+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, July 14, 2008

Dr Asri: Program sirah TV3 'karut'

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Jul 14, 08 5:01pm

Program sejarah nabi yang disiarkan TV3 "dibaluti kekarutan", dakwa mufti Perlis hari ini - meneruskan sikap beraninya menegur secara terbuka pihak-pihak yang dianggapnya tidak menepati ajaran Islam.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau telah menerima beberapa aduan berhubung kandungan program Al-Hidayah di stesen televisyen swasta itu tetapi enggan mengulas kerana belum pernah menontonnya.

"Ternyata apa yang menjadi kegusaran banyak pihak itu benar. Ustazah berkenaan telah menceritakan tentang nabi Isa tanpa berdasarkan sumber-sumber yang sahih.

al hidayah"Bahkan kisah itu dibaluti dengan kekarutan yang amat sangat," katanya, mengulas slot sirah dalam program itu yang ditontonnya semalam.

Program itu disiarkan semalam selama setengah jam mulai 6.30 pagi.

Sumber yang dekat dengan rancangan TV3 itu berkata, tayangan setiap pagi Sabtu dan Ahad itu merupakan siaran ulangan dan program asalnya "mungkin telah disiarkan dua atau tiga tahun lalu".

Siri terkini rancangan itu boleh ditonton pada setiap Jumaat dari jam 1 hingga 1.30 tengah hari, sumber itu memberitahu Malaysiakini ketika dihubungi tadi.

Rancangan itu, menurutnya lagi, sudah lebih 10 tahun disiarkan.

Slot sirah juga, menurut sumber, sudah tidak lagi dikekalkan dalam siri terbaru.

Mengulas sama ada TV3 menerima bantahan rasmi atau tidak, sumber menyatakan:

"Rancangan itu dipantau oleh Jakim (Jabatan Kebajikan Islam Malaysia). Biasanya kalau ada apa-apa, Jakim akan beritahu (TV3). Setakat ini, saya tidak dengarlah."

Menurut Mohd Asri di blognya hari ini, penceramah menyatakan bahawa ibu baginda rasul Maryam wafat sebelum nabi itu dan "mengemukakan kisah yang tiada sumber yang sah daripada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih."

"Bahkan (kisah itu) bertentangan juga dengan Bible," katanya.

"Kemungkinan besar beliau mengutip kisah ini daripada laman web Syiah sempena perayaan 'mengingati kewafatan Maryam' yang diraikan oleh Syiah Imamiyyah," kata mufti muda itu, seorang lulusan dalam bidang pengajian hadis.

"Kecenderungan penceramah-penceramah sebegini mengambil sumber-sumber yang tidak sahih tentang agama - termasuk hadis palsu dan riwayat Israiliyyat – boleh mengelirukan orang awam mengenai Islam yang sebenar."

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Mohd Asri berkata, beliau menerima banyak aduan mengenai rancangan-rancangan agama di televisyen melalui emel sejak beberapa bulan lalu.

Beliau bagaimapun enggan mendedahkan rancangan-rancangan lain kerana belum menontonnya sendiri.

Mufti Perlis mencadangkan kepada TV3 agar menyemak latar belakang penceramah dan isi kandungan yang bakal disampaikan untuk mengelak berulang kesilapan fakta.

"Kalau rancangan itu (mengenai) sirah, semak dengan orang (yang mahir) sirah. Kalau syariah, semak dengan orang yang berkelayakan dalam syariah, semak dengan orang yang betul-betul ahli," katanya.

"Kena hati-hati, (ceramah) motivasi boleh, (kalau melibatkan) fakta, kena hati-hati," katanya.

Slot sirah yang disiarkan semalam disampaikan oleh seorang penceramah motivasi berunsur agama yang terkenal.

Read More...

Peralihan Kuasa 2010: Najib dapat cek kosong

Harakahdaily

Salmiyah Harun

Mon | Jul 14, 08 | 5:11:19 pm MYT

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Peralihan kuasa pada tahun 2010 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi dilihat sebagai satu helah politik bagi menghadapi pemilihan Umno pada Disember ini setelah mendapati dirinya yang mungkin dicabar oleh timbalannya Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak atau Tengku Razaliegh.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat), Salahuddin Ayub berkata, taktik licik terbaru Abdullah Badawi yang kononnya menyetujui satu pelan peralihan kuasa antara beliau dengan timbalannya Najib Razak dilakukan pada 2010.

Katanya, pengumuman pelan itu adalah satu strategi untuk mengurangkan musuh sekaligus membolehkan Abdullah membentuk pasukan dengan Najib bagi berhadapan dengan Tengku Razaliegh.

"Abdullah yang selama ini terkenal sebagai 'Mr Clean' telah terpalit dengan pelbagai dosa semenjak beliau menjadi Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan.

Salahudin berkata, isu-isu yang melibatkan bekas isterinya dalam kempen 'Satu Suami Satu Isteri', anaknnya yang kini menjadi antara 10 orang terkaya di Malaysia, anak perempuannya yang aktif bersama Sister in Islam, serta menantu kesayangannya yang dikatakan menguasai tingkat empat Jabatan Perdana Menteri.

Kemudian, katanya, apabila Abdullah gagal menangani isu inflasi, krisis makanan dan harga minyak, ketidakyakinan itu turut melibatkan ahli-ahli Umno dan komponen BN seperti SAPP yang mengumumkan tidak percaya lagi kepada beliau.

"Tindakan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar Kedah keluar dari Umno turut menggambarkan hakikat yang sama. Kini Pak Lah terpaksa mencari jalan untuk mengurangkan musuh di luar dan di dalam Umno," katanya.

Tegasnya, Anwar Ibrahim semakin mendapat kepercayaan rakyat untuk menggugat Abdullah tetapi di dalam Umno pula Tengku Razaliegh pula sudah mencanang gendang untuk merebut jawatan Presiden Umno.

"Najib sendiri masih berdiam diri, tetapi dijangka turut berbuat demikian sebelum dipintas oleh Ku Li atau Anwar. Dr Mahathir pula berterusan mengajak rakyat dan ahli Umno menjatuhkan Pak Lah,"tambahnya.

Jelasnya, inilah realiti yang dihadapi oleh Abdullah sehingga beliau sanggup merangka satu pelan peralihan bagi meredakan tekanan tersebut, terutama bagi mengurangkan musuh dan meredakan kemarahan ahli Umno.

Tetapi, katanya, rakyat sudah tidak percaya lagi kepada janji Abdullah kerana beliau sering kali membohongi rakyat dengan menipu tarikh pembubaran parlimen dan tarikh kenaikan harga minyak.

"Pak Lah menafikan desas-desus parlimen akan dibubarkan pada Februari lepas, tetapi beberapa jam selepas itu beliau membubarkan parlimen. Begitu juga isu harga minyak, para menterinya mendakwa ia hanya dinaikkan selepas Ogos, tetapi tiba-tiba Pak Lah mengumumkan kenaikan 41 peratus,"katanya.

Justeru, katanya, itulah amalan penipuan yang menjadi 'trade mark' Abdullah dan kini giliran Najib pula akan berhadapan dengan isu serupa.

"Lagipun, Najib bukanlah 'putera mahkota' Pak Lah, kerana menantu kesayangan beliau juga mengidam jawatan tertinggi itu. Nampaknya Najib hanya mendapat bukan sahaja 'post dated cheque' tetapi cek kosong!" katanya. - mks._

Read More...

Umno setuju dialog dengan PAS

Malaysiakini

Jul 14, 08 6:30pm

Umno menyambut baik cadangan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berbincang dengan parti itu mengenai isu-isu berkaitan orang Melayu dan Islam.

Presiden Umno berkata parti itu sedia berbincang dengan PAS untuk mewujudkan persefahaman supaya perbalahan yang berkait dengan Melayu dan Islam dapat dikurangkan, lapor Bernama.

"Jika ada persefahaman, maka kuranglah satu masalah yang melibatkan orang Melayu," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengulas kenyataan Abdul Hadi, Jumaat lalu.

Perdana menteri berkata demikian selepas merasmikan persidangan mengenai golongan miskin dan berpendapatan rendah di bandar, di Petaling Jaya hari ini.

Namun, kata Abdullah, apa sahaja yang perlu dilakukan untuk kebaikan orang Melayu juga perlu mengambil kira kebaikan rakyat keturunan lain.

Dalam wawancara eksklusif dengannya yang dimuatkan di laman Harakahdaily.net, Abdul Hadi tidak menafikan wujudnya rundingan antara PAS dengan Umno seperti diura-urakan dengan meluas, termasuk di media, baru-baru ini.

Malah, beliau menganggap menjadi hak parti itu untuk mengadakan rundingan dengan sebarang pihak, termasuk Umno.

"Kalau tidak jumpa dengan Umno macam mana nak sampaikan mesej kita?" kata Abdul Hadi.

"Pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka," jelasnya lagi apabila disoal sejauh mana benar dakwaan wujudnya pertemuan tersebut.

Ditanya hasil pertemuan dan rumusan PAS, Abdul Hadi berkata:

"Kita beri penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah. Iaitu merujuk kembali kepada kesilapan yang mereka lakukan yang merugikan umat dan agama Islam itu sendiri."

Abdullah berkata pasukan keselamatan hanya menjalankan tugas, terutamanya untuk mengurangkan gangguan kepada lalu lintas akibat tunjuk perasaan.

"Kumpulan yang mahu mengadakan tunjuk perasaan ini menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk. Polis cuba menyekat kekacauan," katanya, mengulas sekatan jalan raya besar-besaran semalam dan hari ini bagi menghalang perhimpunan yang dikatakan akan diadakan dekat bangunan Parlimen.

Parti-parti Pakatan Rakyat menafikan menganjurkan sebarang perhimpunan hari ini.

Read More...

Koleksi Video - Sekatan ke parlimen....Konspirasi halang DSAI berdebat??

Anwar Ibrahim Diganggu Polis



Konspirasi Batalkan Debat 15 JULAI 2008 ?




Polis takut bayang-bayang sendiri.....mana ada orang ramai nak adakan perhimpunan......haprak manalah yang bagi input pada polis Malaysia ni????? Kerajaan BN terlampau takutkan seorang individu......rosak-rosak.....
Ataupun....ni adalah konspirasi....supaya DSAI tak boleh berdebat kat TV???
Alasan nak tangkap DSAI le tu.....skrip yang boleh dibaca.....hampeh!!!

Read More...

Debat Anwar - Shabery esok akan jadi tumpuan negara

Siasah daily

Monday, July 14, 2008




KUALA LUMPUR: Siasah mengutip beberapa pandangan berhubungan perdebatan antara Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Sri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang bakal berlangsug 15 Julai depan.

Perdebatan tersebut dijangka akan mendapat perhatian seluruh negera berikutan isu yang bakal diketengahkan adalah mengenai kenaikan harga minyak selain faktor pendebat yang merupakan tokoh besar dalam politik tanah air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan perdebatan itu adalah satu perkara yang baik sekiranya matlamat sebenar dicapai atas apa yang berlaku di negara ini.

Kata beliau, kedua pendebat harus fokus ke arah isu itu (kenaikan harga minyak) dan bukan menuju ke arah yang lain.

"Kritikan yang rasional diperlukan untuk membincangkan perkara yang didebatkan." kata beliau.

Perdebatan Anwar Shabery bakal berlangsuung di Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur 15 Julai nanti pada jam 9 malam dan akan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen.
Menurut Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution, perdebatan tersebut wajar dan patut dilaksanakan secara langsung untuk membolehkan semua rakyat menyaksikannya dan mendengar hujah kedua pihak.

Bahkan beliau menyifatkan menyiarkan perdebatan itu secara langsung memberi keadilan kepada semua pihak.

Selain itu beliau juga yakin moderator yang akan mengendalikan perdebatan tersebut, Datuk Johan Jaafar akan berlaku adil di hadapan 200 jemputan yang menyaksikan di DBP dan juga seluruh rakyat Malaysia.

Bagi pengerusi BBC Negeri Perak, Khalil Idham Lim perdebatan itu jika disiarkan secara langsung untuk memberi kesan kepada rakyat Malaysia untuk menilai dakwaan dari pihak pembangkang serta kerajaan.

"Biarlah rakyat yang menilai sendiri akan apa juga keputusan perdebatan itu nanti,satu tindakan yang amat positif," katanya mengulas ringkas kepada Siasah.

Naib Ketua Puteri UMNO, Rasnah Abdul Rasid Shirlin turut positif dengan perdebatan itu dengan menyifatkannya sebagai amat baik kerana akan memberi peluang kepada kedua pihak untuk berhujah.

"Rakyat dapat menilai sendiri di akhir perdebatan itu setelah memberi peluang serta ruang yang cukup kepada kedua pihak.

"Segala perkara akan terungkai dan juga peluang kami untuk melihat dan mendengar apa yang akan dicadangkan oleh Anwar nanti. " kata beliau.

Sementara itu Anwar yang pada awalnya mahu berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi berharap agar siaran lansung itu tidak akan dibatalkan oleh pihak kerajaan.

Antara perkara yang akan diketengahkan dalam perdebatan itu ialah mengenai cadangan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak.

Debat itu adalah di bawah tajuk ' Hari ini membentuk kerajaan,esok turun harga minyak '.

Read More...

Usul tak percaya ditolak, wakil pembangkang keluar Dewan

Mstar Online

14-07-2008 02:52:28 PM

DR. WAN AZIZAH Wan Ismail bersama Lim Kit Siang pada sidang media selepas usul tergempar yang difailkan Khamis ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat hari ini. - foto The Star oleh Darran Tan

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Kesemua anggota Parlimen pembangkang iaitu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP hari ini bertindak keluar Dewan apabila usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar Amin, yang menerima permohonan usul itu daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail Khamis lepas berkata, beliau telah memberikan alasan bertulis terhadap penolakan di bawah peraturan 18 (7), walaupun secara asasnya tidak diperlukan untuk membuat penjelasan.

"Speaker tak perlu beri alasan pun tetapi apabila saya tak jawab, seolah-olah saya sembunyikan sesuatu. (Alasan penolakan ialah kerana) Apabila saya baca usul berkenaan ia menyatakan mengambil ketetapan tidak percaya.

"Mengambil ketetapan ini membabitkan pengundian sedangkan 18 (1) dan 18 (2) ialah untuk merunding. Maca mana pulak saya boleh benarkan di bawah 18 (1) dan 18 (2)," katanya ketika memulakan sesi penggulungan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan di sini.

Beliau berkata, alasan lain yang diberikan secara bertulis kepada Dr. Wan Azizah mengenai sebab penolakan itu ialah semua yang hendak dkemukakan dalam Dewan mengikut peraturan mesyuarat itu sudah dikemukakan pada perbahasan usul kenaikan harga minyak tempoh hari.

Anggota Parlimen pembangkang membuat keputusan keluar Dewan selepas Pandikar Amin menyatakan sesiapa juga yang bangun untuk mempertikaikan keputusannya menolak usul berkenaan akan diarah keluar.

"Siapa yang bangun selepas (Anggota Parlimen) Batu (iaitu Tian Chua berhujah) saya akan arah dia keluar (Dewan)," katanya.

Ketika keadaan semakin hangat dengan penyokong kerajaan dan pembangkang bertikam lidah termasuk menyindir antara satu sama lain, Dr. Wan Azizah bangun meminta Pandikar Amin mempertimbangkannya semula.

"Kalau boleh timbangkan. Kita terpaksa meninggalkan Dewan. Inilah cara kami (menyuarakan hasrat rakyat)," kata Dr. Wan Azizah.

Selepas Pandikar Amin tidak melayani permohonan itu dan menegaskan bahawa keputusannya adalah muktamad, Dr. Wan Azizah bangun dan keluar dari Dewan dengan diikuti kesemua anggota pembangkang lain.

Khamis lepas parti pembangkang menyerahkan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri kepada Pandikar Amin di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.

Usul itu diserahkan oleh Dr. Wan Azizah Ismail yang mengetuai 14 Anggota Parlimen dari parti pembangkang yang mewakili PKR, PAS dan DAP.

Usul itu adalah di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) yang berbunyi "Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kempipinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan." BERNAMA

Read More...

Kronologi peristiwa protes ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Harakahdaily

Azamin Amin & Wan Nordin

Mon | Jul 14, 08 | 9:47:52 am MYT



KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Seperti dijangkakan, speaker telah menolak usul ketidakpercayaan yang dibawa oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Tindakan speaker yang menolak untuk dibawa ke dewan usul tersebut telah menyebabkan Ahli-ahli Pakatan Rakyat bertindak bangun dan keluar dari persidangan yang sedang berlangsung.

Berikut adalah kronologi peristiwa

1.00 petang: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar daripada dewan hari ini sebagai protes terhadap speaker yang tidak membenarkan usul dibawa ke dalam dewan.

Sementara itu, Wan Azizah dalam sidang medianya sebentar tadi melahirkan kekesalannya atas perintah mahkamah yang dikeluarkan untuk menghalang Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada hadir ke parlimen.

11.35 pagi: Masih tiada sebarang maklumat mengenai keputusan usul yang dibawa oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

11.30 pagi: Wartawan yang menemui pimpinan Pakatan Rakyat di luar parlimen sebelum ini melahirkan rasa terkejut dan mengakui tidak mengetahui sebarang usaha dan rancangan untuk mengadakan demonstrasi oleh sesiapa. Sehingga kini, wartawan dari media alternatif masih tidak dibenarkan masuk.Dan

10.30 pagi: Dilaporkan pihak berkuasa dengan kekuatan seramai 200 anggota polis, 100 orang anggota berpakaian preman dan 4 trak FRU berkawal di sekitar parlimen. Sementara itu, wartawan dan jurugambar dari media alternatif termasuk dari agensi asing turut dihalang dan berlegar di luar bangunan parlimen

10.10 pagi: Media alternatif termasuk dari Harakah, Malaysiakini dan WebTVPAS dihalang dari masuk ke parlimen dengan alasan tidak mempunyai pas rasmi

9.45 pagi: Wartawan Harakah yang ingin membuat liputan sidang Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini masih lagi menunggu giliran untuk masuk ke kawasan tersebut.

9.30 pagi: Wartawan Harakah dan petugas media lain telah 'dipaksa' berjalan kaki sejauh hampir sekilometer daripada pintu pagar Parlimen dan sebarang kenderaan media tidak dibenarkan masuk.

Sehingga berita ini ditulis, hanya kenderaan Ahli Parlimen sahaja yang dibenarkan masuk.

8.30 pagi: Jalan raya sekitar Kuala Lumpur dilaporkan sesak akibat beberapa sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak polis.

7.30 pagi: Pengguna jalan raya memberikan laporan bahawa pihak polis telah melakukan sekatan ke jalan-jalan yang menuju masuk ke Kuala Lumpur dan sekitar kawasan parlimen.

Sebelum ini,Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata langkah keselamatan itu terpaksa diambil selepas beliau mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan diadakan oleh pihak pembangkang sama ada di dalam ataupun di luar kawasan Parlimen.

Ia ekoran tindakan Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengetuai 14 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul ketidakpercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kepada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang akan memutuskan sama ada menerima atau menolak usul itu, Isnin ini.

"Saya difahamkan, sama ada usul ini akan diterima ataupun ditolak, saya telah mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan dibuat sama ada di dalam atau di luar kawasan Parlimen, Isnin ini,"dakwanya.

Nazri berkata pihak polis akan membuat kawalan yang ketat dan hanya akan membenarkan ahli Parlimen sahaja masuk ke dalam kawasan Parlimen.

"Saya telahpun menghubungi Speaker memaklumkan tentang tindakan yang saya ambil ini, semata-mata untuk keselamatan ahli-ahli Parlimen dan juga kawasan Parlimen.

"Keselamatan Anggota-anggota Parlimen dan keselamatan kawasan Parlimen adalah diutamakan dan kita tidak mahu apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku dalam kawasan Parlimen," katanya lagi.

Ditanya sama ada pihak media yang membuat liputan akan turut terjejas dengan langkah keselamatan tersebut, Nazri berkata perkara itu adalah terpulang kepada pihak polis.

"Media, memanglah mereka bertugas. Jadi apa juga tindakan yang diambil oleh pihak polis itu terpulang kepada budi bicara mereka kerana akhirnya polis yang bertanggungjawab di atas keselamatan di kawasan itu," katanya. - mks._

Read More...

Berhentilah Mencipta Pembohongan!

Anwaribrahimblog

Saya merasa kesal bila diberitahu jalan raya di sekitar ibu kota sesak akibat sekatan polis hari ini. Sekatan itu diadakan kononnya untuk menghalang perhimpunan di Parlimen. Kenyataan media yang diedarkan semalam jelas menyatakan bahawa saya dan Pakatan Rakyat tidak terlibat dalam mengadakan sebarang perhimpunan di Parlimen dan sekitarnya.

Semalam saya dikaitkan oleh pihak polis sebagai individu yang akan memobilisasikan satu perhimpunan di Parlimen. Malah satu perintah mahkamah telah dikeluarkan untuk menghalang saya dari berada di Parlimen dan sekitarnya. Nampaknya pembohongan demi pembohongan dicipta untuk memburukkan nama saya. Saya digambarkan oleh aparat-aparat penguasa sebagai ‘pengacau kententeraman.’ Sedangkan yang menyusahkan rakyat adalah aparat-aparat yang takut akan bayang-bayang sendiri!

ANWAR IBRAHIM

Read More...

Protes tindakan polis, Anwar tidak mahu ke IPK

Harakahdaily

Anis Nazri

Mon | Jul 14, 08 | 11:44:47 am MYT

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengambil keputusan tidak akan menghadirkan diri ke IPK Kuala Lumpur, hari ini, seperti yang dilaporkan semalam.

Menurut peguam Anwar, Sankara Nair, keputusan itu diambil memandangkan tindakan pihak polis mendatangi rumah Anwar bagi menyerahkan suatu perintah di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah pada Sabtu, 12 Julai lalu.

Malah, katanya pada Ahad, 13 Julai, pihak polis sekali lagi datang ke rumah Anwar dan mengganggu serta menuntut keluarganya menerima penyerahan perintah tersebut.

Pihak polis,mendakwa beliau enggan meninggalkan rumah Anwar dan menyebabkan keluarga Anwar berada di dalam ketakutan.

"Pihak polis dan anakguam saya (Anwar) telah mengambil kata sepakat untuk hadir di IPK hari ini, bagaimanapun dengan tindakan intimidasi ini, anakguam saya tidak akan hadir kerana terlalu kecewa dengan sikap tidak profesional polis," tegas beliau dalm kenyataannya, kepada Harakahdaily, hari ini.

Anwar juga, menurut Sankara bersedia bekerjasama dengan pihak polis sekiranya polis bertindak secara profesional dan mematuhi persefahaman baik tersebut dan undang-undang.

"Walau apa pun, anakguam kami mengulangi kedudukan beliau bahawa anakguam kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis sekiranya pihak polis tidak mengganggu beliau atau mengintimidasi keluarganya dan tidak memungkiri persefahaman baik tersebut, " tegas beliau lagi.

Sankara juga berkata jika syarat agar tidak mengganggu keluarga Anwar dipatuhi polis, maka pihaknya memohon agar suatu tarikh baru ditetapkan supaya Anwar boleh hadir ke IPK KL untuk meberi keterangan.

"Di dalam keadaan intimidasi yang dilakukan oleh pihak polis seperti ini, anakguam kami tidak dapat menghadirkan ke IPK Kuala Lumpur pada 14 Julai ini sehingga keadaan intimidasi ini lenyap sama sekali. Anakguam kami juga ingin memaklumkan bahawa beliau pada hari Rabu 16-7-2008 akan hadir ke pejabat Agensi Anti-Rasuah untuk memberi keterangan," kata Sankara lagi. - mr_

Read More...

Anwar enggan temui polis 2 petang

Malaysiakini

Jul 14, 08 11:57am

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan hadir di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk disoal siasat bagi dakwaan kes liwat seperti yang beliau janjikan Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, peguamnya Sankara Nair berkata keputusan terbaru penasihat PKR itu diambil kerana polis "mengganggu" kakitangan dan ahli keluarganya semalam walaupun Anwar bersedia hadir secara sukarela.

"Gangguan" polis itu - setakat ini belum jelas jenis gangguan yang didakwa Anwar - sewaktu pihak berwajib cuba menyerahkan arahan hadir memberi keterangan bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah.

"Tindakan (polis) ini sama sekali tidak diperlukan memandangkan kami telah menyatakan dalam persetujuan awal bahawa anak guam kami akan hadir di IPK Kuala Lumpur jam 2 petang hari ini," kata Sankara, dalam satu kenyataan ringkas pagi ini.

"Anak guam kami membantah tindakan tidak wajar polis itu dan telah mengirim surat menyatakan bantahan itu kepada polis semalam jam 5 petang."

Anwar didakwa meliwat pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan dalam satu laporan polis yang dibuat pemuda itu pada 28 Jun.

Read More...

Gambar kesesakan disebabkan kawalan polis di parlimen.

Mstar Online

14-07-2008 01:31:49 PM
oleh ABDUL RAHMAN SENIN

Kawalan polis di Parlimen kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Kesesakan lalu lintas teruk yang berlaku di sekitar Jalan Parlimen pada 9.30 pagi tadi.

Polis trafik mengawal keadaan lalu lintas yang sesak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sekitar pukul 9.30 pagi tadi.

Read More...

Perhimpunan dilarang di Parlimen Malaysia.


Berita Harian

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Zulhilmi Hat dan Nik Sukry Ramli
bhnews@bharian.com.my


PASTIKAN KETENTERAMAN: Sarjan Baharuddin Harun dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menampal notis di KL Sentral melarang Anwar dan penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di kawasan Parlimen hari ini.

Mahkamah Majistret perintah usah berkumpul di Parlimen

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini semalam mengeluarkan perintah melarang Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyokong Pakatan Rakyat serta mana-mana orang berkenaan, berada atau berhimpun di perkarangan Parlimen atau lingkungan lima kilometer dari bangunan itu, hari ini.

Perintah yang ditandatangani Majistret Nazran Mohd Sham itu dikeluarkan atas permohonan polis selepas mendapat maklumat bahawa satu perhimpunan bagi menyo- kong usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri akan diadakan di perkarangan Parlimen hari ini.

Perintah itu dikeluarkan selepas mahkamah berpuas hati bahawa Anwar, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan penyokong Pakatan Rakyat akan meneruskan perhimpunan itu walaupun tidak memohon permit.

"Mahkamah mendapati satu tindakan segera perlu diambil bagi mengelak sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan orang ramai atau rusuhan jika perhimpunan itu diadakan," kata Nazran dalam perintah itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sofian Md Yassin, berkata pihaknya memohon perintah mahkamah itu selepas mengetahui perhimpunan berkenaan akan diteruskan walaupun penganjurnya tidak memohon atau mendapatkan permit.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai termasuk pihak penganjur diberi amaran supaya tidak berada atau berkumpul untuk mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan haram yang akan diadakan kawasan terbabit.

"Polis akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 jika Anwar atau mana-mana pihak melanggar perintah mahkamah itu. Salinan perintah mahkamah ini sudah diedarkan ke seluruh negara dan mereka yang masih ingkar akan berdepan tindakan tegas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Azri Abdul Rahman berkata, pihaknya sudah mengarahkan anggotanya menampal salinan perintah mahkamah itu di tempat awam termasuk perhentian bas, stesen komuter, stesen LRT serta laluan tumpuan orang ramai.

Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman memberi amaran supaya orang awam tidak menghadiri atau menyebar SMS mengenai satu perhimpunan haram yang dijadual diadakan di Parlimen, hari ini.

Perhimpunan haram yang dirancang itu menyebabkan polis membuat sekatan jalan raya dan lencongan di 12 jalan utama di ibu negara sejak kelmarin bagi mengawal keadaan serta menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadirinya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, pula berkata sekatan jalan raya yang dilakukan polis bukan untuk menyusahkan orang ramai, sebaliknya bagi membolehkan polis membuat pemantauan serta menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

"Penganjur perhimpunan kini cenderung tidak memohon permit menyebabkan kita tidak tahu apa yang akan mereka buat. Jadi kita perlu ambil langkah berjaga-jaga dan membuat pemantauan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, semalam.

Read More...

Sekali lagi perintah mahkamah cabul kehormatan parlimen

Harakahdaily

Tarmizi Mohd Jam

Mon | Jul 14, 08 | 8:50:22 am MYT

KUALA LUMPUR, 14, Julai (Hrkh) - Perintah mahkamah yang diperolehi polis bagi menghalang Ketua Umum Parti KeAdilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke parlimen hari ini, jelas melanggar perlembagaan kerana telah mencabul doktrin pengasingan kuasa dalam memohon dan mengeluarkan perintah menghalang Anwar itu.

Profesor Dr. Abdul Aziz Bari hairan dan berasa aneh bagaimana mahkamah boleh memberi perintah tersebut kepada pihak polis. Ini adalah kali ketiga polis mendapat perintah tersebut, ujarnya ketika diminta mengulas mengenai perintah mahkamah yang diperolehi polis bagi membolehkan mereka menangkap Anwar jika beliau menghampiri kawasan parlimen itu.

Perintah menghalang Anwar tersebut dikatakan telah dikeluarkan oleh mahkamah majisteret secara ex-parte, yakni permohonan sebelah pihak. Beliau menyifatkan tindakan polis itu menunjukkan betapa mereka tertekan dan tidak mampu berbuat apa-apa.

"Apa yang kita lihat ini cukup ganjil dan tidak pernah berlaku di mana-mana negara bertamadun yang mempunyai perlembagaan bertulis. Hanya negara polis atau negara diktator sahaja yang menyaksikan insiden seperti ini.

"Saya kurang jelas undang-udang apa yang dirujuk oleh mahkamah. Apa pun perlembagaan tidak menyebut kuasa mahkamah itu. Malah selama ini ada banyak kes mahkamah yang memutuskan bahawa parlimen mempunyai kata putus dalam hal-hal sedemikian", tegas Aziz yang juga pakar perlembagaan.

Ini bermakna, sambungnya, hanya parlimen - kebiasaanya melalui speaker - mempunyai kuasa menyekat atau memerintahkan ahli parlimen atau sesiapa yang difikirkan menghina parlimen meninggalkan dewan.

Pihak eksekutif (dalam insiden ini polis) dan mahkamah, ujarnya, tidak mempunyai kuasa atau hak untuk berbuat apa-apa. Dari satu sudut pihak eksekutif dan badan perundangan telah mencabul doktrin pengasingan kuasa dalam memohon dan mengeluarkan perintah menghalang Anwar itu.

Malangnya, kata profesor undang-undang itu lagi, parlimen memilih untuk berdiam diri dan membenarkan kehormatannya dicabul oleh kedua-dua pihak tersebut.

Aziz berkata, beliau tidak nampak mengapa Anwar perlu dihalang.

"Apakah Anwar seorang penjenayah atau seorang yang berpotensi melakukan jenayah? Atau apakah pihak polis mempunyai maklumat bahawa Anwar seorang pengganas?" soal Aziz.

Beliau berkata, pihak polis hanya boleh menghalang Anwar sekiranya bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai potensi untuk melakukan jenayah di parlimen. Jika tidak mereka tidak mempunyai kuasa atau hak untuk menghalang apatah lagi menangkap Anwar.

Tetapi malangnya, tegas Aziz, mahkamah yang sepatutnya meneliti isu-isu ini mengambil jalan mudah dan membenarkan permohonan pihak polis.

Beliau percaya pihak polis menggunakan peruntukan di dalam Kanun Prosedur Jenayah atau Akta Polis 1967.

"Tetapi kita harus ingat bahawa kedua-dua status ini adalah undang-undang biasa yang tertakluk kepada peruntukan dan semangat perlembagaan," tegasnya.

Katanya lagi, sebagaimana perintah mahkamah dalam kes Protes di KLCC itu, perintah terbaru ini menandakan kegagalan mahkamah mentafsirkan perlembagaan dengan sewajarnya.

Menurut Aziz, hanya mahkamah tinggi sahaja yang mempunyai kuasa untuk memberi tafsiran perlembagaan yang kemudiannya boleh dirayu ke mahkamah yang lebih tinggi. Kes ini sepatutnya dirujuk kepada mahkamah atasan supaya isu perlembagaan yang berkaitan dapat dihalusi.

Dengan perintah demikian, tegas beliau, akan timbul tanggapan bahawa Anwar adalah seorang yang dianggap oleh polis sebagai suspek atau seumpamanya!

Beliau percaya perintah mahkamah itu ada hubungan dengan usul undi tidak percaya yang telah dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan kerajaan gabrah dengan perkembangan terbaru itu.

Anwar dan para penyokong Pakatan Rakyat bercadang untuk hadir bagi menyaksikan pembentangan usul undi tidak percaya itu. Tindakan polis dan perintah mahkamah adalah titik hitam yang akan tercatat di dalam perjalanan demokrasi di negara ini dan ia amat memalukan, katanya.

"Pihak polis dan mahkamah sepatutnya tidak menghalang satu proses yang dibenarkan oleh perlembagaan sendiri. Soal huru-hara, kacau-bilau dan demonstrasi adalah isu yang diada-adakan,"jelasnya lagi.

Pihak polis, jelas Aziz, sepatutnya mengambil langkah mengawal ketenteraman awam supaya undi tidak percaya itu berjalan mengikut prosedur.

Apa yang berlaku ini, pada pendapat Aziz, akan memberi gambaran bahawa Malaysia adalah negara polis di mana pihak berkenaan campur tangan di dalam proses demokrasi biasa yang diamalkan dengan aman termasuk di negara-negara ASEAN lainnya.

"Kita telah lihat bagaimana kerajaan tumbang melalui undi tidak percaya di Jepun, India dan Thailand," tambah beliau. Aziz menyeru pihak polis dan mahkamah bukan sahaja menghormati tetapi juga mempertahankan perlembagaan.

"Ini adalah tanggungjawab semua pihak yang diberi kuasa awam terutamanya para hakim," tegas Aziz sambil mengingatkan bahawa di sisi undang-undang keselamatan bukan cek kosong yang menjadi hak mutlak polis untuk menafikan hak rakyat. - tmj/mks. _

Read More...

Perhimpunan besar-besaran di luar Parlimen gagal

Mstar Online

14-07-2008 04:43:09 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menyekat penganjuran perhimpunan besar-besaran di luar bangunan Parlimen yang dijangka diadakan hari ini setelah mengadakan sekatan jalan raya sejak tiga hari lalu bermula Sabtu.

Perhimpunan itu dikatakan dirancang untuk memberi sokongan moral kepada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Notis usul itu dikemukakan Khamis lepas oleh Wan Azizah dan ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata sekatan di beberapa buah jalan utama menuju ke Parlimen dibuat berdasarkan maklumat yang diterima.

"Pihak polis menyiasat secara terperinci maklumat yang diterima sebelum mengambil keputusan untuk mengadakan sekatan lalu lintas," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Dalam pada itu Bernama melaporkan, kira-kira 20 orang termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin menghadiri perhimpunan di Pasar Seni kira-kira 2 petang tadi dipercayai selepas gagal membolosi kawalan polis di sekitar bangunan Parlimen.

Kumpulan itu bagaimanapun bersurai kira-kira tiga minit kemudian selepas diarahkan oleh pihak polis untuk berbuat demikian.

Perhimpunan itu berakhir secara aman dan tiada sebarang tangkapan dibuat.

Pihak polis yang menghidu kedatangan kumpulan itu telah menampal notis larangan berhimpun di sekitar Pasar Seni sebelum kedatangan kumpulan itu.

Polis semalam mendapat perintah mahkamah untuk melarang orang ramai daripada menyertai perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sofian Md Yassin berkata perhimpunan itu adalah perhimpunan haram dan mengingatkan orang ramai yang menyertai, atau menganjur perhimpunan tanpa permit itu, akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Polis 1967.

Read More...

Wakil rakyat Pakatan boikot Parlimen

Malaysiakini

Jul 14, 08 12:03pm

Usul tergempar hilang keyakinan pada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dibawa oleh ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat ditolak sebentar tadi.

Yang dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul yang difailkan oleh ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Susulan keputusan yang dipertua dewan, semua anggota parlimen PKR, DAP dan PAS meninggalkan dewan beramai-ramai dan memulau sesi persidangan sepanjang hari hingga petang ini.

Malaysiakini difahamkan sebahagian ahli parlimen PKR hadir di rumah penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang dipanggil polis bagi siasatan dakwaan liwat terhadapnya - di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun mereka dipercayai sedang membincangkan isu-isu yang akan dibawa ke Dewan Rakyat esok.

parliament building police blockade 140708 09Selain mendapatkan perintah mahkamah menghalang perhimpunan di sekitar lima kilometer dari bangunan Parlimen, polis juga mengadakan sekatan-sekatan jalan raya sejak semalam bagi menghalang sebarang perhimpunan berhampiran bangunan tersebut (foto kanan).

Perhimpunan itu yang tidak dianjurkan oleh parti-parti pembangkang, dikatakan bagi menghadapi usul tidak percaya terhadap Abdullah.

Anwar semalam berkata Pakatan Rakyat dan partinya tidak terlibat dalam penganjuran sebarang perhimpunan hari ini.

"Saya kesal kerana pihak polis sengaja mengaitkan nama saya dan Pakatan Rakyat dalam satu perintah mahkamah majistret yang diperolehi secara ex parte oleh ketua polis daerah Sentul bertarikh 13 Julai 2008 (semalam)," katanya.

Beliau menganggap perintah mahkamah itu adalah satu "fitnah dan menyalahgunakan proses undang-undang."

Katanya beliau akan mengarahkan peguam Pakatan memulakan proses undang-undang untuk mengetepikan perintah tersebut.

Usul itu diserahkan untuk dibahaskan Khamis lalu.

opposition pakatan rakyat parliament walkout pc 140708 02Antara lain, usul tersebut menyatakan bahawa pilihanraya umum ke-12 menyaksikan tsunami politik apabila lima negeri dan Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Menurut usul lagi, BN mencapai kemenangan tipis dengan memanipulasi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan melalui pembohongan.

Harga minyak pula, tambahnya, dinaikkan dengan tiba-tiba selepas pilihanraya walaupun timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak - ketika melancarkan manifesto pilihanraya - berjanji ia tidak akan berlaku.

Manakala ahli-ahli parlimen BN, katanya, yang menolak sikap tidak bertanggungjawab pemimpin mereka, telah diancam dan dipaksa berdiam diri.

Perkembangan tersebut, tambahnya, telah menimbulkan krisis keyakinan terhadap perdana menteri dan anggota kabinetnya.

Rakyat, menurut usul itu lagi, berdepan dengan beberapa krisis seperti kenaikan harga bahan bakar makanan.

Menurutnya lagi, keyakinan rakyat terhadap polis, peguam negara dan badan kehakiman telah merosot, dan jenayah dan rasuah semakin meningkat.

Read More...

Debat Anwar VS Shabery: Khabar terbaru….

Agenda Daily



Semua persiapan debat antara Penasihat Parti Keadilan Rakyat,Datuk Seri Anwar Ibrahim vs Menteri Penerangan ,Datuk Ahmad Shabery Cheek di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur berjalan lancar.

Jika tidak ada sebarang perkembangan last minute yang menghalang ia akan disiarkan secara langsung tepat jam 9 malam esok 15 Julai.

Cuma sikit saja perubahan iaitu ia akan disiarkan secara langsung menerusi TV9 ( jika menerusi Astro saluran 119 ) dan bukan menerusi TV3 seperti yang diumumkan sebelum ini.

TV3 pula akan membuat siaran ulangan debat itu kemudian.

Perubahan ini tidak dapat dielakan kerana TV3 terikat dengan program asal yang dijadualkan malam itu.

Selain TV9 ia juga akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Awani ( saluran 501).

Promosi mengenai debat yang akan disiarkan menerusi TV9 sudahpun disiar menerusi TV3 dari masa ke semasa.

Pada lewat petang Ahad pihak Bernama TV ( menerusi saluran Astro 502) juga menyampaikan keputusannya nak turut menyiarkan debat itu secara langsung.

Agendadaily selaku penganjur debat ini melihat kesediaan ketiga-tiga stesyen televisyen itu serentak menyiarkannya secara langsung sesuatu yang sangat positif dalam menengahkan budaya perdebatan secara intelektual mengenai sesuatu isu besar negara.

Sementara itu kedua-dua pihak Anwar dan Ahmad Shabery telah bersetuju pada peraturan debat itu yang ditetapkan oleh Agendadaily.Hujah-hujah mereka tidak dibenar melencong.

Moderator Datuk Johan Jaafar akan kendalikan debat itu secara tegas pastikan ia tidak ‘ lari tajuk ’ iaitu terbawa pada isu-isu politik yang tidak berkaitan dengan minyak.

Beliau akan memberi peringatan awal dan kemudiannya menghentikan terus debat jika ia dilanggar.

Formatnya ialah kedua-dua Anwar dan Ahmad Shabery akan menyampaikan hujah masing-masing selama lima minit dan kemudiannya diikuti oleh soalan dari penal.

Ini akan diikuti oleh sesi dimana Anwar dan Ahmad Shabery menyoal satu sama lain sebelum mereka mengulong hujah masing-masing.

Anwar akan membawa penal sendiri (seorang saja) dan begitu juga Ahmad Shabery.

Sehingga pagi Isnin pihak Agendadaily menerima banyak permintaan dari berbagai lapisan masyarakat yang hendak menyaksikan debat di Dewan Tun Syed Nasir.

Namum ia semuanya terpaksa ditolak kerana jumlah hadirin yang akan hadir sudah cukup kuota yang ditetapkan ialah 200 orang tidak termasuk puluhan wartawan dan jurugambar media.

Pihak penganjur mengundang 100 orang manakala pihak Anwar 50 orang dan Shabery 50 orang.

Pemeriksaan keselamatan yang ketat akan dikenakan di pintu masuk Dewan Bahasa dan Pustaka serta di pintu masuk dewan.

Langkah ini adalah untuk memastikan siaran langsung itu berlangsung sempurna tanpa sebarang gangguan. - 14/7/2008

Read More...

Sekatan, Parlimen bagai 'zon perang' - Mahfuz

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh

Mon | Jul 14, 08 | 3:09:06 pm MYT

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyifatkan sekatan yang berlaku di beberapa jalan raya menuju ke Parlimen hanya menjadikan kawasan Parlimen seolah-olah 'zon perang'.

ImageMalah tindakan polis mengadakan sekatan bermula dari beberapa jalan raya menuju ke Kuala Lumpur hanya menyusahkan pergerakan rakyat, katanya.

"Kami ahli parlimen juga terpaksa melalui kesesakan yang disebabkan sekatan jalan raya yang dibuat pihak polis," katanya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Sedangkan katanya, Pakatan Rakyat tidak merancang sebarang perhimpunan aman di Parlimen terhadap usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dibawa Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

"Kami tidak pernah merancang himpunan, mengapa pihak berkuasa polis perlu mengadakan sekatan hingga menjadikan Parlimen seperti dalam 'zon perang' atau 'zon bahaya'," ujarnya.

Beliau seterusnya melihat sekatan jalan raya yang dibuat hari ini hanyalah sebagai usaha untuk menakut-nakutkan pihak tertentu malah menggambarkan kononnya berlaku sesuatu.

Beliau juga kesal dengan tindakan pihak berkuasa menghalang wartawan-wartawan dari media alternatif termasuk Harakah untuk masuk ke bangunan Parlimen bagi membuat liputan.

"Biasanya mereka boleh masuk sahaja untuk membuat liputan, tetapi mengapa hari ini mereka dihalang, adakah ini kerana kerajaan takut dengan bayang-bayang sendiri,"soalnya.

Sementara itu, mengulas mengenai usul Ketua Pembangkang yang ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia beliau menyatakan bahawa usul itu tiada salahnya jika diterima dan dibahaskan.

Image"Apa salahnya jika ia dibahaskan kerana tiada peruntukan dalam perkara 18 untuk membuat undian.Kenapa tidak beri pihak membawa usul untuk membahaskan selama setengah jam dan pihak kerajaan menjawab selama setengah jam," ujarnya.

Sementara itu sejak jam 9.30 pagi tadi lagi, beberapa orang wartawan di kalangan akhbar alternatif termasuk Malaysiakini dan Harakah tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen termasuk di pekarangan hadapan bangunan tersebut.

Semuanya gara-gara satu perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Kuala Lumpur yang tidak membenarkan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan mana-mana pihak yang kononnya menyokong Pakatan Rakyat berada di sekitar 5 kilometer dari bangunan Parlimen.

Meskipun krew Harakah cuba berbincang dengan pegawai bertugas di hadapan pos kawalan keselamatan, namun ianya gagal walaupun Harakah tidak pernah dihalang masuk ke Dewan Rakyat sebelum ini.

Alasan pegawai tersebut ialah ' ini bukan kebiasaan, yang ada pas biru (pas daripada Jabatan Penerangan) sahaja yang boleh masuk'.

Krew Harakah dan beberapa orang wartawan Malaysiakini diarahkan meninggalkan kawasan kononnya yang dikatakan kawasan larangan oleh beberapa orang Pegawai Cawangan Khas.

Beberapa minit kemudian, muncul Pengerusi BNBBC, Dato' Seri Tiong King Sing dan timbalannya, Dato' Bung Mokhtar Raden untuk menyelesaikan rungutan wartawan berhubung sekatan memasuki kawasan Parlimen.

ImageBagaimanapun, mereka hanya menyelesaikan masalah sekatan membabitkan kelompok wartawan yang memiliki pas penerangan sahaja, sementara beberapa orang wartawan dari akhbar alternatif masih tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen.

Krew Harakah hanya menunggu di luar bangunan untuk membuat liputan Parlimen hari ini hingga jam 1.00 petang.

Sementara itu usul yang dibawa Wan Azizah menyebut, bahawa pilihan raya umum ke-12 menyaksikan tsunami politik apabila lima negeri dan Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Menurutnya, BN mencapai kemenangan tipis dengan memanipulasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan melalui pembohongan.

Harga minyak pula, tambahnya, dinaikkan dengan tiba-tiba selepas pilihan raya walaupun Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak - ketika melancarkan manifesto pilihan raya - berjanji ia tidak akan berlaku.

Manakala ahli-ahli parlimen BN, katanya, yang menolak sikap tidak bertanggungjawab pemimpin mereka, telah diancam dan dipaksa berdiam diri.

Perkembangan tersebut, tambahnya, telah menimbulkan krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri dan anggota kabinetnya.

Rakyat, menurut usul itu lagi, berdepan dengan beberapa krisis seperti kenaikan harga bahan bakar dan makanan.

Menurutnya lagi, keyakinan rakyat terhadap polis, peguam negara dan badan kehakiman telah merosot, dan jenayah dan rasuah semakin meningkat. - mks. _

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |