+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, December 12, 2008

Sistem sekolah rendah dirombak

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Kementerian Pelajaran akan merombak pendidikan di peringkat sekolah rendah menjelang 2010 dengan mempertimbangkan kewajaran menjadikan sejarah sebagai salah satu mata pelajaran khusus.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu dilihat sejajar dengan usaha kerajaan menyemai dan mengukuhkan integrasi nasional di kalangan generasi muda.

Katanya, rombakan itu yang menjadi sebahagian agenda utama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), akan diteliti secara holistik oleh pihak yang mempunyai kepakaran.

Beliau berkata, aspek penting lain yang perlu diberi penekanan ialah cara negara mencapai kemerdekaan dan gandingan rakyat pelbagai kaum dalam mengisi kemerdekaan.

‘‘Bagi mencapai hasrat ini, pembabitan agensi seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dalam usaha memperkasakan nilai murni dan semangat patriotisme amat penting dan kementerian akan memberi sokongan penuh.

‘‘Kita juga akan memperhebatkan usaha menyampaikan maklumat dan fakta sejarah yang betul kepada masyarakat. Sejarah tidak akan berubah dan tidak boleh dipolemikkan atau dipolitikkan kerana ia adalah fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran buku Perjanjian Lama dan Dokumen Lama Malaysia (1791-1965) di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Buku tersebut yang diterbitkan oleh ITNM dilancarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Buku itu yang menghimpunkan 26 perjanjian serta dokumen penting negara diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris adalah penerbitan pertama di Malaysia dan keempat seumpamanya di dunia.

Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyarankan supaya Sejarah dijadikan subjek wajib di peringkat sekolah rendah untuk memastikan generasi muda mempunyai kefahaman mendalam tentang sejarah negara.

Menurut Abdullah, bagi tujuan itu juga, Kementerian Pelajaran perlu menjadikan pengajaran mata pelajaran Sejarah sebagai sebuah subjek yang menarik dan bukan dianggap oleh pelajar sesuatu yang membosankan.

Sementara itu, diminta mengulas pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, Hishammuddin berkata, kementerian mengekalkannya kerana keputusan itu diambil demi masa depan negara.

Katanya, kementerian sentiasa mengambil berat setiap aduan berkenaan program itu dan mengadakan mesyuarat dengan semua pihak bagi mempertimbang perubahan selain mengkajinya secara terperinci.

‘‘Oleh itu, ugutan membuat demonstrasi terhadap isu itu adalah pelik. Terserah kepada mereka kerana kita menelitinya demi masa depan negara. Bersandarkan akal rasional dan matang kita mendapati ia mekanisme yang tepat,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Hishammuddin berkata, buku Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia memperlihatkan bagaimana Raja Melayu di Semenanjung suatu ketika dulu diperdaya untuk menyerahkan kuasa atau menerima masuk penasihat Inggeris ke negeri Melayu.

‘‘Buku ini turut memuatkan Ordinan Darurat dan Perjanjian Persekutuan pada 1948 sehingga Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada 1965,” katanya.

Read More...

Meniti bahagia di Lombok

Zainab ketika ditemui Kosmo! sudah tidak boleh berbahasa Melayu lagi dan terpaksa menggunakan khidmat orang tempatan untuk menterjemahkan percakapannya.




‘KAMI senang sekali di sini.” Itulah antara ungkapan tiga orang wanita tempatan yang mengambil keputusan untuk membina istana cinta mereka dengan lelaki Lombok Timur, Indonesia.

Wartawan Kosmo! mengambil masa tiga hari menjejaki mereka dan cuba memahami kehidupan mereka yang jauh daripada ibu bapa, adik beradik dan sanak saudara di Malaysia.

Malah penulis juga ingin mengetahui mengapa mereka memilih lelaki Lombok sebagai teman hidup sehingga sanggup berkorban meninggalkan keluarga di bumi kelahiran demi cinta.

Umum mengetahui, tindakan melarikan anak gadis tidak salah di Lombok kerana ia adalah adat yang wujud sejak lama dahulu di kepulauan itu.

Bagaimanapun, adat tersebut hanya sesuai diamalkan di situ sahaja kerana masyarakatnya lebih memahaminya. Justeru itu, ia sama sekali tidak sesuai diamalkan di tempat lain.

Akibatnya wujud persepsi negatif terutama masyarakat di Malaysia yang melabelkan lelaki dari kawasan tersebut sebagai kurang ajar.

Keadaan tersebut begitu bertentangan dengan adat dan budaya di Malaysia dan ia juga boleh mencemar maruah wanita dan keluarga terlibat.

Namun keadaan tersebut tidak berlaku di Lombok Timur. Jika ada anak gadis dilarikan ke sana, ia adalah lumrah. Malah ia menjadi kebanggaan wanita jika mereka dilarikan bakal suami.


ERTI kemewahan bagi Siti Hanisah ialah kebahagiaan dan kasih sayang mertua, suami, anaknya Darlina Tamala Dewi dan adik iparnya, Susanti.


Selain itu, penulis mendapati ikatan kekeluargaan yang kuat dalam kalangan masyarakat di situ menjadi antara faktor yang menyebabkan ramai gadis kita sanggup tinggal di sana walaupun keadaan di Malaysia jauh lebih baik.

Sungguhpun serba kekurangan dari segi infrastruktur serta peluang pekerjaan yang sedikit, wanita Malaysia sanggup memperjudikan masa depan mereka di tangan suami tercinta.

Pertemuan pertama penulis ialah dengan Siti Hanisah Rosli, 21, yang kini menetap dengan keluarga suaminya di Gubuk Tengah, Desa Pengadangan, Lombok Timur, Indonesia.

Siti Hanisah tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Suaminya pula kembali semula ke Malaysia untuk mencari rezeki sebagai penoreh getah di Negeri Sembilan, sejak enam bulan lalu.

Pertama kali beliau menjejakkan kaki di kampung tersebut, Siti Hanisah yakin dia akan hidup bahagia kerana kekuatan ikatan kekeluargaan yang ditunjukkan oleh keluarga mertua mendatangkan rasa kagum kepada dirinya.

Malah seluruh masyarakat di situ turut memberi sokongan kepadanya untuk melayari kehidupan berumah tangga tanpa perlu bimbang dengan kesusahan yang bakal mereka lalui.

Biarpun hanya tinggal di sebuah rumah kecil, bersama ibu mertua dan adik iparnya, Siti Hanisah sedikitpun tidak menunjukkan kesal pada wajahnya.

“Saya bahagia di sini, apa yang menyebabkan saya sedikit pun tidak kesal meninggalkan Malaysia ialah kasih sayang yang tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh keluarga di sini.

“Lagi pun saya datang ke sini mendapat restu keluarga. Saya tidak melarikan diri dan datang dengan penuh rela hati, selain suami saya sudah menjelaskan kepada saya tentang keadaan di sini,” katanya kepada penulis.


ERTI kemewahan bagi Siti Hanisah ialah kebahagiaan dan kasih sayang mertua, suami, anaknya Darlina Tamala Dewi dan adik iparnya, Susanti.


Erti kemewahan kepada Siti Hanisah ialah kebahagiaan yang melimpah ruah dan bukannya harta benda. Ini menyebabkan dia bersedia dari segi mental dan fizikal untuk terus tabah mengharungi cabaran hidup.

Siti Hanisah yang berasal dari Kerubung, Melaka, masih dapat berhubung dengan keluarga menerusi telefon untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu kepada keluarganya di Malaysia.

Hasil perkongsian hidup Siti Hanisah dan suaminya, mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Darlina Tamala Dewi.

Namun jauh di sudut hatinya, Siti Hanisah ingin berjumpa dengan keluarganya jika keadaan ekonomi dia dan suami semakin kukuh.

Perjalanan penulis diteruskan lagi ke Tibuk Petung, Lombok Timur, yang terletak tidak jauh dari rumah Siti Hanisah untuk menjejaki Norhaslinda Hamid, 25. Beliau sudah lebih 12 tahun melayari bahtera rumah tangga bahagia bersama suaminya, Sofiyan.

Wanita yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini turut mendapat restu keluarga sebelum berkahwin dan berpindah ke negara tersebut. Pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata yang berusia 12 dan 7 tahun. Kedua-duanya bersekolah di situ.

“Saya tidak menghadapi masalah kerana perkahwinan kami mendapat restu keluarga walaupun kedatangan kami ke sini melalui ‘jalan gelap’,” ujarnya.


ATAS: NORHASLINDA, Sofiyan dan anak sulung mereka, Dewi hidup bahagia sejak 12 tahun lalu. Keluarga dari Malaysia pernah datang mengunjungi pasangan bahagia ini. BAWAH: SITI HANISAH tinggal bersama ibu mertua dan suaminya pula kembali ke Malaysia untuk bekerja.





Norhaslinda menjelaskan apa yang dilakukannya adalah kerana cinta. Dia juga tidak menyesal kerana bertindak demikian kerana yakin suaminya dapat memberikan kebahagiaan kepada dia dan anak-anaknya.

Sementara itu, Sofiyan pula baru pulang dari Malaysia dan kini menjadi seorang penganggur.

Ditanya mengenai status Norhaslinda pula, beliau menjelaskan proses untuk mendapatkan kad pengenalan di Indonesia begitu mudah. Beliau kini memegang kad pengenalan penduduk tetap Indonesia serta pernah menjadi salah seorang pengundi ketika pilihan raya umum Indonesia yang lalu.

Pada hari terakhir di negara tersebut, penulis berjaya bertemu dengan seorang lagi warga Malaysia yang sudah hampir 15 tahun di perantauan.

Zainab Ahmad, 38, yang berasal dari Kulai, Johor, pula mempunyai kisah yang cukup unik dan berbeza daripada kisah-kisah tadi.

Sebaik sahaja bercerai dengan bekas suaminya kira-kira 15 tahun lalu, Zainab mengambil keputusan untuk melancong ke kepulauan tersebut bersama rakan-rakannya.

Ketika melancong itulah, beliau bertemu dengan seorang lelaki dan Zainab mengambil keputusan untuk terus tinggal di situ. Rakan-rakan percutiannya pulang ke Malaysia manakala Zainab pula nekad mengikut lelaki yang baru dikenalinya di Lombok.

Zainab ketika ditemui Kosmo! sudah tidak boleh berbahasa Melayu lagi dan terpaksa menggunakan khidmat orang tempatan untuk menterjemahkan percakapannya.

Dia bersama suaminya menjalankan kerja menanam tembakau untuk menyara keluarga.

“Di sini, kalau ada beras pun sudah cukup gembira. Kami bercucuk tanam untuk sara diri dan saya sudah biasa dengan keadaan di sini,” katanya.

Dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, kehidupan mereka sekeluarga kelihatan cukup sederhana.

Zainab sempat memberitahu penulis yang dia juga sering bermimpi bertemu dengan keluarganya yang berada di Malaysia.

Read More...

UMNO/BN Punca Perbalahan Antara Kaum

Buletin Online

Ditulis oleh Wartawan Buletin
Tuesday, 09 December 2008

http://buletinonline.net/images/berita14/pimpinanpakatanrakyat.jpg
Kuala Terengganu – PAS Terengganu akan melancarkan secara rasminya penubuhan jentera pilihanraya PAS bagi Pilihanraya Kecil P.036 Parliman Kuala Terengganu pada 11hb Disember ini. (Gambar - pimpinan Pakatan Rakyat, setiap parti gabungan adalah parti pelbagai kaum)


Pengerusi Jawatankuasa PAS Terengganu bagi Jentera Pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Abdul Mautablib Embong berkata jentera pilihanraya PAS Terengganu diseluruh peringkat telah pun siap ditubuh dan digerakkan.

“Di peringkat Kawasan, DUN dan UPU, semuanya telah ditubuhkan dan mereka telah pun bermesyuarat mengikut tugas dan fungsi masing-masing,


“Sehingga hari ini semangat ahli-ahli adalah tingi dan belum ada halangan-halangan, InsyaAllah kita akan membuat pelancaran jentera pilihanraya pada 11 hb Disember akan datang,”kata beliau yang turut memberitahu Markaz PAS Kuala Terengganu di Kuala Ibai akan dijadikan sebagai Markaz Besar Pilihanraya Kecil P.036.


Beliau berkata pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu adalah pilihanraya yang agak terbuka kerana ianya adalah pemilihan wakil parlimen bukannya wakil untuk Dewan Undangan Negeri.

“Kita akan terus mendekati pengundi-pengundi bukan melayu daalm pilihanraya kecil ini kerana ia adalah kerusi parlimen berbeza dengan pilihanraya dulu (pilihanraya umum) dimana DUN Bandar itu orang-orang cina merasakan mereka perlu satu wakil dari etnik mereka tapi sekarang ini kita rasa ianya lebih bebas,”
ujar beliau.

Kemenangan PAS bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu menurut beliau adalah amat penting bagi membawa suara negeri dan apakah kekurangan-kekurangannya yang dibuat atau dilakukan oleh kerajaan pusat keatas negeri.

Beliau menyebut antara pengkhianatan kerajaan UMNO/BN Pusat kepada kerajaan dan rakyat negeri Terengganu adalah pengkhianatan kepada sistem demokrasi berparlimen, kemiskinan dan infrastruktur yang ketinggalan.

“Bila kita menang pada tahun 1999 dia rampas hasil minyak kita ini satu paling tidak demokratik (very undemocratic) ini kita kena sampaikan lagi di parlimen,

”kemudiannya yang kedua, kemiskinan yang berterusan walaupun kita mendapat hasil banyak tapi rakyat Terengganu masih lagi termiskin kedua di Malaysia, tidak ada sebab (no reason), ini kita kena sampaikan kepada parlimen secara positif


”Yang ketiganya kemudahan-kemudahan infrastruktur di negeri Terengganu sendiri, maknanya penumpuan (hendaklah dibuat) bukannya kepada mega projek yang tidak memberi keuntungan dan manafaat kepada rakyat secara langsung seperti Monsoon Cup dan Taman Tamadun Islam,”katanya selepas mesyuarat Perhubungan Negeri Terengganu di Kuala Ibai, baru-baru ini.

Beliau juga kesal kerana apa yang dapat dilihat sekarang ini ialah infrastruktur dalam bandar dan sekitar pinggir bandar yang masih lagi terlalu jauh kebelakang.

”bila hujan lebat sikit, sudah ada banjir (ditempat ) yang tidak sepatutnya banjir. Ini adalah kegagalan-kegagalan dan kealpaan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN), dan ini antara isu-isu yang besar yang kita akan kemukakan kepada rakyat (dalam pilihanraya kecil ini),”tambah beliau.

Meenjawab persoalan isu negara Islam yang sering di eksploitasi oleh UMNO/BN setiap kali pilihanraya, beliau berkata sebenarnya tidak ada apa salahnya dan yang tidak kena dengan Islam dan Negara Islam.

”Negara Islam sebagai maksud nya adalah baik (as it is per say it is alright), tetapi ia masih dilihat dan telah dimanipulasi (but it is still read and it is still manipulated),

”dikatakan Negara Islam itu akan mencengkam akan merosakkan bukan Islam sedang Islam tidak ada ajaran begitu,


”kalau tidak, takkan semua seluruh Afrika dan sekarang ini Michael Jackson pun masuk Islam, walaupun dia seorang selibriti yang terkenal (even celebrity and that stage) melihat bahawa kebenaran datang dari islam dan kita harap keseluruhan ini akan pergi kepada setiap individu,”

Beliau berkata apa yang nyata di lihat sekarang adalah kegagalan di Malaysia kita sekarang ini adalah kerana ditimpa dengan konflik dan pertelingkahan dan perbalahan antara kelompok bangsa (communal racial clashes) yang berlaku sekarang ini adalah dilakukan oleh UMNO dan BN.


”Tengok kenyataan Chua Soi Lek, apa yang dia katakan, mereka adalah dari kerajaan yang memerintah (they are from the government), dia (Chua) pernah menjadi menteri kabinet ( he was in the government), macamana bila dia tak dapat jawatan dia luahkan perkataan begitu, maknanya bomb jangka (perbalahan kaum) (adalah timbul) dari kalangan BN dan bukannya dari luar BN (time-bomb is within the BN not outside the BN)

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |