+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, December 11, 2008

Kian ramai menganggur tahun depan

Malaysiakini

Dec 10, 08 11:09pm

Kadar pengangguran tahun depan mungkin meningkat kepada 4.5 peratus berbanding kira-kira 3.5 peratus tahun ini akibat kelembapan ekonomi dunia sekarang, demikian analisis Institut Penyelidikan
Ekonomi Malaysia (MIER).

Pengarah eksekutifnya Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem berkata, dalam suku ketiga tahun ini, rakyat Malaysia yang menganggur berjumlah 12,000 orang.

"Bilangan penganggur semakin meningkat. Kita perlu mengawasinya dengan teliti," katanya dalam ucaptamanya pada majlis dialog dengan Profesor Robert Engle, yang memenangi Hadiah Nobel bagi ekonomi pada 2003.

Menurut Bernama, Mohamed Ariff berkata kadar 4.5 peratus dianggap tinggi bagi Malaysia.

"Tinggi sebab kita biasa dengan kadar 2.2 dan 2.5 peratus tetapi jika
dibandingkan dengan Eropah, Jepun dan Amerika Utara, 4.5 peratus amat rendah," katanya.

Mohamed Ariff berkata industri pembuatan dijangka paling teruk terjejas oleh kelembapan ekonomi ini.

"Kita rasa sektor elektrik dan elektronik khususnya, amat mudah
terjejas.

"Barangkali sokongan utama bagi ekonomi adalah daripada sektor
perkhidmatan. Ia bakal menjadi jentera pertumbuhan, dan membantu kita mengelakkan kemelesetan sebenar tahun depan," beliau dipetik berkata.

Menurut Mohamed Ariff lagi, Malaysia berdepan kemungkinan 40 peratus terjerumus dalam kancah kemelesetan teknikal tahun depan dan 30 peratus kemungkinan dilanda kemelesetan sebenar.

"Tetapi ini di bawah 50 peratus. Ia sekarang bergantung kepada apa yang dilakukan oleh kerajaan," katanya, sambil menambah bahawa lebih banyak langkah harus diambil untuk mengharungi krisis kewangan sekarang.

Pada majlis dialog itu, Engle berkata Malaysia mungkin menghadapi tempoh yang sukar seperti juga ekonomi-ekonomi lain di Asia, lapor agensi berita itu lagi.

"Kita harap China akan dapat bertahan. Jika China juga bergelut (dengan krisis ekonomi semasa), ekonomi-ekonomi lain di Asia turut akan berdepan dengan tempoh yang sukar," tegasnya.

Read More...

Presiden Kesatuan Eropah kagumi kepimpinan Nik Aziz

Harakahdaily

Mohd Nor Yahya
Thu | Dec 11, 08 | 7:55:24 am MYT

KOTA BHARU, 11 Dis (Hrkh) -Presiden Kesatuan Eropah,Marc Barety melahirkan rasa kagum di atas corak pentadbiran yang diamalkan oleh pimpinan Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz di negeri Kelantan.

Beliau berkata demikian, ketika mengetuai seramai 14 peserta lawatan sambil belajar terdiri daripada Duta dan wakil kesatuan Eropah (EU) yang berkunjung ke negeri Kelantan baru-baru ini.

Delegasi tersebut terdiri dari negara Perancis, Republik Chech,Poland, Hungary,Slovakia, Austria, Sweden, United Kingdom,Belgium, Romania,Italy,Denmark dan Findland .

Rombongan deligasi tersebut telah disambut oleh Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kompleks Kerajaan Darulnaim.

Sementara itu di sidang media, Tuan Guru berkata kunjungan delegasi dari EU ini memberi erti kerajaan Kelantan mendapat pengiktirafan dan penghormatan dari kaca mata dunia, beliau mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian mereka berkunjung ke negeri Kelantan.

Tuan Guru juga berkata beliau telah ditanya berkaitan dengan perbezaan corak pentadbiran dengan pusat dan beliau menegaskan bahawa selagi corak pentadbiran Pusat tidak berlandaskan Islam, selagi itulah kami akan menegurnya.

Beliau juga berkata selepas kerajaan PAS mengambil alih Kelantan, beliau terus menukarkan semua akaun bank milik kerajaan kepada bank Islam yang tidak berlandaskan riba dan kini sudah banyak bank-bank yang menawarkan sistem perbankan tanpa riba.

Menyentuh kepada pemimpin sesebuah negeri ianya tidak semestinya keturunan melayu, Kaum lain seperti Cina juga boleh menjadi ketua negeri asalkan ia seorang yang alim dan warak serta menurut perintah Allah SWT.

"Sebab itulah kini,kita lihat adanya kelab penyokong PAS dari kaum-kaum lain, mengapa mereka tak tubuh kelab penyokong Umno kalau Umno itu betul gak,"ujar beliau.

Kerajaan Kelantan kini juga mempunyai penghulu dari kaum-kaum lain bagi merapatkan hubungan sesama kaum di negeri ini tanpa mengira agama.

Dari segi ekonomi pula, kerajaan beranggapan ekonomi tidak salah tetapi ahli ekonomi yang telah membunuh ekonomi itu sendiri, riba telah diteruskan secara berleluasa.

"Islam melarang duit membuat duit,mana boleh kita duduk diam-diam,duit datang berterusan,itu namanya riba, sebab itulah Kelantan dari awal lagi bila nak bagi pinjaman pada kakitangan untuk pembelian rumah,kenderaan dan komputer,mereka tidak dikenakan riba dan ini amat menyenangkan hati rakyat negeri ini,"katanya lagi.

Manakala ketika ditanya tentang pelaburan di negeri ini, Tuan Guru berkata ia tidak dibincangkan bersama delegasi ini,namun kerajaan negeri tidak akan menghalang mana-mana negara luar yang ingin melabur dalam sektor perhotelan dan industri asalkan ianya tidak melanggar peraturan teras dari negeri ini seperti dalam bidang perhotelan, mereka mestilah tidak menyediakan kemudahan berjudi,minuman dari alkohol dan pelbagai kegiatan maksiat.

Sementara itu, Marc Barety pula melahirkan rasa kagum di atas corak pentadbiran yang diamalkan oleh pimpinan Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz dan beliau tidak merasa janggal walaupun corak pentadbiran negeri ini berbeza dengan negeri lain seperti Sabah dan kedah yang sebelum ini pernah dikunjungi beliau.

"Pentadbiran sebegini akan berterusan kerana ia dipilih secara demokrasi dan ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada rakyatnya,"ujar beliau.

Sementara itu, isteri delegasi tersebut turut diraikan oleh isteri Menteri Besar,Datin Hajjah Tuan Sabariah Tuan Ishak,mereka dibawa ke pusat kraftangan dan Pusat Batik di sekitar bandar Kota Bharu. - mks._

Read More...

Cuti tahunan sektor awam dikurang 5 hari, Cuepacs kecewa

Mstar Online

CUEPACS, JPA bertemu pagi Jumaat bincang keputusan kerajaan

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Cuti tahunan bagi kakitangan perkhidmatan awam - lebih sejuta orang - akan dipotong lima hari mulai 1 Januari ini - keputusan yang menyebabkabn Cuepacs kecewa dan terkilan.

Bagaimanapun peraturan baru itu tidak diguna pakai ke atas polis, tentera, penguat kuasa maritim dan pegawai pelajaran.

Pada masa ini, kakitangan awam menikmati kelayakan cuti tahun sebanyak 30 hari.

Dengan keputusan baru itu, kakitangan dalam Gred 1 hingga 20 akan hanya menikmati 20 hari, Gred 21-30 (25 hari), Gred 31-54 (25 hari) dan Gred Pengurusan Tertinggi (25 hari).

Kemudahan itu meliputi tempoh perkhidmatan 10 tahun dan ke bawah.

OPSYEN

Bagaimanapun, mengikut undang-undang, semua kakitangan awam yang sedang berkhidmat akan diberikan opsyen untuk mengekalkan kelayakan mereka atau memilih kelayakan baru yang dikurangkan itu, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Beliau menyatakan demikian dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2008 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Pekeliling perkhidmatan itu bertujuan melaksanakan keputusan kerajaan mengenai kadar baru kemudahan cuti rehat tahunan kepada kakitangan awam mulai 1 Januari ini.

Kadar kelayakan cuti rehat bagi seseorang pegawai adalah tertakluk kepada tempoh perkhidmatan yang melayakkan iaitu tempoh perkhidmatan yang boleh diambil kira bagi tujuan pengiraan kelayakan mendapat cuti.

Kadar cuti rehat yang berkuat kuasa bagi kakitangan awam yang sedang berkhidmat adalah sebagaimana yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002 atau Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 20 Tahun 2005 atau pekeliling atau surat pekeliling atau peraturan lain yang berkaitan.

Borang opsyen akan dikeluarkan secepat mungkin kerana hari terakhir bagi membuat opsyen itu ialah 31 Disember.

"Mereka yang tidak mengembalikan borang opsyen itu menjelang tarikh itu akan dianggap memilih kelayakan sekarang," katanya.

REAKSI CUEPACS

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan keputusan tersebut.

"Kami tidak diminta memberi pandangan dan tidak diajak mengadakan perbincangan terlebih dahulu.

"Kami kecewa dengan pengurangan cuti tahunan lima hari ini," katanya.

Cuma, kata beliau, pihaknya diminta menghadiri satu pertemuan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di Putrajaya pagi esok.

"Kami akan membuat pendirian esok," kata beliau sambil menambah, Cuepacs tidak pasti sama ada kerajaan bertindak demikian kerana mendapati cuti umum semasa terlalu banyak.

Dalam pada itu, Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin memberitahu Bernama, badan induak kesatuan sekerja awam itu mahu tahu rasional kepada pengurangan itu.

Jelas beliau, adalah tidak adil untuk mengurangkan kelayakan itu kerana untuk jangka panjang kakitangan awam baru akan kerugian.

Sebagai contoh, Ahmad Shah berkata, kemasukan baru ke dalam perkhidmatan awam yang berkhidmat selama 30 tahun, akan kerugian 150 hari yang bersamaan dengan lima bulan.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |