+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, April 3, 2009

PM umum bebas 13 tahanan ISA, benarkan akhbar PAS, PKR

Malaysiakini

Apr 3, 09 8:16pm

Penggantungan dua akhbar berpengaruh Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik serta-merta malam ini dan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk dua pemimpin Hindraf, turut dibebaskan.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar, membebaskan 13 tahanan ISA, berkuatkuasa serta-merta," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun beliau tidak menyebut secara khusus nama dua akhbar terbabit, tetapi sudah menjadi pengetahuan umum bahawa akhbar PAS dan PKR itu telah digantung sementara penerbitannya sejak 23 Mac lalu.

Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang secara rasmi mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong jam 10.10 pagi tadi, membuat kenyataan sulung itu ke seluruh negara di TV1 malam ini.

"Kementerian Dalam Negeri akan memberi butir-butir selanjutnya selepas ini," tambahnya.

Dalam ucapan lapan minit itu, Najib juga berjanji untuk menyemak semula ISA dalam masa terdekat.

"Proses kajian semula terhadap ISA juga dimulakan," tambahnya.

Pengumuman Najib itu dilihat selari dengan desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini supaya perdana menteri baru itu bertindak lebih demokratik termasuk menarik larangan ke atas dua penerbitan berkenaan dan membebaskan tahanan ISA.

Mereka yang akan dibebaskan ialah dua pemimpin Hindraf, tiga rakyat asing dan lapan anggota Darul Islamiyah.

Menurut Menteri Kementerian Dalam Negeri, mereka ini dibebaskan kerana tidak lagi dianggap sebagai ancaman kepada negara.

Dalam ucapan itu juga Najib berkata, sudah tepat masanya mengambil langkah-langkah sedemikian untuk mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap pihak berwajib atas soal keselamatan dan mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman yang dianggap berbahaya dan munasabah.

Pengumuman mengejut penarikan semula penggantungan akhbar PAS dan PKR itu dan pembebasan tahanan ISA itu, dijangka memberi kesan besar ke atas tiga pilihanraya kecil yang sedang berlangsung di Perak, Kedah dan Sarawak.

Tabloid dwimingguan Harakah dan mingguan Suara Keadilan digantung serta-merta selama tiga bulan mulai 23 Mac - tindakan yang dianggap cuba menghalang keberkesanan kempen dua parti itu dalam pilihanraya di parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai.

Najib juga berkata, beliau menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga.

"Saya komited, kepimpinan akan berdiri kukuh untuk menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia, termasuk negara kita.

"Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia.

"Dengan ini, saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat 'satu Malaysia' - rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan."

Read More...

Kes rogol naik 300%

MyMetro

KUALA LUMPUR: Kes rogol di negara ini tahun lalu meningkat hampir 300 peratus dari jumlah kes pada 2007, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung.

Beliau berkata, jumlah kes rogol yang dilaporkan di seluruh negara pada tahun lalu ialah 4,959 kes berbanding 1,241 kes pada 2007.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 3,718 kes atau 299.6 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Bagaimanapun, jumlah suspek yang berjaya ditahan pada tahun lalu seramai 4,770 orang berbanding 4,586 pada 2007.

“Bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini pula, jumlah kes rogol yang dilaporkan sebanyak 769 kes,” katanya ketika mengulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong pada Persidangan Dewan Negara di sini, semalam.

Katanya, antara punca rogol ialah suspek dan mangsa berada dalam keadaan mabuk, mangsa dan suspek suka sama suka, mangsa percaya kepada suspek, mangsa diugut suspek dan mangsa bersendirian di tempat sunyi.

Chor berkata, bagi mencegah kes jenayah rogol ibu bapa memainkan peranan untuk memantau pergerakan atau kegiatan anak mereka tidak kira lelaki atau perempuan.

“Pihak sekolah juga boleh membantu dengan mengenal pasti mereka (murid) yang mempunyai masalah disiplin seterusnya menghantar mereka mengikuti kursus jati diri.

“Seminar mengenai kesedaran berhubung penjagaan diri dan aktiviti seksual juga hendaklah diadakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan pemahaman terhadap jenayah rogol,” katanya. - Bernama

Read More...

MCA tuntut jawatan TPM Cina

Malaysiakini

Apr 3, 09 3:03pm

Timbalan setiausaha agung MCA menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mewujudkan jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan pengerusi BN untuk diisi presidennya bagi mencermin "perkongsian kuasa sebenar".

"Rakyat Malaysia pelbagai kaum telah lama menerima dan memberi sokongan penuh kepada ideologi pentadbrain berasaskan kepada perkongsian kuasa di negara ini.

"Bagaimanapun, selepas 52 tahun merdeka, kita terus merasakan bahawa perkongsian kuasa itu hanya satu slogan dan tidak mencermin situasi sebenar, yang kita amat harapkan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti.

"Oleh itu, rakyat Malaysia kini kecewa dan tidak puas hati dengan situasi sebenar kita sekarang kerana ia hanyalah satu cakap kosong," kata Datuk Loke Yuen Yow.

Menurutnya lagi, jawatan kedua timbalan perdana menteri untuk presiden MCA bukan sahaja membantu merealisasikan konsep perkongsian kuasa, tetapi juga menunjukkan bahawa kerajaan memberi kepentingan kepada peranan dan sumbangan kaum Cina dalam proses pembinaan negara.

Loke menambah, jika diberi jawatan seperti dituntut, presiden MCA boleh, dalam kapasitinya sebagai anggota kabinet, membantu menggariskan dasar yang lebih adi dan berfaedah kepada semua pihak, terutama masyarakat Cina dalam ekonomi dan pendidikan.

Beliau juga menegaskan bahawa MCA telah mewakili perjuangan masyarakat Cina, untuk mencapai kemerdekaan negara, bersama Umno dan MIC pada 1957.

"Oleh itu, dalam proses pembinaan negara, sumbangan yang dihulurkan oleh MCA dan masyarakat Cina adalah amat banyak dan sangat besar," tambahnya.

Pada masa yang sama, Loke mengulangi lagi desakan awal MCA bahawa presidennya mesti dilantik sebagai timbalan pengerusi Dewan Tertinggi BN.

"(Pelantikan) ini akan memanifestasikan senario sebenar perkongsian kuasa bawah pentadbiran Datuk Seri Najib," tambahnya.

"Sebagai seorang pemimpin yang bijak dan berpandangan jauh, Datuk Seri Najib perlu melihat peri pentingnya dan keperluan mewujudkan jawatan-jawatan timbalan perdana menteri Cina dan timbalan pengerusi Dewan Tertinggi BN - yang kedua-duanya dipegang oleh presiden MCA."

Read More...

PAS bimbang Malaysia diketuai pemimpin tak berkualiti - Nik Aziz

Harakahdaily

Salmah Mat Husain
Thu | Apr 02, 09 | 6:54:50 pm MYT

KOTA BHARU, 2 April (Hrkh) - PAS bimbang negara ini akan diketuai seorang pemimpin yang tidak berkualiti apabila banyak tuduhan yang dipalit terhadapnya gagal dijelaskan kepada umum.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bakal Perdana Menteri baru perlu membersihkan diri terlebih dahulu terhadap segala tomohan yang dilemparkan kepadanya sebelum ini.

"Saya menyebut perkara lama, selagi tuduhan atau tomahan yang dilemparkan terhadap bakal perdana menteri yang akan mengambil alih kepimpinan negara esok belum dibersihkan, saya begitu dukacita dan kecewa sekali.

"Nampak sangat pemimpin negara kita tidak berkualiti menjadi pemimpin negara," katanya ketika diminta pandangannya terhadap Dato' Seri Najib Razak yang akan mengambil alih teraju negara esok.

Menurutnya juga orang yang paling berkualiti sekali di dunia ini ialah Nabi Muhammad s.a.w. yang bersifat al-Amin.

Katanya, sifat berkenaan tidak boleh dibuat-buat, sebaliknya ia merupakan tabiat semulajadi yang ada kepada baginda sejak kecil lagi.

"Sekiranya tuduhan yang dilemparkan secara terbuka belum lagi diperjelaskan, bagaimana rakyat dapat menerimanya.

"Nak harapkan amanah tu bolehlah...tetapi nak harap amanah pada tebuan, tebuan dengan lebah serupa saja," ujarnya.

Menurutnya pemimpin yang belum dibersihkan imej bagaimana mungkin boleh menduduki tempat tertinggi dalam negara, sedangkan Islam amat menitikberatkan soal kualiti.

Media asing termasuk Liberation yang berpangkalan di Perancis sebelum ini mengaitkan Najib dengan model Mongolia yang mati dibunuh dengan kejam di negara ini.

Beberapa akhbar lagi turut mengaitkan nama bakal Perdana Menteri Malaysia dalam kes tersebut termasuk; The Nation Thailand, The New York Times, 9News, The Australian, The Times of India dan Timesonline.

Bagaimanapun, Tuan Guru Nik Aziz berharap kerajaan pusat di bawah Perdana Menteri baru lebih bersifat mesra dengan kerajaan Kelantan seperti yang berlaku di zaman Abdullah.

Kata beliau, sebaiknya Najib perlu melakari rekod baru dalam sejarah pentadbiran negara dalam menjalinkan hubungan lebih erat dan bersih berbanding Perdana Menteri sebelum ini.

"Walaupun kita akui diskriminasi sebelum ini tetap berlaku dengan wujudnya Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang langsung tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri.

"Kita harap perdana menteri baru mengambil perhatian penuh terhadap Kelantan dan negeri-negeri lain di bawah Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau bersyukur sekiranya perkara itu benar-benar berlaku di era pentadbiran Najib.

Kata beliau, ia bersesuaian dengan negara demokrasi dan semangat federalisme, di mana pemimpin perlu menterjemahkan suasana itu.

"Walaupun kaki di bawah, mata di atas tetapi semuanya bekerja untuk satu tubuh. Sekiranya kaki tersadung, muka akan tersungkur mengakibatkan hidung berdarah, mulut meraung.

"Sebagai sebuah negeri di bawah persekutuan, tidak wajar Kelantan dipinggirkan, apa lagi masyarakatnya terkenal sebagai rakyat yang rajin, berilmu pengetahuan dan dedikasi," ujarnya. - mj/mks. _

Read More...

Penyambung legasi Tun Razak

Kosmo Online

Penglibatan Najib dalam politik tanpa dirancang akhirnya membawa beliau menyambung legasi keluarga Razak. Inilah kali pertama anak seorang Perdana Menteri menduduki jawatan tertinggi yang pernah dipegang oleh bapanya.





MENJADI anak kepada seorang Perdana Menteri mungkin impian ramai orang, tetapi mendapat peluang menjawat jawatan yang sama pastinya satu takdir dan pencapaian luar biasa buat empunya diri.

Itulah takdir yang tertulis buat Datuk Seri Najib Tun Razak. Jasa bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kepada bangsa Malaysia tidak dapat dinilai dengan kata-kata, dan kini beliau berpeluang untuk menghulurkan jasa seperti yang pernah bapanya sumbangkan.

Sudah 33 tahun Tun Razak meninggalkan kita. Tempoh enam tahun memimpin dimanfaatkan oleh Allahyarham dengan menyediakan platform kukuh dari aspek pembangunan sosial, ekonomi dan fizikal negara.

Bangkit daripada pengalaman hitam 13 Mei 1969, Tun Razak bersama barisan kabinetnya merencana pelan terbaik untuk membina satu warga yang bersatu. Biarpun mereka dipisahkan oleh sempadan rumpun bangsa, bahasa dan kepercayaan yang berbeza.

Bapa Pembangunan itu juga amat sinonim dengan inisiatifnya mengukuhkan kedudukan ekonomi orang Melayu menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pembukaan tanah-tanah rancangan Felda.


JASA Tun Razak terhadap negara tidak ternilai harganya.


Hakikatnya, Tun Razak tidak hanya meninggalkan semua itu untuk kita. Malah, beliau mewariskan kepada negara satu lagi 'hadiah' yang tidak ternilai harganya - seorang insan bernama Najib.

Memetik tulisan yang diabadikan dalam buku berjudul Tun Abdul Razak: A Personal Portrait terbitan Utusan Publications & Distributors, di dalamnya Najib pernah berkongsi satu cerita tentang bapa kesayangannya itu:

"Masih ingat sewaktu masih kanak-kanak dulu, kami ingin sekali mempunyai sebuah kolam renang. Tetapi selepas puas menunggu selama kira-kira sebulan, permintaan itu ditolak.

"Setelah meneliti anggaran belanja yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya, beliau akhirnya memberitahu, 'Tidak boleh. Nanti apa pula orang kata?'

"Beliau (Allahyarham Tun Razak) berpegang kepada prinsip, hingga menidakkan banyak perkara yang diingini oleh keluarga, semata-mata supaya tiada orang bercakap mengenainya. Atas sebab itu jugalah orang melihatnya sebagai seorang yang sederhana keinginannya."

Tangga hierarki politik dalam UMNO dan kerajaan didaki oleh Tun Razak pada tahun 1950-an hingga beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1970. Kini legasi itu diteruskan oleh anak sulungnya, Datuk Seri Najib.


NAJIB (dua dari kiri) pada usia 22 tahun bersama keluarganya.


Najib bernafas dan membesar dengan melihat bapanya mengemudikan negara yang pada ketika itu masih berada dalam fasa awal memperoleh kemerdekaan.

Biarpun begitu, penglibatan Najib dalam arena politik tempatan boleh dianggap sebagai tidak sengaja.

Pemergian mendadak dan tidak terduga Tun Razak pada usia 54 tahun, iaitu pada 14 Januari 1976, akibat penyakit leukemia, telah mengubah laluan kerjaya beliau secara dramatik.

Mendapat sokongan padu daripada UMNO Pahang, kekosongan kerusi Parlimen Pekan kemudian diisi oleh Najib, graduan jurusan Ekonomi Industri dari Universiti Nottingham, England yang ketika itu baru berusia 23 tahun.

Najib sekali gus memegang rekod dipilih menjadi Ahli Parlimen termuda dalam sejarah Malaysia. Sebelum itu, beliau sempat berkhidmat di Bank Negara dan Petronas selaku Pengurus Hal Ehwal Awam.

Di kalangan pemimpin senior, tidak ramai yang yakin Najib mampu mengharungi segala sepak terajang politik nasional tanpa bekal nama gah Allahyarham bapanya. Namun, Najib membuktikan beliau berjaya berdiri di atas meritnya sendiri.


NAJIB (kanan) menyambut ulang tahun kelahirannya yang keenam dengan memotong kek berbentuk kapal terbang. Di sebelahnya, Ahmad Johari.


Sebenarnya nama Tun Razak hanya memberikan beliau permulaan yang hebat, tetapi apa yang dicapainya adalah liku-liku perjuangan yang terpaksa ditempuhinya sendiri.

Buktinya, anak muda itu terus diberi kepercayaan untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan. Dalam tempoh setahun selepas bertanding kerusi Parlimen Pekan pada 1976, Najib diberi kepercayaan dengan dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos, sebelum berkhidmat selaku Timbalan Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Kewangan.

Najib kemudian dipilih untuk menerajui kerajaan negeri Pahang sebagai Menteri Besar selepas pilihan raya 1982. Bintang ahli politik kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu terus bersinar apabila beliau mula memegang portfolio sebagai menteri penuh di beberapa kementerian termasuklah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertahanan (dua kali) dan Kementerian Pendidikan.

Benar, Najib menyambung legasi ayahnya. Namun, harus diingat bahawa mereka berdua berjuang dalam dua era yang sangat berbeza.

Tun Razak memainkan peranannya dalam zaman mengisi kemerdekaan, sedangkan Najib kini memikul tugas memastikan UMNO terus relevan dan ekonomi Malaysia terus gah di pentas antarabangsa.

"Kita tidak boleh lihat Najib dan Allahyarham Tun Razak secara tertutup. Najib pasti akan mengutamakan perpaduan selain gaya kepimpinan yang disifatkan sebagai berjiwa rakyat sebagaimana Tun Razak. Sesuai dengan pepatah Melayu, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

"Selain itu, agenda pendidikan dan ekonomi pasti akan diberi perhatian khusus di bawah kepimpinan Najib. Harus diingat juga bahawa satu realiti dalam kepimpinan ialah apabila seseorang menjadi perdana menteri, beliau pasti akan mencipta satu agenda tersendiri yang sesuai dengan kehendak zaman dan tuntutan rakyat," kata Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu, Datuk Dr. Radzi Abd. Latiff.

Pengalaman berjuang begitu lama dalam politik sehingga dilantik sebagai orang nombor satu negara sememangnya menjadi aset paling berharga buat Najib.

Sepanjang menyaksikan kepimpinan empat orang Perdana Menteri silih berganti, Najib tentunya memperoleh banyak pendedahan tentang cara terbaik menyelesaikan masalah dan memaksimumkan peluang.


NAJIB sewaktu menjadi Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan mendengar penerangan setiausaha politiknya, Zahid Hamidi.


Ketika ditanya mengenai hubungan antara Najib dengan Perdana Menteri sebelum ini, Radzi menyatakan saat paling signifikan kepada rakyat adalah ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Najib membuktikan beliau merupakan seorang Timbalan Perdana Menteri yang setia kepada ketuanya. Beliau tidak tergesa-gesa dan tidak pernah cuba membuktikan dirinya lebih handal. Ciri-ciri seorang pengikut yang baik sentiasa ada dalam dirinya.

"Pada masa yang sama, kita boleh lihat Najib cukup fokus untuk menyempurnakan tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Tidak kira ketika menjawat apa-apa jawatan pun. Najib tidak melakukan sesuatu demi populariti atau bersikap retorik," katanya.

Biar apa pun tanggapan serta harapan rakyat terhadap seorang lelaki bernama Najib, yang pastinya beliau datang daripada 'benih' terbaik dan akan terus berusaha membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.


Read More...

PM: Upacara serah tugas Pak Lah - Najib petang ini

Mstar Online

PERDANA MENTERI KEENAM..Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (kanan) selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan, Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh Najib sebagai Perdana Menteri di Istana Negara.

KUALA LUMPUR: Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan rasminya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam satu upacara di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Majlis tersebut akan berlangsung pada pukul 4 petang ini.

BERITA TERDAHULU

ANGKAT SUMPAH..Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri keenam.

Najib Perdana Menteri keenam

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.

Najib,55, mengangkat sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia sebagai Perdana Menteri Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada pukul 10:12 pagi tadi.

Upacara yang penuh adat istiadat itu berlangsung di Balai Rong Seri Istana Negara di sini, menyaksikan Najib melafazkan ikrar berbunyi berikut:

"Bismillahirahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi."

"Saya Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah dilantik memegang jawatan Perdana Menteri dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan jujur, dengan segala dayaupaya saya, bahawa saya akan menumpahkan kepercayaan dan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan juga memelihara, melindungi serta mempertahankan perlembagaannya."

"Bismillahirahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

"Saya Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau secara tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan saya atau yang akan diketahui oleh saya sebagai seorang Perdana Menteri kecuali sebagai mana yang mungkin dikehendaki untuk menunaikan dengan sempurna kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian atau sebagai mana yang mungkin dibenarkan dengan khas oleh Yang di-Pertuan Agong."

Najib mencipta sejarah kerana mewarisi bapanya, Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Perdana Menteri kedua.

Najib menyertai politik secara aktif selepas Razak meninggal dunia.

Upacara bersejarah itu akan bermula pukul 10 pagi ini dengan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Segak berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Mereka berdua kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.

Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Pagi semalam, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri keenam.

Ia diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Najib di hadapan Seri Paduka Baginda akan diadakan di Istana Negara.

Semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Tuanku Mizan untuk menyerahkan surat melepaskan jawatan Perdana Menteri, selaras dengan proses peralihan kuasa antara beliau dan Najib yang dirancang sebelum ini.

Najib, yang mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, turut menghadap Seri Paduka di Istana Negara, selepas istiadat menghadap oleh Abdullah pagi tadi.

Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Oktober 2003.

Menurut atur cara sempena upacara mengangkat sumpah yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, selepas upacara di Istana Negara ini, Najib dijadual ke Masjid Negara untuk solat Jumaat dan menziarah pusara ayah beliau di Makam Pahlawan, di perkarangan masjid itu.

Pada pukul 4 petang, Abdullah dengan rasminya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib dalam satu upacara di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Lewat petang, Najib akan pulang ke kediaman beliau di Jalan Duta di sini untuk majlis tahlil serta doa selamat dan akan ke udara untuk berucap di seluruh negara melalui RTM pada pukul 8.10 malam.

Read More...

Najib dengan rasmi PM ke-6

Malaysiakini

Apr 3, 09 9:36am

Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak hari ini dengan rasminya perdana menteri Malaysia keenam apabila istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah setia serta menyimpan rahsia sempurna dilangsungkan di Istana Negara, 10.10 pagi.

Pemimpin-pemimpin kanan negara, pegawai kanan kerajaan dan dif-dif kehormat dari dalam dan luar negara diundang untuk menyaksikan peristiwa penting dan bersejarah ini.

Balairong Seri sekali lagi menyaksikan peralihan politik negara ini dalam usianya 52 tahun selepas kemerdekaan.

najib installed as sixth malaysia prime minister 030409Stesen RTM akan menyiarkan secara langsung istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan serta sumpah rahsia Najib sebagai perdana menteri walaupun kesemua 81 ahli parlimen pembangkang membantahnya.

Mereka memohon Yang di-Pertuan Agong menunda majlis tersebut sehingga satu suruhajaya bebas dibentuk untuk membersihkan ahli parlimen Pekan itu daripada sebarang dakwaan salah laku - antara yang popular, berkaitan kematian Altantuya Shaariibuu dan komisyen pembelian kapal selam Scorpene.

Najib menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pelan peralihan kuasa Umno dan negara susulan ketewasan mengejut dan terburuk dalam sejarah BN pada pilihanraya umum lalu.

Dilahirkan pada 1953 di Kuala Lipis, Pahang, Najib merupakan anak sulung perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Rahah Mohamad Noah.

pak lah and najib raising the umno flag agm 2009 260309 02Beliau mendapat pendidikan awal di St John Institution, Kuala Lumpur sebelum meneruskan pelajaran ke Maven Boy's College, Worchestershire, England.

Najib kemudiannya melanjutkan pelajaran ke University Of Nottingham, England dan mendapt ijazah pertama dengan kepujian dalam bidang ekonomi industri pada 1974.

Beliau mulai menceburkan diri dalam arena politik selepas dipilih bertanding kerusi parlimen Pekan ekoran kematian mendadak bapanya di London Januari 1976.

Najib menang tanpa bertanding dan muncul sebagai anggota Dewan Rakyat termuda pada usia 23 tahun.

Najib dilantik sebagai timbalan menteri tenaga, telekom dan pos pada 1978 ketika usia 25 tahun. Pada 1982 hingga 1986, beliau menjadi menteri besar paling muda dalam sejarah negara, pada 29 tahun.

Sepanjang penglibatannya dalam politik, Najib berkhidmat di pelbagai kementerian, termasuk timbalan menteri tenaga, telekom dan pos, timbalan menteri pendidikan dan timbalan menteri kewangan.

Pada 1982, beliau bertanding dan memenangi kerusi DUN Bandar Pekan dan dilantik sebagai menteri besar Pahang.

Pada 1986, ketika berumur 33 tahun, Najib menerajui kementerian kebudayaan, belia dan sukan dan selepas pilihanraya umum 1990, beliau berpindah ke kementerian pertahanan.

Beliau dilantik menteri pendidikan pada 1995. Selepas pilihanraya umum pada 1999, beliau dilantik menerajui kementerian pertahanan.

Setelah Abdullah mengambil alih jawatan perdana menteri pada Oktober 2003, Najib dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 6 Januari 2004.

Dalam kabinet 2008, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan. Manakala 17 September 2008, Najib dilantik sebagai menteri kewangan dan jawatan menteri pertahanan diterajui oleh Abdullah.

Read More...

Abdullah serah surat letak jawatan

Utusan Online


ABDULLAH Ahmad Badawi yang juga Menteri Pertahanan diarak pada majlis perpisahan di kementerian tersebut di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/HALIM KHALID


KUALA LUMPUR 2 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menyerahkan surat peletakan jawatan serta memohon perkenan baginda bagi pelantikan penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang menaiki kenderaan rasmi, Proton Perdana Eksekutif berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WCH 13 memasuki pintu pagar utama Istana Negara tepat pukul 10 pagi, lima minit selepas ketibaan Tuanku Mizan.

Sejurus berakhir majlis berkenaan, Abdullah hanya membuat kenyataan ringkas bahawa beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada Tuanku Mizan.

“Terserah kepada Tuanku,” katanya kepada pemberita yang memenuhi pekarangan luar Istana Negara.

Beliau meninggalkan Istana Negara 55 minit kemudian sambil tersenyum ceria dan melambaikan tangan kepada lebih 80 petugas media tempatan dan luar negara yang berkumpul sejak pukul 7.30 pagi.

Sementara itu, Najib pula kelihatan memasuki Istana Negara pukul 11.20 pagi untuk menghadap Tuanku Mizan berhubung peralihan kuasa itu.

Beliau yang menaiki Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WRP 11 meninggalkan Istana Negara pada pukul 12.15 tengah hari.

“Terima kasih” kata Najib sambil melambaikan tangan dan tersenyum kepada petugas media.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dalam satu kenyataannya semalam berkata, Tuanku Mizan berkenan supaya istiadat mengangkat sumpah jawatan Najib sebagai Perdana Menteri diadakan pada pukul 10 pagi esok di Istana Negara.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |