Utusan Online
|
Warga Kuala Lumpur meraikan Sambutan Ambang Merdeka sempena tahun baru 2010 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. – Utusan/Shaifudin Mohd. Nor |
KUALA LUMPUR 31 Dis. – Kedatangan tahun baru 2010 disambut dengan meriah oleh pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara malam tadi.
Di ibu negara, sambutan ambang tahun baru diadakan di beberapa lokasi dengan beberapa aktiviti yang berlainan daripada kebiasaan.
Di Menara Berkembar Petronas, kira-kira 10,000 warga kota membanjiri kawasan persekitaran tasik di situ dan mereka dihiburkan dengan persembahan pancutan air berirama bermula pukul 9.25 malam.
Persembahan itu ternyata menghidupkan suasana sambutan sambutan tahun baru di kalangan pengunjung termasuk pelancong asing.
Kemuncaknya ialah persembahan bunga api yang bermula tepat pukul 12 tengah malam serentak dengan lapan lagi persembahan seumpamanya di lokasi berbeza di sekitar ibu negara.
Di Dataran Merdeka pula, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim bersama kira-kira 30,000 warga kota meraikan sambutan tahun baru 2010 dengan Konsert Ambang 2010.
Konsert itu merupakan anjuran Kumpulan AmBank dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula pukul 8 malam diikuti dengan pertunjukan bunga api tepat pada detik 12 tengah malam.
Antara artis terkenal yang menghiburkan pengunjung ialah Ella, Kumpulan Hujan, Bunkface dan Amy Search selain persembahan tarian 1Malaysia daripada kumpulan Permata Negara.
Sebelum acara dimulakan, pengunjung mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyampaikan amanat tahun baru.
Di Bukit Bintang, sambutan tahun baru 2010 juga meriah apabila kira-kira 2,000 warga kota pelbagai kaum termasuk warga asing hadir untuk memeriahkan sambutan tersebut.
Di Menara Kuala Lumpur, sambutan tahun baru menampilkan kelainan apabila seramai 10 orang penerjun tempatan membuat penerjunan tanpa henti bagi memeriahkan acara.
Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan bunga api di sekitar ibu negara dari Pelantar Terbuka pada ketinggian 300 meter.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, 50 pengunjung tempatan dan 50 pengunjung luar negara yang paling awal berpeluang mengadakan lawatan ke Pelantar Pemandangan dan Air H20.
“Penerjunan tanpa henti bermula dari pukul 9 malam hingga 1 pagi bagi memeriahkan lagi sambutan tahun baru,’’ katanya.
Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Mohd. Faiz Mohd. Nor Lidzan, 23, berkata, ini merupakan peluang terbaik untuk dia dan rakannya turut sama menyambut tahun baru dengan warga kota yang lain.
Pekerja bahagian teknologi komputer Universiti Malaya (UM), Syafawil Malifuad, 29, pula berkata, sambutan tahun baru di negara ini amat meriah dengan pelbagai aktiviti.
Kemeriahan sambutan itu turut dirasai oleh pelancong asing yang hanya mahu dikenali sebagai Tony, 50, dari Australia yang menyifatkan pengalaman menyambut tahun baru di Bukit Bintang sebagai menakjubkan.
Dia dan pasangannya, Debbie Dewhirst, 50, gembira kerana dapat bersama-sama dengan pelbagai kaum di Malaysia meraikan sambutan tahun baru 2010.
“Saya kagum melihat pelbagai kaum di Malaysia bersama-sama meraikan sambutan tahun baru dalam suasana aman,’’ ujarnya.
Alireza Ismail Jamal, 35, dari Iran yang berkunjung ke Bukit Bintang bersama ahli keluarganya turut kagum dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan rakyat negara ini.
“Jika ada peluang kami mahu bersama-sama meraikan tahun baru di Malaysia pada tahun depan,” katanya.
Read More...
Summary only...
Beliau berkata kerajaan memberi subsidi sebanyak 80 sen bagi setiap sekilogram gula yang sekarang ini dijual pada harga RM1.65.Sebahagian besar gula dibeli dari Brazil, Thailand, Australia dan beberapa buah negara pengeluar lain, katanya.Walaupun Thailand dan beberapa buah negara yang lain menjadi negara pengeluar dan pembekal, beliau berkata negara berkenaan menjual gula di negara masingmasing mengikut harga semasa antara RM2.50 hingga RM2.60 sekilogram.
"Rakyat perlulah mengurangkan penggunaan gula dalam makanan dan minuman bagi menangani kenaikan dan ini secara tidak langsung dapat menjaga kesihatan rakyat daripada dihinggapi penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya.
"Menurut kajian rakyat Malaysia adalah yang terbanyak mengambil gula dibandingkan dengan rakyat negara lain iaitu lebih 20 sudu gula sehari bagi setiap seorang," katanya.
Beliau berkata kadar sepatutnya ialah setiap seorang hanya perlu mengambil tujuh sudu gula sahaja sehari. BERNAMA