+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, July 11, 2008

'Protes bukan untuk si warak, wali'

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Jul 10, 08 8:41pm

Naib presiden PAS Datuk Husam Musa berkata perhimpunan membantah kenaikan harga minyak Ahad lalu "bukan untuk orang yang warak dan wali sahaja tetapi kepada semua pihak yang ingin menyuarakan bantahan".

Mengulas kontroversi persembahan penyanyi Carburetor Dung, exco kerajaan Kelantan itu menambah walaupun kumpulan pemuzik itu dianggap mempamerkan aksi tidak senonoh, mesej yang cuba disampaikan mereka kritikal terhadap kerajaan.

Menulis di blognya, Husam berkata jika seseorang mendengar semula lirik lagu-lagu kumpulan punck rock itu "ibarat terkena pada batang hidung mereka (kerajaan) sendiri."

"Kalau golongan muda seperti itu pun sudah boleh sindir kerajaan, ini menunjukkan sudah ada penyertaan dari pelbagai pihak bagi menyampaikan mesej kepada kerajaan," katanya semalam.

carburator dung lewd performance at protes fuel price hike rally mppj stadium 070708Tindakan penyanyi Carburetor Dung memalingkan punggung ke arah penonton sehingga menampakkan seluar dalam menimbulkan kecaman meluas banyak pihak, termasuk pemimpin dan penyokong PAS.

Ahad lalu, tindakannya itu menyebabkan mereka diserbu sekumpulan penyokong pembangkang di stadium Kelana Jaya sehingga penyanyinya Alak mengalami cedera ringan.

Husam bagaimanapun meminta semua pihak tidak menyalahkan aksi kumpulan itu semata-mata tetapi wajar menilai mesej dalam lagu-lagu mereka, antaranya Mari nyanyi menjilat – lagu mengkritik budaya mengampu di negara ini dan kebergantungan kepada kontrak.

"Saya bukannya pro kepada band rock itu tetapi kalau kita dengar semula seni kata lagu (yang dinyanyikan) itu ada mesej tertentu kepada kerajaan," kata Husam.

Bagaimanapun bagi pemimpin PAS yang menolak persembahan kumpulan tersebut, mereka enggan bertolak ansur.

Ahli jawatankuasa pusat PAS Idris Ahmad menganggap parti itu "tertipu" sewaktu terlibat dalam perbincangan Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes), penganjur perhimpunan tersebut.

Melalui blognya semalam, bekas pemimpin kanan Pemuda PAS itu berkata pemimpin parti yang terlibat dalam Protes telah berkompromi membenarkan konsert dengan syarat "nyayian yang tidak melampau dan seni kata yang baik".

"Rupa-rupanya pada hari itu kita kena tipu. Menyebabkan Pemuda dan Unit Amal memboikot. Tahniah pada adik-adikku Pemuda dan Unit Amal," katanya.

Tambahnya, demonstrasi Protes pada masa depan akan lebih berjaya jika dikawal seratus peratus oleh parti itu.

"Pengajaran demonstrasi Protes 6 Julai, lain kali biarlah PAS yang kawal semua. Kalau setakat jadi pengerusi (tetapi) kita tidak boleh kawal buat habis beras saja," katanya, mengulas kedudukan bendahari PAS Dr Mohd Hatta Ramli sebagai penyelaras Protes.

"Banyak demonstasi yang kita buat berjaya (dan) tidak haru-biru. Kalau ulang lagi demonstasi macam ini, untung secupak rugi seguni."

Timbalan ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan pula berkata beliau pada mulanya bertolak ansur terhadap aktiviti dalam suasana yang "tidak menyinggung perasaan insan yang mukmin" dan jaminan persembahan itu "tidak melanggar etika seorang yang berakhlak dan bermoral."

Beliau menyifatkan tindakan Alak itu sebagai tidak beradab dan tidak sesuai.

"Ramai umat Islam yang hadir seperti memulaukan majlis dengan beredar meninggalkan majlis apabila persembahan memberi aksi 'londeh seluar'," kata Nasrudin di blognya awal minggu ini.

"Mungkin kerana terlalu marah, kerana minyak naik, maka mereka memaparkan aksi demikian sebagai protes. Wallahu a'lam. Pastinya ia bukan satu tindakan yang beradab dan sesuai."

Read More...

"Abdullah silap" Ku Li

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Bernama
Jumaat, 11 Julai 2008

KB: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pelan peralihan kuasa pada pertengahan 2010 dan bertanding sebagai Presiden UMNO merupakan satu langkah yang silap.

Katanya jawatan Presiden UMNO itu ditentukan oleh ahli UMNO dari peringkat akar umbi dan tidak wajar bagi Abdullah untuk serahkan kuasa kepada sesiapa pun.

"Banyak pihak tidak menyedari bahawa Perdana Menteri perlu mendapatkan restu pelbagai pihak terutamanya dari Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan ketua-ketua cawangan UMNO di jajahan Bachok di sini Khamis malam.

Beliau berkata selama ini Abdullah merupakan "caretaker" (penjaga) kepada UMNO kerana pemilihan parti itu sepatutnya berlaku tahun lepas namun ianya ditunda berikutan pilihan raya umum ke-12.

Tengku Razaleigh berkata keputusan Abdullah itu tidak akan mengubah pendirian beliau untuk bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan parti yang dijangka Disember ini.

Read More...

Serah jawatan 2010, Umno dan BN dalam kedudukan terancam

Harakahdaily

Suhaimi Taib

Fri | Jul 11, 08 | 6:54:23 am MYT

Dua perkara berlaku dalam masa terdekat, pertama Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) telah memasang golnya sendiri bahawa beliau masih mahu kekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno sehingga Jun 2010.

Kedua, Pakatan Rakyat di Parlimen telah mengemukakan notis usul undi tidak percaya kepada Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan akan ditentukan usul itu oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Isnin ini sama ada ia diterima ataupun ditolak.

Kedua-dua isu ini mempunyai signifikannya tersendiri dalam variasi (perubahan) politik negara dan merupakan suatu asas untuk melihat sejauhmana kebijaksanaan rakyat dan kepimpinan yang dipilih mereka menentukan sendiri dengan tindakan bijak mencipta kejutan sehingga warna politik negara lebih cerah di masa hadapan.

Menyentuh persoalan pertama, sikap ditunjukkan oleh Pak Lah mengekalkan kedudukannya sedia ada sebagai perdana menteri dan presiden Umno untuk tempoh kira-kira dua tahun lagi suatu tindakan menentang arus dan akan menerima padah yang tidak sedikit kepada pihak-pihak tertentu khususnya rakyat jelata.

Orang yang pertama, terhalang mencapai hasrat menjadi perdana menteri ialah Dato' Seri Najib Tun Razak dalam masa dua tahun akan datang.

Untuk melangkah lebih ke depan Najib perlu merungkai permasalahan berlaku dengan penentang keputusan dibuat presiden parti secara diam-diam atau secara terbuka.

Secara diam-diam, Najib boleh mengatur strategi memperalatkan kuncu-kuncunya dalam Umno untuk menentang hasrat Pak Lah dengan menggunakan pelbagai hujah yang pembangkang sendiri gunakannya untuk menggambarkan kelemahan-kelemahan yang dilakukan oleh presiden parti itu mulai sekarang.

Najib secara tidak lansung perlu mendesak ahli parti di peringkat akar umbi mengemukakan cadangan atau usul dalam mesyuarat agung mereka, bahawa Presiden dan Timbalan Presiden merupakan jawatan parti yang perlu dipertandingkan untuk melihat perubahan baru dalam parti dan hala tuju perjuangannya di masa depan.

Najib tidak perlu bersifat terus terang menonjolkan penentangan terhadap Pak Lah, cukuplah dengan mengarahkan kuncu-kuncunya berbuat demikian atas dasar menyelamat Umno dari terus hancur dan kuasa Umno sebagai pemerintah terhakis.

Satu kelompok lagi ialah Tengku Razaliegh Hamzah, Ketua Umno Bahagian Gua Musang dan kuncu-kuncunya, boleh turut digembelengkan sekuat-kuatnya bagi melihat strategi membatalkan hasrat Pak Lah mengekalkan kedudukannya sehingga tempoh berkenaan.

Pemilihan siapakah layak menerajui parti itu Disember ini perlu diserah kepada ahli menentukannya bukan Pak Lah atau mana-mana kepimpinan lain hatta Najib sendiri jika benar-benar Umno mahu melihat parti itu masih relevan khususnya di kelompok kecil orang Melayu.

Amat sukar lagi Umno mahu mempengaruhi majoriti orang Melayu kerana mereka telah dikuasai oleh tiga buah parti yang didominasikan oleh orang Melayu termasuk PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Umno sendiri.

Yang penting, sekurang-kurangnya Umno dapat teruskan survival politiknya dengan tidak mengekalkan Pak Lah terus pada kedudukanya sekarang kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) berada pada kedudukan terancam dan akan terhakis sekiranya senario sedia ada terus berkekalan melepasi Perhimpuan Agung Umno Disember ini.

Pak Lah perlu diturunkan oleh ahlinya dari setiap cawangan. Jika tidak, Umno dipercayai akan berkubur, tidak lama lagi dan sukar lagi untuk bangkit semula selepas ini kerana Umno tidak berupaya membuktikan perjuangannya berjaya sejak 50 tahun lalu.

Kedua, notis usul undi tidak percaya sekarang berada di tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Beliau akan membuat keputusan sama ada ia diluluskan untuk dikemukakan kepada dewan atau sebaliknya atas apa alasan sekalipun Isnin ini.

Notis itu dikemukakan oleh Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas selesai sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sudah pasti yang Dipertua Dewan Rakyat dipercayai akan diberi nasihat oleh Pak Lah bagaimana seharusnya dia bertindak untuk menangani isu berkenaan.

Peraturan 18 (1) dan (2) Dewan Parlimen diambil kira. Pandikar Amin menjelaskan bahawa beliau boleh membuat keputusan terhadap notis berkenaan sama ada di kamar atau di kemukakan notis itu ke dalam dewan untuk diperbahaskan ahli dewan manakala keputusannya akan dibuat beliau sendiri, katanya ketika ditemui wartawan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa beliau suka dengan dewan rakyat ketika ditanya apakah keputusan akan diambil nanti.

Walaupun Pakatan rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada usul itu berjaya diluluskan tetapi ia mempunyai pengaruh yang kuat di parlimen untuk membolehkan usul itu diterima majoriti ahli dewan sekiranya Pandikar Amin memutuskan untuk mengemukakannya di dewan berkenaan.

Sebaliknya jika beliau memutuskannya ditolak di kamar beliau sudah tentu notis itu gagal diperbahaskan di parlimen kali ini.

Mungkin Pakatan Rakyat akan mengemukakan lagi notis seumpama itu di masa hadapan. Bagaimanapun jika notis itu ditolak, ahli-ahli parlimen sudah pasti akan mengambil peluang untuk membahaskannya di dewan berkenaan.

Apa pun media dan rakyat sedang menanti saatnya bagaimana notis itu ditangani oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat tersebut. _

Read More...

Najib terharu dipilih pengganti

Utusan Online

KUALA LUMPUR 10 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa terharu atas kepercayaan Perdana Menteri memilih beliau sebagai pengganti melalui satu proses peralihan kuasa yang akan berlaku pada Jun 2010.

Beliau berkata, langkah yang diambil oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu merupakan satu tradisi dalam UMNO yang selama ini dipertahankan.

Katanya, kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri itu akan dijadikan sebagai azimat kepada beliau untuk terus menyumbang ke arah mengukuhkan parti serta meneruskan usaha membangunkan negara ini.

‘‘Saya berasa terharu di atas kerelaan Abdullah melepaskan jawatan mengikut tempoh yang disebutkan. Ini bukan satu perkara mudah untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri.

‘‘Tetapi demi menghargai pandangan umum, beliau sanggup berbuat demikian dan saya berasa amat terharu,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan perjumpaan dengan Exco Pemuda, Wanita, Puteri dan Ketua UMNO bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, keputusan tersebut melambangkan peralihan kuasa kepimpinan boleh dibuat dengan cara yang baik tanpa membelakangkan tradisi atau pun membuat sesuatu yang membawa imej negatif kepada UMNO dan mana-mana pemimpin.

‘‘Dalam tempoh peralihan kuasa ini, Perdana Menteri akan menentukan peranan dan pembahagian kuasa tertentu dan saya akan menganggap Abdullah adalah ketua saya.

‘‘Saya juga telah menyatakan pada perhimpunan tadi supaya sokongan yang padu diberikan kepada pencalonan Abdullah sebagai Presiden UMNO,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau merayu supaya pelan peralihan kuasa tersebut diterima oleh semua anggota parti kerana suara parti pada akhirnya akan menentukan keputusannya.

Dalam pada itu, Najib juga menyatakan kesediaan beliau menawarkan diri mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.

‘‘Saya berharap parti akan menerima saya sebagai Timbalan Presiden,” jelasnya.

Dalam sidang akhbar yang diadakan bersama Abdullah itu, Najib sekali lagi mengulangi bahawa hubungan beliau dengan Perdana Menteri amat akrab.

‘‘Saya berharap agar hubungan akrab ini akan diteruskan selama Abdullah menjadi Perdana Menteri dan selepas beliau menyerahkan jawatan,” katanya.

Najib juga meminta semua pemimpin dan anggota parti memberi sokongan padu kepada Abdullah demi keutuhan dan kekuatan parti selain memastikan proses peralihan kuasa berjalan lancar.

Read More...

Pak Lah undur 2010


Berita Harian


SEPAKAT: Abdullah dan Najib ketika sidang media selepas Taklimat Khas Presiden Umno di PWTC, semalam.

Peralihan kuasa beri peluang kepada Najib buat persediaan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menamatkan spekulasi berhubung proses peralihan kuasa dalam kepimpinan parti dan kerajaan apabila mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada pertengahan 2010 dengan menamakan Datuk Seri Najib Razak sebagai penggantinya.

Sehingga tempoh itu, Perdana Menteri dan Najib masing-masing akan mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti, Disember ini.

Mengumumkan keputusan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan taklimat khas bersama Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam, Abdullah berkata:

“Saya memaklumkan kepada MT bahawa saya sudah mencapai kata sepakat dengan Najib bahawa saya tidak akan memimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

“Bermakna satu peralihan kuasa perlu diwujudkan dan ia bermula dengan apa yang diumumkan hari ini iaitu saya bercadang menyerahkan jawatan kepada Najib untuk ambil alih jawatan parti pada Jun atau pertengahan 2010.”

Abdullah berkata, keputusan itu juga dimaklumkan kepada ketua bahagian yang menghadiri taklimat khas selepas mesyuarat MT dan mendapat maklum balas positif apabila beliau menerima ‘standing ovation’ yang disifatkannya sebagai merestui proses peralihan kuasa itu.

Perdana Menteri berkata, keputusannya itu dibuat bagi mengukuhkan parti dan memastikan semua program yang dirancang dan dijanjikan kepada rakyat pada pilihan raya umum lalu dapat dilaksanakan dengan baik.

“Saya juga sudah nyatakan kepada Najib bahawa saya inginkan beliau terus menjadi timbalan saya sehingga tarikh saya menyerahkan jawatan kepadanya,” katanya.

Isu berhubung peralihan kuasa itu mula dibangkitkan pelbagai pihak selepas BN gagal memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum, Mac lalu. Sejak itu, Abdullah didesak melaksanakan pelan peralihan kuasa kepada Najib berdasarkan amalan biasa Umno.

Perdana Menteri menjelaskan, tarikh pertengahan 2010 dipilih untuk memberi beliau dan Najib peluang menempuh proses pemilihan parti, selain membolehkan penggantinya membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Adalah penting untuk membuat pengumuman sekarang kerana proses peralihan kuasa perlu mengambil masa dan ia dapat memberi peluang kepada Najib menghadiri forum dan mesyuarat yang lazimnya saya hadiri bagi mewakili kerajaan dan membolehkan Najib berinteraksi dengan pemimpin negara lain. Beliau juga akan berkesempatan menjalankan tugas saya dari semasa ke semasa,” katanya.

Ditanya apakah proses peralihan kuasa akan berlaku sepenuhnya, Abdullah berkata: “Anda tunggu hingga tiba masanya, apabila ia berlaku, anda akan tahu.”

Mengenai peranannya selepas 2010, Abdullah berkata, penggantinya akan diberi kuasa sepenuhnya untuk mentadbir kerajaan dengan caranya sendiri.

“Terpulang kepada kebijaksanaan Najib memimpin kerajaan. Saya tidak akan tukar pandangan kerana keputusan sudah dibuat. Nampaknya ia akan menjadi peralihan kuasa yang cantik,” katanya menjawab soalan jika wujud desakan supaya beliau melepaskan jawatan sebelum 2010.

Ditanya sama ada beliau sedih dengan keputusan yang dibuat itu, Abdullah berkata: “Tentu sekali, tetapi saya lebih rasakan yang saya sudah mengambil satu tindakan yang diterima baik dan itu yang dikehendaki.

“Saya berpendapat, peralihan kuasa mesti dilaksanakan dalam proses baik dan disenangi parti. Dengan cara ini pihak yang akan mengganti saya akan menjadi pemimpin kepada parti, bukan kepada setengah parti atau geng dia saja.”

Perdana Menteri berkata, jika pertarungan atau pertandingan dibiarkan berlaku dalam proses memilih pemimpin, beliau bimbang akan berlaku perpecahan dalam parti yang tentu akan merunsingkan ahli Umno sendiri.

“Peralihan kuasa adalah pendekatan paling baik, parti tidak berkocak, semua berjalan baik, kepemimpinan terus berjalan dan parti tidak perlu dibaiki lagi. Itu yang saya rasa. Apa yang saya lakukan, saya bersyukur dan saya juga rasa bersyukur kerana dapat memilih seorang yang dapat memimpin parti dengan baik,” katanya.

Ditanya apakah tindakan ini terlalu awal dan dibuat kerana tekanan, Abdullah berkata: “Tindakan ini wajar, sebelum ini pun ada tekanan dan ada pelbagai pandangan mengenainya tetapi yang penting perasaan saya dalam hal ini dan saya rasa saya mesti serah jawatan kepada pengganti saya dan ini cara yang saya pilih.”

Mengenai pembangkang yang mungkin menganggap pengundurannya itu satu kemenangan pada mereka, Perdana Menteri berkata, beliau akan berhadapan dengan pembangkang dan memastikan semua yang dirancang berjalan lancar.

Beliau juga menyerahkan kepada Ketua Umno bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk membuat keputusan sama ada akan bertanding jawatan tertinggi parti, akhir tahun ini.

Read More...

Usul tidak percaya dari Pakatan

Malaysiakini

Jul 10, 08 3:35pm

Gabungan pembangkang - Pakatan Rakyat - mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

wan azizah and pakatan rakyat parliament motion of no confidence on pak lah 100708Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR- Permatang Pauh) telah memfailkan usul tersebut di pejabat Speaker Dewan Rakyat pada jam 3.45 petang.

Antara lain, usul tersebut menyatakan bahawa pilihanraya umum ke-12 menyaksikan 'tsunami politik' di mana lima negeri dan Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Menurutnya, BN mencapai kemenangan tipis dengan memanipulasi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan melalui pembohongan.

Harga minyak pula, tambahnya, dinaikkan dengan tiba-tiba selepas pilihanraya walaupun timbalan perdana menteri - ketika melancarkan manifesto pilihanraya - berjanji ianya tidak akan berlaku.

Manakala ahli-ahli Parlimen BN, katanya, yang menolak sikap tidak bertanggungjawab pemimpin mereka, telah diancam dan dipaksa supaya berdiam diri.

Perkembangan tersebut, tambahnya, telah menimbulkan krisis keyakinan terhadap perdana menteri dan anggota kabinetnya.

Keyakinan merosot

Rakyat, menurut usul itu lagi, berdepan dengan beberapa krisis seperti kenaikan harga bahan bakar makanan.

Menurutnya lagi, keyakinan rakyat terhadap polis, peguam negara dan badan kehakiman telah merosot, dan jenayah dan rasuah semakin meningkat.

Jika usul tersebut diterima, ia mungkin dibincangkan pada hari Isnin apabila sesi Parlimen bersambung selepas cuti hujung minggu. Parlimen tidak bersidang pada hari Jumaat.

Bagaimanapun, usul tersebut mungkin ditolak oleh Speaker yang mempunyai kuasa untuk berdemikian atas alasan ianya bukan perkara yang perlu disegerakan.

Tambahan pula, hanya satu jam perbahasan dibenarkan untuk usul seumpama itu dan juga tiada pengundian.

Pihak pembangkang mungkin mempunyai pilihan untuk mengemukakan usul tersebut mengikut Peraturan Tetap 27, yang memerlukan notis 14 hari.

Bulan lalu, Parti Progreseif Sabah (SAPP) mengejutkan negara apabila berkata ia akan menyokong usul tidak percaya terhadap Abdullah.

Bagaimanapun, ia kemudiannya memutuskan untuk menangguh rancangannya itu. Pada masa yang sama, kerajaan BN telah memberi surat tunjuk sebab kepada SAPP.

Reaksi pemimpin BN

bung moktar radinSementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional, Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, walaupun jika ia dibenarkan oleh Speaker sekalipun, mengikut Peraturan Tetap 27, beliau yakin ia tidak akan berjaya.

"Kami dalam BN yakin bahawa mereka tidak akan mendapat korum yang mencukupi," katanya kepada pemberita.

Beliau turut mengkritik Pakatan Rakyat kerana cuba menjatuhkan kerajaan yang diberi mandat dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

"Rakyat sudah memberi mandat kepada BN. Mengapa pembangkang mahu mengemukakan usul tidak percaya terhadap kerajaan? Apakah agendanya? Mereka mahu jatuhkan kerajaan?" soalnya.

"Mereka mahu menjadi kerajaan. Dengan apa cara sekalipun, selepas pilihanraya, mereka mahu menukar kerajaan melalui pintu belakang," tambahnya.

Read More...

Ini kisah anak Osama Bin Laden

KLpos

Cetak E-mail
Oleh Agensi
Khamis, 10 Julai 2008



SEORANG anak lelaki ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden hanya berumur 16 tahun tetapi dia digelar oleh Barat sebagai Putera Mahkota Pengganas. Menurut sebuah akhbar semalam, anak lelaki Osama itu, Hamza meneruskan misi bapanya kelmarin menerusi puisi dengan meminta Britain dimusnahkan.

Remaja itu mengisytiharkan keazamannya itu dengan berkata: "Percepatkan kemusnahan Amerika, Britain, Perancis dan Denmark.

"Oh Tuhan, ganjaran kepada pejuang-pejuang yang mengenai sasaran orang kafir dan pembelot.

"Oh Tuhan, bimbing golongan muda di negara-negara Islam dan benarkan mereka membantu dengan rancangan pejuang.

"Tuhan, tolonglah mereka yang mahu pergi untuk berjihad dan butakan mata mereka yang melihat serta mahu menangkap mereka."

Puisi anak bongsu Osama itu disiarkan dalam sebuah laman web untuk meraikan ulang tahun ketiga kejadian serangan bom di London.

Hamza yang memakai pakaian jaket celoreng tentera selain baju tradisi Afghanistan membaca puisi yang ditulisnya itu di laman web tersebut.

Serangan bom itu berlaku pada 7 Julai 2005 dengan menyebabkan 52 orang tidak bersalah terbunuh.

Dalam puisi itu, Hamzah berkata: "Berilah kemenangan kepada Taliban terhadap kumpulan orang kafir.

Dalam laman itu, satu klip video yang menunjukkan wajah bapanya turut disiarkan.

Satu pengenalan ringkas disiarkan di laman web itu: "Kini kami menawarkan anda sebuah puisi oleh Sheikh Hamza bin Laden. Lindungilah dia Tuhan."

Hamza dipercayai bersembunyi di sempadan Pakistan-Afghanistan.

Dia merupakan anak lelaki yang diperoleh hasil hubungan Osama dengan seorang isteri Arab Saudi.

Seorang pakar keselamatan, Chris Dobson berkata: "Walaupun masih remaja, dia kini merupakan seorang pewaris Osama."

Seorang Ahli Parlimen Britian, Patrick Mercer yang merupakan anggota Jawatankuasa Hal Ehwal Dalam Negeri berkata: "Kita kini mempunyai putera mahkota pengganas yang sedang mengambil alih jubah bapanya."

Seorang pakar pengganas internet, Neil Doyle memberi amaran: "Terdapat peningkatan perbualan melampau di internet berhubung serangan di Britain."


Sementara itu, seorang lelaki yang terselamat dalam serangan 7 Julai 2005 itu, Jacqui Putnam berkata: "Ia sesuatu yang mendukacitakan.

"Dia (Hamza) sepatutnya melakukan apa yang kini dilakukan oleh lelaki yang sebaya dengannya dan menemui kehidupan dengan cara normal."

Osama turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, Omar yang mendapat liputan meluas media kerana berkahwin dengan seorang nenek dari Britain.

Omar yang kini berumur 28 tahun berkahwin dengan Jane Felix-Brown berumur 52 tahun pada tahun 2007.

Felix-Brown memeluk Islam dan menggunakan nama Zaina Alsabah.

Omar yang merupakan ahli perniagaan itu juga tidak pernag mengkritik bapanya yang merupakan lelaki paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat (AS).

Dia menyatakan Osama hanya untuk mempertahankan dunia Islam dan bukannya seorang pengganas.

Osama dipercayai mempunyai 18 orang anak.

Read More...

Hanya 8 Orang Solat Maghrib Berjamaah ; Masjid Baru Bukan Hanya Menghadapi Masalah Pembinaan

Buletin Online

PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Wartawan Buletin Online
Thursday, 10 July 2008

http://buletinonline.net/images/berita7/masjiddisetiu.jpgKuala Terengganu - Kerajaan Negeri Terengganu khususnya pejabat Hal Ehwal Agama Islam mesti mengambil tanggungjawab kesan tindakan bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh

yang telah menjadikan pembinaan masjid sebagai suatu agenda politik.

Pembinaan masjid lebih 50 buah tersebut telah menjadi satu kempen politik besar-besaran menjelang pilihanraya umum yang lalu.

Sehingga kini masih dapat dilihat papan-papan tanda besar (billboard) yang propaganda kempen politik tersebut.
Pembinaan masjid adalah langkah yang terpuji sekiranya bukan untuk tujuan bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk akan pembinaannya.

(Yang berseluar adalah pengunjung masjid yang singgah, anak mukim yang memakai kain atau baju melayu)

http://buletinonline.net/images/berita7/masjidkglabuhan1.jpg
Bahkan pengarang UKOM, Ruslan Abdul Rahman menjadikan pembinaan masjid di Terengganu untuk memburuk-burukkan kerajaan Kelantan melalui tulisannya yang berbunyi;

“Walaupun baru dua tahun diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negeri Terengganu, Kerajaan BN Terengganu kini telah membina setiap DUN 2 buah masjid dalam tempoh dua tahun (1 masjid setahun bagi 32 DUN).”
”Demikianlah betapa caknanya Kerajaan Negeri terhadap usaha-usaha meningkatkan syiar Islam di Terengganu; bukannya meningkatkan syiar agama lain seperti pembinaan patung-patung yang besar dan terbesar di Kelantan yang kononnya diperintah oleh ulamak Islam.”

Akibat dari desakan politik yang mensasarkan setiap DUN dibina sebuah masjid, para pegawai mungkin tidak berpeluang menyatakan kebenaran, bahawa adalah berdosa sekiranya membina sesebuah masjid, kemudiannya ia tidak dimakmurkan.

Contoh yang sangat jelas adalah sebuah pembinaan yang dipanggil sebagai Masjid Kristal.

Pembinaan ‘masjid’ yang memakan belanja puluhan juta ringgit dan dibina supaya kelihatan indah, namun ia terletak disebuah pulau yang tidak ada qaryah disekelililingnya.

Apakah ia layak dipanggil sebagai sebuah masjid sekiranya tidak dimakmurkan menurut fungsi sebuah masjid, yang didirikan didalamnya solat lima waktu berjamaah sehari semalam?

http://buletinonline.net/images/berita7/masjidkglabuhan2.jpgPembinaan masjid yang begitu banyak, kini menjadi keluhan masyarakat.

Ramai yang berasa bimbang kerana mereka juga mungkin termasuk dalam orang-orang yang bersubahat kerana membiarkan pembinaan masjid-masjid yang kemudiannya tidak dimakmurkan.

Salah satu masjid tersebut adalah masjid kampung Labohan dalam Daerah Kemaman.

Seorang pengunjung yang singgah di masjid tersebut baru-baru ini telah memberitahu bahawa dia berasa amat sedih kerana masjid yang baru dan begitu indah, hanya lapan orang sahaja penduduk tempatan solat berjamaah.

“Waktu Maghrib adalah ‘prime time’ maknanya waktu utama, walaupun mungkin waktu-waktu lain jamaah tidak ramai, biasanya waktu maghrib ramai.

“tapi sebaliknya di masjid tersebut, dan saya diberitahu banyak masjid-masjid lain yang kekurangan jamaah,”katanya.

http://buletinonline.net/images/berita7/masjidbumbungboco1.jpgMasjid Kampung Labohan, yang berharga RM2.84 juta telah dibina oleh syarikat RSC Construction Sdn. Bhd., bermula pada 15 Ogos, 2005 dan disiapkan pada 11 Februari, 2007.

Sehubungan itu, terdapat beberapa perkara yang dilaporkan oleh semakan audit sebagaimana dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 (Kajian Khas Agensi dan Jabatan), agak mengejutkan.

(Syiling bilik air sebuah masjid yang rosak kerana bumbung bocor)

Perkara-perkara yang tidak mengikut peraturan seolah-olah menjadi kebiasaan, termasuklah dalam perkara-perkara berkaitan pembinaan masjid diseluruh negeri Terengganu.

Semakan Audit terhadap 26 fail tender pembinaan masjid mendapati sebanyak hanya 8 sahaja kelulusan tender yang diberikan kepada kontraktor benar-benar menepati perakuan JKR.

Sebanyak 13 kelulusan tender yang diberikan kepada kontraktor oleh Lembaga Tender Negeri adalah tidak menepati perakuan JKR.
http://buletinonline.net/images/berita7/masjidbumbungboco2.jpg Manakala 5 tawaran tender pembinaan masjid diberi kepada 5 kontraktor yang telah gagal pada peringkat penilaian JKR dengan alasan modal minima tidak mencukupi dan rekod kemajuan kerja semasa kontraktor tidak memuaskan.

Oleh yang demikian tidak hairanlah sekiranya kita melihat kecacatan-kecacatan yang jelas dalam pembinaan masjid-masjid baru terutamanya dari segi kemasan akhir.

Malah ada masjid-masjid baru yang sudah pun mengalami kerosakan, belum pun enam bulan digunakan.

Catatn Hujung Mungkin sebab sudah akhir zaman, seperti maksud hadis : "Tidak berlaku kiamat sehinggalah manusia bermegah-megah dengan masjid-masjid". [HR Abu Daud (no: 449), Nasai (no: 689), Ibn Majah (no: 739). Dinilai sahih oleh Ibn khuzaimah (no: 1323) dan Ibn hibban (no: 1614)].

Read More...

Terima Anugerah Tertinggi Pulau Pinang; Datin Sri Wan Azizah kini bergelar Datuk Sri Utama

Suara Keadilan

Sumbangan dan ketokohan Presiden KeADILan Dr Wan Azizah Wan Ismail diabadikan dalam sejarah negara apabila beliau dikurniakan darjah tertinggi Pulau Pinang: Darjah Utama Pangkuan Negeri sempena Ulangtahun Yang Dipertuan Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Di rasmikan dalam suatu majlis sambutan ulangtahun pada Sabtu 12 Julai, anugerah yang dikurniakan kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail itu membawa gelaran Datuk Sri Utama.

Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menjadi ikon gerakan reformasi selepas suaminya dipecat dan dihukum atas tuduhan rasuah dan sodomi pada 1998. Mengepalai jutaan rakyat menuntut reformasi di seluruh negara, Dr Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai Presiden Parti Keadilan Nasional (Adil) yang ditubuhkan pada 1999, dan seterusnya Parti KeADILan Rakyat pada 2002.

Dalam Pilihanraya Umum 1999, Dr Wan Azizah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh. Beliau bertahan dan berjaya mengekalkan kerusi Permatang Pauh dalam PRU 2004, ketika teman-teman seperjuangannya rebah satu-persatu disapu kebangkitan politik Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Keseorangan, beliau terus cekal membawa suara rakyat bersama-sama rakan-rakan politik dari Pas dan DAP.

Pada PRU12 yang lalu, Dr Wan Azizah sekali lagi membuktikan bahawa hasrat BN merampas Permatang Pauh dari tangannya adalah angan-angan semata-mata. Beliau mengekalkan kerusi Parlimen itu, bahkan menambahkan majoriti undi dari 590 kepada 13,388 undi.

Dr Wan Azizah Wan Ismail - tokoh, profesional, ibu dan isteri - diberi penghormatan oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat selaku Ketua Pembangkang di Parlimen. Perlantikan beliau melakar satu lagi sejarah, menjadikannya wanita pertama dilantik Ketua Pembangkang di negara ini.

Warga Editorial Suara Keadilan mengucapkan tahniah kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail. Moga Allah memberi ketabahan dan kekuatan kepada beliau mengharungi ombak badai politik mutakhir ini.

Re~for~ma~si!

Read More...

Masuk Parlimen boleh pakai apa saja kecuali seluar dan baju dalam - Nazri

Harakahdaily

Roy Rasul

Thu | Jul 10, 08 | 6:03:08 pm MYT

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) - Menteri di Jabatan Perdana, Dato' Seri Nazri Aziz berkata, para wartawan yang datang ke parlimen boleh berpakaian apa saja termasuk seluar jeans kecuali memakai seluar dalam dan baju dalam.

Beliau menegaskan etika berpakaian rasmi iaitu berkot dan bertali leher bagi lelaki dan baju sopan bagi wanita hanya perlu dipatuhi apabila seseorang itu memasuki dewan persidangan.

Dalam satu sidang media di Lobi Parlimen hari ini, Nazri memberitahu pengawal keselamatan parlimen tidak boleh melarang atau mengeluarkan arahan kepada wartawan yang berpakaian tidak mengikut garis panduan berpakaian di parlimen.

Beliau berkata demikian, ketika mengulas sesi penggulungan hari ini yang kecoh seketika apabila isu pemakaian skirt oleh seorang wartawan akhbar Cina yang ditegur pihak keselamatan Parlimen semalam dibangkitkan dalam dewan rakyat oleh Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh), hari ini.

Nazri berkata, beliau telah berjumpa dengan speaker dewan dan ketua pengarah parlimen untuk mendapatkan maklumat berkenaan panduan berpakaian di parlimen. Bagaimanapun, walaupun ada garis panduan tersebut, beliau tidak tahu mengenai apa yang berlaku.

"Selama ini kami ada 'guideline' untuk pakaian tetapi saya akan bagi tahu kepada pengawal supaya mereka menjaga keselamatan daripada menjaga hal-hal lain," katanya.

Bahkan katanya, selagi orang awam dan ahli parlimen tidak 'komplen' wartawan boleh berpakaian yang mereka kehendaki.

"Yang menahan orang dan menentukan sama ada boleh atau tidak bukan kerja mereka. Tak ada masalah, pakai apa pun... tolong... jangan pakai baju dalam dan seluar dalam saja, kerana dewan ini banyak benda lain kita nak bincang," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan memberitahu kepada pihak pengawal sekiranya tidak ada aduan daripada ahli parlimen barulah garis panduan berkenaan akan diteliti.

"Pada sayalah, kita tumpu kerja dalam dewan," katanya.

Tambah Nazri, beliau akan memaklumkan kepada pegawai-pegawai keselamatan bahawa mereka harus lebih prihatin mengenai keselamatan daripada melihat 'skirt' orang.

"Ahli parlimen pakai tinggi (singkat) juga tak masalah pun. Kalau tak boleh kawal jangan 'double standard', semua jangan kawal... MP boleh telanjang, masuk tak apa, dia orang (wartawan) datang tak boleh. Ini saya tak boleh terima," katanya.- tmj/mks. _

Read More...

Shabery pertaruh jawatan menteri

Malaysiakini

Jul 10, 08 6:19pm

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata beliau sedia menerima sebarang tindakan dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung jawatan kabinetnya kini sekiranya gagal mempertahankan dasar kerajaan dalam debat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu kenaikan harga minyak, Selasa ini.

"Sekiranya saya gagal, saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan masa depan (sebagai menteri)," katanya ketika diminta mengulas kenyataannya kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengenai perkara itu semalam.

ahmad shabery cheekAhmad Shabery berkata menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahankan dan menerangkan sebaik mungkin dasar kerajaan menaikkan harga bahan api.

"Sekiranya saya gagal melaksanakan tugas, saya serah pada pucuk pimpinan untuk mencari menteri penerangan yang lebih baik untuk menerangkan dan mempertahankan dasar kerajaan. Saya serius dengan perkara ini," katanya kepada pemberita.

Menurut Bernama, sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan ketua pegawai eksekutif Australian Broadcasting Corporation (ABC) Bruce Dover serta rombongan di bangunan Parlimen hari ini.

Semalam, Ahmad Shabery menyatakan keyakinannya bahawa langkahnya berdebat dengan Anwar dapat membantu rakyat untuk lebih memahami kewajaran kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel bulan lalu.

Reaksi berbeza

Anwar dilaporkan pernah berjanji akan menurunkan harga minyak sebaik sahaja jika partinya menjadi kerajaan.

Debat bertajuk "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak" anjuran portal berita Agendadaily.com itu dijadual berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Shabery berkata debat itu cara terbaik dan bertamadun dalam membincangkan sesuatu isu daripada mengadakan perhimpunan haram atau konsert yang memalukan.

Mengulas reaksi berbeza mengenai sama ada debat itu perlu atau tidak, Ahmad Shabery berkata:

"Soal setuju atau tak setuju, ini adalah tugas saya. Apa yang penting ia dapat terangkan dasar kerajaan."

Beliau juga ditanya mengenai perbuatan individu tertentu menyamar sebagai dirinya untuk meminta wang, Ahmad Shabery berkata:

"Saya terkejut sebab ada orang yang guna nama saya minta duit."

"Perkara ini tidak wajar dilakukan dan saya telah membuat laporan polis dan setakat ini belum ada yang dikenal pasti. Saya harap tiada orang yang terpedaya," katanya.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |