+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 24, 2008

Tidak puas dengan Anwar semalam, hari ini Menantu PM cuba serang Khalid pula

Suara Keadilan


PARLIMEN, 24 Jun (SK) – Tidak puas dengan serangan peribadi terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang dilakukan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) semalam, hari ini menantu Perdana Menteri itu menyerang Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim mengenai kenyataan beliau yang dikatakan bercakap bagi pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Menurut Khairy, Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak telah membuat kenyataan berbunyi ‘Siasatan yang dilakukan BPR mendapati tiada kes di Selangor’. Khairy menjelaskan bahawa keadaan itu diburukkan lagi apabila pegawai yang disiasat di Pejabat Menteri Besar Selangor itu melepaskan jawatan sehari selepas pegawai berkenaan digantung 2 bulan.

Dalam masa yang sama, pemimpin yang mempunyai kaitan dengan syarikat ECM-Libra itu juga mengkritik pentadbiran Khalid yang bertindak memasukkan wang sumbangan syarikat-syarikat tertentu ke dalam akaun parti KeADILan dan bukan akaun kerajaan negeri.

Lantaran beberapa tuduhan Khairy itu, Khalid cuba bangun untuk menjelaskan perkara sebenar namun hasrat beliau itu dihalang Timbalan Speaker, Ronald Kiandee.

Tindakan menghalang Khalid mengemukan perkara sebenar mendapat bantahan ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat yang bersuara meminta Timbalan Speaker mengambil langkah berani memberikan Khalid laluan menjelaskan perkara itu. Kedengaran juga suara ’siasat ECM-Libra ambil duit rebet minyak’dari ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Timbalan Speaker tetap enggan memberikan laluan kepada Khalid dan mendesak ahli dewan yang lain supaya tidak membuat kekecohan.

Read More...

Gambar Pidato DSAI di Stadium Shah Alam

edyesdotcom









Gambar diambil oleh edyes dari pentas VIP

Read More...

Khairy Jamaluddin bikin dewan kecoh lagi

Suara Keadilan


Parlimen, 23 Jun (SK) – Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) sekali lagi mengecohkan Dewan Rakyat apabila secara peribadi menyerang Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang terlibat sama dalam menggadaikan wang keuntungan Petronas kepada projek-projek pembaziran yang diluluskan kerajaan sebelum ini.

Serangan Naib Ketua Pemuda Umno ini berasaskan kepada kedudukan Anwar yang ketika itu berada dalam kerajaan selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Tuduhan rambang Khairy itu menyebabkan dewan kecoh dengan suara-suara ahli parlimen Pakatan Rakyat yang membantah tuduhan liar pemimpin hingusan itu yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak berasas.

Tuduhan tersebut segera dibantah Mohamed Azmin Ali (KeADILan-Gombak) yang menjelaskan betapa Anwar telah berusaha memastikan wang tersebut tidak disalahgunakan termasuklah membantah tindakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir melakukan bill-out syarikat milik anaknya sehingga terpaksa dibayar dengan pemecatan beliau dari kabinet dan dihumban ke penjara serta diaibkan.

Melihat kepada bantahan Azmin itu, Khairy segera membalas dan berlaku pertikaman lidah antara Azmin dan Khairy sehingga Speaker terpaksa menutup pembesar suara kedua Ahli Parlimen berkenaan.

Tindakan melampau Khairy tidak terhenti di situ sahaja. Beliau sebaliknya menuduh tindakan pembangkang yang mendesak kerajaan mengurangkan harga minyak berteraskan niat supaya kerajaan terpaksa menanggung subsidi sehingga menyebabkan kerajaan berhutang dan akhir jatuh sehingga membolehkan Anwar naik sebagai pemimpin yang boleh menjadi boneka IMF.

Penghinaan Khairy sekali lagi mencetus kemarahan kalangan ahli parlimen Pakatan Rakyat yang mendesak beliau menarik balik tunduhan tersebut. Antara yang kelihatan bangun membantah N.Gobalakrishnan (KeADILan-Padang Serai) dan beberapa yang lain, sementara Fuziah Salleh (KeADILan-Kuantan) bangun membantah melalui peraturan mesyuarat 36 (6) yang meminta Khairy menarik balik kenyataannya.

Namun Speaker tidak memperdulikan bantahan tersebut sebaliknya meminta ahli parlimen Pakatan Rakyat bertenang dan mengarahkan Khairy meneruskan perbahasannya tanpa meminta pemimpin itu menarik semula tuduhan liarnya itu.

Read More...

Harakah dibenar terbit 2x seminggu

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | Jun 24, 08 11:10am

Kerajaan telah meluluskan permohonan akhbar rasmi PAS, Harakah untuk diterbitkan dua kali seminggu, seperti sebelumnya.

Lembaga pengarah Harakah telah mengemukakan permohonan tersebut sejurus selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman mengesahkan pihaknya telah menerima surat kelulusan tersebut daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

harakah and kementerian dalam negeri home affairs ministry permitPada masa ini, Harakah diterbitkan dua kali sebulan, sejak tahun 2000.

Surat kelulusan dari KDN itu juga menyebut antara syaratnya ialah melaporkan aktiviti pertubuhan tersebut (parti PAS).

Mengenai tarikh pertukaran kekerapan penerbitan Harakah, Ahmad Lufti berkata, ia tidak dimaklumkan dalam surat tersebut.

Perkembangan positif

Sebelum pilihanraya umum 8 Mac lalu, jumlah edaran Harakah ialah kira-kira 140,000 nashkah.

"Selepas pilihanraya umum lalu, jumlah edarannya telah meningkatkan kepada 250,000 nashkah," katanya.

Mengenai langkah seterusnya, Ahmad Lutfi berkata, beliau akan merujuk kepada pihak atasan Harakah mengenai soal editorial dan beberapa perkara yang perlu diubahsuai, terutama mengenai kesediaan kilang cetak dan pengedar akhbar.

Menurutnya, jabatan pengarang Harakah juga memang mampu dan bersedia untuk menerbitkan akhbar tersebut sebanyak dua kali seminggu.

Ditanya mengenai keputusan KDN itu, Ahmad Lutfi mengalu-alukannya dan melihatnya sebagai satu perkembangan yang positif.

Beliau berharap, ia menjadi satu permulaan untuk membuka ruang kepada kebebasan media dan demokrasi.

"Harakah tidak semata-mata akhbar parti, tetapi ia juga bertanggungjawab untuk menyuarakan kebenaran," katanya.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai satu perkembangan yang menarik.

Read More...

Urus niaga beli minyak guna kad kredit dihenti

Berita Harian

Oleh Nahar Tajri

KUALA LUMPUR: Semua stesen minyak di seluruh negara akan menghentikan sementara urus niaga menggunakan kad kredit mulai hari ini sehingga kerajaan memenuhi tuntutan mereka supaya menaikkan komisen jualan minyak.

Keputusan Persatuan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Tempatan (PDAM) itu bagaimanapun hanya membabitkan pembelian minyak, manakala urus niaga di kedai runcit stesen minyak masih menerima kad kredit.

Presiden PDAM, Mejar (B) Abdul Wahid Bidin, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima pandangan semua 3,500 ahli persatuan yang terpaksa menanggung beban akibat peningkatan kos operasi, termasuk caj kad kredit yang dikenakan bank.Beliau memberi contoh bagi setiap liter diesel yang dijual, pengusaha hanya memperoleh keuntungan 4.5 sen tetapi terpaksa menanggung caj bank sebanyak 2.58 sen.

"Selepas ditolak kos pengewapan sebanyak 1.29 sen, pengusaha hanya mendapat 0.63 sen yang juga akan ditolak sewa lesen cukai operasi (OLF) dengan kadar yang lebih dari itu. Kadar minimum sewa OLF yang dikenakan adalah 0.63 sen.

"Ini tidak termasuk gaji pekerja, penyelenggaraan serta kos lain yang menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Wahid berkata, walaupun kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk menaikkan komisen jualan minyak, ia belum dilaksanakan dan pengusaha masih terus menanggung beban kos operasi yang merugikan.

"Oleh itu, selepas mencapai persetujuan bersama, kami putuskan semua urus niaga menggunakan kad kredit dihentikan sehingga kerajaan menaikkan komisen jualan ke tahap yang munasabah dan mampu membantu kami untuk mengatasi kerugian selama ini," katanya.

PDAM sebelum ini menuntut kerajaan menaikkan komisen jualan minyak daripada tiga peratus yang dinikmati sekarang kepada enam peratus.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, dilaporkan berkata kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk menaikkan komisen jualan minyak seperti dituntut oleh PDAM.

Beliau berkata, kerajaan akan berusaha memenuhi tuntutan PDAM secepat mungkin kerana ia mempunyai kewajaran akibat beban kos operasi yang semakin meningkat.

Read More...

Eric Chia meninggal dunia

Malaysiakini

Jun 24, 08 5:59pm

Bekas pengarah urusan Perwaja Steel Sdn Bhd, Tan Sri Eric Chia Eng Hock telah meninggal dunia pada jam 9 pagi tadi.

Beliau, 74, meninggal dunia di Hotel Park Avenue miliknya di Sungai Petani.

Jurucakap polis berkata, Chia, 75, meninggal dunia di bilik peribadinya akibat sakit tua.

"Sehingga petang ini, mayat masih berada berada di hotel. Kaum keluarganya sedang membuat urusan pengkebumian," katanya ketika ditemui di hotel tersebut.

Menurut laporan Bernama, kumpulan wartawan bagaimanapun sukar untuk menemui keluarga mendiang bagi mendapat komen dan sebaliknya hanya dibenarkan berlegar di kawasan lobi hotel itu.

Pada 26 Jun 2007, Eric dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan pecah amanah melibatkan RM76.4 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tanpa dipanggil membuat pembelaan.

Hakim Akhtar Tahir berkata, pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti yang cukup bagi satu kes prima facie terhadap Chia.

eric chiaAkhtar dilaporkan berkata, mahkamah serba kekurangan untuk membuat penilaian maksimum kerana saksi-saksi material tidak dipanggil langsung untuk memberi keterangan dalam perbicaraan ini.

Oleh itu, katanya, mahkamah memutuskan pendakwa gagal mebuktikan kes prima facie terhadap tertuduh dan oleh itu membebas dan melepaskan tertuduh dari tuduhan utama dan pilihan.

Pada 10 Februari 2004, Chia, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan asal melakukan pecah amanah melibatkan jumlah wang yang sama dengan, secara tidak jujurnya, mengarahkan pembayaran wang itu kepada akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Ltd di Hong Kong bagi kerja teknikal di kilang syarikat itu Gurun, padahal pembayaran itu tidak
perlu dibuat.

Enam bulan kemudian, beliau didakwa terhadap tuduhan dipinda iaitu meluluskan secara tidak jujur wang itu dengan mengadakan perjanjian dengan NKK Corporation dari Jepun, dan mengarahkan pembayaran wang itu tanpa kelulusan lembaga pengarah atau jawatankuasa tender Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd.

Chia, 74, didakwa melakukan kesalahan itu sebagai pengarah urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn Bhd di pejabatnya di Menara UBN di Jalan P Ramlee di sini antara 4 Nov 1993 dan 22 Feb 22 1994.

Kedua-dua pertuduhan adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua tahun dan 20 tahun, dan sebat serta denda.

Chia, yang diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah, duduk di belakang pasukan pembelaannya kerana beliau uzur.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwaraya Kanan Datuk Yusof Zainal Abiden menutup kesnya pada 4 Mei lalu setelah memanggil 29 saksi.

Read More...

Pengundian usul yang 'ada cerita' di Dewan Rakyat...129 BN vs 78 pembangkang

Agenda Daily




Walaupun usulnya mengenai kenaikan harga minyak dan barangan yang dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad di Dewan Rakyat namun ia boleh diibaratkan macam juga Barisan Nasional berdepan dengan undi tidak percaya.

Ini kerana pengundian dijalankan dalam suasana 'macam-macam' termasuk tindak tanduk Parti Maju Sabah (SAPP) baru ' buat perangai'.



BN nyata dapat melepasi cabaran itu dengan mudah bila usul diluluskan dengan 129 Ahli Parlimen BN menyokong manakala 78 Ahli Parlimen pembangkang undi menentangnya sewaktu keputusan diumumkan oleh yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada tepat jam 7.10 malam Isnin.

Hadir sama ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.



Seramai 11 Ahli Parlimen BN tidak hadir semasa pengundian dijalankan manakala pembangkang 4 orang.

Antara Ahli Parlimen BN yang tidak hadir termasuk berada di luar kerana tugas rasmi dan sakit.Mereka ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Tan Sri Rafidah Aziz,Datuk Dr Zahid Hamidi (Bagan Datoh) yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Zulhasnan Rafique (Setiawangsa) yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim (BN-Jelebu).



Lain-lain ialah Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut), Datuk Tiong Thai King (BN-Lanang), Datuk Dr. James Dawos Mamit (BN-Mambong) dan Raimi Unggi (BN-Tenom).

Juga tidak hadir ialah Ahli Parlimen parti SAPP iaitu Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) dan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Enchin Majimbun.



Tiga dari empat pembangkang yang tidak hadir ialah Nurul Izzah Anwar (PKR- Lembah Pantai), Gobind Singh Deo (DAP- Puchong), Chow Kon Yeow (DAP-Tanjung)

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjalankan pengundi secara belah bahagian dengan undi setiap Ahli Parlimen diambil.



Mengenangkan perang saraf yang dijalankan oleh pembangkang,kebimbangan yang timbul sebelum pengundian dijalankan ialah kemungkinan adanya Ahli Parlimen BN yang mengundi memihak kepada pembangkang menentang usul itu.

Dari keputusan berkenaan nyata tidak ada seorang pun Ahli Parlimen BN yang berbuat demikian.



Pengundian secara ini dijalankan setelah para Ahli Parlimen pembangkang memprotes pengundian awal yang dibuat secara persetujuan suara.

Waktu itu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Ronald Kiandee pengerusikan sidang.Selepas timbul sedikit kekecohan mengenai cara pengundian Pandikar Amin masuk dan pengerusikan sidang.



Pengundian dijalankan sejurus Shahrir selesai mengulong perbahasan keatas usul itu yang dibentangkan pada sebelah pagi.

Seramai 18 Ahli Parlimen dari kedua pihak bangun berhujah keatas usul berkenaan.



Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata usul yang diluluskan menerusi undi belah bahagian dengan 129 undi bersetuju dan 78 undi tidak bersetuju merupakan usul yang sangat penting dan boleh dianggap sebagai satu undi percaya terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.

"Kita bersyukur kerana majoriti anggota dewan menyokong usul ini. Ini tidak bermakna kerajaan tidak mementingkan rakyat kerana kalau tidak diluluskan kerajaan akan menanggung kos yang besar dan akan menyebabkan hutang.

"Ini membuktikan BN masih utuh dan kuat sehingga pilihan raya akan datang," katanya pada para wartawan di lobi Parlimen.

Shahrir berkata tindakan usul itu diluluskan adalah untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat bagi menarik sokongan dari parti pembangkang untuk bersama-sama menghadapi cabaran yang dihadapi.

"Bagi negara kita, ini bukanlah kali pertama hadapi krisis (kenaikan harga petrol dan barangan) seperti ini dan juga kita tidak pernah memilih cara Dana Kewangan Antarabangsa (IMF)pada keadaan itu apabila hadapi masalah kewangan," katanya.

Beliau berkata keupayaan untuk meminjam dari IMF perlu dipelihara dan jika ketika keadaan terdesak barulah negara akan menggunakan cara itu.


Berita sebelum ini... Sehingga jam 3.45 petang Isnin sidang Dewan Rakyat berjalan lancar seperti biasa.Tiada tanda-tanda sesuatu yang gempar akan berlaku.

Tumpuan kini adalah perbahasan usul kenaikan harga petroleum dan barangan yang dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad.Sementara itu ramai pemerhati termasuk orang politik datang untuk melihat perjalanan sidang Dewan Rakyat secara langsung.- 23/6/2008

Read More...

Usul kurangkan beban kenaikan minyak, Presiden PAS kata ia sudah terlambat

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Nasir Sudin

Mon | Jun 23, 08 | 3:02:09 pm MYT

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS Marang) menyifatkan usul yang dibentang oleh wakil kerajaan, Dato' Shahrir Samad di Dewan Rakyat hari ini berhubung langkah mengatasi beban kenaikan harga minyak adalah satu langkah terlambat.

Sambil menyatakan kekesalan terhadap usul yang lewat itu beliau menyatakan bahawa kerajaan sepatutnya membawa usul itu sebelum pengumuman harga minyak dibuat (4 Jun).

Image"Kita nyatakan kekesalan kerana usul ini terlallu lewat dibawa ke Dewan Rakat selepas kerajaan terlebih dahulu mengisytiharkan harga minyak naik yang mempengaruhi kenaikan harga barang," katanya.

Dewan Rakyat jadi 'rubber stamp' untuk mengiakan apa sahaja yang diputuskan oleh kerajaan sedangkan sebarang keputusan kerajaan ini sebenarnya keperitannya ditanggung oleh rakyat, ujar Presiden PAS itu semasa membahaskan usul yang dibentang Shahrir di Dewan Rakyat pagi tadi.

"Rakyat semuanya menderita, sementara media digunakan untuk cari rakyat yang jahil tentang ekonomi untuk menyokong tindakan kerajaan ini," kata Presiden PAS itu lagi.

Namun perbahasan Presiden PAS dihentikan oleh Yang diPertua Dewan Rakyat kerana masa perbahasan untuk sesi pagi telah tamat.

Terdahulu sebelum itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (DAP Bagan) turut menyelar tindakan kerajaan mengemukan usul tersebut selepas kerajaan menganiaya rakyat terlebih dahulu dengan kenaikan harga minyak.

Ujar Guan Eng langkah kerajaan ini sebenarnya menghumban rakyat kepada kemiskinan yang melampau, malah pendekatan yang dikatakan untuk mengurangkan beban rakyat ini adalah satu langkah 'ad hoc' dan terdesak.

"Kenapa tidak kerajaan memikirkan langkah ini dahulu sebelum mengumumkan kenaikan harga minyak," ujarnya.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan memberi wang tunai kepada rakyat sejumlah RM6000 setahun bagi mengurangkan penderitaan rakyat selain meransang ekonomi rakyat. _

Read More...

Shaariibuu mahu polis siasat dakwaan Raja Petra

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Dr Shaariibuu Setev, bapa kepada Altantuya Shaariibuu, meminta polis menjalankan penyiasatan terperinci terhadap dakwaan editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang pembunuhan anak perempuannya itu ada kaitan dengan tiga individu.

Shaariibuu, 58, berkata polis patut mengkaji dakwaan Raja Petra itu secara serius kerana ia mungkin memberikan bukti baru kepada polis.

“Ini adalah sesuatu yang serius dan perlu diselesaikan segera oleh pihak berkuasa. Saya hanya mendapat tahu mengenai maklumat baru ini daripada akhbar. “Saya meletakkan kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan yakin dengan sistem kehakiman Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shaariibuu, dengan bantuan seorang penterjemah, berkata beliau akan berjumpa dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail esok bagi membincangkan sama ada akuan berkanun Raja Petra itu boleh dikemukakan sebagai barang bukti di mahkamah.

Beliau berkata kerajaan Mongolia dan rakyatnya mengikuti perbicaraan pembunuhan Altantuya sejak hari pertama dan mereka mengharapkan penghakiman yang adil.

Pendakwaan menutup perbicaraan kes pembunuhan Altantuya semalam dan penghujahan ditetapkan pada 23 Julai.

Semalam dilaporkan dalam media bahawa polis akan memanggil Raja Petra untuk menyoal siasat berhubung dakwaannya dalam akuan berkanun itu.

Dalam akuan itu, Raja Petra mendakwa tiga individu, termasuk seorang wanita, berada di tempat kejadian semasa penterjemah dan model sambilan Mongolia itu dibunuh pada Oktober 2006.

Dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) C/Insp Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar dituduh membunuh Altantuya, 28, antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober dua tahun lalu di Mukim Bukit Raja, Shah Alam.

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda tuduh bersubahat dengan mereka. — Bernama

Read More...

Altantuya: Usul tergempar DAP ditolak

Malaysiakini

Jun 24, 08 12:15pm

Usul tergempar yang dibawa oleh ahli parlimen DAP Lim Kit Siang - bagi membincangkan dakwaan yang mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan kes pembunuhan Altantunya Shaariibuu - ditolak.

Timbalan yang dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menolak usul wakil Ipoh Timur itu dengan alasan subjudis terhadap perbicaraan kes itu yang berjalan sekarang.

Dalam usulnya semalam, Lim berkata dakwaan terbaru penulis blog Raja Petra Kamarudin perlu disegerakan dan mempunyai kepentingan umum untuk dibahaskan.

Lim juga berkata akuan bersumpah penulis sensasi itu mengaitkan tuduhan serius itu terhadap perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak.

Raja Petra, dalam akuannya 18 Jun lalu, mendakwa Rosmah Mansor bersama dua lagi berada di tempat kejadian sebelum wanita Mongolia itu diletupkan.

Najib dan isterinya beberapa kali menafikan pembabitan mereka dengan kes ini, yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pengendali blog Malaysia Today juga mendakwa perdana menteri menerima maklumat tentang pembabitan tiga individu itu, termasuk Rosmah, dan menyerahkan laporan perisikan kepada menantunya dan juga naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Read More...

Larangan kawasan media di Parlimen, 'tindakan bodoh' - Tian Chua

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh

Tue | Jun 24, 08 | 1:25:17 pm MYT

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Hrkh) - Tindakan pihak Parlimen menguatkuasakan kawasan larangan terhadap petugas media dan wartawan di kawasan Lobi Parlimen disifatkan sebagai 'tindakan bodoh'.

ImageDemikian kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tian Chua (KeADILan-Batu) semasa ditemui wartawan dalam mengulas tindakan larangan tersebut.

Dengan larangan itu wartawan kini hanya dibenarkan berada di kawasan Sidang Media yang cukup sempit, kata Tian Chua.

"Kita membantah tindakan ini yang dilihat bertujuan menghalang pihak wartawan membuat liputan media di Parlimen, sebaiknya media memboikot sahaja laporan Parlimen berikutan tindakan ini," kata Tian Chua.

Terdahulu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) semasa bangkit mengutarakan peraturan mesyuarat bagi menyatakan rasa kesal terhadap larangan itu meminta Yang diPertua Dewan Rakyat menarik semula larangan itu.

ImageUjar Kit Siang, tindakan itu mengesahkan betapa kebebasan media di negara ini berada pada tahap yang teruk.

Larangan ini katanya dibuat tanpa sebarang sebab yang munasabah kerana wartawan tidak pernah menggangu ahli Parlimen mahupun kelancaran sidang dewan.

Sebelum itu Kit Siang dan Tian Chua turut bertemu dengan pihak wartawan bagi mendengar rintihan mereka terhadap larangan tersebut.

Beberapa orang wartawan media tempatan termasuk media berbahasa Cina mengecam tindakan itu sambil meminta larangan itu ditarik semula.

Seorang wartawan arus perdana yang enggan namanya disiarkan berkata, larangan ini menjadikan wartawan seolah-olah 'budak' yang hanya perlu mengikut apa sahaja arahan walaupun arahan itu memperbodohkan kalangan wartawan.

Image"Saya fikir ini satu tindakan yang tidak mencerminkan kebebasan, dan lebih baik jika kita boikot sahaja laporan Parlimen, dan jika mereka (ahli Parlimen atau kerajaan) mahukan laporan disiarkan elok sahaja mereka fakskan kepada kami, tak perlu kami ke Parlimen lagi," ujarnya.

Sementara itu, beberapa wartawan lain termasuk di kalangan akhbar berbahasa Cina sibuk membincangkan soal larangan itu.

Rata-rata menyatakan rasa kesal mereka terhadap larangan tersebut yang membataskan liputan media di Parlimen._

Read More...

Kami tak larang pakai gincu - MPKB

Buletin Online


PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Zaki Salleh
Tuesday, 24 June 2008


The image “http://buletinonline.net/images/berita6/ne_10.1.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.Kota Bharu - Ekoran dari beberapa akhbar media perdana mensensasikan isu ini, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) - Bandar Raya Islam (BRI) menjelaskan ia tidak pernah melarang golongan Muslimah di bandar itu memakai gincu

The image “http://buletinonline.net/images/berita6/ne_10.2.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.Sebaliknya menurut Pengarah Perhubungan Awam MPKB-BRI, Azman Md. Daham, arahan yang dikeluarkan ialah larangan solekan yang jelas dilihat.

Arahan tersebut membabitkan golongan Muslimah pemegang lesen dan yang bekerja dalam kawasan MPKB-BRI.

"Walau pun mereka yang ingkar dengan arahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM500, tetapi pendekatan dakwah MPKB-BRI lebih menjurus kepada mendidik dan bukan mencari kesalahan,'' katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan laporan Bernama semalam yang menyatakan majlis tersebut melarang golongan tersebut memakai gincu.

Jelasnya, arahan yang diedarkan tidak menyatakan pemakaian gincu dilarang.

Menurut Azman, arahan tersebut turut membabitkan pemakaian tudung dan pakaian yang sopan.

Katanya, sejak dua tahun lalu, MPKB-BRI memperjelaskan perkara tersebut kepada orang ramai khususnya golongan wanita muda beragama Islam melalui kempen Cakna Anak Muda dan hasilnya amat positif.

"Mesejnya jelas iaitu untuk mengelak berlaku kejadian tidak diingini seperti rogol dan jenayah seksual yang kerap menjadi ancaman wanita," ujarnya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya lagi, Muslimah yang bekerja mengendalikan peremis makanan dan bukan makanan juga tidak dibenarkan memakai kasut bertumit tinggi yang mengeluarkan bunyi.

Arahan tersebut termaktub sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) 1986- Kosmo Online.


Catatan Editor:

Beberapa akhbar perdana telah membesar-besarkan isu dengan tajuk

Muslimah di larang memakai gincu dan tumit tinggi sejak kelmarin untuk cuba memberikan imej yang buruk kepada MPKB-BRI dan kerajaan Kelantan yang pastinya cuba mencalarkan imej Menteri Besar Tok Guru Nik Aziz serta parti yang memerintah Kelantan. PAS.

Read More...

Tiada usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri

Utusan Online

KUALA LUMPUR 23 Jun - Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah dua Ahli Parlimen daripada Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Dr. Chua Soon Bui dan Datuk Eric Enchin Majimbun yang digembar-gemburkan akan membawa usul tersebut tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak menerima apa-apa notis berhubung usul undi tidak percaya daripada mana-mana ahli Parlimen.

''Isu ini digembar-gemburkan kononnya usul berkenaan akan dikemukakan tetapi saya tengok tidak ada apa-apa pun," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mohamed Nazri turut meminta Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee supaya tidak mengugut kerajaan Barisan Nasional (BN) dan jangan sekali-kali mengheret rakyat Sabah dalam isu itu.

Minggu lalu, Teck Lee mengisytiharkan parti itu hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah dan dua wakil rakyat SAPP bersedia menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sidang Dewan Rakyat perlu menyelesaikan semua urusan berkaitan kerajaan terlebih dahulu sebelum boleh menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri daripada mana-mana ahli Parlimen.

Menurutnya, sebarang usul undi tidak percaya seperti yang mahu dibentangkan oleh ahli Parlimen daripada SAPP, hanya akan berlaku jika ia mendapat sokongan hampir semua ahli Parlimen lain.

"Tidak ada peraturan khusus disediakan dalam Parlimen berkaitan usul tidak percaya ini. Ia dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) tetapi itupun perlu dibuat selepas selesai semua urusan kerajaan dalam Parlimen. Masih banyak akta yang perlu dibentangkan dan kerja yang lepas pun masih tertunggak.

"Jadi usul seperti ini tidak boleh dibuat oleh dua tiga orang saja... kalau semua (ahli Parlimen) kata setuju untuk undi tidak percaya baru ia boleh berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3), notis mengenai usul undi tidak percaya perlu dikemukakan 14 hari sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

"Tetapi sehingga sekarang, tiada ahli Parlimen yang menyerahkan notis berhubung perkara itu. Mereka belum bagi apa-apa notis lagi dan bagi saya kita hanya membuat spekulasi mengenai perkara ini. Jadi saya juga hanya memberi komen berdasarkan kepada spekulasi anda semua," katanya.

Read More...

Mufti Perlis sambut baik saranan Nik Aziz

Mstar Online

23-06-2008 09:05:18 PM
Oleh ZIEMAN

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyambut baik saranan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat agar beliau memasuki parti politik jika ingin melaksanakan kebaikan serta mencegah kemungkaran.

"Saya ucapkan terima kasih di atas pandangan Dato' Nik Aziz. Saya lihatnya dari sudut positif cuma kedudukan saya sebagai Mufti, rasanya tidak sesuai. Lagipun saya belum bersedia," kata Dr Asri.

Menurut Nik Aziz, seseorang yang ingin melaksanakan Islam hendaklah memiliki kuasa yakni kerajaan sebagai platform bagi memastikan Islam itu diterjemahkan ke dalam kehidupan.

Katanya jika kita mahu melihat Islam berdaulat, maka hendaklah memiliki kerajaan yakni ianya melibatkan parti.

Nik Aziz membuat saranan pada Dr Asri dalam satu sidang media perasmian Pusat Gadaian Islam Ar-Rahn di cawangan Jalan Raja Laut Kuala Lumpur hari ini.

Jelas Nik Aziz lagi, sekiranya mana-mana pihak hendak menganjurkan sesuatu tetapi tidak memiliki sebarang kuasa, ianya tidak berguna atau tidak berkesan seumpama omongan kosong.

"Harapnya Mufti Perlis dapat mempertimbangkan untuk memasuki mana-mana parti walaupun pegawai kerajaan di Malaysia ini tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dengan mana-mana parti," kata Nik Aziz ketika diminta mengulas kenyataan Dr Asri yang tidak mahu memasuki mana-mana parti semalam.

Dr Asri pula berpendapat, dia sudahpun memasuki daerah politik.

"Sebenarnya saya sudahpun masuk daerah atau sempadan politik bila saya memberi pandangan tentang isu-isu politik. Tapi saya belum dan tidak menyertai mana-mana politik. Begitu juga halnya bila saya menyentuh hal berkaitan seni, tidak semestinya saya menjadi artis," jelasnya.

"Bukan semua orang ada kemampuan jadi ahli politik seperti saya. Mungkin selepas ini saya akan beri pertimbangkan dan beri perhatian serius saranan Nik Aziz," katanya.

Namun kata Dr Asri lagi, apa yang disuarakan oleh Nik Aziz itu pada sudut-sudut tertentu ada benarnya.

"Pandangannya betul tapi masanya bukan sekarang kerana saya belum ada cukup kemampuan. Saya perlukan kekuatan politik yang 'luar biasa' bukan sekadar jadi orang pinggiran. Untuk jadi 'gergasi politik' saya perlukan cukup peralatan yang mana saya belum berkemampuan," katanya.

Walaubagaimanapun, kata Dr Asri, tidak mustahil hatinya akan berubah satu hari nanti.

"Tidak mustahil saya akan pertimbangkan satu hari nanti bila masa dan keadaan sudah berubah. Segalanya mungkin. Tapi di hari ini, perkara ini (masuk mana-mana parti) belum terlintas lagi dalam fikiran saya," katanya.

Read More...

Usul kenaikan harga minyak terima undian 129-78

Kosmo Online


ORANG ramai dan wartawan mengikuti usul yang dibentangkan Shahrir Samad menerusi televisyen di lobi Parlimen semalam.



KUALA LUMPUR - Usul berkaitan kenaikan harga minyak dan barangan yang dikemukakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abd. Samad diterima pada persidangan Dewan Rakyat semalam setelah diadakan undian belah bahagian.

Selepas undian secara bertulis dijalankan mengikut blok itu selesai pada pukul 7.10 malam tadi, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Pandikar Amin Mulia mengumumkan seramai 129 orang bersetuju, manakala seramai 78 orang tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Kaedah belah bahagian itu terpaksa dilakukan setelah ahli- ahli dari pembangkang tidak berpuas hati dengan keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee yang memutuskan usul diterima selepas undian suara dibuat.

Ini kerana, suara mereka yang bersetuju sama kuat dengan suara mereka yang tidak bersetuju.

Ketika keadaan dewan kecoh apabila hampir semua ahli dari pembangkang bangun membantah, Pandikar masuk ke dalam dewan untuk mengambil alih tugas daripada Ronald.

Pandikar kemudiannya membenarkan kaedah undian secara belah bahagian kerana ada bantahan lebih daripada 15 orang mengikut Peraturan Mesyuarat Perkara 46 (4) setelah ia dikemukakan wakil pembangkang, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak).

Ini merupakan kali kedua selepas pertama kali undian secara belah bahagian diadakan pada 28 Mei lalu ketika proses meluluskan Peruntukan Kepada Kumpulan Wang Terkanun di bawah Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2007) 2008.

Menteri yang tidak hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (BN-Jelebu); Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datoh) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique (BN-Setiawangsa).

Ahli Parlimen BN yang tidak hadir ialah Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar), Datuk Dr. Chua Soon Bui (Tawau), Tan Sri Rafidah Aziz (Kuala Kangsar), Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Kangar), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (Jerantut), Tiong Thai King (Lanang), Raimee Unggi (Tenom) dan Datuk Dr. James Dawot Mamit (Mambong).

Read More...

Salahkah berbasikal ke Parlimen?

Harakahdaily

Ahmad Tajdid

Tue | Jun 24, 08 | 3:12:28 am MYT

Selepas puas memujuk rakyat mengubah cara hidup ekoran kenaikan mendadak harga minyak, nada seorang menteri kabinet kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi tiba-tiba berubah.

Semuanya angkara empat Ahli Parlimen KeADILan berbasikal ke Parlimen pada Isnin, 23 Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan tindakan empat wakil rakyat KeADILan itu sebagai kebudak-budakan yang langsung tidak mencerminkan tahap keupayaan pemikiran anggota Parlimen.

Nazri dilapor Utusan Online mendakwa ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu cuba mencari publisiti murahan sedangkan sebagai anggota Parlimen banyak lagi tindakan lebih matang boleh dilakukan bagi membantu kerajaan berhadapan dengan fenomena kenaikan harga minyak global.

�Dahlah kayuh pun setakat dari Bank Negara saja... saya harap kalau sungguh-sungguh sangat, teruslah berbasikal ke Parlimen setiap hari selagi kerajaan tidak penuhi tuntutan mereka (turunkan minyak).

�Jangan setakat kayuh hari ini sahaja, budak darjah enam pun boleh. Pada saya yang penting empat orang ini kena ingat, mereka adalah Ahli Parlimen, ruang tersedia untuk mereka berhujah bagi mengatasi masalah, bukan gimik macam ini.

�Apakah mereka ini ingat kalau dengan kayuh basikal kerajaan boleh turunkan harga minyak?� rungut Nazri kepada pemberita di lobi Parlimen, hari kejadian bersejarah itu berlaku.

Tian Chua (KeADILan-Batu), N. Gobalakrishnan (KeADILan-Padang Serai), Zulkifli Noordin (KeADILan-Kulim Bandar Baharu) dan Hee Loy Sian (KeADILan-Petaling Jaya Selatan) benar-benar mencatat sejarah.

Mereka tidak sepatutnya menjadi 'bahan belasahan' Nazri. Malah jika menteri itu benar-benar berfikiran rasional, beliau sendiri wajar ke pejabat dengan berbasikal untuk sama-sama merasai keperitan hidup rakyat yang semakin merana akibat kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian.

Hina sangatkah naik basikal ke pejabat? Di negara-negara maju khususnya negara-negara Scandinavia, berbasikal untuk ke pejabat bukanlah perkara yang pelik. Tidak payah cakaplah di negara-negara Asia seperti India, Pakistan, Cina, Jepun dan Korea.

Jika Nazri menganggap berbasikal ke Parlimen melambangkan sikap kebudak-budakan, beliau sebenarnya lebih dibuai sentimen daripada memikirkan tindakan itu dari aspek positif.

Apa salahnya kita membudayakan berbasikal ke pejabat? Dan yang patut memulakannya adalah para pemimpin negara yang hanya 'gatal-gatal mulut' meminta rakyat mengubah cara hidup.

Daripada bersesak-sesak dan berhimpit-himpit di dalam bas, komuter, LRT, Putra dan sebagainya, apa salahnya bagi warga kota Kuala Lumpur yang jarak antara rumah dan pejabat sekadar 5km radius menggunakan basikal ke pejabat?

DBKL khususnya perlu memikirkan mekanisme, infrastruktur dan kaedah yang sesuai bagi menggalakkan budaya ini. Ya lah! Kita bukan punyai sistem pengangkutan awam semaju dan seselesa negara-negara maju.

Jika Nazri dan menteri kabinet menggunakan bas, LRT, Putra, komuter dan teksi ke Parlimen, adakah mereka yakin tidak akan sampai lewat ke Dewan Rakyat jika bertolak daripada rumah pada jam 8.00 pagi? Jawablah... Jangan sekadar gatal mulut mahukan rakyat mengubah cara hidup!

DBKL contohnya boleh menyediakan laluan khas berbasikal di ibu kota. Apatah lagi majlis-majlis bandaran di Ipoh, Alor Setar, Pulau Pinang, Shah Alam, Johor Bharu, Kuantan dan jangan lupa Kota Bharu.

Sesekali rakyat mahu melihat YB Takiyuddin Hassan dan YB Husam Musa berbasikal ke Kota Darul Naim. Tak salahkan?

Dalam apa juga aspek kehidupan, soal pendidikan amat penting. Pendidikan berupaya menentukan personaliti dan tabiat manusia.

Jadi apalah salahnya jika kampus-kampus universiti awam memulakan budaya berbasikal ini. Para mahasiswa dan mahaguru di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dikenali sebagai 'Green Campus' sepatutnya boleh berbasikal di dalam kampus. Keadaan tapografi UPM yang rata dan landai membolehkan basikal dijadikan alat pengangkutan utama paling kurang pun di dalam kampus. Begitu juga di Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia dan lain-lain IPTA dan IPTS.

Tapi janganlah berbasikal di UiTM Shah Alam, nanti separuh pelajarnya akan patah kaki dan tangan kerana brek basikal cepat haus dek keadaan tapografinya yang berbukit-bukau.

Bak kata pepatah, alah bisa tegar biasa, nak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Berbasikal memang boleh diamalkan. Ia bukan idea budak-budak tapi cara paling praktikal untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak di samping menyihatkan badan.

Nazri perlu memikirkan semula pandangan serongnya tentang basikal. Atau mungkin sejak dari lahir, pak menteri tu dah boleh tunggang motorsikal!_

Read More...

Yahya undur, 'tidak yakin Khalid'

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Jun 23, 08 10:24pm

Pegawai tugas-tugas khas menteri besar Selangor, Yahya Shahri meletakkan jawatannya itu atas alasan "hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim".

yahya sahriYahya, yang mengirim surat peletakan jawatannya kepada bekas ketuanya itu petang tadi, juga melepaskan jawatannya sebagai setiausaha perhubungan PKR Selangor.

Selain hilang keyakinan, menurut surat peletakan jawatannya, Yahya tidak menyebut sebab-sebab lain kecuali ia akan "dinyatakan kemudian."

Surat itu dikirim kepada pejabat menteri besar melalui faksimili kira-kira 3.45 petang tadi.

Abdul Khalid pada sebelah pagi mengumumkan penggantungan jawatan Yahya - yang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salah guna kuasa dua minggu lepas - sebagai pegawai kanannya berkuatkuasa hari ini selama dua bulan.

Surat rasmi tindakan itu dikeluarkan hari ini, kata pejabat menteri besar dalam satu kenyataan.

Abdul Khalid semalam mengirim mesej SMS kepada Yahya memaklumkan tindakan yang bakal diambilnya hari ini bagi mengelakkan pegawainya itu "terperanjat."

Dalam ucapannya di depan hampir 200 penyokong di kediamannya di Seksyen 4 Shah Alam malam ini, Yahya juga mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatannya sebagai ketua perhubungan PKR Selangor.

Yahya mencadangkan jawatan itu diserahkan kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditemui Malaysiakini selepas ucapannya kira-kira jam 10 malam, Yahya berkata beliau telah bercakap dengan presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berhubung tindakan penggantungan terhadapnya dan kedudukannya itu.

Menurutnya, ahli parlimen Permatang Pauh itu mencadangkan beliau bertemu sendiri dengan Anwar.

Beliau dijadual bertemu penasihat parti itu di pejabatnya jam 2 petang esok dan dipercayai akan membawa "beberapa tuntutan."

Yahya, seorang aktivis lama PKR, berkata beliau mendapat sokongan dan berpengaruh dalam kalangan 70 hingga 80 peratus bahagian di negeri itu.

Beliau juga menjelaskan bahawa beliau tidak meluluskan sebarang projek atau tender, tetapi hanya memberikan surat sokongan.

Sementara itu di kediaman rasminya, Abdul Khalid memberikan taklimat isu ini kepada wakil-wakil rakyat PKR Selangor, termasuk ahli-ahli parlimen.

Bagaimanapun tidak semua ahli parlimen hadir kerana sesi Dewan Rakyat berakhir lewat bagi membahaskan usul kenaikan harga minyak hari ini.

Sehingga kini belum jelas butiran perbincangan mereka yang bermula kira-kira 8 malam hingga selepas tengah malam tadi - termasuk mereka yang hadir dalam pertemuan lebih awal di rumah Yahya.

Malaysiakini difahamkan pertemuan ini "panas" mengenai pelbagai isu pentadbiran kerajaan negeri, termasuk "10 peratus sahaja" isu berhubung penggantungan Yahya.

Abdul Khalid mendedahkan penglibatan bekas pegawai kanannya itu dalam isu tersebut, termasuk maklum balas yang beliau perolehi daripada siasatan awal BPR.

Pada 10 Jun lalu, badan itu memanggil Yahya selama empat jam berhubung siasatan kes kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah di kawasan Petaling Jaya.

selangor mb sinar harian aca report 060608Siasatan itu susulan aduan sekumpulan empat orang (foto kiri) pada 5 Jun kepada BPR dengan dakwaan pegawai kanan tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa keizinan.

Di sidang medianya hari ini, menteri besar itu berkata jika tidak bersalah, pegawai kanan itu akan diambil semula bekerja.

"Kita tulus, kita kena buat dengan betul. Kalau pegawai itu tidak bersalah maknanya dia akan diambil balik untuk bekerja, kalau bersalah kita akan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya selepas melancarkan Pusat Khidmat Merakyatkan Ekonomi Selangor (M.E.S) di Shah Alam.

Abdul Khalid menambah, siasatan BPR mendapati pada keseluruhannya ia bukanlah kesalahan daripada segi undang-undang tetapi daripada segi "tingkah laku yang tidak wajar".

Read More...

"Saya tak takut dicabar" Khairy

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Webmaster
Selasa, 24 Jun 2008



KL: "Saya pasti yang terbaik akan menang," demikian komen Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengenai Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau, Azman Mohd. Sah, 37, yang mahu mencabar beliau pada pemilihan parti Disember ini.

Azman akan mencabar Khairy bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau.

Khary berkata, keputusan Azman yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut menunjukkan parti UMNO mengamalkan demokrasi.

"Saya tak takut dicabar...ini politik dan dalam UMNO kita amalkan demokrasi. Kita tengoklah dalam pemilihan nanti siapa menang siapa kalah," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu diminta mengulas mengenai keputusan Azman yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Seliau, Rantau, Negeri Sembilan untuk mencabar Khairy yang kini menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau.

Azman dalam laporan akhbar semalam berkata, keputusannya itu diambil atas hasrat ingin membawa angin perubahan dan memupuk perpaduan yang telah lama ditunggu oleh ahli-ahli pergerakan Pemuda UMNO bahagian.

Katanya, beliau juga optimis akan menerima sekurang-kurangnya 28 pencalonan bagi melayakkan diri bertanding menentang Khairy.

Mengenai dakwaan Azman bahawa sebahagian besar ahli Pemuda UMNO bahagian itu berpandangan kepimpinan sedia ada dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja serta gagal membawa perubahan yang diharapkan, Khairy berkata:"Itu pendapat dia, ada ramai lagi yang tidak sependapat dengan dia."

Read More...

Mufti Perlis disaran sertai politik - Nik Aziz

Harakahdaily

Intan Abdullah

Mon | Jun 23, 08 | 4:27:48 pm MYT

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Hrkh) - Mufti Perlis, Dato' Dr Mohd Asri Zainal Abidin disaran agar memasuki parti politik jika beliau benar-benar ingin melaksanakan usaha menyeru kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata individu yang ingin melaksanakan Islam hendaklah memiliki kuasa yakni kerajaan sebagai platform bagi memastikan Islam itu diterjemahkan ke dalam kehidupan.

"Jika kita mahu melihat Islam berdaulat, maka hendaklah memiliki kerajaan yakni ianya melibatkan parti.

"Sekarang kita lihat, demokrasi ada kerajaan, sosialis ada kerajaan, mana boleh Islam tiada kerajaan, kenapa tidak mahu terlibat dengan parti? Ujarnya dalam sidang Media selepas merasmikan Pusat Gadaian Islam Ar-Rahn di cawangan Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.

Jelasnya, sekiranya mana-mana pihak hendak menganjurkan sesuatu tetapi tidak memiliki sebarang kuasa, ianya tidak berguna atau tidak berkesan seumpama omongan kosong.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohd Asri yang tidak mahu memasuki mana-mana parti semalam.

"Harapnya Mufti Perlis dapat mempertimbangkan untuk memasuki mana-mana parti,walaupun pegawai kerajaan di Malaysia ini tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dengan mana-mana parti.

"Tetapi pembangkang sahaja yang tidak dibenarkan, pegawai kerajaan saya lihat boleh terlibat," katanya.

Malah tegas Menteri Besar Kelantan itu, para pelajar tidak dibenarkan terlibat dengan politik tetapi di luar negara ditubuhkan Kelab Umno di kalangan pelajar.

Dalam pada itu, beliau berkata jika demokrasi dijaga dengan betul tiada sebab Umno boleh menang dalam pilihan raya di Sanglang.

"Kalau Umno menggunakan demokrasi yang betul, sudah lama Umno tumbang.

"Bukan kita tidak tahu cara Umno yang menggunakan duit, ISA, tetapi kesemuanya perkara yang tidak betul ini akan diketahui orang tahu juga nanti,"

Ustaz Nik Aziz juga mengalu-alukan tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) yang berhasrat untuk meninggalkan BN.

"Kami pembangkang, tindakan mereka (mengemukakan undi tidak percaya) menjadikan mereka semi pembangkang.

"Yang penting, mereka menjadi pembangkang," demikian ujarnya.

Pusat Gadaian Ar Rahnu Jalan Raja Laut merupakan cawangan ke-12 yang dikendalikan oleh Perbadanan Kelantan Berhad yakni anak syarikat kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan.

Setakat ini ianya menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat kerana menggunakan konsep pinjaman dan gadaian tanpa riba.

Turut berucap dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Haji Wan Yahya Wan Salleh.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Ustaz Nasuruddin Daud; anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa; Wan Ubaidah Wan Omar; ahli Parlimen Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah serta ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof. - mks. _

Read More...

Pasca-PRU Ke-12: Singapura 'kaji' impak internet pengaruhi pengundi Malaysia

Mstar Online

24-06-2008 08:13:00 AM
Oleh G.MANIMARAN

PETALING JAYA: Keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, yang luas dikaitkan dengan pengaruh media alternatif khususnya internet, bukan sahaja telah muncul sebagai topik hangat di peringkat domestik, malah impaknya 'mencuri' perhatian kerajaan negara jiran Singapura.

Ketika berkongsi pengalaman mengenai pendirian kerajaan Singapura yang telah mengambil berat tentang aspek berkenaan, Fellow Penyelidikan Kanan Institut Kajian Dasar (IPS), Tan Tarn How (gambar) berkata, republik tersebut telah menunjukkan kesungguhan untuk melihat sejauh mana media baru telah mempengaruhi arah aliran pengundian dan sokongan pengundi di Malaysia 8 Mac lalu.

"Mereka ingin mengetahui impak internet ke atas masyarakat, yang pada umumnya mirip keadaan di Singapura. Malaysia mempunyai landskap masyarakat yang sama (pelbagai kaum dan menerokai ICI sejak satu dekad lalu).

"Mereka telah menunjukkan minat untuk mengetahui dengan mendalam apa yang sebenarnya telah berlaku dan mengapa ia berlaku.

"Malah, mereka juga tertanya-tanya sama ada internet juga boleh membawa kesan yang serupa di Singapura," kata beliau ketika ditemui pada forum Star Multimedia-ACMS bertajuk Media Baru: Trend dan Peluang di sini, semalam.

IPS merupakan badan kumpulan pemikir yang berpejabat di Singapura, ditubuhkan pada 1988.

Tan juga telah menjalankan kajian mengenai kesan media baru ke atas pengundi-pengundi negara ini dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Internet menembusi kempen pilihan raya negara ini pada 1999, tiga tahun selepas kerajaan memperkenalkan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan projek Koridor Raya Multimedia (MSC).

Impak media baru juga bertapak semasa pilihan raya umum lima tahun kemudian dan kesannya dikatakan lebih besar ketika pilihan raya umum ke-12 khususnya dengan kemunculan blog.

Kesan media baru ke atas pemikiran pengundi negara ini dan dalam arah aliran pengundian juga diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengatakan bahawa kerajaan tidak memberi perhatian mendalam ke atas komponen baru ini.

Dalam temu bual dengan mStar Online minggu lalu sempena 100 hari pascapilihan raya umum ke-12, Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin turut menyentuh tentang kemunculan komuniti elektronik - sektor baru dalam politik negara ini tetapi tidak dipandang serius oleh parti kerajaan.

Menurut Tan, ia merupakan perkembangan ketika peringkat awal pascapilihan raya umum ke-12 tetapi apa keputusan yang dibuat oleh kerajaan Singapura selepas itu belum diketahui.

"Pada awalnya mereka ingin mengetahui (apa yang berlaku dan sebabnya) dan saya tidak tahu rumusan yang dibuat oleh kerajaan selepas itu," katanya lagi.

Republik Singapura telah memanggil pilihan raya umum dua tahun lalu dan lazimnya mengadakan pilihan raya umum setiap lima tahun.

Mengenai impak internet ke atas rakyat negara itu dalam pilihan raya, beliau berkata: "Pandangan peribadi saya ialah 'tidak."

Jelas Tan, walaupun republik itu mempunyai kadar penembusan internet yang agak tinggi tetapi rakyatnya masih mempercayai maklumat disiarkan media massa tradisional di sebalik kawalan yang cukup ketat.

Kata beliau, maklumat berwibawa dan boleh dipercayai, yang disajikan oleh media tradisional penting dalam mengimbangi pengaruh media baru.

Malah, kata beliau Singapura mempunyai undang-undang siber yang cukup ketat, yang telah digubal sejak satu dekad lalu.

Turut menjadi ahli panel forum ialah Dr. Cherian George, pemangku ketua Divisyen Kewartawanan di Wee Kim Wee School of Communication and Information, Nanyang Technological University, Singapore dan Oon Yeoh, kolumnis tempatan yang menulis tentang media baru.

Read More...

Pendakwa tutup kes Altantuya

Utusan Online

SHAH ALAM 23 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini akan mendengar lima hujahan dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya Shaariibuu mulai 23 Julai depan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah menutup prosiding pada peringkat kes pendakwaan yang masuk hari ke-124, hari ini.

Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin ketika menetapkan tarikh setelah dipersetujui kedua-dua belah pihak menegaskan mahkamah akan mendengar kesemua hujahan tersebut secara berterusan sehingga selesai.

Empat daripada hujahan ialah pecahan kepada prosiding induk perbicaraan kes bunuh Altantuya.

Hujahan pertama dan kedua melibatkan dua prosiding mencabar kebolehpercayaan keterangan dua saksi iaitu saksi pendakwaan ketiga, DSP Mohd. Yusri Hasan Basri dan saksi ketujuh, Lans Koperal Rohaniza Roslan.

Ia melibatkan kenyataan Rohaniza kepada polis pada 16 November 2007 di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur dan mengenai percanggahan empat bahagian keterangan

Mohd. Yusri di mahkamah dengan kenyataan beramaran ketika siasatan.

Hujahan ketiga dan keempat pula menyentuh prosiding perbicaraan dalam perbicaraan berhubung keterangan Cif Inspektor Koh Fei Cheow tentang perlakuan Cif Inspektor Azilah Hadri menunjukkan tempat kejadian kepada polis dan perlakuan Koperal Sirul Azhar Umar menunjukkan barang-barang peribadi milik Altantuya di rumahnya.

Manakala hujahan kelima, mengenai prosiding induk, perbicaraan kes bunuh Altantuya di peringkat akhir kes pendakwaan.

Prosiding hari ini dimulakan pada pukul 10 pagi dengan mendengar keterangan pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Polis (ASP) Tonny Lunggan.

Beliau ialah saksi pendakwaan keempat pada prosiding perbicaraan dalam perbicaraan bagi menyangkal dan mematahkan dakwaan tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri berhubung perlakuannya menunjukkan tempat kejadian kepada polis.

Sejurus Tonny selesai memberi keterangan selepas disoal dalam pemeriksaan utama, Tun Abdul Majid memaklumkan pihaknya menutup kes pada peringkat pendakwaan.

Tun Abdul Majid menyenaraikan seramai 144 orang saksi yang ditawarkan untuk diteliti sekiranya pihak pembelaan berminat dan seandainya mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan kelak.

Mahkamah mengambil sedikit masa untuk menentukan tarikh hujahan kerana menurut Hakim Mohd. Zaki, diari mahkamah itu sudah pun penuh sehingga tahun depan.

"Sepanjang 124 hari perbicaraan, nota keterangan prosiding ini telah menjangkaui 4,000 muka surat," kata Hakim Mohd. Zaki yang sering dilihat menggunakan secara maksimum kedua belah tangannya untuk menulis nota tersebut.

Bapa Altantuya, Setev Shaariibuu dan Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi hadir di mahkamah hari ini. Beliau dan isteri penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, Mazlinda Makhzan termasuk dalam senarai saksi.

Azilah, 32, dan Sirul Azhar, 36, didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Abdul Razak, 48, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul membunuh Altantuya.

Tertuduh itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 dan 10.05 pagi pada 18 Oktober 2006.

Menurut Shaariibuu, dia pulang ke Mongolia Khamis ini dan akan kembali mengikuti prosiding pada bulan depan.

Read More...

Blogger.com gantung blog Dr Mahathir

Malaysiakini

Jun 22, 08 11:58pm

Blog rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad digantung oleh penyedia khidmat memblog Blogger.com sejak tiga hari lalu sehingga mantan perdana menteri gagal mengemaskinikannya.

Blog Chedet.com - 'che det' adalah nama gelaran dan nama pena Dr Mahathir - digantung dengan alasan ia dianggap sebagai "dicurigai blog spam".

Blog itu gagal dikemaskini sejak 19 Jun yang memuatkan artikel terakhirnya 'RapidKL: Answers to questions and SAPP'.

Komentar pengunjung di akhir artikel tersebut gagal diluluskan oleh Blogger.com.

Dalam notis kepada pengunjung yang dimuatkan di Chedet.com jam 11:09 malam ini, walaupun sudah beberapa kali usaha menghubungi Blogger.com dibuat, penyedia khidmat tersebut masih lagi "mengunci" Chedet.com.

Penyedia khidmat itu akan mengunci sesebuah blog yang dibantah oleh pengunjungnya sehingga "bahan-bahan yang dipertikaikan" itu dibuang atau setelah disiasat sendiri olehnya tidak seperti bantahan.

mahathir blog website che det dot com note to visitor 230608Blogger.com menyediakan khidmat tersebut di butang sebelah penjuru kiri atas, atau dikenali "butang bendera", bagi bahan-bahan yang dianggap "berpotensi dipertikaikan" kerana dianggap "melanggar undang-undang atau ofensif" kepada pembaca lain.

Blog "spam" dianggap kegiatan yang tidak mengikut undang-undang.

Tidak jelas kenapa blog tersebut mengalami masalah ini, tetapi artikelnya berhubung isu perkauman dipercayai mendorong pengunjung menekan butang bendera itu berulang kali - sehingga dianggap Blogger.com sebagai blog yang "tidak disenaraikan" dalam perkhidmatannya dan oleh itu tidak dibenarkan dikemaskini.

Menurut Chedet.com lagi, blog popular itu akan dipindahkan kepada penyedia khidmat blog yang lain, antaranya yang sedang diusahakan MoveableType.com.

Tinjauan Malaysiakini selepas tengah malam ini menunjukkan usaha memindahkan blog itu masih belum berhasil sepenuhnya dan pengunjung mengalami kesulitan untuk memuatturun artikel Dr Mahathir.

Dalam artikel terakhir yang dimuatkan selepas percubaan memindahkan blog tersebut, Dr Mahathir mengulas usul undi tidak percaya kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijangka akan dikemukakan di Dewan Rakyat esok.

"Usul undi tidak percaya yang dibawa oleh Parti Maju Sabah (SAPP) tidak akan menumbangkan kerajaan Datuk Abdullah kalaupun barisan pembangkang memberikan sokongan di belakang SAPP," katanya dalam 'The chorus line' yang dimuatkan jam 11:15 malam ini.

chedet mahathir blog 020508Malah, tambahnya, pemimpin dan ahli Umno yang berjumlah kira-kira 3.5 juta orang juga tidak akan berjaya menjatuhkan Abdullah yang dikelilingi oleh anggota kabinet dan ketua-ketua bahagian Umno dan sentiasa melaung-laungkan puji-pujian kepadanya.

"Kejayaan mereka (ahli Umno) sangat bergantung kepada penyokong yang tidak menjadi ahli. Datuk Seri Abdullah tidak boleh memberi rasuah atau mengugut mereka (bukan ahli). Mereka tidak boleh dipanggil untuk diarah menyokong calon-calon BN atau dirinya sendiri," kata Dr Mahathir lagi.

Tambahnya, walaupun anggota-anggota Majlis Tertinggi Umno dan ketua-ketua bahagian menunjukkan sokongan kepada Abdullah, ahli-ahli parti yang lain makin meluat terhadapnya.

"Mereka akan bertekad untuk tidak lagi memangkah Umno atau BN," katanya.

Dalam keadaan tanpa pilihan, hujahnya lagi, mereka ini akan meninggalkan parti-parti itu dalam pilihanraya umum akan datang seperti ditunjukkan dalam pilihanraya 8 Mac lalu.

"Umno akan kalah dan kalah seteruk-teruknya," kata bekas presiden Umno.

"Datuk Seri Abdullah boleh menyalahkan pengundi mensabotaj tetapi kerana Umno dan BN enggan mempedulikan rasa meluat pengundi pada (pilihanraya) 2008, satu-satunya pilihan yang mereka (pengundi) ada untuk membuang Datuk Seri Abdullah hanyalah melalui cara memusnahkan (sokongan) Umno dan BN."

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |