+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, March 30, 2008

Idris, Ahmad berpelukan

Malaysiakini

Mar 30, 08 1:19pm

Bekas menteri besar Terengganu Datuk Idris Jusoh hadir di majlis angkat sumpah penggantinya Datuk Ahmad Said pagi ini.

Kedua-duanya juga berdakapan selepas acara itu - menjelaskan lagi kenyataan Ahmad kelmarin bahawa beliau tidak bermusuh dengan Idris.

Semua 22 wakil-wakil rakyat lain BN, awalnya menentang pelantikan Ahmad, menghadiri majlis angkat sumpah.

Majlis itu diadakan di hadapan Pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Krisis pelantikan menteri besar negeri itu mula menunjukkan tanda utama penyelesaian apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno memperakui pelantikan Ahmad yang dilantik istana, sekali gus menolak Idris yang didukung Perdana Menteri.

Upacara turut disaksikan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Shah.

Wakil-wakil rakyat PAS, yang diketuai presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut menghadiri majlis. Abdul Hadi, wakil Rhu Rendang, sebelum ini ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri.

Selepas MT membuat keputusan, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN, termasuk Idris, akur dengan arahan perdana menteri agar menerima pelantikan Ahmad.

Ahmad menerima watikah pelantikan daripada MPPR minggu lalu tetapi majlis angkat sumpahnya ditangguh selepas semua wakil BN memulaukan majlis tersebut.

Beliau semalam berkata senarai exco negeri akan dilantik lebih kurang seminggu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, setiausaha badan perhubungan Umno, Datuk Rosol Wahid, berkata tiada usul undi tidak percaya akan dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap Ahmad.

Beliau berkata krisis pelantikan jawatan itu telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat negeri itu dan ada tanggapan kini sedang wujud perebutan jawatan dalam Umno, lapor Bernama.

"Kita boleh beri jaminan tidak akan ada apa-apa masalah selepas ini, sebab yang mendukung kita sekarang ialah rakyat. Jadi kita nampak, tidak perlu lagi timbul isu-isu yang meresahkan rakyat," beliau dipetik sebagai berkata.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, beliau berkata:

"Jadi saya yakin (persidangan) dewan DUN nanti akan berjalan dengan lancar dan baik kerana matlamat kita adalah rakyat..."

Read More...

Peranan Institusi Raja Penting Untuk Keseimbangan Politik dan Kestabilan Negara

Buletin Online
PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Wan Kay
Sunday, 30 March 2008
The image “http://buletinonline.net/images/berita2/tgahadi.gif” cannot be displayed, because it contains errors.
(Foto: Dato' Seri Tuan Guru bersalam dengan para hadirin di majlis istiadat angkat sumpah MB Terengganu)

Kuala Terengganu, 30 Mac - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan peranan istana dan institusi raja berpelembagaan adalah penting untuk keseimbangan politik dan memelihara kestabilan sesebuah negara.

Beliau berkata peranan tersebut dapat menyelesaikan krisis dalaman parti kerajaan sesebuah negara dan mengurangkan ketegangan apabila berlaku krisis antara pemerintah dengan rakyat seperti yang berlaku di negeri Thailand.

Beliau menghargai peranan pihak istana Terengganu yang berjaya menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar dan penubuhan kerajaan negeri.

“Saya sangat tertarik dan menghargai peranan yang dimainkan istana dalam menangani krisis yang berlaku di Terengganu pada hari ini,

”Dan kita tidak senang dengan berlarutan masa yang begitu panjang, tidak ditubuhkan kerajaan negeri,” kata Dato’ Seri Abdul Hadi ketika ditemui pemberita selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu di Istana Maziah, di sini hari ini
.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Dato’ Ahmad Said, 51, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Semua lapan ADUN Parti Islam Semalaysia(PAS) yang menang dalam Pilihanraya Umum ke 12 hadir di istiadat tersebut.

Istiadat itu turut disaksikan Yang Di-Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dan dua anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Read More...

30,000 sambut kepulangan Sultan Terengganu

Siasahdaily

KUALA TERENGGANU, 29 Mac: Lebih 30,000 rakyat Terengganu berhimpun di Lapangan Terbang Kuala Terengganu bagi menyambut kepulangan DYMM Yang Dipertuan Agung ke negeri ini pagi tadi.

Mereka mula berkumpul sejak jam 9.00 pagi dengan pelbagai jenis banner dan sepanduk menyokong Tuanku Mizan.

Di samping itu, pelbagai jenis pelekat kereta, reben kuning dan juga gambar dibawa ke perkarangan lapangan terbang itu.

Mereka berteriak daulat Tuanku dan sesekali teriakan Takbir berkumandang apabila konvoi baginda bergerak keluar dari lapangan terbang kira-kira jam 10.45 pagi.

Turut serta dalan konvoi adalah anakanda Baginda yang menjadi pemangku Raja di samping anggota Majlis Penasihat Pemangku Raja.

Rombongan Tuanku kemudiannya begerak ke Lembah Bidung.
Di sana, Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) dan beberapa NGO menyerahkan memorandum sokongan kepada baginda.

Read More...

10,000 sambut Agong

Utusan online


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail (tengah), Tengku Muhammad Mua’az (depan) dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berdoa sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam. – Gambar Fauzi Baharudin.


KUALA TERENGGANU 29 Mac – Lebih 10,000 rakyat Terengganu daripada pelbagai lapisan masyarakat menyambut keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dari ibu negara di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini.

Sambutan itu sebagai menyatakan sokongan kepada Tuanku Mizan dan institusi raja berikutan kontroversi pelantikan Menteri Besar yang berakhir dengan penerimaan Datuk Ahmad Said yang merupakan calon pilihan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO kelmarin.

Laungan ‘Daulat Tuanku’ bergema beberapa kali sebaik sahaja Tuanku Mizan dan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail berangkat tiba di LTSM di sini kira-kira pukul 10 pagi.

Difahamkan, ini merupakan perhimpunan terbesar pernah diadakan di Terengganu bagi menyambut keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong dan Sultan dalam tempoh 20 tahun lalu.

Rakyat memenuhi setiap jalan dan pekarangan LTSM sejak pukul 8 pagi untuk menyambut keberangkatan tiba Tuanku Mizan.

Keberangkatan tiba Tuanku Mizan disambut oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, pembesar dan kerabat istana serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Kesemua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) hadir kecuali bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati orang ramai akur dengan arahan Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob supaya tidak membawa kain rentang yang mengandungi perkataan sensitif sepanjang perhimpunan tersebut.

Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang perhimpunan yang dikawal ketat oleh anggota polis itu.

Perhimpunan menyambut keberangkatan pulang Tuanku Mizan adalah anjuran Majlis Permuafakatan Terengganu (Mampat) yang diadakan bertujuan menunjukkan sokongan dan kesetiaan rakyat Terengganu kepada Tuanku Mizan.

Read More...

Ahmad angkat sumpah, 22 adun jamin tiada undi tidak percaya

Harakahdaily

Sun | Mar 30, 08 | 5:18:35 pm MYT

KUALA TERENGGANU, 30 Mac (Hrkh) - Dato' Ahmad Said hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru dan sekaligus mengakhiri krisis pelantikan Menteri Besar negeri ini yang berlarutan sejak 10 Mac.

Bernama melaporkan, kesemua 22 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), yang sebelum ini tidak menyokong pelantikannya serta bekas Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh, yang dinamakan sebagai Menteri Besar oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, menghadiri majlis angkat sumpah hari ini.

Istiadat di hadapan Pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin, berlangsung di Balairong Seri, Istana Maziah di sini, tiga hari selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno membuat keputusan menyokong pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu.

Selepas melafazkan sumpah jawatan dan ikrar taat setia sebagai Menteri Besar, Ahmad, 51, yang juga Adun Kijal kemudian menandatangani surat pelantikannya.

Istiadat itu turut disaksikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dan dua anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Semua Adun Terengganu termasuk daripada parti pembangkang menghadiri majlis hari ini. Dengan berpakaian baju Melayu serba hitam, Menteri Besar baru itu kelihatan tenang sepanjang berlangsungnya majlis itu.

Bagaimanapun sebelum beredar meninggalkan majlis, Ahmad kelihatan terharu apabila beliau bersalaman dengan Idris dan memeluk bekas Menteri Besar itu dalam keadaan penuh emosi.

Beliau turut bersalaman dengan Adun yang menghadiri majlis itu.

Sebanyak 22 Adun dari BN sebelum ini membantah pelantikan Ahmad dan beberapa orang daripada mereka bersedia meletakkan jawatan sebagai Adun jika Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua.

Jaminan tiada usul undi tak percaya

Sementara itu, Adun Ajil Dato' Rosol Wahid hari ini memberi jaminan barisan Adun BN tidak akan akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar baru pada sidang DUN, yang perlu diadakan dalam tempoh tiga bulan ini.

Beliau berkata krisis pelantikan Menteri Besar yang berlaku sebelum ini sudah cukup meresah dan mengelirukan rakyat dan Umno Terengganu merasakan bahawa tidak perlu lagi timbul perkara-perkara yang dikhuatiri boleh menjejaskan imej parti pada pandangan mata rakyat.

"Kita boleh beri jaminan tidak akan ada apa-apa masalah selepas ini, sebab yang mendukung kita sekarang ialah rakyat. Jadi kita nampak, tidak perlu lagi timbul isu-isu yang meresahkan rakyat. Hari ini telah masuk tiga hingga empat minggu rakyat resah dengan kemelut ini.

"Bagi mereka yang faham, tidak ada masalah, tetapi bagi yang kurang faham, mereka merasakan ini seolah-olah perbalahan berebut jawatan dalam Umno.

"Jadi saya yakin (persidangan) Dewan DUN nanti akan berjalan dengan lancar dan baik kerana matlamat kita adalah rakyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengerusi Perhubungan Umno, mana yang baik untuk rakyat, itulah yang terbaik untuk kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis serah terima tugas jawatan Besar Terengganu daripada Idris kepada Menteri Besar baru Datuk Ahmad Said di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Selepas ini, satu lagi majlis angkat sumpah akan diadakan untuk anggota Exco kerajaan negeri, apabila Ahmad selesai menyediakan senarai pelantikan dalam masa kira-kira 10 hari lagi.

BN menang 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu manakala selebihnya dimenangi oleh PAS. - mks.

Read More...

Guan Eng Sambut Ketibaan Abdullah Di Pulau Pinang

Kelatedaily

Dilulus Oleh:wahdah| Saturday, March 29 @ 21:33:47 MYT

KM Penang PULAU PINANG, 29 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di sini hari ini bagi menghadiri majlis kesyukuran Umno Pulau Pinang, dan ketibaan beliau di Lapangan Terbang Bayan Lepas di sini disambut oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng.


Lim dan kedua-dua timbalannya Mohammad Fairus Khairuddin dan Prof P.Ramasamy adalah antara lebih 300 orang yang menyambut ketibaan Abdullah di lapangan terbang itu sebaik turun dari pesawat pada pukul 6.15 petang.

Abdullah bersalaman dengan Lim, Mohammad Fairus dan Ramasamy serta para pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno Pulau Pinang.

Antara pemimpin yang hadir ialah Pengerusi BN negeri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah, Setiausaha Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim, Bendahari Umno Negeri Datuk Zainal Abdidin Osman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Jamaludin Hasan.

Lim memberitahu pemberita bahawa Abdullah mengucapkan tahniah kepada beliau dan Ramasamy di atas kejayaan DAP menubuhkan kerajaan di Pulau Pinang selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas. Lim berkata beliau juga mengambil kesempatan memperkenalkan Mohammad Fairus kepada Perdana Menteri. Abdullah dijadual menghadiri majlis kesyukuran anjuran Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang di Dewan Besar Sungai Dua Butterworth.

Ratusan orang menunggu ketibaan Perdana Menteri dengan membawa sepanduk yang menyokong kepimpinannya. Mereka melaungkan "Hidup Pak Lah" dan "Hidup Melayu" sebaik sahaja kenderaan yang membawa Abdullah beredar meninggalkan lapangan terbang.

Kemudian sebaik tiba di rumah keluarganya di Kepala Batas, Abdullah disambut oleh kira-kira 1,000 orang penyokong.

Dalam ucapan ringkasnya, Abdullah mengucapkan terima kasih kepada penyokong serta semua pengundi yang telah membawa kepada kemenangan BN di Kepala Batas pada pilihan raya umum lepas.

-- BERNAMA


Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |