+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, June 15, 2008

Kenaikan harga minyak jejas usaha basmi kemiskinan

Harakahdaily

Sun | Jun 15, 08 | 11:06:09 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Beberapa pakar ekonomi berpendapat kenaikan mendadak harga bahan bakar kebelakangan ini, boleh menjejaskan sasaran kerajaan untuk menghapuskan sepenuhnya kemiskinan tegar di negara ini menjelang 2010.

Mereka yakin kenaikan harga bahan itu sebanyak 40 peratus seperti yang diumumkan baru-baru ini berikutan kenaikan mendadak harga minyak dunia, pasti memberi kesan yang tidak menggembirakan terhadap rancangan itu.

April lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata beliau yakin kerajaan akan berjaya mencapai sasarannya untuk menghapuskan kemiskinan, walaupun harga minyak dunia terus meningkat.

Bagaimanapun, sesetengah ahli ekonomi mempamerkan sikap kurang yakin mereka terhadap prospek itu dengan memberi alasan bahawa berdasarkan kuasa membeli yang ada sekarang, lebih banyak rakyat Malaysia sebenarnya boleh dianggap tergolong dalam kelompok "miskin".

Bernama melaporkan ahli ekonomi kanan Bank Islam Malaysia Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata andaian ini dibuat berdasarkan kuasa membeli dalam kalangan rakyat yang kini menurun dengan begitu ketara berikutan pelaksanaan langkah penyusunan semula subsidi bahan bakar.

"Seperti sebelum ini, kenaikan harga bahan bakar akan menyebabkan harga semua benda lain turut meningkat, daripada makanan, hinggalah kepada barang keperluan, termasuk perkhidmatan.

"Bagi golongan miskin, kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini memberi pukulan hebat terhadap kehidupan mereka. Sejak setahun lepas, mereka terpaksa bergelut untuk hidup akibat kenaikan kos makanan. Kini, mereka menerima satu lagi pukulan apabila harga bahan bakar melonjak, sedangkan pendapatan mereka tidak bertambah," katanya.

Sambil mengkategorikan isi rumah yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan sebagai keluarga miskin, Azrul Azwar berkata sebelum ini, kumpulan berkenaan membelanjakan 40 hingga 50 peratus daripada pendapatan mereka untuk membeli makanan dan apabila harga bahan bakar meningkat sekarang, mereka terpaksa mengikat perut bagi memenuhui keperluan lain.

Oleh itu, kata beliau, kaedah yang digunakan sekarang bagi menentukan garis kemiskinan, perlu disemak semula kerana ia tidak mencerminkan hakikat sebenar.

"Saya rasa pendapatan yang dikategorikan sebagai garis kemiskinan sekarang tidak relevan dengan kos sara hidup yang meningkat hari demi hari. Bagi saya, ia sepatutnya jauh lebih tingi, mungkin sekitar RM1,500 sebulan," katanya.

Berdasarkan pengiraan 2005, garis kemiskinan bagi seluruh negara ialah pendapatan bulanan sebanyak RM691, manakala bagi semenanjung pula jumlahnya ialah RM661, Sabah (RM888) dan Sarawak (RM765). Pengiraan ini adalah bagi keluarga yang mempunyai lima anggota.

Bagi meringankan beban golongan ini, Azrul Azwar mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan sebahagian daripada RM2 bilion yang diperoleh melalui langkah berjimat-cermat yang diumumnya baru-baru ini, untuk diagihkan kepada golongan terbabit.

"Bukan bantuan dalam bentuk wang. Sebaliknya kerajaan perlu mengenal pasti siapakah yang tergolong dalam kumpulan ini dan membantu mereka dalam bentuk lain," katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat langkah yang diambil kerajaan pada masa ini berada di landasan yang betul ke arah meringankan beban rakyat.

Penolong Naib Presiden Jualan Institusi Alliance Investment Bank Shahrul Kamal Ramli, yang sependapat dengan Azrul Anwar bahawa semakin banyak rakyat Malaysia akan tergolong sebagai golongan miskin berikutan kenaikan harga bahan bakar, berkata rakyat negara ini sepatutnya diberi peluang berkongsi kekayaan yang dinikmati oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sambil menyifatkan pengguna sebagai "peserta kecil" dalam sebuah konsortium besar, iaitu negara, beliau berkata seperti pemegang saham dalam syarikat senaraian awam, rakyat negara ini juga sepatutnya dibayar dividen berdasarkan keuntungan yang diraih oleh syarikat itu.

"Maksud saya ialah GLC yang kebanyakannya dimiliki secara penuh atau sebahagiannya oleh kerajaan seperti Petronas, Tenaga, patut memberi bonus tunai kepada rakyat.

"Tahukah anda bahawa di Singapura, kerajaan membayar bonus kepada rakyatnya?Tahun lepas, setiap daripada mereka menerima sekitar S$700 atau RM1,800," kata beliau.

Menjelaskan rasional cadanganya itu, Shahrul Kamal berkata walaupun kenaikan harga setiap liter petrol sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1 menjejaskan semua orang, tetapi golongan miskinlah yang paling teruk menerima akibatnya.

"Mari kita lihat begini... seorang ada RM1 dan seorang lagi RM100. Tambahan perbelanjaan sebanyak 20 sen bagi orang yang ada RM100 sudah tentu tidak seberapa kesannya, berbanding orang yang hanya ada RM1," kata beliau.

Beliau berkata wang yang diberi secara tunai sebagai ganti bagi subsidi bahan bakar, tidak memberi manfaat kepada semua orang yang memerlukan bantuan kerana hanya mereka yang memiliki kenderaan, layak menerimanya.

"Bagaimana dengan mereka yang tidak memiliki kenderaan dan bergantung sepenuhnya pada pengangkutan awam? Mereka tidak layak menerima rebet itu, sedangkan kenaikan harga bahan bakar memberi kesan yang pelbagai dan kumpulan ini juga menerima akibatnya kerana harga semua barang akan turut meningkat," kata beliau.

Shahrul Kamal juga mempertikaikan keberkesanan sesetengah langkah yang dilaksanakan kerajaan seperti kad fleet, yang pada pandangan beliau, boleh disalahgunakan.

Beliau berkata kerajaan masih boleh memberi subsidi bahan bakar yang "selesa" kepada rakyat jika kuantum keuntungan Petrons yang diperuntukkan bagi tujuan subsidi, dikira berdasarkan harga pasaran global.

"Pada masa ini, kerajaan belum menjelaskan formula yang digunakannya dalam mengira peratusan yang diberi oleh Petronas daripada keuntungannya. Mereka hanya beritahu kita jumlahnya.

"Dalam hal ini, saya mencadangkan, mungkin kerajaan boleh menimbang menggunakan satu kuantum berdasarkan harga pasaran. Contohnya, kalau harganya AS$40 setong, mungkin Petronas patut bayar 40 peratus dan jika lebih AS$80, mereka bayar 75 peratus. Saya yakin, jika ini dilakukan seperti yang sewajarnya, rakyat masih boleh menikmati harga bahan bakar yang tidak membebankan mereka," katanya.- mks._

Read More...

Kit Siang Sokong Cadangan Petronas Bentangkan Penyata Kewangan

Bernama

ALOR STAR, 15 Jun (Bernama) -- Pembentangan penyata kewangan Petronas di Parlimen merupakan langkah paling wajar bagi menjelaskan kedudukan syarikat milik negara itu kepada rakyat, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata ini kerana langkah kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 41 peratus bagi petrol kepada RM2.70 seliter dan 63 peratus bagi diesel kepada RM2.58 seliter pada 5 Jun lepas adalah terlalu tinggi sedangkan Malaysia sebuah negara pengeluar minyak.

"Kenaikan harga minyak dunia sehingga mencecah harga tertinggi AS$136 setong baru-baru ini tidak memberi makna kepada rakyat yang dibebankan dengan kenaikan harga minyak dalam negara kerana Malaysia juga merupakan pengeluar minyak," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Menteri Besar Kedah Azizan Abdul Razak di Wisma Darul Aman di sini, Ahad.

Lim yang juga anggota Parlimen Ipoh Timur berkata demikian sebagai menyokong cadangan anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin semalam supaya penyata kewangan terperinci Petronas dibentangkan di Parlimen.

Khairy berkata Petronas wajar membentangkan laporan kewangannya supaya rakyat tidak terus mempersoalkan syarikat itu termasuk sumbangan, hasil dan kos pengeluaran yang ditanggung.

Mengenai pertemuan dengan Azizan, Lim berkata antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan kebajikan masyarakat Cina di Kedah termasuk kekurangan kakitangan Cina dalam pentadbiran kerajaan dan isu rumah ibadat.

-- BERNAMA


Read More...

Jangan biarkan "Singapura dapat tanah"

Utara onlineArtikel

Oleh Roslan SMS

Kisah 60 orang delegasi diketuai ahli parlimen Pontian, Ahmad Maslan berkunjung ke Pulau Pisang yang terletak kira-kira 8km dari pantai Pontian mendapat liputan hampir semua akhbar tempatan hari ini. Ahmad Maslan mengumumkan bahawa kedua-dua kerajaan Persekutuan dan Negeri telah bersetuju membangunkan pulau tersebut bagi tujuan "eco-tourism".

Tidak seperti Pulau Batu Putih, pulau seluas 178.4 hektar ini terletak dalam wilayah Malaysia. Tetapi yang anehnya atas faktor sejarah di puncak pulau ini terbina sebuah rumah api, setinggi 53meter iaitu 1,000m atas paras laut.

Rumah api ini sejak tahun 1900, melalui perjanjian antara Almarhum Sultan Ibrahim Johor dan penjajah British, diuruskan oleh Singapura kini melalui Lembaga Pelabuhan dan Maritim Singapura atau Maritime and Port Authority of Singapore dengan beberapa orang kakitangan tetap warga Singapura.

Berikutan peristiwa tergadainya Pulau Batu Putih ketangan Singapura, saya kira sudah sampai masanya Malaysia mengambil-alih sepenuhnya rumah api berkenaan. Singapura sudah punya rumah api di Pulau Batu Putih yang kini milik mereka, apa perlunya mereka berada di atas bumi kita lagi?


Gambar The Star.com

Mungkin perkara ini melibatkan banyak urusan pentadbiran, "paper work" dan seumpamanya, apa pun demi kewibawaan, kedaulatan dan maruah negara, kita perlu segera mengusahakannya. Kalau Tentera Udara Australia (RAF) dahulu yang berpengkalan di Butterworth boleh kita halau pulang, dan begitu juga Carcosa yang diserahkan kepada Britain kita ambil kembali, saya tidak nampak apa masalahnya kalau kita mahu halau Singapura keluar dan ambil alih rumah api berkenaan.

Jangan sampai kata orang, "Belanda dapat tanah", hari ini Pulau Batu Putih esok habis dengan Pulau Pisang dan yang lain yang berdekatan semua dituntutnya. Hubaya-hubaya, "Singapura dapat tanah"!

Read More...

Isu peralihan kuasa cuma satu muslihat?

Harakahdaily

Ruhanie Ahmad

Sun | Jun 15, 08 | 6:41:18 am MYT

Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang gentleman. Beliau tidak pernah kelihatan agresif dalam mencarta serta mencaturkan kerjaya politiknya. Apatah lagi bertindak menongkah arus atau membelah badai dalam siasah.

Lantaran itulah Najib sentiasa berandaian bahawa majoriti insan lain juga mungkin berwatak sepertinya - bersikap dan bertindak gentleman serta bijaksana membaca apa jua mesej yang terhurai secara bersurat atau tersirat disebalik sesuatu perkembangan siasah negara.

Perwatakan Najib ini menyebabkan sebilangan besar warga UMNO mutakhir jadi resah gelisah. Mereka mahukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan tampuk kepimpinan parti dan negara kepada Najib dengan seberapa segera. Tetapi, Najib pula seolah-olah terus bersuara dan bertindak mengikut rentak irama Abdullah yang nampaknya penuh muslihat berjuta rahsia.

Kebelakangan ini, Najib dikatakan bertindak dan bersuara sedemikian rupa kerana beliau mengharapkan peralihan kuasa daripada Abdullah kepada dirinya dilaksanakan "mengikut adat dan tradisi" yang diwarisi oleh Umno sejak berzaman lamanya.

Setelah dirisik dan diselidik daripada pelbagai sumber, apa yang dimaksudkan oleh Najib seperti di atas adalah, peralihan kuasa dalam Umno wajarlah dilaksanakan seperti proses peralihan kuasa daripada Tunku Abdul Rahman Putra kepada Tun Razak Hussein, daripada Tun Hussein Onn kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, dan daripada Mahathir kepada Abdullah.

Ini bermakna, Najib dipercayai mahukan satu proses peralihan kuasa daripada Abdullah kepada dirinya dilaksanakan secara ikhlas, jujur, tersusun, jelas dan tanpa campur tangan pihak-pihak di sekeliling Abdullah.

Ini juga bermaksud, Najib dipercayai mengharapkan peralihan kuasa itu mempunyai tempoh waktu yang tetap, tepat, khusus dan tertentu, di mana beliau diberikan peluang percubaan yang sewajarnya.

Model Mahathir-Abdullah

Pendek kata, model peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Abdullah dipercayai adalah contoh yang paling terdekat di hati Najib dan yang paling segar dalam ingatan seluruh warga Umno.

Menurut model ini, Mahathir yang mengumumkan persaraannya daripada Umno dan kerajaan pada 19 Jun 2002, hanya menyerahkan kuasa Perdana Menteri dan Presiden Umno yang sebenarnya kepada Abdullah pada 30 November 2003.

Di antara tempoh pengumuman persaraan dan penyerahan kuasa sebenarnya, Mahathir terus bekerja dan bekerja tanpa renti, baik di dalam negara atau di seberang laut.

Oleh itu, jika model Mahathir-Abdullah inilah yang diharap-harapkan oleh Najib, pastinya beliau amat kecewa bila pada 6 April 2008, Abdullah menyatakan bahawa beliau "memilih Najib sebagai penggantinya," tetapi tidak pula ditegaskan bila waktunya dan bagaimana pula caranya.

Menurut pelbagai laporan akhbar tempatan, sewaktu berucap dalam satu pertemuan tertutup di hadapan 1000 orang kepimpinan Umno akar umbi, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 6 April 2008, Abdullah hanya menyatakan bahawa "Najib adalah penggantinya sebagai Presiden Umno dan antara mereka tidak pernah ada masalah."

Pada 7 April 2008, selepas menemui pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) Sabah di Kota Kinabalu, Abdullah ditanya oleh pihak media "sama ada beliau ada memikirkan tarikh untuk bersara selepas menamakan Najib sebagai penggantinya." Menurut Utusan Malaysia, Abdullah memberikan jawapan seperti berikut:

"Saya tidak akan memegang jawatan bertahun-tahun lamanya. Sudah tentu tidak. Saya tidak akan memegang jawatan lebih lama daripada yang sepatutnya. Saya akan bersara satu hari nanti, tetapi saya tidak akan berhenti dalam keadaan politik sekarang."

Tempoh khusus

Jawapan di atas membuktikan bahawa Abdullah memang belum dan mungkin tidak akan memberikan satu tempoh waktu yang khusus, jelas, khusus dan tepat, terhadap persoalan bilakah beliau akan menyerahkan tampuk kekuasaan kerajaan dan Umno kepada Najib.

Kenyataan di atas juga menggambarkan bahawa proses peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib tidaklah seperti yang dikatakan dicita-citakan oleh Najib - dilaksanakan "mengikut adat dan tradisi" yang diwarisi oleh Umno sejak berzaman lamanya.

Biarpun begitu, Najib tetap tenang dan tetap gentleman. Pada 7 April 2008, beliau berkata bahawa dirinya tetap "berterima kasih dan menghargai kepercayaan Abdullah yang menamakan beliau sebagai penggantinya untuk jawatan Perdana Menteri."

Najib juga menyatakan bahawa "sebelum ini pendirian Perdana Menteri itu telah dizahirkan secara tertutup" kepada dirinya dan beberapa anggota kerajaan. Tetapi, hanya pada 6 April 2008, baru pertama kali Abdullah menghebahkannya secara terbuka.

Jika begitu hakikatnya, mengapakah pada 6 April 2008, Najib dilaporkan oleh beberapa media perdana sebagai "enggan mengulas apabila ditanya kenyataan Abdullah yang berharap Najib akan menggantikannya bagi menerajui negara ini" seperti ditegaskan dalam perenggan di atas?

Tidakkah ini agak ironis? Atau, mungkinkah terdapat sesuatu yang menghalang Najib, walaupun secara gentleman, untuk menyuarakan isi hatinya yang sebenar pada ketika ini?

Bagaimanapun, isi hati sebenar Najib mungkin tersirat di sebalik kenyataan beliau pada 3 April 2008. Ketika itu, Najib ditanya oleh media tempatan, "apakah Umno kini memerlukan perubahan besar-besaran?" Najib menjawab bahawa "sebarang tindakan bergantung kepada kehendak dan suara ahli. Suara ramai dalam parti yang akan menentukan hala tuju dan masa depan parti."

Suara ramai

Hakikatnya mungkin begitu kerana Najib memang insaf bahawa keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 12 adalah sebahagian daripada "suara ramai" rakyat jelata, termasuk warga Umno, yang mahukan Abdullah mengosongkan kerusi Presiden Umno dan Perdana Menteri selepas PRU berkenaan.

Oleh itu, seluruh pemimpin Umno wajarlah mampu membaca serta menganalisa isi hati Najib yang sebenar-benarnya mutakhir ini. Janganlah bertindak seperti apa yang dinyatakan oleh Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Shahiruddin Ab. Moin.

Dalam satu kenyataannya pada 2 April 2008, dan disiarkan dalam Utusan Malaysia 3 April 2008, Shahiruddin dipetik sebagai berkata bahawa "ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) perlu berani menegur Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, jika mahu melihat Umno pulih semula dan bukannya berpura-pura memberikan sokongan yang akhirnya membawa rebah."

Shahiruddin dilaporkan sebagai membuat kenyataan di atas "kerana beberapa tindakan yang diambil ahli-ahli MT parti ketika ini sudah lari daripada masalah sebenar bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Umno. Isu sebenar ialah Umno gagal mempertahankan kekuasaan yang dimiliki selama ini dan menjadi tugas MT parti untuk menarik kembali sokongan semua kaum, khususnya orang Melayu, untuk menyokong Umno. Ahli-ahli MT Umno harus jujur, berani memberikan pandangan yang ikhlas dan benar kepada pucuk pimpinan parti."

Pada waktu yang sama, seluruh pemimpin dan warga Umno juga perlu menghalusi kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 3 April 2008, dan dilaporkan oleh Utusan Malaysia 4 April 2008, seperti berikut:

Umno mengakui salah satu kelemahan yang menyumbang terhadap prestasi kurang memuaskan parti pada PRU 12 adalah faktor kepimpinan. Sebab itu kepimpinan yang kuat memang amat diperlukan oleh semua parti politik dan Umno juga tidak terkecuali. Dengan kepimpinan yang kuat, ia akan melicinkan parti untuk bergerak ke hadapan dengan baik di samping mampu menambat keyakinan rakyat.

Apabila ditanya apakah Abdullah boleh ditakrifkan sebagai mempunyai kepimpinan yang kuat, Muhyiddin berkata bahawa beliau "rasa tak perlu menjawab soalan tersebut." Apabila ditanya, apakah desakan-desakan yang meminta Abdullah berundur boleh menggambarkan wujudnya krisis di dalam Umno kini, Muhyiddin berkata, "saya hendak kata, ia bukan satu krisis yang besar. Tapi, ia boleh menjadi satu krisis yang besar sekiranya tidak diuruskan dengan baik."

Malapetaka

Muhyiddin juga berkata, pandangan pemimpin veteran, Tan Sri Mohamed Rahmat, bahawa Umno kini hampir hilang kuasa, memang baik dan seharusnya perlu untuk berperasaan sebegitu. Jika Melayu tidak peka atau menganggap keputusan PRU yang lalu sebagai perkara biasa, maka ia jelas satu perbuatan yang lalai.

Apabila lalai, ia akan membawa mala petaka dan bencana yang lebih besar. Jadi eloklah ada peringatan seumpama itu. Lebih penting, bukan sahaja peringatan, tetapi apa yang perlu dilakukan. Jadi kesedaran telah ada dan oleh itu sesuatu segera perlu dibuat kerana jika tidak, Nauzzubillah, ada benda yang buruk akan berlaku kepada orang Melayu.

Maka terserahlah kepada seluruh pemimpin dan warga Umno di segenap peringkat, di seluruh negara, untuk memperincikan seluruh hakikat di atas dan kemudiannya membuat keputusan yang sesuai dengan "suara ramai" seperti yang ditegaskan oleh Najib, yang "tidak berpura-pura" seperti yang disuarakan oleh Shahiruddin, dan untuk mengelakkan sesuatu yang buruk yang mungkin "akan berlaku kepada orang Melayu" seperti dihuraikan oleh Muhyiddin.

Latarbelakang utama kepada keputusan yang dibuat kelak adalah, Abdullah sudah menghebahkan bahawa beliau akan melaksanakan peralihan kuasa kepada Najib. Tetapi, Abdullah seolah-olah menghebahkan kenyataan itu semata-mata sebagai satu muslihat yang penuh berjuta rahsia.

Sebab itulah Abdullah tidak menarik balik kenyataannya bahawa beliau akan terus mengekalkan kerusi Presiden UMNO dalam pemilihan parti hujung 2008 ini. Sebab itulah juga Abdullah hanya menyatakan di Kota Kinabalu pada Pada 7 April 2008, bahawa beliau "tidak akan memegang jawatan bertahun-tahun lamanya" dan beliau "akan bersara satu hari nanti tetapi saya tidak akan berhenti dalam keadaan politik sekarang."

Dan, paksi persoalan kepada keputusan yang mungkin diambil adalah, wajar atau tidak seluruh pemimpin dan warga Umno, di semua peringkat dan di seluruh negara, dengan segera bertanya secara rasmi kepada Abdullah, bilakah tempoh waktu yang jelas, tepat, khusus dan pasti, untuk beliau melaksanakan proses peralihan kuasa kerajaan dan Umno kepada Najib.

Atau, wajar atau tidak - demi agama, bangsa dan tanahair - sewaktu Umno seolah-olah berada dalam keadaan darurat ketika ini, seluruh pemimpin dan warga Umno memujuk Abdullah dengan penuh hemah dan budibahasa, supaya beliau mengundurkan diri daripada persada kekuasaan dan kepimpinan kerajaan dan Umno, dalam tempoh terdekat ini?

Akhir sekali, jika seluruh keputusan dan tindakan yang mungkin akan diambil oleh pemimpin dan warga Umno, gagal untuk menginsafkan Abdullah terhadap realiti siasah semasa, fikir-fikirkanlah, mungkinkah seluruh gembar-gembor mengenai peralihan kuasa kepada Najib kebelakangan ini memang hanya satu muslihat yang penuh berjuta rahsia?

Dalam keadaan sedemikian, fikir-fikirkanlah keputusan dan tindakan selanjutnya, secara ikhlas, jujur, tegas dan berani, demi agama, bangsa dan tanahair. - kuda-kepang.blogspot.com_

Read More...

Mahathir: Najib, Ku Li tiada peluang tandingi Pak Lah Disember ini

Mstar Online

15-06-2008 03:09:34 PM
Oleh G. MANIMARAN

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin tiada siapapun termasuk Tengku Razaleigh Hamzah yang 'berpeluang' untuk menandingi jawatan Presiden Umno pada Disember ini.

"Pada pemilihan Umno akan datang Presiden (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) akan menang, tidak akan ada siapa yang boleh tanding Presiden kerana tiada siapa yang boleh memperoleh 60 pencalonan.

"Ini dikawal oleh Presiden seperti yang berlaku dulu... Tengku Razaleigh hendak lawan, beliau cuma mendapat satu sahaja, bahagian beliau yang mencalonkan beliau, bahagian beliau sendiri mencalonkan beliau," katanya.

Bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno itu menyatakan demikian dalam satu temu bual dengan mStar Online baru-baru ini.

Jelas Dr. Mahathir, sama ada Tengku Razaleigh ataupun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak memang tidak berpeluang untuk menyaingi Abdullah yang menggantikan beliau lima tahun lalu.

Pemilihan pucuk kepimpinan pusat Umno akan berlangsung pada Disember ini.

Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan dan bekas Naib Presiden Umno telah menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi Presiden Umno pada Disember ini.

Kini beliau mengadakan pertemuan di seluruh negara untuk mencari sokongan melepasi kelayakan pencalonan yang diwajibkan untuk menentang Abdullah.

Berdasarkan pendirian yang diumumkan sejak kebelakangan ini, Najib dipercayai hanya akan kekal mempertahankan kerusi Timbalan Presiden Umno.

Ketika mengulas mengenai peralihan kuasa pula, Dr. Mahathir memberitahu, beliau tidak setuju dengan kata sepakat yang telah dicapai oleh Abdullah dan Najib sebelum ini.

"(Saya) tak setuju, lama sangat, tahun 2010... tak ada masa untuk memulihkan parti untuk pilihan raya akan datang," katanya.

Empat hari selepas Dr. Mahathir ditemui mStar Online, semalam Abdullah memberitahu bahawa tarikh tepat berhubung peralihan kuasa kepada Najib masih belum ditetapkan lagi.

Menurut Abdullah, sepertimana yang diperjelaskannya kelmarin beliau akan menyerahkan jawatannya itu kepada Najib apabila tiba masanya sepertimana yang difahami oleh kedua-dua mereka.

Dr. Mahathir juga menyentuh soalan sama ada Umno masih relevan ataupun sebaliknya khususnya selepas keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Kata beliau: "Bagi banyak orang, Umno sudah tidak relevan."

Mengenai keperluan menubuhkan parti baru, beliau berkata: "Sekarang ini pilihan antara masuk parti lawan, ada tiga parti lawan (dan) mungkin mereka (ahli Umno yang tidak berpuas hati) menyertai parti lawan."

Jelas beliau, parti baru juga sukar untuk ditubuhkan kerana tiada pihak yang berani untuk keluar Umno.

"Saya tidak mahu parti baru, saya patuh kepada Umno yang asal, ini bukan Umno yang asal," katanya.

Dr. Mahathir keluar daripada Umno pada 19 Mei lalu.

Read More...

Kaji sebelum naikkan harga minyak - Dr. M

Utusan Online

TELUK INTAN 14 Jun - Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa kerajaan membuat kajian secara mendalam terhadap cadangan- cadangan yang dikemukakan bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan mendadak harga petrol dan diesel.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kajian tersebut adalah penting bagi memastikan pendekatan yang diambil oleh kerajaan itu benar-benar dapat memberikan manfaat kepada rakyat dan bukannya menyebabkan rakyat menderita.

Beliau mendakwa, pendekatan yang diambil oleh kerajaan sekarang ibarat memindahkan wang dari poket kiri ke poket kanan iaitu dengan mengurangkan subsidi minyak tetapi pada masa sama meningkatkan subsidi-subsidi yang lain.

"Ada orang mencadangkan supaya kereta bertukar menggunakan gas tanpa mengetahui harga gas sebenarnya lebih mahal daripada minyak. Sebab itu tiada syarikat lain jual gas untuk kereta, cuma Petronas sahaja dan Petronas memang menanggung rugi," katanya.

Read More...

Harga Minyak Dan Kerajaan BN tahi minyak

Utara OnlineKenyataan Akhbar

Oleh YB Hj Mahfuz Omar

KENAIKAN harga bahan api secara mendadak yang diumumkan oleh kerajaan minggu lepas bukan sekadar menggemparkan rakyat, tetapi menimbul persoalan di benak rakyat apakah wajar kenaikan ini berlaku. Semua rakyat tahu tentang kenaikan harga minyak dunia yang sudah melebihi USD130 setong. Tetapi rakyat bertanya bukankah Malaysia adalah pengeluar dan pengeksport minyak yang telah mengaut untung besar kesan kenaikan ini.

 Sebelum ini pun Menteri Kewangan II pernah menyebutkan tentang rahmat kenaikan harga minyak yang boleh menambahkan pendapatan negara berkali-kali ganda.


Yang anehnya, para menteri dan media massa lebih betah memperkatakan kesan-kesan kenaikan subsidi kepada pembangunan negara ekoran kenaikan harga minyak. Menteri Pengajian Tinggi misalnya menggambarkan kepada rakyat bahawa RM800 juta terpaksa dikurangkan daripada peruntukan untuk kementerian tersebut kerana membiayai subsidi. Benar atau tidak itu soal kedua. Yang penting rakyat harus diberitahu bahawa Negara kita mendapat keuntungan berganda daripada kenaikan harga minyak ini. Adakah wajar kita menggambarkan kenaikan ini sebagai satu musibah semata-mata kerana terpaksa menaikkan harga minyak, sedangkan ia patut dilihat sebagai rahmat kerana kita pengeksport minyak yang layak menjual dengan harga lebih murah kesan keuntungan berganda ini.

Apabila kerajaan mendakwa penstrukturan semula harga minyak tidak memberikan keuntungan kepada kerajaan, ia adalah satu pembohongan pada siang hari. Rakyat ditipu hidup-hidup. Kerajaan telah mengaut untung yang besar sebagai pengeksport kerana kenaikan harga ini, sedangkan perbelanjaan telah susut dengan pengurang subsidi besar-besaran. Sudah tentu berlaku lebihan pendapatan kerana minyak yang dikeluarkan oleh Malaysia ialah 600,000 tong sehari, manakala penggunaan hanya sekitar 400,000 tong sahaja. Di sini pun sudah ada keuntungan atau lebihan yang dicatat, belum mengambil kira pengurangan subsidi dan perbezaan harga import eksport ekoran perbezaan kualiti minyak. Rakyat harus memahami bahawa minyak yang digunakan di dalam Negara adalah merupakan minyak yang diimpot dari luar Negara yang mana kualitinya rendah dan harganya lebih murah iaitu USD 135 setong berbanding dengan harga minyak yang dikeluarkan oleh Negara kita iaitu USD 145 setong.

Hakikat ini telah diakui sendiri oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zetti Akhtar Aziz yang memberitahu bahawa pendapatan Negara akan meningkat antara RM100 juta hingga RM200 juta setahun hasil kenaikan harga minyak sebanyak USD1. Ia turut diakui oleh Menteri Kewangan, Tan Sri Nor Mohd Yaakub. Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak perlu bimbang kerana ekonomi negara akan semakin kukuh dan kenaikan ini menjadi rahmat kepada negara kita. Jika kita mengandaikan Negara kita memperolehi tambahan pendapatan RM200 juta di atas kenaikan USD1, maka kenaikan USD60 semenjak kenaikan terakhir harga minyak pada 2006, bermakna kita mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM12 bilion. Sedangkan apa yang berlaku dalam pengstrukturan semula subsidi harga minyak baru-baru ini, kerajaan mendakwa berjaya menjimatkan hampir RM 14 bilion. Ini bermakna kerajaan mempunyai lebihan pendapatan sebanyak RM 26 bilion. Ini membuktikan bahawa Dato’ Shahril Abd Samad berbohong kepada rakyat mengenai kerajaan tidak mendapat keuntungan daripada pengstrukturan semula harga minyak.

Kita tidak boleh menerima alasan bahawa dengan mengurangkan subsidi ini kita telah menjimatkan sekitar RM14 bilion, sedangkan penjimatan sebanyak RM4.5 bilion sebelum ini langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat. Tidak ada peningkatan dalam perkhidmatan pengangkutan awam, tetapi yang ada adalah peningkatan kos pengangkutan. Maka, penjimatan kali akan diagihkan kepada sektor mana pula? Apakah benar-benar berbaloi untuk rakyat menambahkan perbelanjaan sehingga 40 peratus untuk petrol sahaja, sedangkan kualiti perkhidmatan tidak bertambah.

Kerajaan sebenarnya harus keluar daripada kejumudan pentadbiran mereka bagi mencari satu pendekatan yang boleh menambahkan pendapatan Negara, jika itu menjadi alasan untuk menghapuskan subsidi. Lihatlah apa yang dibuat oleh Iran dan Venezuela yang mengalih transaksi minyak mereka dari USD kepada Euro. Negara dijangka dapat menambah sehingga 15 peratus pendapatan jika transaksi ini dibuat menggunakan euro kerana mata wang Eropah ini lebih kukuh. Mengapa kita harus terus terikat dengan Dollar sedangkan mata wang itu semakin lemah hari ini. Dahulu pemimpin BN menuduh pemimpin PR di Perak tidak tahu mencari wang sebagai pendapatan kerajaan, hari ini kerajaan BN mengambil kesempatan untuk menindas rakyat, bukannya mencari alternatif pandapatan bagi membela kepentingan rakyat.

Satu lagi pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan ialah dengan mengenakan cukai durian runtuh ke atas syarikat-syarikat berkaitan cari gali petroleum, khususnya syarikat asing. Pendapatan mereka telah meningkat ekoran kenaikan harga minyak, tetapi rakyat sebagai ‘tuan punya’ minyak semakin menderita. Syarikat asing seperti Shell, Exxon, Ludin, Total dan lain-lain termasuk Petronas patut dikenakan cukai durian runtuh ini apabila harga minyak melepasi satu tahap harga tertentu. Sama ada harga syiling ini ditetapkan mengikut nilai setong atau nilai keluaran, yang penting keuntungan tanpa jangkaan mereka akibat kenaikan harga minyak ini dicukaikan seperti mana cukai durian runtuh dikenakan ke atas minyak sawit dan IPT.

Malaysia sudah mengamalkan dasar percukaian ini ke atas minyak sawit dan ITP, maka mengapa ia tidak boleh dilaksanakan ke atas minyak sebagai timbal balik untuk membiayai kos subsidi. Keuntungan ini jika tidak dicukaikan ia akan memberikan manfaat yang besar kepada syarikat asing, sedangkan rakyat sendiri menderita. Adakah kerajaan tidak tergamak untuk mengenakan cukai tambahan ini kerana adanya Amerika Syarikat dan Zionis di belakang syarikat-syarikat tersebut. Jika kita mengandaikan cukai ini dikenakan sebanyak 10 peratus, bermakna negara akan mendapat sebanyak USD 7.8 bilion berdasar keluaran minyak 600,000 tong sehari pada harga USD13 setong.

Dengan pendapatan sebanyak itu, kerajaan tidak lagi perlu bimbang untuk membiayai subsidi dan pembangunan negara sekali gus. Bahkan, kerajaan boleh menstrukturkan semula pembelanjaan negara dengan mengurangkan defisit. Mengapa kita takut untuk melakukan satu reformasi terhadap kewangan Negara berasaskan sumber kekayaan yang begitu besar. Kekayaan hasil minyak adalah milik rakyat, dan ia harus ditadbir dengan berkesan supaya rakyat memperoleh manfaatnya, bukannya terpaksa hidup dalam ketakutan setiap kali berlaku kenaikan harga minyak. Kita boleh terima jika harga beras terpaksa naik kerana kita mengimport beras. Tetapi kita adalah pengeksport minyak, maka mengapa rakyat terpaksa membayar lebih untuk membeli minyak.

Rakyat telah mendengar empat langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk mengurangkan beban kenaikan harga minyak ini. Antaranya ialah penjimatan perbelanjaan sektor awam dengan mengurangkan pembaziran yang hanya bernilai RM 2 bilion sahaja termasuklah mengurangkan elaun keraian Perdana Menteri dan anggota kabinet. Kita berasa pelik apabila langkah penjimatan dibuat selepas harga minyak dinaikkan. Mengapa penjimatan atau menghapuskan pembaziran ini tidak dibuat lebih awal dan segala kebocoran dalam perbelanjaan kerajaan boleh disalurkan untuk mensubsidi rakyat dan harga minyak tidak perlu dinaikkan. RM 2 bilion penjimatan selepas pengumuman kenaikan harga minyak termasuk pemotongan 10% elaun Perdana Menteri dan kabinet sebenarnya tidak memberikan sebarang kesan kepada meringankan beban rakyat. PM dan anggota kabinet hanya kekurangan 10% daripada pendapatan mereka tetapi rakyat terbeban dengan lebih 40% kesan kenaikan harga minyak. Sedangkan perjalanan harian PM dan anggota kabinet ditanggung sepenuhnya oleh wang rakyat. Dan RM 2 bilion penjimatan yang diumumkan jika dibahagikan dengan 27 juta rakyat Malaysia, rakyat hanya akan memperolehi RM 74 setahun atau 20 sen sehari sedangkan pemimpin negara masih boleh bercuti keluar negara walaupun hanya dihadkan di negara-negara asia sahaja termasuklah ke Mongolia, Jepun, Dubai dan sebagainya, sudah tentunya sejumlah wang rakyat akan dibelanjakan untuk tujuan tersebut. Sepatutnya Perdana Menteri mengumumkan beliau dan semua anggota kabinet tidak layak untuk menerima gaji dan elaun kerana mereka tidak bekerja untuk membangunkan negara dan mengeluarkan rakyat daripada bebanan hidup. Kerajaan juga sewajarnya menghapuskan projek-projek membazir dan menghapuskan tender runding reka dan bina kerana ia melibatkan kos yang besar iaitu hampir sekali ganda daripada kos tender terbuka.

Banyak lagi projek-projek membazir dijalankan oleh kerajaan seperti menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Belia Asia (CYC) yang menelan kos hingga RM17 juta, tetapi diakui oleh Menteri Belia dan Sukan serta Presiden FAM sebagai tidak bermanfaat untuk Negara dan pembangunan bola sepak. Begitu juga projek seperti Taman Tamadun Islam di Terengganu yang menelan hampir RM1 bilion. Petronas sendiri membazirkan wangnya dengan banyak untuk orkestra di KLCC, termasuk membelanja sehingga RM3.5 juta sebulan untuk membayar gaji 105 orang pemuzik orchestra yang majoritinya rakyat asing. Maka, bagaimana Petronas boleh bersungut tentang peningkatan kos pengurusannya mencecah 200 peratus, sedangkan pembaziran begitu banyak berlaku. Jika dikaji Laporan Ketua Audit Negara, kita akan dapati begitu banyak pembaziran dalam perbelanjaan awam. Sepatutnya pembaziran ini telah lama diatasi.

Kesan kenaikan harga minyak ini memberikan dampak yang besar kepada kuasa beli rakyat. Jika kita mengandaikan setiap rakyat menggunakan 2000 liter petrol setahun dengan pandapatan perkapita sebanyak RM46,080, bermakna rakyat Malaysia yang mengeksport minyak telah menggunakan sejumlah 11.72 peratus pendapatannya hanya untuk membeli petrol sahaja. Berbanding Singapura yang mengimport minyak, berasaskan perkapita setinggi RM156,480, mereka hanya menggunakan 6.65 peratus pendapatan untuk membeli petrol yang berharga RM5 seliter. Di negara pengeluar minyak yang lain seperti Venezuela, rakyat hanya memperuntukan 0.78 peratus daripada pendapatan perkapita untuk membeli petrol.

Adakah kerajaan berfikir bahawa dengan duit rebet sebanyak RM625 setahun itu rakyat telah terbela? Bukankah ianya hanya bernilai tidak sampai RM1.70 sehari. RM1.70 itu tidak bermakna bagi pengguna motosikal apatah lagi pengguna kereta yang telah kehilangan kuasa beli berkali ganda, tidak termasuk kos kenaikan barangan dan perkhidmatan lain. Lagipun pembayaran ini hanya sehingga Mac 2009. Yang kita nampak ialah pembayaran rebet ini akan menguntungkan Pos Malaysia sebagai syarikat pembayar kerana mereka boleh meniagakan wang tersebut sebelum pembayaran dibuat. Mengapa Pos Malaysia? Adakah kerana ECM Libra mempunyai kepentingan di dalamnya?

Apapun beban yang rakyat tanggung, sepatutnya seluruh rakyat patut berterima kasih kepada sesiapa yang baru menyertai atau menyokong Umno/BN kerana sokongan mereka ini telah menyumbang kepada keyakinan Umno/BN untuk menaikkan harga minyak. Mungkin jika mereka tidak menyokong Umno ketika bekas presidennya pun menarik diri dari Umno, mungkin Umno terpaksa berfikir dua kali untuk menaikkan harga minyak ini. Biarlah ia menjadi pengajaran kepada orang yang menyertai Umno/BN atau bekerjasama dengan Umno/BN atau berhasrat untuk menyertai kerajaan BN bagi menindas rakyat melalui kenaikan harga minyak ini.

YB Tuan Hj Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena

Read More...

Wang tunai rebat habis

kosmo online


ORANG RAMAI berebut untuk mendapatkan nombor giliran untuk rebat tunai di Pejabat Pos Pulau Pinang semalam.


BANGI - Pembayaran rebat tunai kenderaan persendirian semalam tercalar apabila ada pejabat pos yang dilaporkan kehabisan wang tunai untuk diagihkan.

Ini menyebabkan keadaan agak kecoh apabila orang ramai yang telah beratur panjang sejak pagi kecewa apabila terpaksa pulang.

Antara pejabat pos yang dilaporkan menghadapi masalah itu ialah di Selangor dan Terengganu.

Salah seorang penuntut, Mohd. Nor Ab. Samad, 46, kecewa apabila diberitahu pejabat pos yang dikunjunginya di Rawang, Selangor kehabisan wang tunai.

"Saya singgah di pejabat pos Bandar Tasik Puteri, Rawang kira-kira pukul 11.30 pagi untuk menuntut rebat tunai setelah melihat pejabat di situ agak lengang.

"Namun setelah masuk ke pejabat pos dan bertanya mengapa di situ lengang, salah seorang pegawai memberitahu bahawa mereka kehabisan wang tunai," katanya.

Jelas Mohd. Nor lagi, kehabisan wang tunai di pejabat pos tersebut ekoran kebanjiran orang ramai yang datang awal pagi lagi untuk menuntut rebat tunai.

"Saya juga tanya bila boleh wang tersebut akan sampai dan mereka beritahu mungkin hari ini (semalam) atau pun Isnin depan.

"Namun dalam pukul 4 petang, saya lihat pejabat pos itu telah mula didatangi orang ramai kerana wang tunai telah dihantar ke sana," jelasnya.

Masalah kehabisan wang tunai juga dilaporkan di Kuala Terengganu. Orang ramai di pejabat pos cawangan Pasar Raya Besar Giant pulang dengan tangan kosong apabila wang rebat tunai habis kira-kira pukul 12 tengah hari.

Kosmo! Ahad diberitahu sehingga pukul 2 petang bekalan tambahan wang tunai masih belum tiba.

Pos Malaysia ketika diminta mengulas menjelaskan wang rebat tunai akan ditambah dari semasa ke semasa sekiranya mana-mana pejabat pos kehabisan tunai.

Pemangku Pengarah Urusan Pos Malaysia Berhad (PMB), Datuk Abu Huraira Abu Yazid menjelaskan, bahawa pihaknya mempunyai peruntukan kewangan yang mencukupi untuk pengagihan itu.

"Tiada istilah kehabisan wang tunai kerana ia akan sentiasa ditambah dari semasa ke semasa,'' ujarnya.

Sementara itu, Pos Malaysia Bhd. (PMB) telah membayar rebat tunai sejumlah RM116.734 juta di seluruh negara kepada 239,414 pemilik kenderaan persendirian yang layak semalam.

PMB turut mengingatkan orang ramai yang tidak sempat menuntut rebat tunai semalam, mereka masih boleh menuntutnya pada bila-bila masa sehingga 31 Mac depan.

Read More...

"Melayu Johor akan terpinggir" Mahathir

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Bernama
Ahad, 15 Jun 2008

TELUK INTAN: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mendakwa bahawa rancangan untuk membangunkan Iskandar Malaysia, koridor pembangunan di selatan Johor yang berdekatan dengan Singapura, bukan sahaja akan menjadikan wilayah pertumbuhan seluas 2,217 kilometer persegi itu sebagai 'Utara Singapura/Singapore North' tetapi juga bakal menyebabkan orang Melayu di Johor terpinggir.

"Penduduknya akan terdiri daripada orang yang kaya belaka dan mereka akan datang daripada Singapura. Kawasan itu akhirnya tidak akan ada orang Melayu kerana mereka tidak berupaya nak beli tanah (disebabkan harganya yang mahal) dan apabila jumlah orang lain terlalu ramai, mereka akan desak meminta hak itu dan hak ini," katanya dalam satu majlis dialog di sini.

Sehubungan itu beliau mengingatkan orang Melayu di sekitar koridor pembangunan tersebut agar tidak mudah melepaskan tanah yang mereka miliki apabila ditawarkan dengan harga yang cukup tinggi oleh pihak tertentu.

Koridor ini, yang juga dikenali sebagai Pembangunan Wilayah Ekonomi Selatan Johor (SJER), diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Julai 2006.

Namanya ditukar kepada Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) pada 4 Nov 2006 bersempena nama Sultan Johor, Sultan Iskandar sebelum sekali lagi ditukar namanya menjadi Iskandar Malaysia pada 11 April lepas.

Lebih RM47 bilion diperlukan bagi membangunkan kawasan itu sebagai sebuah pusat pertumbuhan yang terbesar di rantau ini yang akan memakan masa sehingga tahun 2025.

Keseluruhan kawasan pembangunan itu dikatakan menyamai 2 1/2 kali ganda keluasan Singapura apabila siap sepenuhnya dengan syarikat Khazanah Nasional Berhad sebagai peneraju utama dalam merealisasikan wawasan pembangunan tersebut.

Read More...

Harga minyak 'hadiah' BN pada penyokongnya

Harakahdaily

Azamin Amin | Foto Wan Zahari Wan Salleh

Sun | Jun 15, 08 | 6:45:55 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Seluruh rakyat patut 'berterima kasih' kepada sesiapa yang baru menyertai atau menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana sokongan mereka ini telah menyumbang kepada keyakinan Umno/BN untuk menaikkan harga minyak yang jelas membebankan rakyat Malaysia.

ImageKetua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata jika mereka (yang menyertai) tidak menyokong Umno ketika bekas presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad pun menarik diri kemungkinan Umno terpaksa berfikir dua kali untuk menaikkan harga minyak ini.

"Biarlah ia menjadi pengajaran kepada orang yang menyertai Umno/BN atau bekerjasama dengan Umno/BN atau berhasrat untuk menyertai kerajaan BN bagi menindas rakyat melalui kenaikan harga minyak ini," katanya dalam tulisannya di Harakah keluaran terbaru.

Dalam menangani masalah kenaikan tersebut sepatutnya Perdana Menteri mengumumkan beliau dan semua anggota kabinet tidak layak untuk menerima gaji dan elaun kerana mereka tidak bekerja untuk membangunkan negara dan mengeluarkan rakyat daripada bebanan hidup, katanya.

ImageKatanya, kerajaan juga sewajarnya menghapuskan projek-projek membazir dan menghapuskan tender runding reka dan bina kerana ia melibatkan kos yang besar iaitu hampir sekali ganda daripada kos tender terbuka.

Kerajaan juga wajar menghentikan projek-projek membazir yang mengakibatkan rakyat menanggung beban seperti penganjuran Kejohanan Bola Sepak Belia Asia (CYC) yang menelan kos hingga RM17 juta, yang diakui oleh Menteri Belia dan Sukan serta Presiden FAM sebagai tidak bermanfaat untuk Negara dan pembangunan bola sepak, katanya.

"Begitu juga projek seperti Taman Tamadun Islam di Terengganu yang menelan hampir RM1 bilion.

"Petronas sendiri membazirkan wangnya dengan banyak untuk orkestra di KLCC, termasuk membelanja sehingga RM3.5 juta sebulan untuk membayar gaji 105 orang pemuzik orchestra yang majoritinya rakyat asing," kata Mahfuz yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.

ImageKesan daripada itu beliau membangkit persoalan bagaimana Petronas boleh bersungut tentang peningkatan kos pengurusannya mencecah 200 peratus, sedangkan pembaziran begitu banyak berlaku.

"Jika dikaji Laporan Ketua Audit Negara, kita akan dapati begitu banyak pembaziran dalam perbelanjaan awam. Sepatutnya pembaziran ini telah lama diatasi," katanya yang merujuk soal pembaziran kerajaan mempengaruhi kesan kenaikan harga minyak demi menampung kerugian akbibat salah urus dana negara dan rakyat jelata. - mks. _

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |