

Lanjusoh

Wed | Sep 17, 08 | 3:53:10 pm MYT

KOTA BHARU, 17 Sept (Hrkh) - Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kini terpaksa akur dengan desakan rakyat apabila melepaskan jawatan penting kepada timbalannya secara tiba-tiba.

Apa muslihatnya perkara itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Antara lain ekoran kemelut politik dalaman Umno sekarang dan bayangan kerajaan baru.

Berkuatkuasa serta merta jawatan Menteri Kewangan diberi kepada Dato' Seri Najib Razak. Sebaliknya Abdullah pula mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan.

Sedangkan jawatan Menteri Kewangan diterajuinya sejak Oktober 2003.

Persoalannya mungkinkah kedudukan kerajaan sekarang semakin terumbang ambing apabila Abdullah hanya mengharapkan jaminan keselamatan berbanding mengambil berat masalah ekonomi negara.

Ini kerana semalam bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa keadaan ekonomi negara semakin tergugat dan pasaran saham menjadi tidak menentu.

Kata Ku Li perkara itu berlaku kerana kelemahan pemimpin negara yang tidak mampu lagi mengurus dan sepatutnya berundur lebih awal.

Dengan apa yang berlaku itu Abdullah seperti sudah memberi isyarat segala kemelesetan ekonomi negara tidak lagi berada di bawah tanggungjawabnya.

Begitu juga dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya semalam yang memberi semula kerusi Dun Sanglang kepada Ustaz Hashim Jasin dari PAS selepas berlaku silap isytihar pegawai pengurus pilihan raya pada 8 Mac lalu.

Sementara itu, Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Wan Nik Wan Yusoff berkata, pengisytiharan kemenangan Ustaz Hashim di Sanglang membuktikan kebenaran berpihak kepada PAS dan perjuangan Islam.

"Tahniah kepada seluruh pemimpin dan petugas PAS di seluruh negara di atas kemenangan rayuan petisyen pilihan raya Dun Sanglang, Perlis.

"Khusus kepada PAS Perlis dan Pesuruhjayanya, Ustaz Hashim Jasin, juga kepada peguam Hanifa Maidin dan rakan-rakan," katanya di sini.

Oleh itu katanya harapan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat supaya diberi tumpuan sepenuhnya kegiatan bagi membina balik pengaruh PAS melalui gerak kerja pilihan raya terutamanya pendaftaran pemilih. - mj _

Read More...

Bursa KL Merudum Teruk, Najib Di lantik Menteri Kewangan

Tranungkite

Dilulus terbit pada Wednesday, September 17 @ 15:13:34 MYT oleh greenboc
Analisis Isu Oleh Greenboc


aPasaran saham Bursa Malaysia telah merudum dengan begitu teruk sejak kekalahan kerajaan BN di dalam mengekalkan majoriti dua pertiganya di dalam plihanraya ke 12 lalu.

Malah di dalam minggu ini sahaja Bursa Malaysia kehilangan lebih 50 mata dan kedudukan indeks komposit Bursa Malaysia pada petang ini berada pada paras yang hampir memecah garis psikologi 1000 mata iaitu 1007.23 mata.

Para pelabur nampaknya begitu berhati-hati untuk terus melabur di negara ini sementara para pemodal nampaknya sedang menunggu saat pemerintahan atau setidak-tidaknya kepimpinan negara bertukar.

Yang penting negara tidak boleh lagi dipimpin oleh manusia yang bernama Abdullah Ahmad Badawi. Beliau tidak mempunyai keupayaan dan kredibiliti untuk menjaga ekonomi negara.

D dalam satu perkembangan yang menarik, Perdana Menteri, Abdullah, telah melantik timbalannya Datuk Seri Mohd Najib sebagai Menteri Kewangan, satu portfolia yang dipegangnya semenjak beliau mengambil-alih tampuk pemerintahan negara.

Penganalisis ekonomi menyambut baik langkah berkenaan sekalipun mereka tidak menjangkakan akan berlaku sebarang perubahan ketara di dalam dasar ekonomi negara yang telah hampir musnah di tangan Abdullah.

Beberapa telahan dibuat ekoran pengumuman Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan.

Pertama ialah kenyataan Mohd Najib sendiri sebelum ini yang ingin menyerahkan kepada keputusan bahagian mengenai tarikh peralihan kuasa yang mana kenyataan itu amat tidak disenangi oleh Abdullah yang telah menetapkan 2010 ebagai tahun dimana beliau bersedia untuk melepaskan jawatannya. Ini ekoran dari kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Muhyiddin Yassin yang meminta Abdullah menyegerakan pelan peralihan kuasa dan usaha Muhyiddin untuk membawa Tun Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri untuk menyertai semula UMNO.

Kedua, kemuraman pasaran Bursa Malaysia yang menyaksikan keadaan pasaran yang begitu "bearish" memaksa Abdullah untuk ayoh pergi dari pejabat kementerian kewangan sebelum nanti negara mengalami kerugian yang dasyat apabila para pelabur terus mennggalkan Bursa Malaysia.

Ketiga asakan kuat Pakatan Rakyat untuk perubahan pemerintahan negara nampaknya tidak mungkin berupaya untuk ditolak lagi. Ini akan mengakibatkan satu anjakan baru di dalam sejarah pemerintahan negara dan Abdullah merupakan orang yang bakal dipertanggungjawabkan seandainya Barisan Nasional terpaksa menyerahkan pemerintahan kepada Pakatan Rakyat. Untuk mengelaknya, Abdullah kini sanggup "memperkongsikan" risiko itu kini bersama timbalannya sekalipun jawatan Menteri Kewangan itu adalah lubuk penting setidak-tidaknya bagi anak menantunya.

Kini, Najib terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah besar negara disamping terpaksa pula memulihkan keadaan ekonomi negara yang begitu terjejas akibat dari kelemahan pentadbiran dan pemerintahan Abdullah.

Mampukah Najib memperbaiki keadaan ekonomi yang telah parah ini? Kita sama-sama saksikan. Kejayaan atau kegagalannya amat menentukan nasibnya samada layak atau tidak untuk menjawat jawatan Perdana Menteri ke 6 atau rakyat akan memilih parti baru menggantikan seluruh jentera Barisan Nasional yang korup itu.

Read More...

Najib kini menteri kewangan, Pak Lah menteri pertahanan

Malaysiakini

Beh Li Yi | Sep 17, 08 2:36pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau menyerahkan jawatan menteri kewangan kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengambil alih jawatan menteri pertahanan.

umno ahmad ismail mt meet 100908 abdullah najib pcBercakap dalam satu sidang akhbar tengahari ini, Abdullah berkata, pertukaran jawatan itu berkuatkuasa serta merta.

Perdana menteri yang memegang jawatan menteri kewangan sejak 2004 berkata, beliau telah memaklumkan keputusannya itu kepada kabinet.

Abdullah yang juga presiden Umno berkata, beliau mungkin bersara lebih awal daripada tahun 2010 bergantung kepada prestasi Najib.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin tersebut tetap berpegang kepada pelan peralihan kuasa pada 2010.

Abdullah berkata, beliau dan Najib akan mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan Umno Disember ini.

Najib turut hadir di sidang akhbar tersebut dan apabila ditanya komennya, menjawab: "Kami telah bersetuju. Saya menyerahkannya kepada parti. Kami menawarkan diri kepada parti dan saya berharap mereka akan menerimanya".

Terdapat desakan yang semakin meningkat ke atas Abdullah supaya bersara lebih awal, tetapi kini nampaknya Najib telah mencapai persetujuan dengan bosnya itu untuk menenangkan tuntutan dari akar umbi Umno.

Kedua-dua mereka kini berdepan dengan kekalutan politik yang berpunca daripada pergeseran dalam Umno, di tengah-tengah cabaran ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha untuk menubuhkan kerajaan baru.

Anwar 'ancaman pada negara'

mahathir and umno 190508 02Para pemerhati berkata, langkah terbaru Abdullah hari ini adalah untuk memberi jaminan kepada Najib bahawa beliau akan mengambil alih jawatan nombor satu dan juga untuk menangkis kempen yang diketuai oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menurunkan Abdullah daripada jawatan presiden.

Abdullah juga turut menyentuh tentang permintaan Anwar untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat kerana mendakwa mempunyai jumlah ahli parlimen mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru.

Perdana menteri berkata, surat yang dihantar oleh pemimpin Pakatan tidak menyebut tentang peralihan kuasa.

Beliau juga menyifatkan Anwar sebagai "satu ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara".

"Saya tidak akan nyatakan apakah rancangan saya," katanya ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap Anwar.

Najib juga turut dilantik sebagai timbalan pengerusi badan pelaburan kerajaan, Khazanah Holdings.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |