+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++
Showing posts with label utusan. Show all posts
Showing posts with label utusan. Show all posts

Tuesday, April 20, 2010

Dua calon Bebas V.S. Chandran, Johan Md. Diah tarik diri

Utusan Online

HULU SELANGOR 19 April - Kurang tiga jam sebelum tempoh akhir menarik diri tamat, persaingan merebut kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini, menjadi dua penjuru apabila calon Bebas, V.S Chandran dan Johan Md. Diah menarik diri.

Mereka menyerahkan borang penarikan diri kepada Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan.

Dengan penarikan diri itu, pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) P.Kamalanathan dan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

Chandran, ahli perniagaan dan bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor menyerahkan borang penarikan diri kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Beliau yang ditemui pemberita selepas itu menjelaskan, penarikan diri itu berpunca rasa hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain amat menyayangi Barisan Nasional (BN) yang menjadi platform perjuangannya sejak 35 tahun lalu.

"Saya diberi nasihat bahawa BN tidak ada kena mengena dalam masalah saya dengan MIC, sebelum ini saya jadi calon Bebas kerana terlalu marahkan MIC.

"Saya akan pastikan penyokong saya menyokong BN, saya tahu bagaimana nak uruskan mereka kerana P. Kamalanathan adalah calon BN walaupun dia ahli MIC," katanya.

Tegasnya, beliau tidak menyesal dengan keputusan untuk menjadi calon Bebas sebaliknya gembira kerana berpeluang mencipta sejarah peribadi dalam politik.

Beliau turut menafikan dibayar untuk menarik diri.

Sementara itu, Nor Hisham memberitahu, Johan menandatangani surat penarikan diri pada pukul 9.15 malam ini.

"Saya menyerahkan semula borang pencalonan yang dihantarnya selepas beliau menandatangani surat penarikan diri berkenaan," katanya.

Terdahulu, pada pukul 6 petang, Johan mengadakan sidang akhbar pembukaan bilik gerakannya di Felda Sungai Tengi di sini hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Johan mengibaratkan dirinya seekor kancil yang berada di antara dua ekor gajah dan bersedia untuk berlari laju meninggalkan gajah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula menyifatkan penarikan diri Johan itu sebagai bonus tambahan kepada BN.

"Bonus terbesar BN adalah kemasukan Bendahari PKR Hulu Selangor, Datuk Dr. Halili Rahmat ke dalam UMNO dan disusuli dengan penarikan diri oleh dua calon Bebas.

"Bonus lain adalah Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) diketuai presiden dan timbalannya hadir menemui saya untuk menyatakan sokongan mereka kepada BN di Markas Induk BN di Bukit Beruntung kira-kira pukul 6 petang tadi," ujarnya.

Read More...

Friday, January 1, 2010

Sambutan 2010 meriah

Utusan Online


Warga Kuala Lumpur meraikan Sambutan Ambang Merdeka sempena tahun baru 2010 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. – Utusan/Shaifudin Mohd. Nor


KUALA LUMPUR 31 Dis. – Kedatangan tahun baru 2010 disambut dengan meriah oleh pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara malam tadi.

Di ibu negara, sambutan ambang tahun baru diadakan di beberapa lokasi dengan beberapa aktiviti yang berlainan daripada kebiasaan.

Di Menara Berkembar Petronas, kira-kira 10,000 warga kota membanjiri kawasan persekitaran tasik di situ dan mereka dihiburkan dengan persembahan pancutan air berirama bermula pukul 9.25 malam.

Persembahan itu ternyata menghidupkan suasana sambutan sambutan tahun baru di kalangan pengunjung termasuk pelancong asing.

Kemuncaknya ialah persembahan bunga api yang bermula tepat pukul 12 tengah malam serentak dengan lapan lagi persembahan seumpamanya di lokasi berbeza di sekitar ibu negara.

Di Dataran Merdeka pula, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim bersama kira-kira 30,000 warga kota meraikan sambutan tahun baru 2010 dengan Konsert Ambang 2010.

Konsert itu merupakan anjuran Kumpulan AmBank dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula pukul 8 malam diikuti dengan pertunjukan bunga api tepat pada detik 12 tengah malam.

Antara artis terkenal yang menghiburkan pengunjung ialah Ella, Kumpulan Hujan, Bunkface dan Amy Search selain persembahan tarian 1Malaysia daripada kumpulan Permata Negara.

Sebelum acara dimulakan, pengunjung mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyampaikan amanat tahun baru.

Di Bukit Bintang, sambutan tahun baru 2010 juga meriah apabila kira-kira 2,000 warga kota pelbagai kaum termasuk warga asing hadir untuk memeriahkan sambutan tersebut.

Di Menara Kuala Lumpur, sambutan tahun baru menampilkan kelainan apabila seramai 10 orang penerjun tempatan membuat penerjunan tanpa henti bagi memeriahkan acara.

Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan bunga api di sekitar ibu negara dari Pelantar Terbuka pada ketinggian 300 meter.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, 50 pengunjung tempatan dan 50 pengunjung luar negara yang paling awal berpeluang mengadakan lawatan ke Pelantar Pemandangan dan Air H20.

“Penerjunan tanpa henti bermula dari pukul 9 malam hingga 1 pagi bagi memeriahkan lagi sambutan tahun baru,’’ katanya.

Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Mohd. Faiz Mohd. Nor Lidzan, 23, berkata, ini merupakan peluang terbaik untuk dia dan rakannya turut sama menyambut tahun baru dengan warga kota yang lain.

Pekerja bahagian teknologi komputer Universiti Malaya (UM), Syafawil Malifuad, 29, pula berkata, sambutan tahun baru di negara ini amat meriah dengan pelbagai aktiviti.

Kemeriahan sambutan itu turut dirasai oleh pelancong asing yang hanya mahu dikenali sebagai Tony, 50, dari Australia yang menyifatkan pengalaman menyambut tahun baru di Bukit Bintang sebagai menakjubkan.

Dia dan pasangannya, Debbie Dewhirst, 50, gembira kerana dapat bersama-sama dengan pelbagai kaum di Malaysia meraikan sambutan tahun baru 2010.

“Saya kagum melihat pelbagai kaum di Malaysia bersama-sama meraikan sambutan tahun baru dalam suasana aman,’’ ujarnya.

Alireza Ismail Jamal, 35, dari Iran yang berkunjung ke Bukit Bintang bersama ahli keluarganya turut kagum dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan rakyat negara ini.

“Jika ada peluang kami mahu bersama-sama meraikan tahun baru di Malaysia pada tahun depan,” katanya.

Read More...

Tuesday, June 2, 2009

Muhyiddin tegur Utusan

Malaysiakini

Rahmah Ghazali | Jun 2, 09 7:00pm

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegur akhbar Utusan Malaysia kerana menyiarkan artikel yang didakwa mempunyai unsur perkauman.

Beliau mengulas artikel yang disiarkan dalam akhbar tersebut bertajuk 'Melayu dikhianati' yang ditulis oleh Awang Selamat.

muhyiddin yassin utusan melayu dikhianati 020609Artikel tersebut antara lain menyifatkan kaum bukan Melayu membuat tuntutan yang didakwa oleh Awang Selamat melampaui batas.

Walaupun tidak mengikuti tulisan itu, kata Muhyiddin, beliau mengingatkan akhbar berkenaan supaya menghormati kaum lain di negara ini.

"Mereka yang diberi kewarganegaraan adalah rakyat Malaysia, tak kira mereka Melayu, Cina atau India," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno, turut mengingatkan akhbar-akhbar lain agar memahami perkara tersebut pada masa akan datang.

Kata Muhyiddin, nasihatnya itu bertepatan dengan konsep 1Malaysia yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menekankan soal kesatuan di kalangan rakyat Malaysia.

"Itu (konsep 1Malaysia) sangat penting sebab kita tidak mahu mewujudkan sebarang ketidakpuasan hati di kalangan kita.

"Kita berada dalam keamanan sejak 52 tahun lalu, dan kita telah membina hubungan baik dan kita seharusnya menyambung dan menghormatinya," katanya.

Semalam, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim membidas artikel yang disiarkan dalam utusan Malaysia itu dan menyifatkannya mempunyai unsur perkauman.

Read More...

Wednesday, May 27, 2009

Enggan jumpa Waheeda

Utusan Online


Maizawati Zainal


KUALA LUMPUR 26 Mei - Biarpun kisah pergolakan rumah tangga penyanyi dan penceramah bebas, Akhil Hayy hebat diperkatakan namun, isterinya, Maizawati Zainal, 33, masih enggan menemui penyanyi Waheeda untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian.

"Sepatutnya dia (Waheeda) yang datang berjumpa saya, bukannya saya yang jumpa dia. Nak jumpa pun sudah terlambat, sebab saya sudah pun memfailkan tuntutan cerai awal bulan ini.

"Sepatutnya datang berjumpa ketika mula-mula keluar cerita tentang hubungannya dengan suami saya, bukannya tunggu sampai perkara ini jadi meletup begini.

"Lagi pun, buat apa nak ungkit lagi perkara yang sudah berlaku dan tiada gunanya buka pekung serta mempersoalkan siapa yang perlu berjumpa siapa. Keputusan yang saya buat ini adalah yang terbaik untuk semua pihak dan meleraikan segala kekusutan," kata Maizawati ketika ditemui hari ini.

Akhil dan Waheeda menjadi perhatian media lantaran gosip tentang hubungan cintanya berlarutan sejak dua tahun lalu. Malah, menjadi semakin hangat diperkatakan apabila ada pihak mendakwa melihat kelibat mereka menonton wayang bersama dan bergambar di tepi pantai.

Menurut Maizawati, dia telah menunggu dan memerhati selama dua tahun iaitu sejak mula-mula gosip tentang percintaan Akhil dan Waheeda diperkatakan.

Keputusannya untuk bercerai telah dimaklumkan kepada Akhil menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana gagal menghubungi dan berbincang dengan suaminya itu.

Tambahnya, setiap pergaulan mempunyai batas dan sebagai seorang wanita seharusnya dia (Waheeda) mengetahui batasan pergaulan dengan seorang yang bergelar suami orang.

"Lelaki yang dia sentiasa bersama itu adalah suami orang dan sudah ada anak-anak. Sebagai isteri, saya hanya memerhati dari jauh. Namun, apabila mendapati ada perempuan lain selalu berjumpa dengan suami, saya terfikir wajarkah perempuan lain yang tiada sebarang ikatan sentiasa bersama suami saya," kata Maizawati pada program Wanita Hari Ini, di Sri Pentas, Bandar Utama di sini.

Mengulas tentang gosip yang mengatakan suaminya telah berkahwin dengan penyanyi Waheeda, kata Maizawati, selagi tiada bukti dia tidak mahu mempercayai sebarang dakwaan.

Walaupun telah memfailkan tuntutan cerai, Maizawati tidak menafikan bahawa dia masih menyayangi suaminya itu.

"Dia seorang suami yang sangat baik dan hubungan saya dengan dia memang tiada masalah. Cuma selepas saya beri keizinan untuk dia berkahwin lain pada Februari lalu dia langsung tidak pulang dan tidak menghubungi saya," katanya.

Kes tuntutan perceraiannya akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak pada 2 Jun depan.

Read More...

Tuesday, April 21, 2009

Harga ayam turun 10 sen

Utusan Online

KUALA LUMPUR 20 April - Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (PPPM) mengumumkan penurunan sebanyak 10 sen harga ayam hidup dan juga harga borong ayam hidup berkuat kuasa hari ini.

Harga ayam hidup kini dijual dengan harga RM3.60 sekilogram (harga terdahulu RM3.70), manakala harga borong ayam hidup pula RM4.30 daripada RM4.40.

Menurut kenyataan PPPM yang dikeluarkan di sini hari ini, harga runcit ayam hidup pula menurun daripada RM5.10 sekilogram kepada RM5 sekilogram.

Harga borong ayam yang siap dipotong pula ialah daripada RM5.20 kepada RM5.05 sekilogram dan harga runcit ayam yang siap dipotong (standard) berserta kaki, kepala, hati dan hempedal pula menjadi RM5.90 daripada RM6 sekilogram.

Kata kenyataan itu lagi, harga runcit ayam yang siap dipotong (super) tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal pula menjadi RM6.60 daripada RM 6.70 sekilogram.

Selain itu, harga runcit ayam siap dipotong dengan sijil Tanda Kesihatan Veterinar (VHM) (super) tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal menjadi RM7 daripada RM7.40 sekilogram.

Read More...

Monday, April 20, 2009

Jambatan bengkok wajar dibina – Shahrir

Utusan Online

JOHOR BAHRU 19 April – Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, jambatan bengkok menghubungkan Malaysia-Singapura wajar diteruskan.

Kata beliau, jambatan yang menghubungkan Tanjung Puteri di Johor dan Woodlands di Singapura itu boleh dilaksanakan dengan semangat setia kawan antara kedua-dua negara.

“Sebagaimana kita maklum kedua-dua Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan empat mata di Pattaya, Thailand baru-baru ini dan isu perbincangan berkisar projek ikon ini dan saya yakin ia dibincangkan secara serius.

“Saya menaruh keyakinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Lee Hsien Loong telah memperhalusi dan memikirkan secara terperinci berhubung projek ini demi kebaikan bersama,” katanya di sini hari ini.

Mengenai isu jambatan itu yang dibatalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau menjelaskan:

“Jika diamati kenyataan Perdana Menteri Singapura sebelum ini ada menyuarakan komitmennya berhubung projek yang dicetuskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan menyatakan kerajaan republik itu hanya bersedia turut sama terlibat dengan pembinaan jambatan itu selepas 2007.

“Ini membawa maksud ketika itu, Singapura telah siap bina Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baru yang menjadi pelengkap kepada jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang dibina pada 1924 itu,” jelasnya.

Shahrir berkata, pembinaan projek ikon itu juga boleh dijadikan asas kepada lambang penyertaan Singapura dalam pembangunan di Iskandar Malaysia.

Sementara itu di Raub, Dr. Mahathir ketika mengulas gesaan UMNO Johor Bahru berkata, kerajaan sepatutnya tidak menghentikan langsung pembinaan jambatan itu.

“Bohong, kalau kata rakyat Johor tidak mahu jambatan ini dibina,” katanya.

Read More...

Monday, April 13, 2009

Nabil Bintang Paling Popular 2008

Utusan Online


RAJA Lawak musim kedua, Nabil bersama trofi Anugerah Bintang Paling Popular 2008 di Arena of Stars, Genting Highlands, malam tadi. Nabil turut memenangi anugerah Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular manakaka Raja Pop, Jamal Abdillah (gambar kecil) pula meraih Anugerah Pencapaian Seumur Hidup. - Gambar UTUSAN/MOHD NOOR AMIN


GENTING HIGHLANDS 12 April - Seperti yang diramal, gelaran Bintang Paling Popular menjadi milik juara Raja Lawak musim kedua, Nabil dalam Anugerah Bintang Popular 2008 (ABP2008) di Arena of Stars di sini malam ini.

Dia yang mendapat 127,524 undi untuk kategori itu, membawa pulang hadiah berjumlah lebih RM250,000 termasuk sebuah kereta Nissan Sylphy 2.0L (A) berharga RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. selain barang kemas dan pakej penginapan.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu juga menjadi artis komedi kedua yang memenangi kategori tersebut selepas Saiful Apek dinobatkan gelaran sama pada tahun 2003.

Bukan itu saja, Nabil turut memenangi dua kategori lain iaitu Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular dengan menewaskan nama-nama besar seperti Afdlin Shauki, AC Mizal dan Saiful.

Kejayaan Nabil menggenggam gelaran itu ternyata membenamkan impian penyanyi Mawi untuk mempertahankan gelaran tersebut bagi tahun keempat berturut-turut.

Pun begitu, Mawi, juara Akademi Fantasia 4, berjaya mempertahankan kemenangan bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular untuk kali keempat berturut-turut.

Datuk Siti Nurhaliza pula membuktikan keunggulannya sebagai penyanyi nombor satu negara apabila dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular bagi tahun ke-12 berturut-turut.

Dalam kategori itu, Siti berdepan saingan yang cukup sengit daripada penyanyi baru seperti Elyana, Jaclyn Victor, Mila dan Stacy.

Band indie yang semakin popular, Meet Uncle Hussain (MUH) pula membawa pulang gelaran Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular sekali gus membenamkan impian saingan terdekat, Hujan.

Sementara itu, Fara Fauzana berjaya mempertahankan gelaran Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular untuk dua tahun berturut-turut.

Rakan setugasnya, Faizal Ismail juga mengekalkan kejuaraan buat tahun kedua menerusi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular.

Pemenang lain ialah Aznil Nawawi iaitu kategori Pengacara TV Lelaki Popular, Noorhiriah (Artis Komedi Wanita Popular) dan Rabbani (Penyanyi/Artis Nasyid Popular).

Juara Akademi Fantasia musim keenam, Stacy pula dipilih Artis Baru Wanita Popular.

Pelakon Filem Lelaki dan Wanita Popular masing-masing dimenangi Que Haidar dan Maya Karin manakala Rosyam Nor dan Dynas pula membawa pulang gelaran Pelakon TV Lelaki dan Wanita Popular.

ABP2008 turut menyaksikan Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup atas sumbangannya dalam bidang seni.

Read More...

Friday, April 3, 2009

Abdullah serah surat letak jawatan

Utusan Online


ABDULLAH Ahmad Badawi yang juga Menteri Pertahanan diarak pada majlis perpisahan di kementerian tersebut di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/HALIM KHALID


KUALA LUMPUR 2 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menyerahkan surat peletakan jawatan serta memohon perkenan baginda bagi pelantikan penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang menaiki kenderaan rasmi, Proton Perdana Eksekutif berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WCH 13 memasuki pintu pagar utama Istana Negara tepat pukul 10 pagi, lima minit selepas ketibaan Tuanku Mizan.

Sejurus berakhir majlis berkenaan, Abdullah hanya membuat kenyataan ringkas bahawa beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada Tuanku Mizan.

“Terserah kepada Tuanku,” katanya kepada pemberita yang memenuhi pekarangan luar Istana Negara.

Beliau meninggalkan Istana Negara 55 minit kemudian sambil tersenyum ceria dan melambaikan tangan kepada lebih 80 petugas media tempatan dan luar negara yang berkumpul sejak pukul 7.30 pagi.

Sementara itu, Najib pula kelihatan memasuki Istana Negara pukul 11.20 pagi untuk menghadap Tuanku Mizan berhubung peralihan kuasa itu.

Beliau yang menaiki Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WRP 11 meninggalkan Istana Negara pada pukul 12.15 tengah hari.

“Terima kasih” kata Najib sambil melambaikan tangan dan tersenyum kepada petugas media.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dalam satu kenyataannya semalam berkata, Tuanku Mizan berkenan supaya istiadat mengangkat sumpah jawatan Najib sebagai Perdana Menteri diadakan pada pukul 10 pagi esok di Istana Negara.

Read More...

Tuesday, March 24, 2009

Harakah, Suara Keadilan tidak ikut akta

Utusan Online

24/03/2009 6:47pm

KUALA LUMPUR 24 Mac - Penggantungan permit Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan adalah disebabkan kedua-dua penerbitan itu melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 dengan menyiarkan laporan yang memutar belit fakta.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini berkata, laporan akhbar berkenaan juga mengelirukan maklumat serta cuba untuk menyuntik perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan dan pemimpin.

``Dalam pada itu, kedua-dua penerbitan terbabit turut melanggar syarat permit iaitu mesti dijual di kawasan markas dan pejabat parti sahaja, bukan kepada orang awam’,’ kata kenyataan itu.

Pada masa sama, kandungan kedua-dua penerbitan tidak mengikut konsep sebenar iaitu sepatutnya melaporkan berita dan isu berkaitan hal ehwal dalam parti mereka sahaja.

Semalam, KDN menggantung permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan berkuat kuasa serta-merta.

Di samping itu, penggantungan Suara Keadilan turut disebabkan kedegilan memenuhi syarat permit iaitu mengemukakan lapan naskhah kepada KDN bertujuan untuk penyemakan.

``Harakah juga tidak memberi sebarang maklum balas hingga kini terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh kementerian pada 26 Februari lalu,’’ tambah kenyataan itu.

- Utusan

Read More...

Sunday, March 8, 2009

Kekecohan mungkin didalangi pihak ketiga - GMP

Utusan Online

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kekecohan yang berlaku ketika perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di ibu negara hari ini kemungkinan dicetuskan oleh pihak ketiga.

Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, perarakan itu tidak dijangka kerana perjanjian awal dengan polis ialah mereka dibenarkan berhimpun di Masjid Negara tetapi bukan untuk berarak ke Istana Negara.

"Saya dan tujuh wakil lain sepatutnya diiringi polis untuk menyerahkan memorandum itu di Istana Negara. Tetapi orang muda tetap hendak berarak. Jadi mereka pun beraraklah.

"Mereka faham, mengikut perjanjian dengan polis sepatutnya tidak boleh berarak. Apa yang jadi, itulah (insiden) yang jadi. Ada orang kata ia provokasi pihak lain. Saya tidak tahu. Tetapi itu mungkin," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Istana Negara di sini petang ini.

Menurut Hassan, polis telah memberi layanan yang baik kepadanya sepanjang proses penyerahan memorandum itu.

Dalam pada itu, insiden hari ini sudah pasti terpahat dalam hati Sasterawan Negara Datuk A Samad Said buat selama-lamanya.

Ini kerana A. Samad merupakan antara mereka yang terkena gas pemedih mata yang dilepaskan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyuraikan kira-kira 5,000 penyokong PPSMI.

"Saya kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa.

"Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya," kata penasihat gerakan itu.

Read More...

Wednesday, March 4, 2009

Ringgit bakal cecah RM4 sedolar?

Utusan Online

KUALA LUMPUR 3 Mac - Nilai mata wang Ringgit dijangka terus jatuh sehingga paras RM4.00 bagi sedolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua atau ketiga pada tahun ini berikutan mata wang asing itu kini menjadi rebutan pelabur di seluruh dunia.

Keadaan itu berlaku kerana pelabur-pelabur sejagat semakin meyakini dengan program-program pelan rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh AS.

Penganalisis Teknikal Pasaran Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Nazri Khan, bagaimanapun berkata, kejatuhan nilai ringgit itu adalah bersifat sementara kerana krisis kewangan global semakin menghampiri penghujungnya.

''Walaupun begitu, pasaran masih lagi tidak menentu dan menyebabkan pelabur mula panik dan berlakunya gelombang jualan.

''Keadaan ini mengakibatkan berlaku peralihan kepada dolar AS, sekali gus menyebabkan permintaan terhadap mata wang tersebut meningkat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aliran kemerosotan nilai mata wang tempatan sejak semalam.

Pada hari ini, mata wang ringgit diniagakan pada 3.7075 berbanding AS$1 berbanding semalam 3.7260, paras terendah sejak tiga tahun lalu.

Tambah Nazri, ringgit nampaknya berada dalam arah aliran menurun ke arah RM3.80 berbanding dolar AS, tahap tambatan yang dikenakan pada 1 September 1998.

Malaysia pernah melaksanakan tambatan ringgit pada RM3.80 kepada dolar AS pada September 1998 bagi mengawalnya daripada tindakan spekulator mata wang semasa krisis kewangan Asia 1997/98, sekali gus melindungi ekonomi negara.

Sebelum krisis yang bermula dengan serangan ke atas baht Thai pada Julai 1997, ringgit diniagakan pada paras yang tinggi iaitu RM2.42, namun turun mendadak berbanding dolar susulan spekulasi berlebihan.

Ringgit pada satu ketika pada 1998 pernah jatuh RM5.20, menyebabkan kerajaan mengenakan kawalan modal dan menambat ringgit yang dimansuhkan kemudiannya pada 21 Julai 2005.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan ASM Investment Services Bhd., Rusli Abu Yamin tidak menafikan semua negara kini mula beralih kepada dolar AS kerana kedudukannya yang semakin stabil.

Menurut beliau, dalam situasi semasa, ia agak sukar untuk menyaksikan ringgit berada di sekitar 3.400.

Bagaimanapun, katanya, penurunan mata wang tempatan itu tidak perlu dibimbangi kerana ia bukan disebabkan spekulator, sebaliknya lebih kepada faktor dasaran.

''Oleh itu, meskipun ringgit jatuh tetapi ia tidak perlu ditambat.

''Lagipun, tidak ada sesiapa yang mahu menyerang mata wang kita, jadi tidak ada isu supaya ringgit ditambat,'' ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Profesor Dr. Mahani Zainal Abidin berkata, walaupun ringgit lemah berbanding dolar AS, tetapi mata wang tempatan tidak perlu ditambat.

''Mata wang kita masih berada di bawah nilai,'' katanya.

Read More...

Tuesday, March 3, 2009

Sultan Kelantan dukacita.

Utusan Online

KOTA BHARU 2 Mac – Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dukacita dengan perpecahan umat Islam yang semakin buruk ketika ini.

Baginda turut menyifatkan perkembangan yang berlaku sebagai ‘putaran ganas dan membara dalam masyarakat’ yang perlu ditangani secepat mungkin.

Titah baginda, perpecahan yang semakin ketara di kalangan umat Islam cukup mencemaskan dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak agar tidak mendatangkan masalah yang lebih besar kepada negara.

“Akhir-akhir ini umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran, ujian dan percubaan, termasuk isu-isu politik, ekonomi, sosial dan keruntuhan akhlak terutama di kalangan remaja.

“Perpecahan yang sangat ketara di kalangan umat Islam cukup cemas dan mendukacitakan. Beta merasakan situasi sebegini merupakan detik pahit yang memerlukan penyelesaian segera oleh umat Islam yang berfikiran matang, insaf dan sedar,” titah baginda.

Baginda bertitah ketika melancarkan Sambutan Bulan Dakwah Peringkat Negeri Kelantan di Balai Islam Lundang di sini malam tadi. Turut berangkat Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad.

Pada program yang bertemakan Wahdah Pemangkin Khaira Ummah itu, Ahmad Zahid menyampaikan replika cek bernilai RM160,750 kepada Nik Abdul Aziz sebagai simbol sumbangan JPM melalui Yadim kepada kerajaan negeri ini untuk menjalankan aktiviti sepanjang bulan tersebut.

Tuanku Ismail bertitah, penganjuran bulan dakwah itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk mengatasi masalah perpecahan di kalangan umat Islam dan mengukuhkan lagi perpaduan.

Baginda berharap agenda perpaduan ditekankan pada bulan ini agar permasalahan tidak terus menjadi ‘putaran ganas dan membara dalam masyarakat’.

“Usaha dan cara berdakwah perlu diubah dengan menggunakan pendekatan terkini, dakwah kontemporari amat penting dalam usaha kita mendekati semua golongan terutama remaja yang semakin menjauhkan diri.

“Bagi menyemarakkan kegiatan dakwah, menjadi harapan beta supaya kesedaran dakwah di kalangan anggota masyarakat Islam disemarakkan sesuai dengan perkembangan semasa umat Islam dan perkembangan global,” titah baginda.

Baginda bertitah, perkara pokok yang perlu diberi penekanan ialah sasaran dakwah kepada dua kelompok utama iaitu di kalangan sesama muslim dan masyarakat di luar Islam bagi mengelak prasangka buruk.

Bagi memastikan usaha dakwah lebih berkesan, baginda mahu umat Islam menguasai ilmu pengetahuan yang dapat disesuaikan dengan perkembangan semasa supaya ia mudah difahami oleh semua golongan.

“Malah perlu diingatkan umat Islam perlu berada di tengah gelanggang dengan menampilkan kejayaan yang boleh dicontohi oleh orang bukan Islam,” titah baginda.

Read More...

Sunday, March 1, 2009

Dilarang guna Allah

KOTA KINABALU 28 Feb. – Pewartaan kebenaran penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama Kristian dibatalkan kerana terdapat kesilapan pada warta tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perintah yang diwartakan pada 16 Februari 2009 itu juga bertentangan dengan keputusan kerajaan sebelum ini dan ia dibuat sebelum mahkamah memberikan keputusan.

Sehubungan itu katanya, kementerian membatalkan pewartaan tersebut dan memperbetulkan segera kesilapan berkenaan.

“Dalam perkara larangan penggunaan nama Allah itu, kita tidak akan mengatasi keputusan kerajaan yang tidak membenarkan penggunaan nama Allah oleh agama lain selain Islam dan kita juga tidak akan mendahului keputusan mahkamah.

“Saya mengaku berlaku kesilapan dalam pewartaan larangan penggunaan nama Allah itu dan kita akan mengambil tindakan untuk membetulkannya,” tegas beliau kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Syed Hamid berkata, kesilapan tersebut berlaku di peringkat ‘penggubalan maksud arahan’.

“Apa yang diberitahu pada saya dan apa yang akhirnya berlaku adalah dua perkara yang berbeza. Oleh itu, berlaku kesilapan dan kesilapan itu membawa implikasi yang amat mendalam,” katanya.

Beliau menambah, keputusan kerajaan sangat jelas bahawa perkataan Allah tidak boleh digunakan oleh agama selain daripada Islam.

Ditanya sama ada ruang untuk membetulkan pewartaan itu, Syed Hamid berkata: “Pewartaan itu dibuat oleh saya. Oleh itu saya akan membatalkan pewartaan tersebut”.

Mengenai tindakan seterusnya, beliau berkata, kementerian akan membetulkan kesilapan tersebut dan seterusnya menunggu keputusan mahkamah.

“Kita sudah membuat keputusan sebelum ini tetapi mereka cabar dengan membawa kes itu ke mahkamah. Sebelum mahkamah buat keputusan, kita tidak akan membuat apa-apa keputusan,” katanya.

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) semalam diberitahu bahawa penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian bukan lagi satu larangan.

Keputusan itu terkandung dalam Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 yang baru diwartakan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Nizam Zakaria, perintah bertarikh 21 Januari lalu berkuat kuasa serta-merta setelah ia diwartakan pada 16 Februari lalu.

Perintah tersebut berbunyi : “Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan ‘Khusus Untuk Penganut Agama Kristian’.

Nizam memberitahu demikian semasa sebutan kes semakan kehakiman (undang-undang) oleh Gereja Katholik terhadap larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly di hadapan Hakim Lau Bee Lan.

Read More...

Saturday, December 27, 2008

RM6.1 juta bina dua dewan cina


Ahmad Said (kanan) menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin, Kweh Beng Hui (kiri) sambil disaksikan (bermula dua dari kiri) Toh Chin Yaw, Pengetua SMK Chung Hwa Wei Sin, Seah Kwee Siang, Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Wong Fong Meng pada Program Mesra Rakyat Menteri Besar Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 26 Dis. - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera sebanyak RM6.1 juta bagi pembinaan Dewan Perhimpunan Masyarakat Tionghua dan dewan sivik di Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sen di sini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu, RM3.3 juta adalah bagi pembinaan dewan perhimpunan manakala sebanyak RM2.8 juta lagi untuk dewan sivik sekolah tersebut.

Katanya, kelulusan itu sebagai bukti kerajaan negeri sentiasa prihatin dan membela nasib masyarakat keturunan Cina yang sebelum ini menyokong Barisan Nasional (BN).

'' Kerajaan juga memberi kelulusan kerana masyarakat Cina amat memerlukannya bagi memastikan mereka menikmati kemudahan serupa dengan tempat lain," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri menyatakan demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Masyarakat Cina di Dewan Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga calon BN dalam pilihan kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Wong Fong Meng dan lebih 5,000 masyarakat Cina.

Mengenai cadangan pembinaan Dewan Perhimpunan Cina, Ahmad berkata, kerja-kerja pembinaan bangunan itu akan dilakukan di Bukit Kecil di sini, apabila pelan dan reka bentuk bangunan diluluskan.

Katanya, pembinaan dewan sivik di Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sen pula amat dinanti-nantikan kerana bakal menyediakan kemudahan kepada masyarakat tersebut bagi menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bandar, Toh Chin Yaw ketika bercakap kepada pemberita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan peruntukan besar untuk faedah masyarakat Cina.

Katanya, pengumuman itu amat dinanti-nantikan kerana ia telah sekian lama diperjuangkan dan baru sekarang menjadi kenyataan.

Read More...

Friday, December 19, 2008

Minyak di bawah AS$40 setong

Utusan Online

SINGAPURA 18 Dis. - Harga minyak mentah dunia didagangkan di bawah paras AS$40 (RM138) setong hari ini kepada paras terendah sejak empat tahun, walaupun pengumuman Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengurangkan pengeluaran.

Pada dagangan tengah hari, kontrak utama New York minyak berkualiti tinggi Light Sweet untuk penghantaran Januari jatuh AS$0.41 (RM1.41) kepada AS$39.65 (RM136.79) setong.

Kontrak itu ditutup pada paras AS$40. 06 (RM138.20) setong, semalam di New York Mercantile Exchange, penurunan sebanyak AS$3.54 (RM12.21).

Minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Februari jatuh AS$0.38 (RM1.31) kepada AS$45.15 (RM155.76) selepas jatuh AS$1.12 (RM3.86) untuk ditutup pada paras AS$45.53 (RM157.07) semalam.

OPEC yang mengeluarkan 40 peratus minyak mentah dunia telah meluluskan cadangan pengurangan sehingga 2.2 juta tong sehari, tujuh peratus daripada kuota pengeluarannya.

Menteri-menteri 13 ahli pertubuhan itu bermesyuarat di Oran, Algeria, bersetuju mengurangkan pengeluaran dalam usaha untuk meningkatkan harga pasaran, yang telah jatuh daripada paras tertinggi melebihi AS$147 (RM507.15) Julai lalu, ekoran permintaan menurun kerana kelembapan ekonomi global.

Ia merupakan kali ketiga dalam tempoh tiga bulan, OPEC telah mengurangkan pengeluaran dan merupakan pengurangan terbesar sejak pertubuhan itu memperkenalkan kuota pengeluaran pada 1982.

Sebelum pengurangan terbaru ini, sasaran pengeluaran harian OPEC adalah 27.3 juta tong, tetapi penganalisis berkata, pertubuhan itu telah mengeluarkan lebih daripada kuota kerana sesetengah ahli ingin meningkatkan pendapatan.

Penganalisis mempersoalkan sama ada perkembangan terbaru ini akan mencukupi berbanding penurunan mendadak permintaan dengan negara-negara industri utama seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Jepun yang berhadapan dengan kemelesetan ekonomi.

Sementara negara-negara lain seperti China mengalami kelembapan pertumbuhan mendadak.

Harga minyak jatuh, walaupun dolar mencatatkan rekod kejatuhan, sehari selepas Rizab Persekutuan AS mengurangkan kadar asas pinjamannya kepada kosong peratus.

Kelemahan dolar mengakibatkan harga minyak mentah jatuh kerana pembeli menggunakan mata wang yang murah. - AFP

Read More...

Monday, December 15, 2008

Malaysia lokasi loji tapis minyak Putrana

KUALA LUMPUR 14 Dis. - El-One Resources Sdn. Bhd. (El-One Resources), pemilik utama loji penapisan minyak Putrana telah melabur sebanyak n 6.5 bilion (RM30.16 bilion) bagi memastikan kejayaan projek loji penapisan itu.

Pengerusi Eksekutifnya, Mohammad Saraei berkata, selain menyediakan modal atau dana syarikat juga telah memeterai perjanjian dengan Hampa Engineering Corporation (Hampa) bagi menyediakan teknologi terkini loji penapisan minyaknya.

''Hampa merupakan syarikat kejuruteraan terkenal Iran akan menyediakan teknologi terkini berkaitan loji penapisan itu dan juga akan bertindak membantu sepenuhnya dalam menentukan reka bentuk, penyelidikan sehingga loji tersebut siap sepenuhnya.

''Setakat ini, kami telah mengenal pasti dua lokasi yang akan menempatkan loji penapisan minyak ini iaitu di Johor Bahru dan Terengganu. Kami masih lagi menunggu keputusan pihak berkuasa tempatan kedua-dua negeri itu,'' katanya.

Saraei berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian antara El-Resources dan Hampa di sini, baru-baru ini.

Tambah Saraei, loji penapisan minyak Putrana direka bentuk dengan kapasiti untuk mengeluarkan 230,000 tong minyak sehari.

''Dengan menggunakan teknologi terkini dalam reka bentuk kejuruteraan dan kaedah pembinaan, loji ini dijangka siap pada tempoh masa yang singkat dan dengan kos optimum,'' jelasnya.

Katanya, projek loji penapisan tersebut bakal menyediakan peluang pekerjaan secara terus sebanyak 1,800 dan 4,000 peluang pekerjaan secara tidak langsung.

''Loji tersebut juga akan menyediakan kompleks jeti dan terminal minyak yang sesuai untuk mengimport dan eksport produk kami.

''Fasa pertama projek itu akan melibatkan 10 juta meter persegi dan akan ditambah kepada 20 juta meter persegi pada masa hadapan,'' katanya.

Selain itu, lokasi loji penapisan minyak itu turut menyediakan kawasan kediaman pekerja termasuk pusat membeli belah, hospital, sekolah kompleks sukan serta kemudahan hiburan, katanya.

Read More...

Nizar pertahan keputusan

Utusan Online

ALOR STAR 14 Dis. - Kerajaan Perak tidak akan berganjak daripada keputusannya untuk menggunakan kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri meskipun tindakan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan Perak berpendapat penggunaan kereta buatan asing itu memberi jaminan dan khidmat yang lebih baik berbanding Proton Perdana.

"Kita rasakan penggunaan kenderaan Exco dan pegawai cukup lasak dan Toyota Camry merupakan satu model yang boleh melalui proses demikian dengan harga berpatutan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjung hormat ke pejabat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan Perak akan mengubah keputusan mengenai kelulusan penggunaan kereta Toyota Camry bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive selepas pelbagai pihak mengkritik tindakan itu.

Kelmarin, Kerajaan Perak dilaporkan meluluskan pembelian 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Mohammad Nizar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos membaiki serta menyelenggara Proton Perdana yang begitu tinggi dan sering mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, tindakan itu disifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Manong, Datuk Ramly Zahari sebagai tidak patriotik kerana kerajaan pakatan pembangkang sanggup menggunakan kereta import berbanding kereta buatan tempatan.

Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) juga menyifatkan kerajaan Perak sebagai 'mengkhianati' negara apabila menggunakan kereta buatan luar bagi menggantikan kereta tempatan sebagai kenderaan rasmi.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan Perak akan meneruskan rancangan penukaran kereta berkenaan tetapi belum memutuskan bila kerana perlu menilai kemampuan kewangan negeri.

Ditanya tindakan tersebut sebagai tidak patriotik, beliau berkata: "Hanya kerana pakai kereta tempatan kita dipanggil patriotik? Saya rasa masalah ini tidak timbul."

Read More...

Friday, December 12, 2008

Sistem sekolah rendah dirombak

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Kementerian Pelajaran akan merombak pendidikan di peringkat sekolah rendah menjelang 2010 dengan mempertimbangkan kewajaran menjadikan sejarah sebagai salah satu mata pelajaran khusus.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu dilihat sejajar dengan usaha kerajaan menyemai dan mengukuhkan integrasi nasional di kalangan generasi muda.

Katanya, rombakan itu yang menjadi sebahagian agenda utama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), akan diteliti secara holistik oleh pihak yang mempunyai kepakaran.

Beliau berkata, aspek penting lain yang perlu diberi penekanan ialah cara negara mencapai kemerdekaan dan gandingan rakyat pelbagai kaum dalam mengisi kemerdekaan.

‘‘Bagi mencapai hasrat ini, pembabitan agensi seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dalam usaha memperkasakan nilai murni dan semangat patriotisme amat penting dan kementerian akan memberi sokongan penuh.

‘‘Kita juga akan memperhebatkan usaha menyampaikan maklumat dan fakta sejarah yang betul kepada masyarakat. Sejarah tidak akan berubah dan tidak boleh dipolemikkan atau dipolitikkan kerana ia adalah fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran buku Perjanjian Lama dan Dokumen Lama Malaysia (1791-1965) di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Buku tersebut yang diterbitkan oleh ITNM dilancarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Buku itu yang menghimpunkan 26 perjanjian serta dokumen penting negara diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris adalah penerbitan pertama di Malaysia dan keempat seumpamanya di dunia.

Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyarankan supaya Sejarah dijadikan subjek wajib di peringkat sekolah rendah untuk memastikan generasi muda mempunyai kefahaman mendalam tentang sejarah negara.

Menurut Abdullah, bagi tujuan itu juga, Kementerian Pelajaran perlu menjadikan pengajaran mata pelajaran Sejarah sebagai sebuah subjek yang menarik dan bukan dianggap oleh pelajar sesuatu yang membosankan.

Sementara itu, diminta mengulas pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, Hishammuddin berkata, kementerian mengekalkannya kerana keputusan itu diambil demi masa depan negara.

Katanya, kementerian sentiasa mengambil berat setiap aduan berkenaan program itu dan mengadakan mesyuarat dengan semua pihak bagi mempertimbang perubahan selain mengkajinya secara terperinci.

‘‘Oleh itu, ugutan membuat demonstrasi terhadap isu itu adalah pelik. Terserah kepada mereka kerana kita menelitinya demi masa depan negara. Bersandarkan akal rasional dan matang kita mendapati ia mekanisme yang tepat,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Hishammuddin berkata, buku Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia memperlihatkan bagaimana Raja Melayu di Semenanjung suatu ketika dulu diperdaya untuk menyerahkan kuasa atau menerima masuk penasihat Inggeris ke negeri Melayu.

‘‘Buku ini turut memuatkan Ordinan Darurat dan Perjanjian Persekutuan pada 1948 sehingga Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada 1965,” katanya.

Read More...

Saturday, December 6, 2008

80,229 layak mengundi 17 Januari

Utusan Online

KUALA TERENGGANU 5 Dis. - Seramai 80,229 pengundi layak mengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Pengarah Pilihan Raya (SPR) Terengganu, Mohd. Noor Daud berkata, daripada jumlah tersebut seramai 1,035 adalah pengundi pos.

Menurutnya, senarai mereka yang layak mengundi dalam pilihan raya kecil itu adalah berdasarkan pendaftaran sehingga September lalu.

''Pemilih berdaftar bagi pilihan raya kecil kali ini didapati meningkat sedikit iaitu seramai 176 orang berbanding 80,053 yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lepas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong berikutan penyandangnya, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Genting Highlands, Pahang pada 28 November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Razali berjaya mengekalkan kerusi berkenaan apabila menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

Razali memperoleh 32,562 undi manakala Mohamad (31,934 undi) dan Maimun (685 undi).

Mengenai persiapan SPR dalam menghadapi pilihan raya itu, Mohd. Noor berkata, pihaknya sedang menyusun pelbagai persiapan diperlukan bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Parlimen Kuala Terengganu meliputi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang dan Batu Burok.

DUN Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Burok dikuasai Pas manakala kerusi Bandar dipegang oleh Barisan Nasional (BN).

Mengikut senarai daftar pengundi pilihan raya umum lepas, pengundi Melayu merupakan majoriti di Kuala Terengganu iaitu 88.3 peratus manakala Cina (11.1 peratus), India (0.4 peratus) dan lain-lain (0.2 peratus).

Read More...

Saturday, November 29, 2008

Kenyataan Soi Lek biadab

Utusan Online

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pewaris menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu sebagai kurang ajar dan biadab.

Timbalan Presidennya, Rahimuddin Md. Harun berkata, kenyataan itu boleh menimbulkan provokasi di kalangan bangsa Melayu dan bangsa lain di negara ini.

"Kenyataan berbaur perkauman itu tidak sepatutnya keluar dari mulut Sio Lek hanya semata-mata untuk menaikkan populariti beliau yang pernah mempunyai skandal seks dahulu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu yang disifatkan beliau sebagai tidak lagi relevan.

Rahimuddin berkata, sebagai bekas menteri, Soi Lek sepatutnya lebih faham akan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan orang Melayu dan bumiputera serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, umat Islam dan bangsa Melayu tidak akan berdiam diri lagi jika penghinaan terus dilakukan oleh kaum lain.

Beliau meminta agar isu perkauman tidak dijadikan bahan untuk perdebatan kerana keamanan dan keharmonian adalah amat penting.

"Ingin diingatkan di sini agar kita tidak mahu tragedi 13 Mei 1969 berulang lagi hanya kerana sifat dengki dan iri hati oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera," tegasnya.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |